Halaman

Monday, September 14, 2009

Ke kiri pusing!

Rata-rata ramai pengunjung pasar Ramadhan semakin bijak berbelanja. Tiada lagi istilah rambang mata atau buruk nafsu untuk berbuka puasa dengan pelbagai juadah. Sederhana gamaknya. Oleh kerana kita ada sebulan puasa, maka pengunjung membuat penggiliran untuk membeli juadah berbuka puasa. Andai inilah senarionya, aku puji sikap mereka. Belajar untuk tidak menjadi tamak, sebaiknya amalkan juga dalam apa jua keputusan dalam hidup masing-masing. Bukan hanya dalam skop membeli juadah berbuka puasa.

Dalam pada itu juga, ada juga segelintir manusia yang menjinjit sarat juadah yang dibeli. Secara positif, mereka mungkin membeli juadah yang dikirim oleh ahli keluarga atau rakan taulan. Tidak mengapalah... jangan kirim dengan air liur sudahlah! Agak-agaklah...

Bila sudah sarat berat dengan juadah, kebanyakkan manusia menggunakan tangan kanan yang dianggap kuat bertenaga untuk menjinjit segala bungkusan plastik tersangkut di lima jari kanan. Oleh itu, segelintir mereka itu terpaksa membayar harga juadah yang dibeli dengan menggunakan tangan kiri.

Budaya Melayu Islam kita masih menebal mengatakan yang kiri adalah sesuatu yang tidak baik, tidak molek. Lafaz, 'Maaf ya, tangan kiri..." sudah lali aku dengari akhir-akhir ini. Aku faham... "tak apa' yang sering aku balas.

Aku tidak kisah menerima bayaran atau mereka mengambil bungkusan air dari tangan kiri. Hendak buat macamanakan? Tidak dibeli, terkilan pula orang yang mengirim. Atau terkilan selera sendiri untuk menikmati juadah yang diidamkan. Bertolak ansurlah dengan pendirian orang Melayu sendiri tentang penggunaan tangan kiri. Walau ada juga mereka yang tidak biasa untuk melafazkan lafaz maaf kerana 'terkurang ajar' menggunakan tangan kiri.

Tidak perlulah kita mempertikai 'kiri' itu dalam keadaan sebegini. Maka, jika kiri itu sebagai sesuatu yang tidak molek dan seboleh-bolehnya kita jauhi.. Jadi beringatlah pada mereka yang akan memandu pulang ke kampung halaman sempena Aidil Fitri ini, 'Jangan sekali-kali kalian memotong kenderaan lain di bahagian kiri atau menggunakan laluan kecemasan di bahu kiri lebuhraya.' Nescaya, jika tidak menyusahkan diri kalian dengan saman pakcik polis. Tapi secara tidak langsung, kalian telah merendahkan cara pemanduan kalian bila diperhatikan, dicela atau disindir oleh pemandu lain. Andai ada pemandu lain yang melakukan, biarkanlah. Biarkanlah mereka dengan cara yang 'kiri', kalian yang kanan, walau tersangkut dalam kesesakan, bergembiralah menikmati lagu raya dari corong radio kalian yang mungkin puluhan ribu ringgit nilainya.

(Cuma kenderaan berat sahaja yang wajib mengikut lorong kiri?).

No comments:

Post a Comment