Halaman

Wednesday, November 24, 2010

Push Lee.



Sepertimana zaman kanak-kanak, kenakalan pastinya menjadi label yang paling sesuai. Apa yang dilakukan ketika itu hanyalah memenuhi kehendak spontan tanpa menganalisis kesan jangka panjang pada diri sendiri mahupun masyarakat sekeliling. Itulah persamaan awal yang dapat aku rumuskan pada awal tontonan ‘The Untold Story Of A Legend Bruce Lee, My Brother’s Story’ arahan Wai Man Yip seperti yang diceritakan oleh adiknya Robert Lee. Aarif Rahman, Tony Leung Kar-Fai dan Christy Chung antara pembawa watak dalam kehidupan Bruce Lee atau Lee Jun Fan.

Budaya kehidupan masyarakat Cina Hong Kong ketika tidaklah berbeza dengan amalan budaya kita yang kita warisi. Malah kita sekarang telah mula mengabaikan budaya atau tradisi atas nama kita kononnya lebih pandai dari orang-orang yang terdahulu. Kita telah hilang rasa hormat pada orang lain. Sebagai alasan, kita berpendirian tidak akan menghormati orang lain andai orang lain tidak menghormati kita. Benarkah kita perlu begitu?

Bila Phoenix (Sai Fung), nama timangan Bruce Lee yang diberikan oleh nenek beliau, pulang lewat malam dan memanjat masuk melalui tingkap lalu ditangkap oleh bapanya. Pastinya kita akan dibawa ke zaman kanak-kanak kita sendiri. Menghadap ayah dengan rotan di tangan pastinya boleh melenyapkan keseronokkan yang telah kita lalui waktu itu. Tidak berani kita mengangkat muka menentang mata ayah yang bengis. Tiada apa yang dipandang lagi hanyalah jemari kaki sendiri atau lantai simen rumah sambil mengharapkan ibu memberi pembelaan. Ketegasan ayah adalah yang paling banyak membentuk diri kita namun jauh di sudut hati kita, kita tetap akan mengangkat bapa kita sebagai wira, menjadi idola dalam kita mengapai cita-cita.

Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ayahnya merupakan seorang pelakon opera yang popular. Bruce Lee ditawarkan berlakon untuk kali pertama di dalam sebuah filem, The Kid ketika berusia 9 tahun dan diberikan gelaran Lee Siu Loong (si Naga Kecil). Peluang ini difikirkan oleh Bruce Lee sebagai kesempatan untuk tidak perlu ke sekolah. Inilah dikatakan rezeki yang datang bergolek. Sedangkan ada antara kita yang berhempas pulas berusaha hanya untuk mencari peluang. Berkejar he hulu, berlari ke hilir untuk mencari suapan mulut. Bila peluang sudah di tangan, dijaja pula kepada orang lain. Untung atas angin lebih mudah. Tak perlu berbahang kulit dimamah matahari. Untung sikit tidak mengapa, lagak mahu lebih. Bagi mereka yang mencanai peluang dan berhasil, aku ucapkan syabas! Tidak mengapa seribu kali gagal atau untung hanya cukup makan kerana itu pelajaran yang paling bernilai untuk kita mendaki dengan lebih mudah kelak.

Zaman remaja pastinya indah bila bersulam dengan percintaan. Bruce Lee terpikat pada seorang gadis bernama Pearl malah sahabat karibnya, Kong juga meminati Pearl. Namun Kong lebih bernasib baik dapat menawan hati Pearl namun Pearl juga memahami isi hati Bruce Lee. Pada masa yang sama. Margaret, rakan sepermainan dari kecil juga menaruh hati pada Bruce Lee sejak zaman kanak-kanak lagi. Malah ayah Margaret telah bersuara pada ayah Bruce Lee agar mereka disatukan. Untuk menyertai satu pertandingan tarian cha-cha, Pearl telah mempelawa Bruce Lee menjadi teman tarian secara bersendirian tetapi ketika berkelah, rakan-rakan yang lain dan kakak-kakak Bruce Lee mencadangkan agar Bruce Lee menyertainya dengan Margaret sebagai teman menari. Tika ini, segala persoalan yang bersarang di hati pada dua gadis dan hati lelaki itu terlerai. Demi menjaga persahabatan dengan Kong dan tidak mahu melekakan hati dua gadis ini, Bruce Lee telah membuat kejutan dengan menyertai pertandingan itu dengan berpasangan bersama adiknya, Robert dan menjuarai pertandingan tersebut.


