Halaman

Wednesday, December 16, 2009

25 saat.

Menyusuri kehidupan 38 tahun lamanya dengan perlbagai kesenangan dan kesukaran duniawi dan pada hari bertarikh 12 Disember 2009, dia antara sahabat baik aku; Rozaini aka Jai telah menemui satu lagi titik perubahan dalam hidupnya. Dengan perkenalan selama setahun dengan gadis manis, Siti Nur Ayuni membuka pandangan kehidupan Jai untuk berumahtangga.


Di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam berhimpun para saksi, ahli keluarga dan dinikahkan sendiri oleh wali bapa pengantin perempuan tepat jam 12:15 tengahari dengan satu lafaz.





Sah!


Situasi 25 saat yang biasanya mendebarkan oleh bakal suami berhari-hari, mungkin berminggu-minggu sebelumnya. Detik terakhir 25 saat ini juga boleh menitiskan airmata kebahagiaan buat seorang isteri.


Demi 25 saat, seorang teruna berhijrah menjadi seorang suami, bersamanya turut disertai tanggungjawab dan amanah. Berubahlah hak seorang gadis yang dinikahkan selepas 25 saat ini daripada ibubapa tersayang kepada seorang suami tercinta.


25 saat ini juga menjadikan seorang lelaki sebagai pemimpin agung, imam pada ahli keluarganya.


25 saat ini juga menjadikan yang haram menjadi halal dan yang halal menjadi haram antara mereka berdua sepertimana yang dituntut dalam Islam.


Harus beringat, walau 25 saat itu menjadikan lelaki berkuasa kepada seorang wanita bergelar isteri tetapi sebagai anak lelaki tetap tidak punya kuasa pada seorang lagi wanita yang kau panggil ibu!


Isteri semestinya bersedia untuk menjaga segalanya, taat dan setia, memelihara kehormatan diri sendiri dan suami dan tidak mengendahkan tanggungjawab isteri kepada suami tercinta kerana lelaki punya seribu satu alasan untuk melalui 25 saat itu sekali lagi...
dan lagi.. dan lagi...


















Tahniah!
...Selamat Pengantin Baru...

Thursday, December 10, 2009

Siapa kawan...

Sememangnya orang berkata, 'Jangan menilai buku dengan hanya melihat kulitnya'. Ungkapan ini terasa seperti untuk tidak berprasangka buruk tentang sesuatu. Kebiasaannya, apa jua jenis naskhah bercetak mempunyai maklumat dan pengetahuan samada diperlukan atau tidak oleh seseorang itu. Tidak juga semua pengetahuan itu boleh kita adaptasi dalam kehidupan kita. Kita gelarkannya pengetahuan am. Kita tahu sesuatu itu tetapi kita tidak mengambil peduli sangat kerana ianya sekadar perlu ada. Begitu juga sikap kita pada sesetengah kawan, asal berkawan. Ambil nama berkawan bahkan ada antara kita yang tidak mengetahui nama penuh seorang kawan dengan ejaan yang betul atau bin atau bintinya. Ada juga kawan yang kita sekadar mengagak negeri kelahirannya berdasarkan loghat percakapannya atau dari sembang pengalamannya.

Dalam diri seorang kawan itu ada pelbagai sikapnya yang adakala kita terpedaya. Hanya yang punya diri sahaja yang tahu mengapa kawan itu tidak menjadi dirinya apabila berhadapan dengan kita. Betul, ada kawan yang menjadi dirinya sendiri bila berada dalam satu kelompok tetapi tidak apabila berada di kalangan kawan-kawan yang lain. Adakah kawan ini mempunyai dua personaliti yang berbeza? Atau adakah kita sahaja yang berprasangka yang kawan kita itu berkelakuan begitu?

Kebiasaannya, bila kita mendengar berita yang kawan kita melakukan sesuatu yang salah atau sesuatu hal yang tidak terbayang oleh kita bahawa kawan itu mampu melakukannya, pasti akan timbul persoalan dalam diri kita. Tercetus soalan, "Eh, tak sangka dia macam tu ea?" Itu seandainya kawan kita melakukan kesalahan. Bila berlaku sebaliknya, kawan kita mengecapi kejayaan tercetus pula persoalan lain. Samada kita iri hati atau bangga dengan kejayaannya. Lumrah bukan? Itu juga berkaitan dengan betapa rapat pula kita dengan kawan kita itu. Beringat juga, adakala kejayaan itu datang dengan menindas kepala kawan-kawan yang lain.

Mereka yang positif dalam berkawan kebiasaan disenangi oleh semua orang. Semua orang merasakan ketidakhadiran kawan itu dalam sesuatu majlis atau suasana, serasanya tidak lengkap. Rasanya seperti tidak puas tidak dapat berkongsi dengan kawan itu secara langsung. Malah tidak sabar untuk menceritakan segalanya padanya. Itu apa yang kita fikir dan kita anggap padanya. Tetapi adakah dia beranggapan yang sama tentang kita?



Apakah yang boleh dijadikan kayu pengukur untuk kita mengetahui bahawa kawan kita benar-benar menjadi dirinya bila bersama dengan kita? Keikhlasan, kejujuran atau kepercayaan? Siapa pula yang boleh menilai atau mengukur keikhlasan, kejujuran atau kepercayaan seseorang itu? Bagaimanakah caranya?

Laut yang tenang amat mendamaikan perasaan, itu metafora yang sering diperkatakan. Ada juga yang tidak lupa bila laut bergelora boleh memusnahkan. Dalam berhati-hati, dalam was-was, kawan akan tetap mengambil kesempatan atas kawan. Antara kita sedar atau kita merelakan kesempatan diambil terhadap diri kita. Selagi tidak menyusahkan.

Adakala kita tahu, kononnya amat tahu luar dalam perangai kawan kita ini? Berkait pula dengan perumpamaan 'Air yang tenang jangan disangka tiada buaya', terasa seperti kita perlu berhati-hati dengan situasi yang menyenangkan atau sesuatu yang kelihatan baik.

Friday, December 4, 2009

Langkah kanan.

TERIMA KASIH
atas jemputan
Puan Nurmazlina Binti Halim
Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam
Kementerian Luar Negeri Malaysia
ke
MALAM PENGHARGAAN MEDIA 2009
Kementerian Luar Negeri Malaysia
di
Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur
Disember 3, 2009



* Louise the Maestro = marvellous!

Wednesday, December 2, 2009

Lebuhraya kehidupan.

Memandu di lebuhraya tiga lorong adakala menyeronokkan, adakala ianya boleh membuat darah berderau. Mereka yang gemar memandu di lorong kiri ibarat mereka yang tenang dalam kehidupan. Memandu dengan kelajuan di bawah 60km/j, mengasyikkan bagi mereka. Mereka boleh melihat keindahan alam di kiri kanan atau di hadapan mereka. Aman damai harmaoni. Dalam kehidupan, mereka ini orang yang tenang, khayal menikmati kehidupan yang sederhana dan suka bersantai. Dalam keasyikkan memandu, adakala mereka terpaksa membontoti kenderaan berat yang lebih perlahan pemanduannya. Bukan juga kerana mereka ini pak sanggup tapi mereka lebih banyak kesabarannya. Begitu juga kehidupan, sekali-sekala pasti ada permasalahan yang menjadi halangan dan perlu dihadapi. Mereka sabar dan ada juga yang sanggup memperlahankan pemanduan membiarkan permasalahan itu menjauhkan diri. Tetapi tidak semua manusia itu sama sikapnya, jari di tangan juga tidak sama panjangnya walau pada tangan yang satu.

