Halaman

Thursday, May 30, 2013

Bikers Kental!


Dari pengarah sinematografi, beralih duduk pula di kerusi pengarahan. Lebih-lebih lagi pengalaman di belakang tabir pastinya membuatkan Helmi Yusof membuak-buak untuk menerapkan dua pengalaman beliau ke layar perak.  Maka terhasillah ‘Bikers Kental’. Mempertaruhkan Zizan dari segi komedi dan Awie yang umum mengetahui keperibadian beliau sebagai pelakon dan penyanyi rock tersohor dan terlibat dalam dunia permotoran sebagai biker!

Aku bukan biker dan pastinya bikers di luar juga hampa dengan filem ini. Dari segi komedi atau kelucuan, ianya berjaya. Dari jalan cerita, aku katakan, gagal! Tidak mengapa. Ini merupakan filem pertama di Malaysia yang mengetengahkan dunia bikers! Baru bertatih takkan nak terus berlari, kan? Mesti ada langkah pertama dulu. Syabas dan tahniah buat Helmi Yusof dan tenaga produksi!

Mulanya aku menonton promo ‘Bikers Kental’ satu saluran di Astro. Alamak! Macam.., bosannya..!  Kemudian aku membaca artikel mengenai Helmi Yusof di akhbar. Aku membulatkan tekad untuk menonton di pawagam. Menyaksikan sendiri apa yang diperkatakan dalam akhbar.

Sememangnya hambar! Jika tidak kerana komedinya, filem ini hanya berlegar di sekelumit memori manusia. Mungkin sepuluh tahun akan datang, ada orang bertanya, Helmi Yusof pernah direct cerita wayang ke? Tapi pasti kerana azam dan obses beliau terhadap dunia biker ini tidak melemahkan semangat beliau. Ranjau berliku untuk membuat filem ini pastinya beliau lebih arif. Ini juga tidak melunturkan iltizam beliau.Terdorong untuk menjadi pengarah pertama filem biker, mungkin tajaan dari pihak Aprillia dan pihak lain serta kesempatan ‘Bikers Week’ di Krabi, filem ini dihasilkan secara terburu-buru, benar?

Aku tak jelas siapa yang kena tembak. Mengapa ditembak dan penjenayah hanya meneropong dari jauh?  Bidin terserempak dengan mangsa tembakan. Keliru dengan keputusannya barangkali di tempat kejadian, lebih-lebih lagi bila Bidin melihat duit yang banyak di dalam sebuah beg. Bidin ingin berlaku jujur tetapi bila posternya disisi motosikal besar terjatuh membuatkan Bidin gelap mata lantas mengutamakan nafsunya sendiri untuk memiliki sendiri sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Sepatutnya babak ini boleh dilakukan dengan lebih terperinci dan lebih aksi daripada babak yang berkisar di tempat kerja Bidin yang tidak mengarah ke mana-mana selain untuk menunjukkan obses Bidin untuk memiliki motor berkuasa tinggi dan kaitannya dengan majikannya. Kemudian? Babak Bidin meminta cuti? Alamak.. pasti boleh buat lebih baik lagi. Tak perlu pun tak mengapa.  Aduhai..!

Masakan Bidin terlepas dari pemerhatian pihak polis yang membuat siasatan di tempat kejadian. Di sini boleh dipanjangkan usaha polis untuk menjejaki penjenayah. Ini, orang yang ditembak, pulih. Sihat walafiat. Mengekori Bidin sehingga ke Krabi. Apakah kepentingan watak ini? Atau mungkin ada sekuel filem kedua yang akan menjelaskan?

Bila Eddie mencanangkan untuk ke Krabi, aku ingat inilah permulaannya. Aku membayangkan konvoi besar! Dua barisan motosikal berkuasa tinggi beratur sejauh tiga atau empat kilometer akan mendominasi Lebuhraya Utara – Selatan. Jauh panggang dari api!

Hanya mereka berenamkah sahaja yang mengetahui tentang Bikers Week di Krabi? Alangkah bagus jika di tonjolkan mereka berenam ini bergabung dengan bikers lain dari bandar-bandar lain seperti di Ipoh, Butterworth, Alor Setar, Kangar semasa dalam perjalanan. Atau mereka yang berenam ini bergabung dengan kumpulan bikers dari selatan seperti dari Singapura, Johor Bahru, Melaka dan Seremban. Bayangkan deruman motor ini membingitkan gegendang telinga penonton dalam Dolby Stereo?

Kesempatan ini boleh memperlihat dan memperjelaskan segala cabaran dan kesukaran ahli-ahli bikers melakukan konvoi lebih-lebih lagi untuk satu perjalanan yang amat jauh. Bagi yang tidak biasa menunggang motosikal walau dengan Honda EX5, dari Kuala Lumpur ke Seremban boleh menyebabkan kebas kaki dan tangan dan lenguh-lenguh badan.  Inikan pula  menunggang dari Kuala Lumpur ke Krabi yang jauhnya lebih dari 900km. Tapi bagi mereka berenam amat santai menunggang tanpa masalah. Logik sikit la beb! Kata filem, pasti ada dramanya.