Sememangnya percintaan itu boleh dijadikan mankin dalam memacu kita dalam kehidupan kita. Memberi kita inspirasi atau kebahagiaan dalam hidup. Ada juga yang leka dalam kerinduan lalu jatuh terjelupuk dalam gaung yang penuh duri. Terpulang pada kita untuk memandu cinta kita tanpa mengabaikan cita-cita. Ada juga kegagalan dalam percintaan yang boleh kita manipulasikan sebagai titik perubahan dalam keseluruhan hidup kita. Bila Bruce Lee berhadapan dengan situasi ini, dialihkan perhatiannya untuk menyertai satu pertandingan tinju anjuran kolejnya, King George V. Di sini, Bruce Lee telah menyertai satu sekolah seni mempertahankan diri aliran Wing Chun sekaligus berazam untuk menewaskan seorang pelajar kulit putih yang telah membuli beliau. Keazaman dan usaha beliau berbaloi dengan kejayaan menumpaskan pelajar tersebut 2 kali yang merupakan anak seorang supritendan polis British, kerajaan British ketika itu mengambilalih pemerintahan Hong Kong selepas penaklukan Jepun.

Dengan kegagalan yang disertai azam untuk berjaya pastinya berhasil dengan disiplin diri yang tinggi. Tidak kiralah apa cita-cita yang hendak kita kejar, mesti disusuli dengan usaha yang gigih. Bukan sekadar merancang, mengimpikan atau barangan-angan. Tulis atau catat apa yang perlu kita lakukan, yang perlu kita usahakan. Ambil nota mengapa kita gagal, kenapa ada yang tidak perlu dilakukan semula agar tidak terulang kesilapan. Rancang sebelum kita bekerja, kerjakan apa yang kita rancangkan!

Apa jua keputusan yang kita ambil hari ini, kita pastinya tidak akan mengetahui kesannya dalam jangka masa yang panjang. Terutama dalam kehidupan. Mengharapkan panas hingga ke petang namun hujan turun di tengahari. Untuk menjadikan diri kita positif, hujan itu adalah metafora dalam peribahasa yang merujuk pada halangan. Apa yang perlu kita masukkan dalam perancangan kita jika hujan itu turun? Kebanyakkan kita meluahkan peribahasa ini setelah kita gagal dengan apa yang kita harapkan. Bukankah kita juga punya peribahasa, sediakan payung sebelum hujan?


Ayah Bruce Lee juga mengharapkan sesuatu kejayaan yang boleh Bruce Lee kecapi. Begitu juga pada semua ayah di bumi ini pastinya mahu yang terbaik berlaku pada kehidupan anak-anaknya. Malangnya, permintaan Pearl untuk mencari Kong yang telah menghilangkan diri hampir 2 bulan telah membulatkan hati Bruce Lee untuk mencari sahabat baiknya itu mendatangkan padah. Mengetahui bahawa Kong terjebak dalam najis dadah, operasi menyelamat dilaksanakan bersama dua lagi sahabat baik. Menyedari bahawa panas tidak sentiasa ke petang, Bruce Lee bertindak masuk menyelamat bersama seorang rakan dan seorang rakan lagi diarahkan untuk memberitahu polis jika keadaan tidak terkawal.

Dalam usaha itu, Bruce Lee terperangkap apabila pengedar dadah dan konco-konconya menghalang Bruce Lee kerana khuatir kegiatan mereka dilaporkan kepada polis. Bruce Lee dan rakannya berusaha melarikan diri dan malangnya rakannya itu terperlus kerana kerapuhan genting atap bangunan. Berusaha menarik rakannya naik, samseng-samseng datang menghampiri. Ketika ini, entah dari mana Kong muncul berlari pantas lalu merenggut seorang ‘pengkhianat’ dan jatuh bersama dari atas bumbung bangunan.