Mereka yang punyai kesabaran yang tipis, pastinya menukar gear dan memecut laju. Sikap ini juga boleh menimbulkan isu. Mereka yang berjaya mengatasi masalah, akan kembali memandu perlahan di lorong kiri, meneruskan perjalanan. Ada juga mereka yang seakan bangga dengan kepantasan merungkai masalah lalu lupa pada diri. Terus memandu di lorong tengah dengan sedikit kelajuan tinggi kepada 80km/j. Mereka suka pada kelajuan tetapi mula memandang kenderaan di kiri sebagai lembap, terlalu perlahan atau tidak suka pada cabaran hidup.

Mereka mula ada sedikit keangkuhan dan mula memandang cermin sisi kanan andai ada peluang untuk mencelah di lorong kanan pula. Segelintir mereka takut untuk ke kanan tetapi mula hendak menyelesaikan masalah dengan haluan atau cara berbeza. Kenderaan hadapan di lorong tengah juga adakala menimbulkan masalah, perlahannya sama seperti pemanduan lorong kiri tetapi tetap masih mahu memandu di lorong tengah. Mereka inilah yang dikatakan manusia bodoh sombong. Sombong kerana tidak dapat menilai keupayaan diri dan bila di tegur, mulalah hendak bertegang leher. Tidak mahu mengalah. Oleh itu, manusia tadi yang takut untuk memotong di kanan, mula memotong di kiri. Baginya, ada pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah walau ianya cara yang salah. Mereka inilah manusia yang suka menikam manusia lain dari belakang dan menyusahkan manusia lain.

Apabila mereka berasa terlalu hebat memijak kepala orang lain, tibalah masa mereka ini menguji kehebatan diri. Mula memberanikan diri untuk meletakkan diri sebaris dengan mereka di lorong paling kanan; dengan kelajuan yang boleh membunuh tanpa disedari. Kelajuan mula meningkat ke 110km/j, kononnya kehebatan yang berhemah. Tanpa menoleh kiri lagi, mereka terus memecut laju. Mereka sudah jauh dari kehidupan lorong kiri. Berbatu jauhnya ditinggalkan dalam masa seminit! Lupa diri. Ya.. mereka inilah manusia yang lupa diri, yang khayal dengan kelajuan kehidupan. Tidak sesaat pun jarum meter turun di tolok kelajuan malah jika boleh mahu meningkatkan kelajuan. Mereka mula tamak dengan angka-angka yang selebihnya.

Selagi mereka memandu selesa dengan kelajuan tanpa gangguan, mereka jadi lupa, lupa pada asal-usul yang mereka datang dari lorong kiri. Tiada lagi kenikmatan hidup yang dulu ada di kiri kanan untuk diluangkan masa menikmatinya. Sekarang mereka terlalu mengejar yang di hadapan. Disebabkan sikap yang angkuh itu masih tebal, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memotong di laluan kiri semula dengan kelajuan tanpa mempedulikan manusia-manusia lain yang sama bergegas menuju destinasi dengan cara mereka masing-masing. Terasa papan tanda yang jauh di hadapan terlalu lambat untuk dipintas. Mulalah pedal minyak di tekan, memaksa omboh-omboh enjin bekerja keras membakar minyak untuk mereka bisa memecut lebih cepat ke hadapan.

Tidak mengapa petrolnya cepat habis, asalkan kepuasan dapat dilampiaskan di hati yang lama berbuku. Tetapi dalam kelajuan mereka mengejar, tiba-tiba ada pancaran cahaya dari belakang. Tergamam! Mula memandang cermin belakang dan sebolehnya mahu lagi melajukan kenderaan kehidupan, tidak mahu mengalah untuk mara. Tidak semua manusia mampu melarikan diri, sedar bahawa ada manusia yang lebih hebatnya setelah berkali-kali pancaran cahaya dari belakang menyilaukan mata, menyakitkan hati. Dalam ketidakpuashatian bergumpal hitam dengan kesumat, terpaksa, dipaksa kembali ke lorong tengah. Terasa sedikit kemengahan berlumba di arena kehidupan yang dirasakan hebat tanpa mengetahui sesungguhnya ada manusia lain yang lebih hebat. Sebenarnya, mereka ini tidak faham, tidak akan ada satu manusia pun yang boleh kekal hebat dalam perlumbaan kehidupan ini. Erti kata lain, tiada pemandu yang boleh kekal memandu di lorong kanan sepanjang perjalanan kehidupannya.


Monday, November 30, 2009

Berborak dengan diri.

Sebagai rakyat sesebuah negara, tidak kira sistem perundangan apa yang diamalkan, rakyat pastinya meminta bantuan (dari apa segi pun) daripada pihak kerajaan tersebut. Sama seperti kita insan yang mempunyai Tuhan yang disembah mengikut acuan dan amalan masing-masing, pastinya tangan ditadah memohon bantuan dengan lafaz doa.

Sebut sahaja kerajaan manakah yang tidak mahu membina negara dengan rakyatnya makmur dan terbilang? Dalam skala yang kecil, keluarga siapakah yang tidak mahu ahli keluarganya cemerlang. Jika punya anak yang berjaya melangkah ke menara gading, nama siapakah yang akan dijulang masyarakat? Diasuh anaknya belajar sepandai-pandainya, pelbagai usaha ada di dalamnya untuk mengangkat anak sebagai pelajar cemerlang. Hanya untuk apa? Hanya untuk lulus peperiksaan kemudian menjawat jawatan penting dan miliki kuasa dan kewangan. Alas orang tuanya, kau yang senang esok, rumah besar, kereta besar. Begitu juga dalam memilih menantu. Jangan cakaplah jika ada orang tua yang hendak melihat anak mereka susah dan melarat. Betul?

Ini antara kaitan sebuah kerajaan dengan warganya dengan bandingan kecil dari sebuah keluarga. Inginkan kejayaan dan kecemerlangan. Ayah menasihati anak lelakinya, jangan merokok. Kerajaan juga menghabiskan jutaan ringgit untuk kempen 'Tak Nak'. Tapi semasa ayahnya menuturkan nasihat, tersepit rokok di mulut atau di antara jari telunjuk dan jari hantu. Jadi orang juga berkata kenapa tidak kerajaan mengharamkan sahaja penjualan rokok?