Boleh jadi kerosakan motosikal. Terserempak dengan kemalangan atau ahli biker sendiri mengalami kemalangan akibat kecuaian, atas nama mengajar penunggang motosikal lebih berdisplin. Meredah hujan lebat, menunggang pada waktu malam. Atau masalah yang dihadapi oleh penunggang –penunggang motosikal berkuasa tinggi bila berhadapan dengan pemandu kereta yang ego atau pemandu lori kontena. Atau, ditahan oleh pihak berkuasa. Memperlihatkan kesalahan-kesalahan trafik yang patut dielakkan bagi seorang penunggang motosikal. Atau, tonjolkan bagaimana sebuah konvoi diurus dan ditadbir dengan baik. Banyak falsafah dunia bikers yang boleh diterjemahkan dalam filem ini untuk mengupas kekentalan menjadi seorang biker.  Bukan sekadar 3M, motor, minah motor dan masyuk! Atau menunggang keseorang tanpa arah untuk ke Krabi. Atau menerbitkan pilihan antara cinta dan menjadi biker.

Aku pasti Helmi Yusof sendiri sebagai biker pernah mengalami pengalaman sebegini atau dikumpulkan semua maklumat yang berfaedah untuk diterjemahkan di dalam karya ini. Rasanya bukan sedikit kumpulan motosikal berkuasa tinggi di Lembah Klang apatah lagi di Malaysia. Mungkin pihak produksi ingin mengelakkan masalah, kerenah dan cerewet bikers dan tidak berani mengambil risiko untuk menghimpunkan beberapa kumpulan motosikal ini selain tidak punya kesempatan waktu untuk mempelawa bikers lain untuk turut serta memandangkan tarikh kejadian sebenar Bikers Week di Krabi amat hampir. Jadi, tangkap muatlah.

Selebihnya, kalian yang telah menonton Bikers Kental ini pasti mengundang banyak persoalan dan kemudian mengabaikan sahaja kerana tidak ada kaitan dalam kehidupan peribadi. Terpulang pada kalian untuk menerima apa jua mesej dan hiburan dari filem ini. Bagi aku, bila aku menonton atau membaca, aku mencari pengetahuan hal-hal yang tidak bisa aku alami, perkara yang jauh dalam dunia kehidupan aku tetapi boleh sampai kepadaku dengan medium sebegini.

 photo TheEvil.png

Sunday, May 26, 2013

Alahai... Ustaz Azhar Idrus!

 
Ustaz Azhar Idrus dikerumuni oleh para peminatnya. Sesi soal jawab agama...
Opppps..! Tidak! Ini majlis meraikan perkahwinan Ustaz Azhar Idrus dengan isteri ketiga, Khairul Izyan binti Mohamed Amin Khir pada hari Ahad 26 Mei 2013 di belah pengantin perempuan, menyambut menantu - AU1A Taman Keramat Permai.
 Kebiasaan pasangan pengantin akan duduk bersanding di pelamin indah dan duduk makan beradab dengan lauk-pauk yang lazat-lazat tetapi beliau hanya duduk di meja makan tetamu dan diapit oleh isteri pertama dan isteri kedua beliau. Tertunggu juga kemunculan pengantin perempuan....
Pengantin lelaki yang hanya mengenakan jubah berwarna kelabu kebiru-biruan dan hanya meneguk air mineral dan sedikit kuih-muih dihidangkan. Aku tak dapat menunggu lama di majlis. Beberapa permintaan daripada tetamu untuk bergambar bersama-sama pengantin. Aku angkat kaki. Tak sempatlah hendak mengambil gambar pasangan pengantin baru.
Antara tetamu yang hadir merai dan memeriahkan majlis perkahwinan.
Makan beradab yang telah dilaksanakan usainya majlis akad nikah pada sebelah pagi.

SELAMAT PENGANTIN BARU!

 photo TheEvil.png


Friday, May 24, 2013

Mujur kita bersua!

Memang masalah kalau hendak buat papan tanda yang sama dan serupa dari yang asal. Ukuran tiada masalah tapi hendak mendapatkan font yang sama, amatlah payah. Lagi-lagi jika tidak tahu nama font. Adakala nama font juga berbeza walaupun font sama. Mujur berjumpa!


 photo TheEvil.png

Tuesday, May 21, 2013

Sandakan, Sabah - Hari Ketiga.

Tepat jam 12:00 tengahari, brader teksi tiba di perkarangan hotel seperti yang dijanjikan semalam. Kami bertolak ke Sepilok - Pusat Pemulihan Orang Utan.

