Halaman

Monday, July 19, 2010

Resipi hujung minggu.

Jalan-jalan di pasar di pagi minggu boleh membuatkan aku teruja untuk mencari sesuatu untuk dijadikan hidangan istimewa hujung minggu. Puas aku melilau, ikan kembung, pari, ikan cencaru atau ikan parang bergelimpangan menjadi jualan. Sedap juga kalau dapat terubuk buat ikan bakar yang di cecah asam limau. Nasi panas dengan sambal belacan berulamkan petai. Namun aku buntu untuk mencari sesuatu yang istimewa.

Akhirnya, dapatlah aku sesuatu yang amat istimewa dan sememangnya belum pernah menjadi hidangan aku. Untuk mempelbagaikan menu hidangan aku di hujung minggu, aku ingin sekali mencuba. mencuba sesuatu masakan yang biasa tetapi pengisiannya sahaja yang amat berlainan dari ikan atau ayam.


Rasanya kalau disalai kemudian masak lemak cili api, selera tak?






Cadangan masakan lain?

Asam pedas

Sup campur sayur

Rendang minang

Masak tiga rasa

Goreng (pun sodap)



Nama*:




Email*:







Create a web form here

Tuesday, July 13, 2010

Borong.

Dalam pemanduan pulang, seorang pelanggan mahu berjumpa aku.

“Tempat biasa. Kul 430.” Aku membaca smsnya.


Aku melihat jam di papan muka kereta menunjukkan waktu 3:30 petang. Awan mendung di horizon, gelap berarak perlahan. Perasaan gusar menyinggah bila teringatkan baju seluar di ampaian. Jalan raya tidak begitu sesak lagi, masih awal. Aku tiba di tempat yang di maksudkan 15 minit selepas itu.


Sementara menanti waktu, aku menuju ke sebuah kedai majalah. Aku membeli sekotak rokok. Puntung terakhir aku lentingkan tadi di Cheras Perdana, 60 minit lalu. Aku menyusuri kaunter-kaunter pembayaran. Tidak ramai manusia. Aku melabuhkan punggung di sebuah kerusi yang di sediakan sementara menanti waktu tiba. Sejukkan badan. Bersandar sambil memerhatikan manusia dengan urusan masing-masing.

Mataku terpana pada satu kaunter yang berhampiran. Aku lihat seorang wanita melambakkan banyak botol pencuci tandas di atas kaunter bayaran. Berbotol-botol. Aku tidak dapat mencuri pandang ke arah trolinya, terselindung dengan rak berhampiran kaunter bayaran. Kemudian dilambakkan berbotol-botol pencuci lantai dan diikuti dengan berbeg-beg serbuk pencuci baju.

“Banyaknya beli. Nak buat apa ni? Pelik gak ni… Ada potongan harga hebatkah?” tersergam persoalan di benak aku.

Petugas kaunter hanya melakukan imbasan harga tanpa banyak soal bicara. Tidak tertanyakah dia di dalam hatinya melihat pelanggan membeli sebegitu banyak jenis pencuci? Lumrahkah? Tidak pula bagiku. Seolah semua pasaraya tidak lagi dibuka kelak. Atau adakah dia ingin membuat letupan buatan sendiri?

Mataku mengekori lenggok wanita itu menolak troli. Aku bingkas bangun dan mengekori. Wanita muda dalam lingkungan umur 30an terus menolak trolinya menuju ke arah kaunter Pusat Khidmat Pelanggan. Tiada yang aneh pada wanita itu tetapi pembeliannya menjadi persoalan. Aku pula lagak bagai ‘house detective’ yang memerhati gerak-geri pelanggan.

Seketika aku lihat dia menuju ke Pusat Khidmat Pelanggan , aku nampak ada beberapa troli yang penuh dengan muatan pembelian. Aku lihat lampin pakai buang bayi dalam kuantiti yang banyak, beberapa batang penyapu dan mop lantai. Snek, makanan ringan, makanan dalam tin dan keperluan dapur termuat dalam beberapa troli yang berasingan tetapi disusun baik di tepi kaunter Pusat Khidmat Pelanggan.

Aku mendekati troli-troli yang disusun. Berpura untuk ke tandas. Aku mengira ada lapan troli semuanya sarat dengan barangan belian. Satu jenis produk dalam kuantiti yang banyak. Bukan kebiasaan orang kita membelinya. Ya, Seolah pasaraya ini sudah tidak dibuka lagi esok. Atau ada kenaikan harga esok hari. Awalnya aku mengandaikan wanita itu baru berpindah rumah dan membeli keperluan mencuci yang banyak untuk mencuci rumah baru. Tetapi bila aku melihat barang-barang yang dimuatkan dalam troli, andaianku meneroka lebih jauh. Mereka duduk serumah dengan ahli keluarga yang besar barangkali.