Pastinya ada kepentingan bukan? Ayah tidak mahu anaknya mengikut jejak langkahnya yang membazir wang membeli rokok dan juga masalah kesihatan malah masalah-masalah sampingan bila keputusan rokok. Tapi ayah sudah terjebak! Cuma tidak mahu anaknya akan susah dan menderita sepertinya. Itu kononnya, hakikatnya, ayah tidak mahu berkongsi rokok dengan anaknya dan tidak mahu anak meminta wang darinya untuk membeli rokok. Kepentingan kerajaan dalam pengutipan cukai dalam perniagaan tembakau ini mencecah jutaan ringgit, pastinya. Adakah kompromi telah berlaku antara kerajaan dengan pengilang rokok dalam masa yang sama kerajaan melarang rakyatnya agar tidak merokok sekaligus tidak membeli rokok yang boleh membantutkan permintaan di pasaran? Betulkah cara begini? Betul sebab kerajaan perlukan dana untuk mengurus dan menyara negara. Sedangkan rakyat boleh membuat pilihan dan berfikir sendiri agar untuk merokok atau tidak. Pengilang pula mungkin termakan pujuk atau kata dua dari kerajaan. Diperhatikan sekarang makin banyak pula jenama rokok berada di pasaran dan masih ada kelas-kelasnya tersendiri yang boleh mencitakan pengemar tembakau.

Cukai adalah antara cara kerajaan menjana pendapatan dan dipulangkan kepada rakyat dengan membangun kemudahan infrastruktur contohnya. Ada pelbagai cara kerajaan membantu rakyatnya yang memerlukan bantuan. Kelihatannya sangat adil, belum termasuk bagaimana kenudahan dan faedah yang dinikmati para penjawat awam yang berdedikasi melaksanakan tugas. Itu secara amnya tetapi bagaimana dengan rakyat yang bekerja dengan sektor swasta? Dilambakkanlah masalah-masalah pekerja swasta ke Jabatan Buruh untuk membuat aduan kerana hak seorang pekerja termaktub di dalam akta. Akta yang dibuat oleh perlembagaan. Berapa peratuskah pekerja swasta di peringkat bawahan yang mengetahui kewujudan fungsi Jabatan Buruh ini? Dahulu, orang yang hendak mencari kerja sahaja yang berkait dengan Jabatan Buruh ini. Selain itu adakah pekerja-pekerja ini tahu fungsi dan peranan Jabatan Buruh. Malah ada juga penyawat awam yang masih kabur dengan hal-hal sebegini. Yang diketahui secara umum, pemberhentian kerja dengan notis 24 jam tanpa sebab. Hati sudah sakit, bicara tentang undang-undang mengalahkan peguam berhujah.

Pelbagai cukai yang dibayar oleh rakyat pada kerajaannya. Sebagai tanggungjawab, memujuk hati agar generasi atau mayarakat umumnya dapat menikmati kemakmuran. Dalam hati, sumpah seranahnya berbakul. Tak payah pergi jauh, cukai jalan yang hampir tamat tempoh pun sudah bisa buat tidur malam tak lena. Harga barangan jadi mahal pun kerana cukai. Kereta yang dikeluarkan dalam negara sendiri pun kena cukai, kena bayar bila nak beli kereta. Tapi tak berapa nampak sebab termasuk dalam pinjaman bank. Bulan-bulan bayar, jadi tidak terasa. Bank hendak untung. Perniagaannya memberi pinjaman dan untuk menggalakkan rakyat meminjam. Faedah jadi tarikannya. Kena minta bantuan pada Bank Negara untuk kelulusan atau persetujuan, bukan boleh main-main. Bank Negara itu apa? Bukan kerajaan ke?

Kemudian penjual dan pengedar kereta gunakan tarikan faedah yang rendah ini untuk melariskan jualan. Ditambah lagi dengan "Zero Downpayment"! Tak menarik ke? Anak yang pandai tadi berkelulusan universiti pastinya sudah menjawat jawatan eksekutif baru kerja 3 bulan sudah boleh memandu kereta berharga ratusan ribu ringgit. Yang bergaji antara RM1,500.00 dan RM2,000.00 pun sudah boleh bergaya dengan kereta Persona sekurang-kurangnya. Yang bangga siapa? Emak ayahnya jugalah yang masyhur di kampung, anak sudah menjadi orang. Tapi yang merana siapa?

Yang merana, balik pada diri sendiri juga. Kesesakan di jalanraya yang dibanjiri jutaan kenderaan setiap kali pergi dan pulang kerja. Jangan dikenang sesak lebuhraya balik kampung semasa cuti perayaan. Inilah tekanan yang kita sendiri buat-buat tak nampak. Demi tanggungjawab pada negara dan diri sendiri, relakan sahajalah, pejam mata. Sampingannya, kita lihat jutaan kenderaan bersusun di jalanraya. Yang mana hendak cepat, dengan caranyalah yang boleh membangkitkan kemarahan pemandu lain pula. Bergesel sikit, mulalah jadi samseng jalanraya. Tak dapat bagi penumbuk, bagi isyarat tangan pun jadi. Yang membuat, nak tunjuk kuasa. Yang kena buli, sakitnya hati! Kalau kena bertemu buku dengan ruas, kerana dua manusia ini, manusia lain pula yang jadi susah. Manusia yang jauh duduk kerja jadi pendaftar mahkamah pun sudah bertambah jadi kerja. Sarjan di balai yang susah hendak buat laporan, pegawai penyiasat jadi pening. Lokap penuh!

Itu jaranglah berlaku tapi ada hingga berbunuh. Yang boleh kita lihat, ada segelintir pemandu yang menghisap rokok. Segelintir ke? Tekanan atau bersantai? Andai suku pemandu dengan jumlah kenderaan di jalanraya yang merokok, bayangkan? Pemandu, belum kira penumpang sebelah. Tekanan juga bagi mereka yang mengejar masa untuk tanggungjawab pada keluarga, majikan, masyarakat diri sendiri dan orang lain. Ibu memandu pulang hendak memasak. Ayah memandu pulang hendak makan. Anak mencelah-celah takut lewat dimarahi kekasih hati. Para pekerja terburu-buru hendak mengejar mesyuarat, mana lagi dengan tempoh waktu yang suntuk. Hendak mengawal masa atau rancang perjalanan? Apa yang boleh dirancang? Setakat keluar pergi kerja seawal pagi jam 6:00, tidak semua manusia yang boleh korbankan waktu lena yang nyenyak. Sudahlah pulang lewat malam, konon hendak mengelakkan kesesakan. Lepak dulu di restoran mamak menikmati segelas dua teh tarik yang bisa menambahkan kolestrol. Rokok bersambung puntung. Pengisiannya tak tahulah pula berkisar apa? Cerita juta juta....

Pada siapa hendak diadukan masalah ini? Perancang bandar? Lihatlah susur keluar atau susur masuk lebuhraya ke, jalan ekspres ke, jalan pintasan ke? Bersusun kereta. Dibuatnya jalan pintas tapi dilambakkan keluar pada jalanraya yang sudah memang terkenal kesesakkannya. Bayangkan, sebagai contoh, memandu dari tempat S ke tempat K pada jam 3:00 pagi mengambil masa 15 minit tetapi 60 minit pada jam 3:00 petang. Ada silap mana-mana? Jalanraya sama sahaja tidak berubah bukan?