Kera yang turut sama menyertai Orang Utan makan. Namun kera-kera ini agak gelisah bila Orang Utan menghampiri. Lucu juga melihat aksi kera-kera ini mencuri makanan dan bertempiaran lari, bergayutan bila Orang Utan menyergah. Selesai di sini kami bergegas pula ke Labuk Bay untuk melihat Monyet Belanda (Proboscis Monkey).
Terdapat dua platfom untuk melihat monyet Belanda dengan waktu makan yang berbeza. Kami ke platfom B memandangkan kami tiba pada jam lebih kurang 4:00 petang.
Kami disambut oleh seekor burung kenyalang dan beberapa ekor monyet spesis Silver Leaf yang benar-benar jinak.
Aku melayan monyet-monyet Silver Leaf memandangkan monyet-monyet Belanda masih bertebaran di atas pokok menanti waktu makan.
Monyet Belanda - Proboscis Monkey.
Kami berada di sini selama satu jam. Kemudian kami dibawa oleh brader teksi ke sebuah restoran makanan laut, Restoran Kak Jue di Taman Fajar Perdana, Sandakan, Sabah.
Foto terakhir yang dapat dirakam kerana kamera kehabisan bateri. Tak sempat hendak rakam foto hidangan yang kami pesan -  siput, ketam, udang, sotong dan ikan. Makanan di sini juga amat lazat dan harga juga berpatutan dan masih murah jika dibandingkan di Semenanjung. Selesai menjamu selera, kami bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur.

 photo TheEvil.png

Sandakan, Sabah - Hari Kedua.



Pada mulanya kami hendak ke Sepilok dan Labuk Bay. Lalu kami telefon brader teksi yang membawa kami dari lapangan terbang semalam. Bertanyakan harga upah untuk membawa kami ke Sepilok dan Labuk Bay. Dia menawarkan harga RM200.00 untuk ke dua lokasi itu. Namun dia memberi nasihat agar kami melakukan lawatan ke lokasi tersebut pada keesokan hari memandangkan waktu makan pada sebelah pagi tadi baru sahaja berakhir. Jika esok hari, selepas melawat Sepilok dan Labuk Bay kami akan terus dihantar ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami terima saranan beliau.
Disebabkan rancangan ke Sepilok dan Labuk Bay ditunda, maka hari ini kami melakukan Jejak Sejarah (Heritage Trails) Bandar Sandakan. Dari hotel kami berjalan kaki menuju ke bangunan Wisma Sandakan. Melewati depan Wisma Sandakan menuju ke Wisma Perbandaran. Aku terlihat premis pusat bermain snuker. Jam baru pukul 11:00 pagi namun sudah ada pengunjung. Handal!
Kebiasaan jika tiada penghawa dingin, kayu snuker (cue) akan terasa kesat bila diletakkan di antara ibu jari tangan dan jari telunjuk. Penggunaan kertas pasir akan membantu. Alah tegal alah biasa mereka ini.
Antara monumen yang menceritakan sejarah bandar Sandakan.
Kemudian kami memasuki Wisma Warisan yang menempatkan Muzium Warisan Sandakan. Muzium ini agak sederhana keluasannya dan pamerannya hanya berkisar tentang pengembaraan Martin dan Osa Johnson di Borneo dan ditempatkan juga beberapa replika rumah tradisional pelbagai kaum di Borneo.

Dari Muzium Warisan Sandakan, kami menyusuri Tangga Seribu menuju ke Rumah Agnes Keith.
Memandangkan kami tiba di perkarangan Rumah Agnes Keith pada jam 1:00 tengahari, kaunter tiket telah ditutup untuk rehat makan tengahari. Kami menuju ke sebuah restoran yang terletak bersebelahan.
Dua pelancong bermain croquet selepas menikmati hidangan makan tengahari.
Kami memesan dua set sandwich dan salad.
 
Tepat jam 2:00 petang kami kembali semula ke kaunter tiket dan membeli tiket berharga RM2.00 seorang untuk satu sesi lawatan ke Rumah Agnes Keith.
Rumah Agnes Keith.

Selepas melawat Rumah Agnes Keith, kami menyusuri semula Tangga Seribu menuju ke bandar Sandakan semula. Dari situ kami mengambil teksi ke Kampung Buli Sim Sim, sebuah perkampungan air dengan tambang RM10.00 sehala.
Aku terserempak dengan seorang penduduk yang membela seekor burung helang.
Dari Kampung Buli Sim Sim kami berjalan kaki menuju ke Pasar Sim Sim yang letak berdekatan. Nama sahaja pasar tetapi tidak kelihatan aktiviti-aktiviti seperti pasar lazimnya. Ia lebih seperti medan selera. Di sini terdapat beberapa kedai yang menyediakan ikan bakar.
Apalagi..
 Ikan merah.
 Ikan sapi.
 Sotong.
Sememangnya sedap dan murah.. amat murah!

 photo TheEvil.png