Halaman

Wednesday, October 13, 2010

Cameron Highlands.

Ini kali pertama aku ke Cameron Highlands melalui Simpang Pulai. Laluannya lebih baik dan bagus dari melalui persimpangan Tapah yang lebih berliku dan permukaan jalan raya yang tidak sekata. Cuma dari persimpangan keluar Tapah kita akan melalui kawasan air terjun, Lata Iskandar dan seterusnya melalui Ringlet dan Tanah Rata. Melalui persimpangan keluar Simpang Pulai kita melalui Kg. Raja dan seterusnya memasuki persimpangan ke Berinchang. Melalui Kg. Raja kita akan melihat beberapa pondok jualan hasil hutan seperti rebung atau petai oleh penduduk orang Asli di bahu jalan raya.


Bertolak dari Kuala Lumpur pada jam lebih kurang 12:00 tengahari, kami tiba di Hotel Equatorial di Berinchang jam lebih kurang 5:00 petang. Masih terasa lagi kesejukkan udara tanah tinggi terutama apabila angin bertiup menyapa tubuh. Dibandingkan pada tahun 80an, kedinginannya tidaklah seberapa yang bisa buat kita mengigil kesejukkan, yang memerlukan kita memakai baju panas. Namun masih kelihatan kabus menyeliputi dada hutan yang segar menghijau.


Malam kami keluar mengunjungi medan selera di Tanah Rata dan menikmati satay daging dan ayam. Sekadar mengalas perut kerana kami ingin berbelanja makanan di pasar malam. Kebanyakkan jualan adalah dari hasil strawberi, sayur-sayuran, jagung bakar, segala jenis bunga-bungaan dan barangan cenderamata bermotifkan strawberi. Tiada keropok lekor di pasar malam di Cameron Highlands! Aku membeli satu pek udang goreng bersalut tepung, RM10.00 dan 4 ketul ayam percik, RM6.00 untuk satu bahagian ayam. Anak-anak lebih cenderung memborong dan menikmati strawberi yang dicelup coklat panas atau sejuk, RM2.00 secucuk atau RM5.00 untuk tiga cucuk.


Gahnya Cameron Highlands adalah kerana penanaman strawberi, kesegaran sayur-sayuran dan kehidupan flora yang menyegarkan. Penjualan pokok-pokok kaktus lebih banyak di sini. Terkini para pemilik kebun strawberi menawarkan kita memetik sendiri buah strawberi jika kena pada musim tuaian. Dengan membayar deposit RM20.00 seorang, kita boleh memetik buah strawberi sehingga pada satu berat yang dibenarkan. Jika tidak lupa ingatan, 200 gram seorang, andai buah strawberi yang dipetik melebihi berat yang dibenarkan, bayaran tambahan akan dikenakan.


Pada hari kedua, rancangannya adalah untuk memetik buah strawberi di sebuah kebun di Taman Sedia, Tanah Rata tetapi kerana cuti Hari Raya Aidil Fitri, agaknya, maka perniagaan ditutup untuk pengunjung. Alang-alang sudah berada di Tanah Rata, kami meneruskan perjalanan mengunjung ladang teh Bharat. Sekadar mengunjung dan merakam gambar, kami ke pekan Tanah Rata untuk makan tengahari. Hujan turun mencurah ketika kami menjamu selera.

Kami merancang untuk ke ladang teh Boh di Sg. Palas tetapi disebabkan halangan hujan dan menyinggah di pusat jualan kaktus, ladang teh Boh di Sg. Palas telah ditutup pada jam 4:40 petang. Kami berada di persimpangan jam 5:00 petang. Kami mula berbincang untuk mengunjungi ladang strawberi Raja tetapi hasrat dibatalkan oleh suara majoriti dan hanya membeli strawberi di pasar berdekatan.

Kesimpulannya pada percutian ini, aku yang sudah beberapa kali menjejak kaki di sini tiadalah apa yang istimewa selain keenakkan udang goreng tepung. Bagi anak-anak, memberi pengalaman menikmati hawa sejuk tanah tinggi dan melihat ladang teh dan kebun strawberi secara dekat.



blog

Mercyful Fate - The Witches Dance