Gusar dengan apa yang telah terjadi, ayah Bruce Lee mengarahkan agar Bruce Lee meninggalkan Hong Kong untuk ke Amerika Syarikat kerana ada dua kemungkinan yang akan berlaku, samada Bruce Lee dipenjarakan atau dibelasah di jalanan sehingga mati. Bermula untuk mengambil hati Pearl atas permintaan mencari Kong, kesan keputusan Bruce Lee menghulurkan bantuan ketika itu membuatkan beliau terkenal di seluruh dunia. Sepertimana dia berkata kepada adiknya, Robert, “Kepulangan aku akan membuatkan engkau bangga!”


blog

Tuesday, November 16, 2010

Usia berginjak.

Yang dikendong berciciran

Yang dikejar tak dapat-dapat

Berlari dan mengejar

Itu sama!

Hidup ini menumpang

Menumpang kasih

Mengharap bahagia

Lusuh barang belum tertunai bayar




Beruban putih berkerak kelemumur

Belum tentu akal sejengkal

Telah menjadi sedepa

Kulit yang hitam

Tiada siapa sudi menengok

Tulang yang putih

Tiada siapa sudi menjenguk.

Silbiabigail
November 2010


blog

Saturday, November 13, 2010

Putih yang menyenangkan.



Suaranya mengalunkan lagu cinta
hatinya berbunga bahagia
mengenang detik berkasih sayang
terasa ingin tidak mahu berpisah

Ada watak yang perlu dilakonkan
dalam dunia realitinya
agar dapat diselindung bangkai gajah
terhidu pun jangan

Wangian si kayu putih
mengkhayalkan melekakan
melenakan dalam kelazatan

Kayu manis yang hitam
tiada lagi manisnya
malah payau di lidahnya
tiada lagi kongsian rasa.



Silbiabigail
November 2010


blog

Thursday, November 11, 2010

Di luar pagar.



Dulu di taman ini

tukang kebun cuba berusaha

setiap hari menyiram dan membaja

agar bunga mekar dan segar

kini di taman ini

tukang kebun berdiri di luar pagar

siraman air berkala

mengambil tugas

lebah berterbangan

menghirup manisan debunga

tukang kebun memandang sugul

menyapu jalan mengaut dedaun kering

kata hati tukang kebun

apa bezanya kini menjadi

tukang sapu jalan.

 
Silbiabigail
Oktober 2010
 
 
blog

Tuesday, November 9, 2010

Tak senang duduk.

Terlentang gundah

Terlungkup resah

Lena diulit mimpi payah

Mengiring kiri duka

Mengiring kanan luka

Lena diulit mimpi celaka

Untuk lena itu mudah

Untuk bangkit itu payah!

Silbiabigail
Oktober 2010

blog

Monday, November 8, 2010

Nota: Apalagi ni?

Mata tak lelap lagi, jam sudah 2 pagi, kejap lagi, rumah mama ditujui, buat kuih bangkitlah apa lagi, pukul 4 pagi santak ke 10 pagi, jangan lupa sahur jam 5 pagi.

Bila siap semua sekali, lelap sekejap sampai tengahari, ke sekolah menghantar Syami, biasa pergi makan tengahari, tapi tidak kali ni, puasa di siang hari.

Aku ada kerja sendiri, susah senang buat sendiri, cari rezeki untuk sepingan nasi.

Jujur kata terawih tak pergi, walau masjid jarak berkaki, yang fardhu pun terlepas pergi, aku tak mahulah berjanji, walau pada diri sendiri, sebab syaitan dah berperi, akan digoda untuk memungkiri, alasan yang diberi.

Jangan kata kubur sendiri-sendiri, bising kuburku nanti, terganggu juga kau nanti, esok tiada siapa nak gali, takkan nak bakar diri sendiri, itu bunuh diri! Ada berani?

Siapa yang hendak mati, kalau ajal belum tiba lagi, bukan nak kata ‘lu fikir la sendiri’, orang sekarang sudah banyak ada degree, takkan nak tunjuk ajar orang lagi, terpulanglah pada kalian sendiri, kawan-kawan sudah tolong mengingati, pandai-pandailah jaga diri.

Jaga tepi kain sendiri.. entahkan dah koyak minta diganti.

Sampai kubur kata mari.

Semoga kita semua diberkati.

blog

Lullaby - Dark Sanctuary