Kerajaan sebaiknya mendidik rakyat bukan memanjakan rakyat dengan kemudahan pembelian kenderaan. 10% wang pendahuluan wajib bagi membeli kenderaan dan pembelian tunai bagi motosikal yang berharga pada bawah harga RM10,000.00. Tapi sebab ada kepentingan antara dua pihak, kerajaan dan pengedar, maka timbul pula masalah lain yang sebenar berpunca dari mereka. Bukankah satu jari telunjuk yang di tunjuk untuk menyalahkan orang lain sedangkan tiga jari yang lain terarah pada diri sendiri?

Jadikan sistem pengangkutan awam yang terbilang. Perbanyakkan pemberian permit teksi dengan nisbah 4 teksi dan satu kereta dan ini juga boleh melonjakkan jualan kereta nasional sebagai teksi atau limo dengan tambang perjalanan yang amat berpatutan bukan seperti sekarang. Kos bahan api murah dengan 100% penggunaan NGV. Peningkatan masalah penyelenggaraan jadi tinggi sebab jalan sering sesak menjadikan transmisi kerap dilakukan. Wujudkan hanya satu operator kemudahan bas bandar dilaksanakan dan hapuskan komisen mengikut jumlah penumpang dan jumlah perjalanan. Jadi mereka tidak perlu berlumba mengejar mengambil penumpang dan jumlah perjalanan. Sistem pengangkutan LRT dinaiktaraf ke MRT dengan jalinan lengkap di pelusuk rata tempat dengan sokongan perkhidmatan bas dan teksi. Kerajaan tidak boleh buat ke semua ini? Pastinya boleh! Tapi mesti tengok kepentingan dululah.

Kepentingan? Yang mana tahu, tahulah. Macam rasuah juga. Kalau kata tiada rasuah, kenapa kerajaan sibuk hendak membanteras rasuah? Kerana ianya wujudlah, ia menjadi halangan untuk kemajuan negara. Sama seperti anak yang bersekolah atau belajar, sibuk hendak bercinta, berpeleseran atau membuang masa di kepala simpang. Mana mak bapa tak baran. Gejala ini perlu dihapuskan dan dihindari dari menjangkiti anak bujang mereka kalau mereka hendak lulus peperiksaan dengan gelaran dekan. Ini semua halangan untuk mak bapa mengecapi kemasyhuran, begitu juga dengan kerajaan. Banteras rasuah!

Seperkara lagi yang terusik, sepatutnya kerajaan sudah boleh meningkat sistem penyiaran televisyen walau cukai (lesen) televisyen dan radio telah berzaman pupus. Jangan itu dijadikan alasan, dunia sudah berubah, teknologi meninggalkan mereka yang masih dalam dunia analog. Mungkin juga sebab kepentingan, maka kerajaan membenarkan satu pihak mengendalikan siaran berbayar dengan sedikit tanggungjawab sosial pada masyarakat sebagai mengaburi mata. Sekarang ianya seperti ulat naik ke mata. Rakyat setiap hari mengeluh mengenainya, kekerapan cerita yang berulang, gangguan siaran ketika hujan renyai. Walau mereka punya alasan tapi rakyat tidak punya alasan untuk tidak terkecuali untuk melekatkan piring di dinding rumah masing-masing. Andai tiada, boleh dilabelkan dikatakan tidak mengikut teknologi. Belum kira penangan rancangan realitinya. Terasa pelik pula di mata jika melihat rumah yang tiada piring mirip kuali ini.

Bukankah kerajaan sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan siaran yang menjadi 'jabatan penerangan' boleh menyelinap di setiap ceruk lembah bukit dan gunung dengan mudah? Walau ini sebagai pilihan rakyat tetapi rakyat nampaknya tertipu dengan pilihan sendiri dengan mengorbankan wang saku sendiri pada sesuatu yang sepatutnya datang dari wang poket rakyat sendiri, cukai. Menariknya, apa yang hendak mereka lakukan pastinya memerlukan pengetahuan pihak kerajaan. Kerajaan pula berfikir dengan membuka peluang pada rakyat menjadi usahawan 'glokal' seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tetapi ada pula rakyat yang mengaruk tidak tentu pasal. Jadi apakah pilihan yang ada pada kerajaan? Jawapan umumnya, kepentingan!

Ish...! Leka pula berborak seorang diri, sedar-sedar dah pukul 6 pagi, dah nak subuh. Bukan dah nak, dah subuh pun... K.E, S.Y dan si Krill, dah berceloteh pun. Nescafe pun sudah habis seteko diminum, puntung rokok pun dah penuh dalam ash tray. Hujan ribut pun ada redanya. Kalau berborak ni, sampai bila pun tak habisnya. Aku masuk tidur dulu la ea.. Ngantuk lak... Korang tak ngantuk ke baca benda alah  ni? Udah udah ler tu..

Assalamualaikum!

Monday, November 23, 2009

Taming Sari.

Sering juga bersuara pada kawan-kawan, "Kawan-kawan bukan lawan". Bila ada kawan yang berkata demikian, sebolehnya kawan tidak mahu beradu tenaga dengan kawan lain atau menjadi lawan yang boleh memutuskan sesuatu perhubungan yang telah lama diikat. Ada juga disebut sebagai sindiran/nasihat bila kawan terlajak kata hingga mencetuskan kemarahan kawan lain.

"Kawan tak makan kawan". Ini juga seperti lawan pada peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi. Adakala kawan berharap agar kawan boleh menjaga amanah atau sekurang-kurangnya tidak menyusahkan kawan. Tidak curang di belakang kawan yang lain dan sebaiknya menghormati kawan dan kawan-kawannya yang lain. Secara langsung menimbulkan isu; kawan kau, kawan aku juga.

Pengertian kawan ini terlalu luas, cuma aku dapatkan kesimpulan selama aku berkawan dengan kawan-kawan. Ada kelas mereka sendiri dalam berkawan, kawan baik atau sekadar berkawan-kawan dan membentuk satu kawanan. Malah ada sub-sub kawan seperti kenalan, teman dan sahabat. Ada juga mengatakan dengan segelas teh tarik bisa mendapat seorang kawan. Mudahkan?

Semestinya ada sesuatu yang mencetuskan seorang manusia menjadi kawan pada kawan yang lain. Sebaliknya jugalah yang membuatkan kawan itu menjadi lawan.

Jadi apa yang susah untuk menjadi kawan kepada kawan yang lain. Mengapa pula kita seharusnya menjadi lawan pada kawan?



Dihikayatkan Hang Tuah punyai empat kawan lain sehingga kawanan ini digelar Lima Bersaudara, asalnya kawan sepermainan dari kecil hinggalah dewasa. Hang Tuah juga ada berkata "Takkan Melayu hilang di dunia" yang mana akhirnya seperti dihikayatkan, beliau telah melenyapkan seorang melayu yang merupakan kawan baik beliau. Siapakah kawan, siapakah lawan?

Masing-masing antara mereka punya prinsip tersendiri. Hang Tuah menjunjung Raja yang didaulatkan yang tidak boleh ditidakkan manakala Hang Jebat memuja persahabatan mereka sehingga ada dendam padanya terhadap Raja untuk membela kematian kawannya seperti disangka hingga satu Melaka hendak diamuknya.

Kerana berkawan, beliau mati dalam tusukan keris Taming Sari dari tangan kawan sendiri.

