Halaman

Tuesday, July 13, 2010

Borong.

Dalam pemanduan pulang, seorang pelanggan mahu berjumpa aku.

“Tempat biasa. Kul 430.” Aku membaca smsnya.


Aku melihat jam di papan muka kereta menunjukkan waktu 3:30 petang. Awan mendung di horizon, gelap berarak perlahan. Perasaan gusar menyinggah bila teringatkan baju seluar di ampaian. Jalan raya tidak begitu sesak lagi, masih awal. Aku tiba di tempat yang di maksudkan 15 minit selepas itu.


Sementara menanti waktu, aku menuju ke sebuah kedai majalah. Aku membeli sekotak rokok. Puntung terakhir aku lentingkan tadi di Cheras Perdana, 60 minit lalu. Aku menyusuri kaunter-kaunter pembayaran. Tidak ramai manusia. Aku melabuhkan punggung di sebuah kerusi yang di sediakan sementara menanti waktu tiba. Sejukkan badan. Bersandar sambil memerhatikan manusia dengan urusan masing-masing.

Mataku terpana pada satu kaunter yang berhampiran. Aku lihat seorang wanita melambakkan banyak botol pencuci tandas di atas kaunter bayaran. Berbotol-botol. Aku tidak dapat mencuri pandang ke arah trolinya, terselindung dengan rak berhampiran kaunter bayaran. Kemudian dilambakkan berbotol-botol pencuci lantai dan diikuti dengan berbeg-beg serbuk pencuci baju.

“Banyaknya beli. Nak buat apa ni? Pelik gak ni… Ada potongan harga hebatkah?” tersergam persoalan di benak aku.

Petugas kaunter hanya melakukan imbasan harga tanpa banyak soal bicara. Tidak tertanyakah dia di dalam hatinya melihat pelanggan membeli sebegitu banyak jenis pencuci? Lumrahkah? Tidak pula bagiku. Seolah semua pasaraya tidak lagi dibuka kelak. Atau adakah dia ingin membuat letupan buatan sendiri?

Mataku mengekori lenggok wanita itu menolak troli. Aku bingkas bangun dan mengekori. Wanita muda dalam lingkungan umur 30an terus menolak trolinya menuju ke arah kaunter Pusat Khidmat Pelanggan. Tiada yang aneh pada wanita itu tetapi pembeliannya menjadi persoalan. Aku pula lagak bagai ‘house detective’ yang memerhati gerak-geri pelanggan.

Seketika aku lihat dia menuju ke Pusat Khidmat Pelanggan , aku nampak ada beberapa troli yang penuh dengan muatan pembelian. Aku lihat lampin pakai buang bayi dalam kuantiti yang banyak, beberapa batang penyapu dan mop lantai. Snek, makanan ringan, makanan dalam tin dan keperluan dapur termuat dalam beberapa troli yang berasingan tetapi disusun baik di tepi kaunter Pusat Khidmat Pelanggan.

Aku mendekati troli-troli yang disusun. Berpura untuk ke tandas. Aku mengira ada lapan troli semuanya sarat dengan barangan belian. Satu jenis produk dalam kuantiti yang banyak. Bukan kebiasaan orang kita membelinya. Ya, Seolah pasaraya ini sudah tidak dibuka lagi esok. Atau ada kenaikan harga esok hari. Awalnya aku mengandaikan wanita itu baru berpindah rumah dan membeli keperluan mencuci yang banyak untuk mencuci rumah baru. Tetapi bila aku melihat barang-barang yang dimuatkan dalam troli, andaianku meneroka lebih jauh. Mereka duduk serumah dengan ahli keluarga yang besar barangkali.