Dari dekat aku melihat beberapa bungkus makanan kucing dan anjing. Berbotol-botol air minuman bersoda dari pelbagai perisa. Tuala wanita juga hampir sebungkus penuh beg plastik. Tisu tandas berpikul-pikul. Duabelas beg serbuk pencuci pakaian yang seberat tiga kilogram setiap beg termuat dalam satu troli. Enam botol minyak masak yang seberat lima kilogram tiap satu. Beberapa barangan yang berbungkus dengan kertas yang aku kira adalah barangan buatan seramik atau kaca seperti gelas, pinggan, mangkuk dan mug minuman.

Beberapa pelanggan atau pengunjung yang lain juga akan memaling muka pada kumpulan troli yang termuat dengan banyak barangan keperluan hidup. Wanita tadi dengan seorang anak muda kelihatan seperti menanti. Mereka memeriksa barangan di dalam troli seperti memastikan semua barangan diperlukan sudah dibeli. Datang seorang lelaki agak baya menolak satu troli menghampiri. Penuh dengan makanan ringan dari pelbagai jenis dan perisa.

Kemudian tiba pula seorang lagi lelaki muda menolak troli penuh dengan pelbagai jenis makanan beku pula. Apa yang tiada dalam troli itu. Aku fikir dia menyambar dari setiap peti dingin yang mempamerkan barangan beku. Daging burger, frankfurter, kentang goreng, nugget, bebola ikan, bebola sotong, bebola ketam, roti canai segera, popia segera dan pelabagai makanan yang sedia dimasak untuk dimakan. Hebat! Memang hebat! Entahlah berapa banyak jumlah yang perlu dibayar.

Seketika datang pula seorang petugas lelaki muda bertali leher mewakili pasaraya, pegawai atasan barangkali, membawa beberapa pekerja amnya untuk membantu menolak troli-troli tersebut ke kenderaan barangkali. Aku sudah terfikir, ini memerlukan lori! Lelaki yang agak baya tadi menghulurkan salam pada pegawai muda yang mesra itu. Raut muka pegawai muda itu juga kelihatan kaget dengan jumlah troli di hadapannya. Andailah belian ini ada komisen, mewah. Mungkin itu yang terlintas dalam fikiran pegawai muda.

Sekumpulan pekerja dan pegawai muda tadi beratur menolak troli menuju ke pintu keluar utama. Aku mengekori jauh. Mereka berkumpul di luar pintu keluar seperti menanti pengangkutan tiba. Aku lihat sebuah kereta sedan datang menghampiri perlahan dan berhenti di hadapan kumpulan troli tadi. Kelihatan pula pegawai muda menahankan sebuah teksi bersama seorang lelaki muda pelanggannya.

Dua buah teksi berhenti di belakang kereta sedan yang bernombor pendaftaran dari negeri utara. Semua barangan tersebut dipunggah masuk, sebahagian dimuatkan ke tempat muatan kereta sedan dan selebihnya ke dalam dua buah teksi. Tidak semua barangan mampu dimuatkan di bahagian barang, sebahagian terpaksa diletakkan di bahagian kerusi belakang. Kereta sedan, dipandu oleh lelaki yang separuh usia itu. Setiap satu teksi dinaiki oleh seorang lelaki muda. Wanita muda yang aku ekori awal tadi dan seorang lagi kanak-kanak menaiki teksi lain yang ditahan lewat tadi. Mereka meluncur pergi. Pelbagai persoalan pula yang menerpa di benak ini. Datangnya tadi mungkin satu kereta, pulangnya pula berasingan kereta.

Aku melihat waktu di telefon bimbit.

1630.

Aku melangkah menuju ke restoran mamak di hujung sana sambil menyalakan sebatang rokok. Aku menghembus asap rokok lalu dibawa oleh angin dingin selepas hujan. Aku biarkan persoalan tadi berlalu dan cuma satu singgah di benakku, Nescafe O panas!


Apakah tujuan mereka, kalian fikir? Bersedia menghadapi bencana

Dikenakan tahanan rumah

Agih ke rumah kebajikan

Memulakan perniagaan runcit

Lain-lain
Nyatakan
Nama:
Email:

Friday, July 9, 2010

Berjumpa Perdana Menteri.

Aku bekerja duduk di meja. Meja empat kaki kali enam kaki berwarna kelabu. Tiada laci hanya rak meja di bawah di penuhi kertas putih dan sampul surat berwarna putih.