Tuesday, November 17, 2009

Karma.

Tengahari tadi aku ke Plaza Berjaya menaiki LRT dari Setiawangsa dan turun di stesen Dang Wangi. Kemudian aku perlu menaiki monorail ke stesen Imbi. Semasa aku melintas menggunakan jejambat, kelihatan pemuda Benggali mundar-mandir berseorangan di atas jejambat. Aku hanya mengabaikan dia dengan urusannya.

Kelihatannya beberapa pasangan pelancong asing yang berkeliaran dengan sekeping peta di tangan di kawasan stesen monorail Bukit Nenas sambil melihat-lihat persekitaran. Aku mengabaikan mereka juga.

Di dalam monorail, kelihatan juga pelancong asing dengan keasyikkan mereka sendiri melihat hutan batu Kuala Lumpur yang mungkin boleh mengubah persepsi mereka mengenai kemakmuran Malaysia, dengan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang bangsa yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.



Pulang dari Plaza Berjaya, aku mengikuti laluan yang sama untuk ke Setiawangsa. Tiba di stesen Bukit Bintang, sekumpulan remaja bergaya dengan kasual santai, sesuai dengan cuaca Khatulistiwa. Tiada bezanya dengan remaja kita yang merelakan diri menjadi korban fesyen. Mereka juga tidak terkecuali, Indonesia dan Malaysia serumpun katanya. Bezanya, mereka ini tidak seperti warga Indonesia, lazim kita lihat berselerakkan di Chow Kit atau di kawasan yang digelar 'Mini Jakarta'.

Melalui jejambat yang sama aku melintas untuk ke Stesen LRT Dang Wangi. Dari jauh kelihatan pemuda Benggali itu masih ada di situ tetapi bersamanya seorang pelancong asing. Aku lihat pemuda Benggali itu memberinya beberapa butir manik lalu disuruh cium. Melintasi mereka berdua, aku lihat pelancong asing sedang membuka satu lipatan kertas kecil.

Aku tahu apa yang dilakukan oleh pemuda Benggali itu terhadap pelancong asing itu. Tapi aku semacam serba salah, aku melihat sekeliling, memerhati jika ada lelaki Benggali lain yang berdekatan. Hati ini semacam hendak menegur dan menjauhkan pelancong itu dari pemuda Benggali itu namun aku sudah terlajak jauh. Bila aku perhatikan pelacong itu mula menggeleng-gelengkan kepala seperti menolak sesuatu, jadi aku melangkah lalu. Pastinya pelancong itu bisa menghidu sesuatu.

Ya..! Itulah satu sindiket penipuan yang dilaksanakan dengan keistimewaan yang ada pada mereka. Aku pernah dihampiri lelaki Benggali seperti ini di sekitar tahun 1997. Mulanya, dia meminta untuk menilik tapak tangan aku dan aku menolak. Namun direnungnya wajah aku membuatkan aku serba-salah. Kemudian dia bersuara, menceritakan sesuatu yang telah berlaku di masa silam aku. Aku hanya tertawa kecil walau ada kebenarannya tapi itu juga boleh dikategorikan sebagai satu umpanan umum. Pastinya semua orang pernah bercinta bukan?

Namun yang buat aku terfikir, bila dia meminta aku memikirkan satu haiwan peliharaan. Sebagai keseronokkan, aku mula memikirkan tentang naga, namun sebaik sahaja fikiran ini menggambarkan seekor naga, dia dengan pantas mengganggu imaginasi aku dan berkata, "Abang.. binatang peliharaanlah, yang kita boleh bela dalam rumah. Bukan naga." Aku tergamam sebentar dan memikirkan sesuatu yang aku sendiri tidak menjangkakan begitu. "Dia ni boleh baca fikiran aku atau dia yang mengawal fikiran aku?"

Kemudian aku beralih berimaginasi pada seekor haiwan peliharaan, hati aku berdetik, arnab. Kelihatan dia menulis sesuatu di atas kertas kecil dan menghulurkan kepada aku tiga butir manik yang telah dicalit warna. Katanya, "Abang cium ini manik, kemudian abang simpan. Ini manik sudah kasi sembahyang." Aku mengiyakan sahaja seraya dia menghulurkan kertas kecil lalu aku membukanya dan tertera perkataan arnab pada kertas itu. "Woouu..!"

Dalam pada itu, dia meminta wang RM10.00 dari aku. Dalam diam hati aku berkata, "Terkena gak.." Aku cuma menyeluk poket dan menghulurkan duit kepadanya. Sekeping kertas kecil sekali lagi bertukar tangan setelah wang aku disambutnya. Aku membuka lipatan kertas dan yang tertera adalah sebaris empat nombor.

Ianya tidak habis disitu. Seminggu selepas itu, aku terserempak dengannya sekali lagi berhampiran tempat yang sama. lalu dipelawanya aku singgah minum di restoran mamak yang berdekatan, disebabkan aku biasa dengan restoran itu, aku tidak menolak.

Tanpa berlengah dia mengatakan bahawa aku punya nasib yang tidak baik di masa akan datang. Namun diselit juga angan-angan yang lumayan didengari oleh setiap manusia. Untuk mengelak yang buruk dan menggapai yang baik, dia mengeluarkan beberapa keping gambar tok saminya sedang bermeditasi ala-ala gaya yoga. Aku mula tidak berapa senang dengan situasi begini. Aku melayan cuma apa yang diperkatakan sedangkan kotak fikiran aku mula bekerja mencari jalan keluar. Sebelum terkena lagi.

Dimintanya aku beberapa ratus ringgit untuk melakukan upacara sembahyang untuk menghindari aku dari hal-hal yang buruk dan memiliki karma yang baik. Aku masih melayan setiap tutur yang keluar dari mulutnya dengan misainya yang tebal dan hitam itu, meliuk-liuk mengikut setiap gerak bibirnya.

Sesuatu yang luarbiasa, yang tak pernah aku sangkakan tercetus. Katanya, "Saya tahu abang sekarang ada empat ratus ringgit dalam wallet. Abang kasi saya tiga ratus ringgit, saya bikin ini sembahyang, abang dapat good fortune!"

Terperanjat aku mendengar kata-katanya itu. Bagaimana dia tahu aku sememangnya punya empat ratus ringgit? Aku segera memberi alasan bahawa aku memerlukan wang itu untuk urusan peribadi aku. Namun ada suara berbaur ancaman darinya bahawa aku akan ditimpa bencana kelak jika aku tidak memberinya ketika itu. Andai tidak melakukan upacara sembahyang itu.

Keras suara aku berkata, "Saya ada Tuhan, you juga ada Tuhan yang you percaya! Jadi biar Tuhan saya menentukan hidup saya bukan awak!" Giliran aku pula memberi ancaman padanya, "I nampak you ada berkeliaran di kawasan ini, kita tengok nasib siapa yang akan jadi lebih baik!"


(Gambar hiasan - tak ngamlah kalau tak de gambar... ye tak?)