Dari dekat aku melihat beberapa bungkus makanan kucing dan anjing. Berbotol-botol air minuman bersoda dari pelbagai perisa. Tuala wanita juga hampir sebungkus penuh beg plastik. Tisu tandas berpikul-pikul. Duabelas beg serbuk pencuci pakaian yang seberat tiga kilogram setiap beg termuat dalam satu troli. Enam botol minyak masak yang seberat lima kilogram tiap satu. Beberapa barangan yang berbungkus dengan kertas yang aku kira adalah barangan buatan seramik atau kaca seperti gelas, pinggan, mangkuk dan mug minuman.

Beberapa pelanggan atau pengunjung yang lain juga akan memaling muka pada kumpulan troli yang termuat dengan banyak barangan keperluan hidup. Wanita tadi dengan seorang anak muda kelihatan seperti menanti. Mereka memeriksa barangan di dalam troli seperti memastikan semua barangan diperlukan sudah dibeli. Datang seorang lelaki agak baya menolak satu troli menghampiri. Penuh dengan makanan ringan dari pelbagai jenis dan perisa.

Kemudian tiba pula seorang lagi lelaki muda menolak troli penuh dengan pelbagai jenis makanan beku pula. Apa yang tiada dalam troli itu. Aku fikir dia menyambar dari setiap peti dingin yang mempamerkan barangan beku. Daging burger, frankfurter, kentang goreng, nugget, bebola ikan, bebola sotong, bebola ketam, roti canai segera, popia segera dan pelabagai makanan yang sedia dimasak untuk dimakan. Hebat! Memang hebat! Entahlah berapa banyak jumlah yang perlu dibayar.

Seketika datang pula seorang petugas lelaki muda bertali leher mewakili pasaraya, pegawai atasan barangkali, membawa beberapa pekerja amnya untuk membantu menolak troli-troli tersebut ke kenderaan barangkali. Aku sudah terfikir, ini memerlukan lori! Lelaki yang agak baya tadi menghulurkan salam pada pegawai muda yang mesra itu. Raut muka pegawai muda itu juga kelihatan kaget dengan jumlah troli di hadapannya. Andailah belian ini ada komisen, mewah. Mungkin itu yang terlintas dalam fikiran pegawai muda.

Sekumpulan pekerja dan pegawai muda tadi beratur menolak troli menuju ke pintu keluar utama. Aku mengekori jauh. Mereka berkumpul di luar pintu keluar seperti menanti pengangkutan tiba. Aku lihat sebuah kereta sedan datang menghampiri perlahan dan berhenti di hadapan kumpulan troli tadi. Kelihatan pula pegawai muda menahankan sebuah teksi bersama seorang lelaki muda pelanggannya.

Dua buah teksi berhenti di belakang kereta sedan yang bernombor pendaftaran dari negeri utara. Semua barangan tersebut dipunggah masuk, sebahagian dimuatkan ke tempat muatan kereta sedan dan selebihnya ke dalam dua buah teksi. Tidak semua barangan mampu dimuatkan di bahagian barang, sebahagian terpaksa diletakkan di bahagian kerusi belakang. Kereta sedan, dipandu oleh lelaki yang separuh usia itu. Setiap satu teksi dinaiki oleh seorang lelaki muda. Wanita muda yang aku ekori awal tadi dan seorang lagi kanak-kanak menaiki teksi lain yang ditahan lewat tadi. Mereka meluncur pergi. Pelbagai persoalan pula yang menerpa di benak ini. Datangnya tadi mungkin satu kereta, pulangnya pula berasingan kereta.

Aku melihat waktu di telefon bimbit.

1630.

Aku melangkah menuju ke restoran mamak di hujung sana sambil menyalakan sebatang rokok. Aku menghembus asap rokok lalu dibawa oleh angin dingin selepas hujan. Aku biarkan persoalan tadi berlalu dan cuma satu singgah di benakku, Nescafe O panas!


Apakah tujuan mereka, kalian fikir? Bersedia menghadapi bencana

Dikenakan tahanan rumah

Agih ke rumah kebajikan

Memulakan perniagaan runcit

Lain-lain
Nyatakan
Nama:
Email:

No comments:

Post a Comment