Hadapan aku rakan sekerja perempuan. Selalu dia mengambil hati dengan gurauan. Sebelah aku juga rakan kerja perempuan yang punya pangkat dan kelebihan. Berambut pendek ala Lucille Ball. Dari dia aku diberi peluang. Membontoti dia berjumpa perdana menteri.

Kamar kerja perdana menteri hanya sekangkang kera dari meja aku. Di bahagian belakang. Tidak semua mampu menguak daun pintu untuk bertentang mata perdana menteri. Dia melangkah masuk dahulu dan pintu terkatup semula. Aku menunggu. Terkuak pintu dibuka semula. Aku melangkah masuk.

Aku nampak perdana menteri duduk leka di meja. Membelek kertas usul barangkali. Mejanya panjang sepuluh kaki kali lima kaki anggaranku. Aku menegur dengan salam kepada perdana menteri seraya menghampiri. Baru mendekati rakan kerja menghulurkan panggilan telefon kepadaku.

Panggilan dari orang tua perempuanku meluahkan persoalan. Aku terfikir sejenak. Mengapa tidak menelefon ke telefon bimbitku yang tersisip di pinggang. Dari mana dia mendapat nombor telefon rakan sekerja. Aku membiarkan persoalan di benakku berlalu sepi. Aku memendekkan bicara di telefon.



Perdana menteri tersenyum seraya bertanya. Walau matanya tetap kejap di kertas putih yang dibeleknya. Dia memasang telinga mencuri dengar perbualan. Masalahku ditanya secara sinis. Yalah, masalah orang biasa. Tangan kuhulur salam disambut perdana menteri. Kami berbicara.

Seketika perdana menteri bangun mengambil sesuatu. Mengecop di atas beberapa helaian kertas. Kemudian dia mencapai pen lalu menenyeh pula di atas kertas-kertas tadi. Kertas-kertas itu di hulur kepadaku. Aku melihat tandatangannya di beberapa bahagian di atas kertas putih yang dicetak.

Aku mempelawa perdana menteri duduk. Kami berbicara seketika. Dia mengeluh bila permintaan diajukan. Datang seorang pembantunya berbicara sesuatu kepada perdana menteri.

Sementara itu, aku pula yang membelek kertas-kertas putih. Satu lembaran demi satu lembaran. Melihat cop dan tandatangan perdana menteri tercoret di setiap lembaran kertas putih. Hatiku tersenyum sinis.

“Surat permohonan lesen kepada majlis perbandaran guna tandatangan perdana menteri!”

Pastinya kecoh orang majlis perbandaran nanti.

Bersambung bicara dengan perdana menteri. Aku meminta atau nama lain, aku mengambil kesempatan. “Satu keluarga ibu tunggal yang punya ramai anak tinggal di pendalaman sebuah daerah. Kematian suami.” Berat pandangan dari mata perdana menteri kulihat. Seolah memberitahu, tangan ini boleh kuhulur. Tapi dengan apa yang hendak aku hulurkan.

Perdana menteri berdehem kecil. Tangan kuhulur dan salamku disambut. Aku melangkah membontoti sekali lagi rakan sekerjaku.

Aku mengemas meja empat kaki kali enam kaki. Begitu juga rakan sekerjaku tadi. Kertas-kertas tadi aku kemaskan dan susunkan ke dalam lipatan kertas keras berwarna perang. Rakan sekerja hadapan meja bersuara mengusik dengan senyuman. Bila aku membalas gurauan kata. Rautnya masam mencuka berubah. Aku memujuk sambil mencolek hidungnya.

Seketika, aku di dalam kereta bersama rakan kerja meja sebelah. Aku diarah singgah minum petang. Perniagaan masih belum dibuka. Masih terlalu awal barangkali. Aku meneruskan pemanduan.


Nama:
Blog anda:
Email:
Entri ini? Suka  Lucu  Bosan  Sedih

Friday, July 2, 2010

Khayalan menjelma.


SERONOK dapat memiliki kediaman  tersergam berhampiran pantai. Menikmati pemandangan hamparan lautan yang mendamaikan. Bagaimana pula sekiranya kediaman itu terbina di atas laut, 2 batu nautika dari pantai? Lagi seronok. Mandi laut? Terjun sahaja dari bilik. Boleh tambat jet ski atau kayak bawa rumah. Bosan-bosan boleh juga mengail ikan dari jendela kamar. Mungkin asyik melihat matahari terbit atau terbenam. Kamar tidur, ruang tamu  malah kamar mandi juga mahu dihadapkan ke laut.







Bila waktu senggang atau hujung minggu, kelihatan mereka berpusu berkunjung di pantai. Bersantai bersama keluarga atau pasangan masing-masing. Berkongsi menghirup udara nyaman, menikmati pemandangan yang damai atau melarikan diri sebentar dari kesibukkan kota. Berkelah bersama keluarga atau sahabat handai. Atau hanya duduk bersendiri menenangkan fikiran atau mencari ilham memperbaiki tatasusila kehidupan. Namun kita lebih selesa menikmati segala keindahan dan kenikmatan yang mereka nikmati dari rumah milik kita yang berdiri kukuh di laut. Andai tetamu yang hadir di rumah kita pastinya tidak mahu beransur pulang. Segalanya menyeronokkan.


Pada petang yang menceriakan, kita hanya bersandar di sofa empuk dengan warna-warna ceria menenangkan di rumah kelab. Menghabiskan senaskhah novel sambil dibelai bayu laut yang lembut. Yang boleh membuatkan apa sahaja dalam pegangan terlepas kerana terlena tanpa disedari. Tersedar dari lelap yang panjang itu, mengeliatkan badan tanpa silu. Memandang kiri dan kanan dan tersenyum sendirian. Aaaaahhh…! Damainya…



Walau malas, dipaksakan juga diri ini bangkit, melangkah perlahan menuju ke deretan kerusi yang tersusun kemas untuk menikmati secawan kopi panas. Samada mahu duduk bi bawah cahaya matahari petang atau mahu berteduh redup, pilih sahaja. Kemudian, duduk bersandar melihat kosong ke arah ombak yang tidak jemu menghempas pantai. Melihat anak-anak kecil yang berlari riang di pantai sambil mengutip cenkerang-cengkerang yang terdampar di pantai. Atau berlari mengikut anak-anak ketam mencari lubang persembunyian. Melirik pandangan pada sekumpulan anak-anak gadis genit ketawa riang, bergurau-senda sesame mereka. Menumpang bahagia memandang mereka yang berpeluk berpasangan berjalan perlahan di pantai.

“Jauh menung, lama sampai dah?” Satu suara yang entah dari mana datang menganggu fantasi.
“Err.. tak de la. Saja tengok motor tu.. Baru gak sampai. Air pun lum order lagi,” aku menjawab berselindung.
“Elok la tu. Jom, kita pergi jumpa Syed dulu, nanti leh kena kopi kat opis dia,” dia menyarankan.

----------------------------------------------------------------------------------------



Sepang GoldCoast, terletak di persisiran pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor. Kurang seminit pemanduan dari Hotel Sri Malaysia, Sepang. Lokasi peranginan pantai yang paling hampir buat warga Kuala Lumpur selain pantai Port Dickson. Mudahnya, dari Litar Antarabangsa Sepang melalui Bandar Enstek (belok kanan), terus jika dari Nilai/Pajam, menuju ke Sg. Pelek dan terus memandu sehingga persimpangan Pantai Sepang Putra. Membelok ke kiri dan hanya mengikuti jalan utama sehinggalah tiba ke lokasi.


Memenuhi jemputan daripada seorang saudara yang bekerja di sini sebagai tanda sokongan. Jemputan untuk ditawarkan pakej percutian penginapan dan ahli di Sepang GoldCoast. Pakej penginapan hanya dibuka bagi rumah percutian jenis dua bilik, berharga RM8,800.00 dan diberikan penginapan 8 hari 7 malam percuma termasuk sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Diskaun diberikan untuk perkhidmatan spa, sauna dan urut manakala penggunaan gimnasium adalah percuma! Sebagai bandingan bayaran bagi bukan ahli (walk-in guest) bagi kediaman 2 bilik ini adalah RM500.00++ seorang dan tidak termasuk makan minum yang lebih kurang berharga RM250.00++ seorang.

Pemandangan dari rumah kelab.

Tawaran pakej percutian ini yang digelar ‘Pakej percubaan setahun’ hanya sehingga hari pembukaan iaitu pada 1 Julai 2010. Selepas tarikh ini, individu yang ingin menjadi ahli dan menikmati percutian mewah ala Carribean berserta keistimewaan dan faedah yang lain, berharga RM45,000 untuk 25 tahun. (jika benar ingatan aku lah, maklumlah dah tua.) Bagi kakitangan awam, ada pinjaman yang ditawarkan atau kalian juga boleh menbayar dengan menggunakan kad kredit.

Kolam renang dengan pemandangan infiniti.





Nama:
Blog anda:
Email:
Entri ini? Suka  Lucu  Bosan  Sedih