Sehikayat itu... jika kalian dihampiri seorang lelaki Benggali yang kemas pakaiannya dan memegang sebuah 'organizer' dan mula menghampiri atau bersuara dengan kalian, just say "No, thank you!" dan angkat kaki lambung. Tidaklah aku ketahui hingga kini, teknik apa yang mereka gunakan untuk menbaca fikiran manusia lain atau mengawal pemikiran manusia lain. Yang pasti, mereka ini punya rangkaian sindiket penipuan yang memanipulasi pemikiran manusia. Awas! Jangan sesekali kalian mencuba untuk mengetahui lebih lanjut atau mengalaminya sendiri!

Saturday, November 7, 2009

Dunia lakonan.

Sering aku mendengar bahawa hidup ini adalah sandiwara, dunia ini sebagai pentas sandiwara dan kita adalah para pelakonnya yang punya watak masing-masing. Bila ada adegan pelakon yang terlalu diva; kita mencebik bibir, memuncung panjang tanda ketidakpuashatian bila lakonan mereka menjadi dan kita menjadi mangsa plot-plot yang sememangnya kita tidak mahu terjadi dalam hidup kita. Jadilah kita mangsa keadaan...
Tapi tanpa kita sedari, adakah kita sendiri mengikut skrip dan tidak lari dari jalan cerita kehidupan yang telah ditentukan pengarah.

Ya, kerana setiap pementasan pasti ada pengarahnya. Siapakah pengarah kita? Andai kita mengikut arahan pengarah, pastinya drama kehidupan kita akan berakhir dengan baik!


Monday, November 2, 2009

Cuci kereta.

Kalau diingat-ingatkan, berabad gak lah kereta aku ni tak dimandikan, tak dibelai dengan air sabun, tak diusap dengan kain cotton oleh tangan kasar mat bangla.  Free lepas buat kerja tadi di Maluri, aku pun dengan sengaja, menghantar kereta untuk dicuci. Standard lah kat mana-mana car wash pun cara membasuhnya. Walau cuaca agak mendung, seperti kebiasaan kebelakangan ini, hujan akan turun mencurah. Lepas dicuci tadi pun, rintik-rintik kasar hujan sudah turun. Mat-mat bangla tetap tekun dan asyik membelai kereta aku. Dilap kering luar dan dalam dan divacuum di bahagian dalam kereta.

Aku tak kisah sangat kotor debu kat body kereta tapi habuk, pasir yang kat dalam tu yang menjerit-jerit minta nak keluar. Kesian tau setiap hari mendengar rintihan habuk dan pasir tu. Selesai memenuhi permintaan habuk dan pasir, yang telah bertukar rumah; ke dalam vacuum cleaner; pastinya mereka bergembira dapat jumpa habuk dan pasir dari kereta-kereta yang lain.

Selepas duit sepuluh ringgit dan baki dua ringgit bertukar tangan, aku komplen lah tentang cover lampu depan dah berkabut pudar. Kalau kereta lain menggunakan cover lamp jenis kaca tapi jenis kereta Iswara ni, yang mesra rakyat harganya, menggunakan cover lamp jenis poly kot, macam plastik. Tak sure lak aku materialnya.




"Saya ada ubat, bule kasi ilang itu kotor," kata mat bangla yang biasa aku serahkan hal bersiram kereta aku.
"Boleh ke?" aku pula minta kepastian. Aku ragu tentang menghilangkan kesan kabut tu. Dia berlalu ke dalam stor dan beberapa minit kemudian dia membawa keluar sebotol bahan pencuci. "Ini ubat banyak mahal bang, saya kasi cuba abang tengok," katanya lagi.


Mula, digosok perlahan-lahan dengan kertas pasir halus yang dibasahi air bersih. Gosok dalam seminit je.



Setelah dilap kering, barulah disapukan dengan ubat yang dikatakan mahal tadi. Memang dia gunakan beberapa titis je. Disapu rata pada permukaan cover lampu tu.



Dibiarkan kering sekejap, sementara bangla tu hilang ke dalam stor.



Rupanya... amik kau.. dia bawa power tool. Pastu dia pun polish cover lampu tu, confiden je..
Seminit dua gak lah dia mempolishkan dengan power tool tu.



Inilah hasilnya! Barulah nampak mentol kat dalam tu...



Testing.. testing... barulah bercahaya, kalau tak... macam malap je.. Nak suluh apa kalau dah malapkan?

Macam tu gak lah kehidupan kita ni, ada masanya kemalapan tu hadir. Kita jadi blur nak teruskan kehidupan, tergapai-gapai. Jadi kita mesti membenarkan orang lain memasuki kehidupan kita untuk kita boleh bersinar semula. Menikmati semula kehidupan dan yang paling penting, kita sendiri mesti menghargai dan memberi peluang pada diri kita untuk berasa berguna untuk orang lain pula.

Saturday, October 31, 2009

Cili padi.



Pedas itu sedap!
Tak percaya?
Alihkan huruf P ke tempat huruf S dan huruf S ke tempat huruf P pada ejaan PedaS!

Dalam berangan kena ingat.

Lelaki cuma ada dua masalah; perempuan dan duit. Apa serabut pun masalah tetap berkisar dan berbalik pada dua perkara ini. Dalam pada masa yang sama, yang menyusahkan kita dalam hidup ini hanyalah kerana sesuap nasi. Semua manusia membanting tulang, siang atau malam, yang kaya atau miskin untuk mencari sepinggan nasi memberi kita tenaga untuk meneruskan hidup.

Bila kewangan mulai stabil dan hidup dalam kemewahan, kita adakala memasang angan-angan untuk menjadi lebih kaya dan lebih kaya lagi, dari segi harta dan wang ringgit. Tidak kurang juga, baru dengar guruh di langit, air tempayan di buang. Mana yang tamak kadang terlupa, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Insya-Allah, apa yang kita usahakan akan memberi hasil yang lumayan dan berbaloi dengan usaha kita. Simpanan wang mulai bertimbun di bank, enam tujuh angka tercetak di penyata bank di terima setiap bulan, dan semakin bertambah. Nafsu dan akal mencari jalan keluar untuk berbelanja besar bak kata orang, besar periuknya, besarlah keraknya juga.




Beli rumah bungalow malah mahu bina yang lebih hebat dari yang tersergam siap.





Beli kereta baru sudah mesti. Wajib!
Mulalah berjinak-jinak dengan 'driving range' sebelum boleh masuk padang. Bukan apa.. semua ini perlu untuk jalinan perniagaan.
Adab makan dan minum juga perlu dipelihara. Napkin kena sentiasa ada beralas di paha. Maklumlah, sut, jahitan tangan dari Itali.
Jet persendirian ditempah terus semasa pameran LIMA di Langkawi. Mudah untuk berurus niaga dengan pembeli atau pembekal luar negara yang tidak menentu masa mesyuaratnya. Apatah lagi perbezaan masa.
Curi juga masa untuk berhibur dengan pembeli atau pembekal. Suka-suka, serasa meriah pula dikelilingi wanita-wanita cantik.
Atas pengaruh rakan niaga, minat pula melabur membeli kuda-kuda lumba. Menceburi bidang sukan memang minat dari kecil.
Bila sudah mula kenal baka-baka dan jenis-jenis kuda, terasa pula penat berjalan di padang golf.
Jadual kerja mesyuarat memang padat. Adakala sarapan pun di Sydney sebelum memulakan kerja. Sarapan makanan penting! Jangan sesekali ditinggalkan.
Namun sempat juga makan tengahari di Armsterdam. Risau juga nanti bila gastrik datang menyerang.
Sudah tentu makan malam memerlukan suasana yang indah sebelum mengakhiri tugasan kerja. Hilangkan segala keletihan dan tekanan di kota Paris yang menjanjikan suasana romantiknya dan kelazatan setiap hirupan wain anggur yang masam kelat.
Kadang, sampai sudah tak tahu mana hendak berehat. Tahu-tahu sudah sampai di Bali. Menikmati urutan yang nyaman. Bisa aja...
Beli bot ini pun bukanlah keperluan sangat tapi kadang-kadang datang juga rindu tangan hendak mengail. Terjun lepas melompat berdebur ke dalam air. Mengingat zaman kanak-kanak bermain di tali air sawah di kampung.
Dalam kemewahan rezeki dan kesihatan yang diberiNya, bukan kata lupa atau tidak tahu, tahu.. tapi alasnya, belum dapat seru. Tak mengapalah... Tapi apa salahnya, dalam kesibukkan itu, singgahlah kejap di kedai kain untuk membeli kain putih buat kain kapan kita sendiri. Berapa ringgitlah sangatnya tak?

Friday, October 30, 2009

Ada mata, pandang.


Selama aku hidup dan punya deria melihat, aku sentiasa melihat keadaan sekeliling. Depan, kiri, kanan atau memalingkan badan untuk melihat di belakang. Ada juga pandangan yang sengaja mahu aku lihat. Aku lihat!

Begitu juga ada orang yang akan melihat aku wujud dalam persekitaran mereka. Aku tidak kisah sama ada mereka melihat aku atau tidak, sebab tiada apa yang menarik untuk melihat aku. Adakalanya memang terasa seperti ada mata yang sengaja mahu melihat pergerakan aku ini. Kekok jadinya, mati langkah dibuatnya.

Lebih-lebih lagi bila ada sesuatu yang jarang dapat aku lihat, aku ingin untuk melihat. Bila melihat wanita cantik tubuh badannya, aku pasti melihat. Bila melihat pelanggaran kereta di jalanan, aku juga ingin melihat nombor keretanya. Bila aku lihat orang lain melihat ke satu arah dengan penuh pertanyaan atau keasyikkan, aku juga melihat ke arah yang sama. Bila aku lihat, kawan yang berselera makan, aku juga jadi berselera makan. Bila aku bosan di jalanan, aku melihat manusia yang sibuk dengan urusan masing-masing.

Aku melihat apa yang hendak aku lihat. Masalah aku cuma satu, aku tak nampak apa yang aku lihat.

Provokasi












Kam : Apasal kau suka-suka je tepuk kepala aku?

Bing : Suka akulah...

Kam : Suka-suka kau ea..

Bing : Suka hati aku la nak buat apa!

Kam : Kau pikir kau punya suka je, aku punya suka nak campak mana?

Bing : Suka kau lah nak campak mana pun...

Kam : (menghayunkan buku lima ke Bing)..

Wednesday, October 21, 2009

Betulkan diri dulu.

Setiap kali membuat permohonan lesen papan tanda perniagaan, aku mesti rujuk dahulu dengan pihak DBKL. Dari dahulu sehingga kini sentiasa ada sahaja perubahan syarat yang dikenakan; terutama penggunaan bahasa Malaysia. Wajib mempamerkan dalam perkataan jenis perniagaan seperti 'Kedai pakaian', 'Restoran', Pusat servis kenderaan' atau sebagainya dalam bahasa Malaysia dengan ukuran yang besar dari bahasa lain. Fungsinya ialah mudah untuk pengguna mencari kedai atau perkhidmatan yang ditawarkan. Adakala nama syarikat tidak mencerminkan jenis perniagaan.



Perkataan 'Institut Memandu' wajib lebih besar dari ukuran perkataan lain.



Begitu juga dengan perkataan 'Pejabat Urusan'.

Aku tidak ada masalah dengan fungsi sebegitu. Yang aku tidak mengerti mengapa pihak DBKL tidak menetapkan satu aras mengenai ukuran tersebut. Ianya cuma mengatakan, jika perkataan bahasa Malaysia berukuran tinggi 9 inci, maka perkataan lain, apa jua jenis bahasa, ukurannya hendaklah kurang dari 9 inci. Cuba ditetapkan ukuran itu seperti 1/6 dari ketinggian papan tanda yang hendak dipamerkan. Contoh, papan tanda yang berukuran tinggi 48 inci akan mempunyai ketinggian perkataan bahasa Malaysia setinggi 8 inci. Bagi papan tanda yang berukuran tinggi 24 inci, ketinggian perkataan bahasa Malaysia akan menjadi setinggi 4 inci. Oleh yang sedemikian, haruslah ukuran bagi perkataan berbahasa lain seperti Cina, Tamil atau Inggeris diseimbangkan dengan keluasan papan tanda tersebut tetapi mewajibkan nama syarikat atau jenama dalam tulisan rumi juga dipamerkan walau tidak besar sekadar dapat membaca dari jarak 6 meter.



Tokyo, Jepun.

Segelintir peniaga, mendaftarkan atau menggunakan nama jenama yang pendek. Ini akan menimbulkan kesukaran bagi pembuat papan tanda untuk mengimbangi ruang kosong papan tanda. Sukar juga untuk menghasilkan satu papan tanda yang penuh kreatif atau untuk bermain dengan jenis tulisan (fonts). Lihat sahaja papan tanda yang ada di premis perniagaan di sekeliling kita. Rupa, ukuran dan warna kelihatan tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Yang membezakan pun cuma yang berlampu atau tidak berlampu. Tapi lihatlah papan tanda di negara lain, Jepun, Perancis, Amerika Syarikat atau di Eropah. Ini kerana mereka menghargai seni dan kreativiti tetapi masih tidak menafikan bahasa ibunda masing-masing.



Times Square, New York.

Malahan peraturan atau undang-undang kecil ini tidak seragam di antara majlis perbandaran atau pihak bandaraya yang lain. Adakala MPAJ membenarkan sesuatu tetapi tidak dengan DBKL mahupun MBSA atau MPKj. Ada yang ini boleh, yang itu tidak boleh. Yang ini tak boleh tapi yang itu boleh. Macam mana?

Kalau undang-undang dan peraturan pun tidak boleh disatukan, tidak boleh diselaraskan, bagaimana hendak menyatupadukan rakyat untuk 1Malaysia?



Seandainya rekabentuk papan tanda ini digunakan, pastilah permohonan lesen papan tanda akan di tolak mentah-mentah bila sampai di meja kaunter DBKL.




Sebaliknya jika ini rekabentuknya, pasti kelulusan lesen akan diberikan.
Jika anda pemilik perniagaan, rekabentuk papan tanda manakah yang anda inginkan?
Tapi ingat...! Selera dan minat anda mesti selaras dan sama dengan undang-undang..!

Tuesday, October 20, 2009

Mana menghilang?

Sejak hari Jumaat
puas aku mendengar
nada dering telefon dia
tidak berangkat
dengan kata lain
tidak menjawab

kerisauan ada
berbagai-bagai yang mula
bermain di agakan akal

dia ni kemalangan ke
dah melambung dalam gaung
tiada manusia yang jumpa

atau tidak kena masa
aku membuat panggilan

tapi sudah dua hari
tidak berjawab panggilan
bukan lagi teka-teki
dah kira teka silangkata

telefon aku berdering
terpapar namanya di skrin
tapi beza suara di hujung talian
dia sekarang tiada

tiada?
kemana?
aku menyoal

kena tangkap
IPD Kajang sekarang
bantu siasatan katanya
kes pecah pejabat
tempat kerja lama



Monday, October 19, 2009

Makan..makan dan makan..


Tuan rumah. Baju merah, adik aku Linda dan baju putih, suaminya, Nazreen.


Kawan baik aku dari Johor Bahru, sejak zaman sekolah lagi, Atuk. Mulanya dia hendak ke Kuala Lumpur, berjalan. Yelah.. Kesepian dan kesunyian, isteri dah lari balik England. Hahaha... cian kau Tuk.. Sebab itu aku mengajaknya untuk datang ke Melaka. Sebelah, P.A dia, orang harapan melaksanakan kerja-kerja.


Atas kiri, mem besar, mak aku. Dah makan duduk bersandarlah. Yang tengah, Sarah memangku Nadriah. Kanan, antara tetamu, jiran-jiran yang hadir.

Linda buat banyak juga hidangan, nasi kerabu serta ulam-ulamanya, telur masin, ikan goreng, nasi tomato, rendang ayam, ayam masak merah, lontong jawa, nasi impit, sambal goreng jawa, kuah lodeh dan satay.
(Aku sampai je, tak pandang kiri kanan terus senduk nasi tomato, rendang ayam dan sambal goreng).


Menariknya, rumah terbuka untuk meraikan Syawal, buat hari perayaan Deepavali. Tetamu dan jiran semuanya berbangsa asing, Cina, Jepun, Filipina, Eropah kecuali kami sekeluarga dan kawan rapat. Kejiranan Linda ramai expatriate yang menetap. Malah Presiden Honda di Alor Gajah juga menetap di sini. (Dah bodek nak accord sebiji, tak dapek...)

Friday, October 16, 2009

Nur Kasih.


Drama Nur Kasih nyata memberi sedikit perbezaan penilaian aku terhadap drama melayu. Aku memanglah tidak tahu menahu langsung tentang apa itu tanggungjawab penerbitan atau pengarahan. Nur kasih memberi sesuatu yang amat berbeza pada aku sebagai penonton semata.

Jalan cerita atau plot cerita itu bukan masalah aku. Itu cuma bahan untuk menghasilkan cerita, begitu juga dengan para pelakonnya yang aku mesti beri pujian dan sungguh hebat. Aidil atau Sarah... aku memilih Aidil. Amat berbeza dengan lakonan-lakonannya sebelum ini.

Sesuatu yang meyeronokkan aku menonton drama ini ada perbezaan dari sudut kamera, pencahayaan dan warna dan sesuatu yang paling menarik, aku tak tahu ianya digelar apa. Mungkinkah penataan seni? Aku gemar melihat sesuatu latar yang dipertonjolkan amat menarik dan berseni. Tanggungjawab siapakah itu?

Antara lain aku suka cara permainan cahaya dalam drama ini. Kelihatannya sungguh realiti dalam kehidupan di samping sentuhan seni yang sedikit pun mampu memberi ianya satu gambaran penuh pengkaryaan di tangan pengarah seninya. Kalau budak fotogafi, mereka gelarkan 'available lights'. Wujud segala bayang yang memperlihatkan realitinya, ada logiknya mengikut persekitaran, suasana dan lokasi. Tidak seperti drama-drama yang lain, mana kelihatan pencahayaan yang terlalu terang. Malah jika ada lampu bilik tidur, lampu itu wajib dibuka walaupun tika waktu siang atau sudah memadai terangnya. Habis segala lampu dinyalakan.

Andai drama ini dicalonkan di Anugerah Skrin dan bisa menggondol pelbagai anugerah, aku fikir amat-amat berbaloi. Lebih-lebih lagi menerima campur tangan dari salah seorang keluarga Punjabi, Ram Punjabi (kalau tak salah) yang memang akrab dengan sinetron di Indonesia. Syabas buat produksi yang mendukung Nur Kasih.

Raflesia Beauty Salon


Kerja : Menukar muka papan tanda lama ke yang baru berukuran 8 kaki lebar dan 2 kaki tinggi.

Sebutharga : RM200.00 seunit.

Lokasi : Pusat Penjaja DBKL, Jalan Usahawan, Setapak.




Cadangan rekabentuk untuk papan tanda niaga Raflesia Beauty Salon.
Menggunakan bahan polycarbonate 6mm putih jenis Maklon dan inkjet 1200dpi di atas gloss stiker.

Cerita makan lagi.

Rumah terbuka pasangan Latif & Noni di Hulu Langat, dimulakan dengan doa selamat dan kesyukuran bersempena hari ulangtahun putera sulungnya Amir. Dijemput juga seluruh rakan pelajar Amir meraikannya.



Selesai sudah witir dan doa. Sedekah tuan rumah disempurnakan para tetamu.



Kemeriahan dan kemesraan antara tetamu hangat dalam dingin selepas hujan yang turun mencurah petang tadi. Keriuhan perbualan yang menyentuh pelbagai aspek jelas mereka sedang mempelajari sesuatu antara satu sama lain. Yang mana lama tidak bersua, panjanglah cerita-ceritinya berselang tingkah gelak tawa.



Ikan baung salai masak asam tempoyak.

Lauk-pauk sememangnya menyelerakan lebih-lebih lagi kelaparan dalam kedinginan hujan. Ayam masak merah, daging dengan masakan karinya, sayur goreng, ikan talapia goreng, ikan masin, ulam-ulaman dan sambal belacan sudah pasti rambang selera ini untuk menikmatinya. Tapi satu masakan ini memang jarang boleh didapati di kedai makan; ikan baung salai masak asam tempoyak. Aku menyenduk seekor baung ke pinggan bertemankan lauk-pauk yang lain. Ikutkan nafsu perut memang payah hendak aku berhenti. Sedangkan ribut taufan ada redanya. Begitu jugalah aku walau aku berterusan mencicipkan lidah menikmati keenakan masakan itu. Lagipun, sedap hanya di tekak.

Selepas puas dalam tidak kerelaan... hahaha... aku melarikan diri, berdiri jauh...
Ku pujukkan rasa tekak lalu menyalakan sebatang rokok; mematikan selera yang masih membuak-buak. Asap rokok berhambur mengikut nafas helaan aku yang kekenyangan. Menderu, menipis lalu hilang dalam udara tebal kedinginan.



Bila tiba dan saatnya, jabat salam di hulur kepada tuan rumah. Mengucapkan terima kasih dan meminta izin mengundur diri. Dalam pada itu, pujian masakan diluahkan tanda penghargaan.