Halaman

Thursday, September 17, 2009

Harga diri beg.

Atas nama kesedaran memelihara alam sekitar, ramai juga pengunjung pasar Ramadhan yang membawa beg dari pelbagai jenis fabrik atau bakul untuk mengisi juadah yang dibeli. Kuranglah penggunaan beg plastik yang dikatakan sukar untuk dilupuskan. Cuma plastik yang membungkus makanan sahaja yang tidak dapat dielakkan (buat masa ini kerana faktor kos), sudah tentunya plastik yang berwarna merah jambu, oren, kuning atau macam-macam warna yang ada, gemar digunakan peniaga untuk mengisi barangan jualan. Ada juga plastik ini digelar 'plastik bising'. Tak nampak pula ada orang yang membawa mangkuk tingkat untuk membeli juadah, antara lain yang nampak, penggunaan 'tupperware'.

Elok juga ini di jadikan budaya. Sebab ada segelintir pasaraya besar seperti Tesco atau Jusco mengaplikasi beg guna semula sebagai gantian penggunaan beg plastik. Malah diberi kupon/ pelekat/chop menawarkan ganjaran tertentu bila pelanggan menggunakan beg guna semula ini sekerap yang ditentukan. Mudah bukan, kita pun tidaklah jenuh hendak menyumbat beg-beg plastik yang kosong ini di laci kabinet dapur, untuk menjadikan beg sampah kelak. (Jimat duit tak perlu beli beg plastik sampah hitam tu). Terasa sayang juga bila hendak dibuang begitu sahaja. Tapi itulah masalah yang timbul bila tiba masa untuk dilupuskan.

Itu belum kira lagi beg-beg plastik yang cantik menarik bila berbelanja di butik-butik pakaian. Yang menariknya, sesuai juga digunakan semula untuk membawa bekal makanan dalam beg plastik Levi's, contohnya. Kira macam tak seganlah bila bawa bekal atau barang lain dalam beg-beg plastik Sogo, Isetan, Toko 3, yang berjenama butik atau sebagainya yang 'standard' dan menarik rekacetaknya. Selain hendak menunjuk-nunjuklah pada orang lain yang kita pernah berbelanja disitu. Betul tak?

Kerana itulah; aku lihat, ada sepasang suami isteri yang berumur. Mulanya aku tak kenal, tak tahu, memang aku tak tahu siapa dia. Setiap petang antara jam 1530 hingga 1630, mereka berdua adakala bertiga dan suaminya yang bertongkat masih mampu berjalan merayau mencari juadah berbuka di pasar Ramadhan Setiawangsa. Sekali tengok memanglah mereka biasa-biasa sahaja orangnya, macam orang lain yang mengunjungi pasar Ramadhan. Tapi bila memerhatikan jenama pakaian suaminya, aku tahu dia ada citarasa. Isterinya berpakaian biasa, sebab dia 'tahu tempat' untuk berpakaian pastinya.

Menariknya, wanita itu (isteri), menyandang satu beg PVC memampangkan logo Harrods untuk mengisi juadah yang dibeli. Aku berselorohlah dengan abang aku, "Tengok makcik tu, pakai beg Harrods datang pasar Ramadhan. Isi puding...." Abang aku pula menjawab, "Tulah mak bapaknya owner Habib Jewels." Aku lihat sahaja mereka.... Memang sempoi..!

Inilah beg yang aku nampak makcik tu kendong petang tadi. Inilah dia...

1 comment: