Halaman

Monday, September 28, 2009

Bila mama pakai celana.

Katanya petang Sabtu dia akan datang beraya ke rumah aku kerana dia ada tugas untuk dilaksanakan di rumah abangnya di Shah Alam sebelah paginya. Aku mengiyakan dan memaksanya dia telefon aku bila sudah mampir dengan kawasan Ampang. Beraya memanglah hendak beraya sesama sahabat baik aku yang datang dari Johor Bahru tapi aku tahu dia ada sesuatu yang hendak diluahkan. Mengikut risikan isteri aku, dia ada masalah rumahtangga. Aku cuma tahu 10% dari bahagian risikan. Selebihnya biarlah dia tuturkan sendiri secara rela, jika dia mahu...

Jam lebih kurang 2300, sahabat aku itu atau kami; kalangan sahabat gelarkan dia, Tok Mat, menelefon aku untuk berjumpa di Desa Sri Hartamas. Aku memberitahu dia bahawa aku perlu menjemput isteriku pulang jam 0100 di Masjid Azzubair, Cheras kerana mengikuti rombongan pengantin ke Alor Setar, Jumaat lalu. Baru aku dapat ke sana. Dia menanti kehadiran aku.

Jam 0200 aku tiba di Desa Sri Hartamas, tempat yang dijanjikan. Setelah salam berjabat, ucapan raya ditutur. Aku sekadar bertanya khabar berita, memancing ceritanya. Kalau ianya perkara tidak penting, sudah tentu dia awal lagi cabut pulang ke Johor Bahru. Jadi aku tahu ianya memang berat untuk dia tampung. Aku cuma menyegerakan kerana dia mesti pulang ke Johor Bahru awal pagi itu juga.

"Aku dengar bini dengan anak kau lum balik lagi?" aku selamba bertanya.

"Mana kau tahu?" dia pula membalas.

Kawan aku ini beristerikan perempuan dari tanah Eropah. Sudah hampir 6 tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan yang comel. Perkenalan dan percintaannya juga terbit di tempat yang aku dan dia berjumpa sekarang.

"Dia janji nak balik tiga hari sebelum raya tapi sekarang lum balik lagi. Dia kata kalau nak dia balik, aku kena ikut peraturannya," Atuk mengadu pada aku.

"Dah macam tu pulak?" giliran aku bertanya.

Selebihnya Atuk menceritakan segalanya pada aku. Aku hanya mendengar. Kesimpulannya cuma satu. Keputusannya pun satu. Yang lain aku tak kisah, itu kisah rumahtangganya. Yang paling penting dia mesti, wajib, selamatkan anaknya dan memastikan anaknya pulang ke Malaysia dulu. Kemudian baru cerita lain.

Arwah bapanya pun dulu telah memberitahu, "Masalah kau, bukannya kau takut bini. Tapi bini tak takutkan kau."

Mentalitinya berbeza dengan orang kita, budayanya pun berbeza, masyarakatnya juga berbeza. Isterinya sengaja tidak mahu menyerap budaya kita dalam dirinya. Isterinya beria-ia mahu mempraktikkan budaya Inggeris dalam hidup keluarganya. Tanpa berkompromi! Yang mana Tok Mat boleh tahan, boleh ikut, Tok Mat ikutkan sahaja. Tapi kalau sudah bab berkaitan agama, NO WAY! (and no road). Walau sahabat aku tidak sehebat para ulama tapi hukum halal haram dia masih utuh.

"Jadi kau nak cakap macamana, dek?" Tok Mat bertanya pada aku.

Memang aku 'keras', tak tahu nak jawap apa.

Untuk meleraikan suasana hening tika itu, aku hanya mampu berseloroh, "Kau kahwin lain je la. Minta je perintah mahkamah dan adukan nusyuznya itu. Kau juga kena bagitau mahkamah tentang anak kau tu jugak..."

"Masalah kau nak cerai atau tidak, terpulang pada kau. Adik-beradik kau pun dah bercakap tentang hal yang sama. Kau je yang tau, orang luar bagi sokongan yang baik je tuk kau. Kau boleh tanya orang yang lebih tau tentang ini. Paling penting, anak kau dengan kau, dia nak balik sana, biarlah," aku mula memberi reaksi mengikut logik aku.

Tapi satu yang menarik dalam perbualan aku, ramai orang mengatakan bahawa dia mendapat pahala kerana dapat mengIslamkan seorang Kristian. Tapi dalam pada itu juga dia membalas pada mereka, kau nampak ke pahala yang aku dapat?

"Kau sembahyang, kau nampak ke pahala? Selepas kau bersedekah, kau nampak ke pahala?" Bukan soal pahala sekarang ini, tapi sekarang soal akidah anaknya. Dalam pada balik bercuti kononnya, tapi anaknya telah didaftarkan bersekolah di sana dengan nama Lynett Palmer. Hilang sudah bintinya!

Dua jam lebih aku mendengar, memikirkan apa yang boleh diputuskan sementara waktu ini untuk menenangkan hati kawan aku ini. Sebolehnya aku menahan dia untuk bermalam sahaja di rumah aku tapi dia juga mendesak untuk pulang ke Johor Bahru. Aku mengalah. Selama ini memang sudah aku perhatikan laku isterinya bila aku dan Atuk keluar bersama atau masa dia datang berkunjung ke rumah aku. Ada yang tidak kena. Tapi sebab hal rumahtangga orang walau dia sahabat aku, aku tak mampu bertanya, mencungkil dan akhirnya dia sendiri telah meluahkan.

"Aku harap beban kau menjadi ringan walau aku tak dapat membantu apa-apa," itu sahaja harapan aku.

Saturday, September 26, 2009

Kalau makan, bagi aku..

Dalam suasana hari raya aku akan ke Alor Gajah, Kg. Paya Datoh untuk beraya di rumah makcik Bedah, saudara belah mak mertua aku. Walau mak mertua aku tidak turut serta hanya berwakilkan abah dan anak perempuannya (isteri akulah), aku serta Syami dan Sarah.

Seperti dirancang semalam (raya pertama), aku usulkan pada abah, adalah molek jika sampai di rumah makcik Bedah pada waktu tengahari, seperti tahun-tahun lepas. Aku tahu masakan makcik Bedah amat menyelerakan; asam pedas ikannya, asam rebus bendinya, masak gulainya, sayur goreng, ikan masin serta ulam-ulam yang segar. Ditambah dengan colekkan sambal belacan bersuap nasi putih panas berasap.

Tapi abah punya rancangan lain; dia berselera untuk menikmati satay berhampiran pasar Menggong di Alor Gajah. Dia mengidam satay perut yang dikatakan boleh dihabiskan sehingga 20 cucuk untuk dia seorang.

Setelah beraya di Kg. Mertang, Sri Pilah dan Kepis selepas matahari condong ke arah barat, aku tiba di Alor Gajah melalui Tampin bila bulan sabit Syawal menampakkan cahaya. Kami terus menghala ke pekan Alor Gajah untuk memenuhi selera abah. (lagipun abah yang bayarkan...).

Aku meminta kebenaran untuk meletakkan kereta di bahagian belakang stesen Petronas dari seorang petugas di situ dengan alasan bahawa abah yang kurang upaya untuk menapak jauh. Dengan ramah kebenaran diberi dan petugas itu juga bagai tahu yang kami hendak menjamu selera.
Abah memesan 30 cucuk satay perut, 15 cucuk satay ayam dan 10 cucuk satay daging. Sarah memesan 10 keping otak-otak sebagai pembuka selera. Perjalanan tadi membuatkan kami berasa lapar semula walau berpinggan nasi impit berkuah kacang dan soto berkuahkan sup daging lembu segar yang disembelih di malam raya, menjolok tembolok petang tadi semasa ziarah raya di rumah adik-beradik atuk.

Lepas menjamu selera, kami terus ke rumah makcik Bedah. Abah yang kekenyangan tidak sanggup lagi menelan dan berpesan pada Sarah dan Syami agar tidak memberitahu makcik Bedah yang kami telah menjamu satay sebentar tadi. Aku pula berkira-kira apalah hidangan yang terhidang nanti di rumah makcik Bedah. Aku hanya 'menjamah' kira-kira 20 cucuk satay dan 2 otak-otak sahaja tadi. (Sikit je tu.... )

Bertanya khabar dan berbual dengan ahli keluarga makcik Bedah, aku yang leka berbual dipanggil untuk makan. Makan? Sengaja aku pelawa abah untuk turut serta, abah beri alasan perutnya sudah senak. Aku duduk di meja makan dan menyenduk nasi ke pinggan. Aku senduk asam pedas daging tetel dan sayur kacang panjang goreng ke atas nasi panas. Tidak kelihatan pula ikan masin gelama belah atau ikan masin cekik leher yang selalunya mengiringi lauk-pauk. Masih berselera... aku tambah sedikit nasi dan menyudu kuah asam rebus ikan bilis dan bendi ke dalam pinggan. Pengakhirannya... aku sulam dengan dua cawan kopi o panas....!

Tuesday, September 22, 2009

Cerita petang sebelum raya.

Rancangnya hendak ke Kuala Pilah jam 1500 tapi dalam sibuk mengemas baju untuk disumbatkan dalam beg, lekalah pula melipat sekali baju yang baru sampai dari ampaian. Dah melipat tu, tersemangatlah sekali tuk mengemas gobok.

Akhirnya jam 1630 barulah semua selesai untuk aku berangkat, kena singgah kejap di rumah orang tua, ambil rendang ayam yang dimasak pagi tadi oleh orang rumah. Dalam pada menyibuk-nyibuk di rumah orang tua aku yang telah pun berangkat ke Bukit Mertajam; rumah abang aku. Hujan turun dengan lebat! Aku yang bercadang hendak membayar fitrah terpaksa jugalah meredah hujan lebat. Kemudian singgah pula di klinik untuk mengambil ubat demam Syami, malangnya klinik pun sudah beraya, tutup! Aku berlari pula ke farmasi yang berdekatan untuk membeli ubat, alang-alang aku membeli ubat selsema sekali, sebab aku sering diserang virus selsema, apatah lagi bila sudah bermain hujan.

Jam 1800 baru aku bertolak dari Keramat Permai menuju Kuala Pilah. Sedangkan aku perlu mengambil bapa mertua di stesen bas Kuala Pilah yang dijangka tiba pukul 1900 dari Johor Bahru dan baru kami ke Galau bersama. Rasanya seperti tidak sempat untuk sampai Kuala Pilah seperti waktu yang dirancang. Tiba sahaja aku di selekoh memasuki MRR2 berhampiran Ampang Point, aku lihat kereta menentang arus berderet di sebelah kanan jalan. Sudah! Apa sudah jadi? Kereta semua menghala ke jalan yang tidak sepatutnya. Bila aku bertanya pada seorang pemandu teksi, katanya ada banjir besar di hadapan, bas juga tidak mampu mengharungi. Keputusannya, semua kenderaan berpatah balik samada menuju ke Ampang Point atau mencari alternatif jalan lain.

Aku membelok masuk menyertai barisan kereta yang ingin melalui jalan dalam di depan barisan kedai-kedai, memasuki semula Jalan Ampang menuju ke Taman Maluri. Kerisauan hati mengenai kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan antara Nilai-Seremban di tambah dengan kesuntukkan masa, buat aku juga mencari jalan alternatif lain. Seorang kawan dihubungi melalui telefon bimbit. Cadangannya menyuruh aku melalui Semenyih dan terus ke Nilai. Aku segera memandu menuju Jalan Cheras dan memasuki Lebuhraya Cheras-Kajang [peta] menuju Saujana Impian seterusnya melintasi Semenyih.

Melepasi Kajang Perdana, aku di hubungkan pula dengan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) [peta]. Kelihatannya lebuhraya itu amat lengang dengan kenderaan. Hanya ada empat buah kenderaan di hadapan aku dan sebuah di belakang aku. Hairan juga aku bila melihat situasi begini, apatah lagi ini juga adalah kali pertama aku menggunakan lebuhraya ini. Orang ramai masih tidak tahu lagikah kewujudan lebuhraya tiga lorong ini? Mulanya aku merancang untuk keluar di persimpangan Nilai/Pajam seperti yang dicadangkan kawan aku tadi, tetapi bila melihat papan tanda untuk ke Seremban dan beberapa kenderaan lain meneruskan perjalanan, aku fikir lebih baik aku terus ke Seremban dan seterusnya ke Kuala Pilah.

Akhirnya, aku juga yang tertipu. Untuk hala keluar ke Seremban masih belum dibuka dan semua kenderaan mesti keluar melalui susur keluar Mantin. Aku hampirkan kad Touch'N Go di pad bayaran semasa melalui plaza tol, RM4.00 tertera di skrin. Murah juga aku fikir. Dari situ aku membelok ke kanan untuk ke pusat bandar Seremban dan menghala ke Bukit Putus. Jam 1915, waktu berbuka puasa bagi kawasan Negeri Sembilan aku hanya beberapa kilometer sahaja untuk menghampiri Bukit Putus. Sememangnya aku menikmati perjalanan yang sungguh lancar pada petang itu. Aku menyuruh isteri supaya menelefon abah, sekiranya dia telah tiba di stesen bas haruslah dia menunggu kami sampai.


Abah masih lagi dalam perjalanan di Bahau, belum lagi tiba di Kuala Pilah. Legalah juga, sekurang-kurangnya abah tidak perlu menunggu lama; lebih-lebih lagi abah seorang OKU. Kaki kanannya menggunakan kaki palsu kerana tulang kakinya telah remuk dilanggar motosikal 4 tahun yang lalu dan dinasihatkan doktor agar dipotong sehingga paras lutut.

Kelihatannya ada lencongan untuk ke Bukit Putus dan ada pembinaan jalan baru di sebelahnya, mungkin selepas ini, pemanduan melalui Bukit Putus tidak lagi berlekok-lekok. Melalui Bukit Putus perjalanan lancar hanyalah sehingga kawasan rekreasi Ulu Bendul, pemanduan aku tersekat-sekat dengan deretan kenderaan yang memperlahankan kenderaan. Cuma mengambil masa lebih kurang 20 minit sebelum perjalanan kembali lancar. Tepat aku memasuki pekan Kuala Pilah, abah menelefon dan menyuruh aku mengambilnya di hadapan Agro Bank.

Syami dan Sarah mulanya 'racun' atuknya untuk makan berbuka puasa di KFC tetapi ditawarkan atuknya mengatakan bahawa ada banyak makanan yang telah dimasak oleh Mak Teh di rumah. Ayat-ayat power mereka berdua mati ditelan pujukan isteri aku. Akhirnya, lebih kurang jam 2030 aku tiba di Galau dan menikmati sup tulang dan masak lemak cili api ayam kampung. Syami dan Sarah makan bertambah!

Saturday, September 19, 2009

Esok hari raya...!

Walau pagi tadi hujan, ianya meyenangkan buat diri aku, rasa kesegarannya. Untuk megejar masa aku tetap meredah hujan melaksanakan kerja-kerja akhir sebelum bercuti. Semalam timbul masalah di DBKL bila aku hendak menyerahkan permohonan lesen papan tanda, aku diberitahu kaunter telah ditutup dan akan dibuka untuk permohonan baru pada 28 September 2009. Lamanya mereka mulakan tugas; inilah tujuan rakyat diutamakan, pencapaian didahulukan...? Aku bingung!

Semalam merupakan hari terakhir aku berjualan di pasar Ramadhan, penutupnya hujan yang turun mencurah menemani aku mengemas perkakas dan barangan jualan untuk diangkut pulang!

Inilah jumlah botol pati air Sunquick yang telah digunakan!

Hari ini setelah aku berkejar ke sana ke mari. Aku luangkan sikit masa untuk mengucapkan
"Selamat Hari Raya AidilFitri"
buat semua saudara-mara aku dimana sahaja mereka berada, warga blogger, kenalan, sahabat-handai, kawan-kawan, teman dan pada semua yang mengenali aku.
"Maaf Zahir Batin"


Sekarang aku hendak berkemas pula untuk pulang ke kampung mertua; Kg. Galau, Kuala Pilah. Insya-Allah jika tiada aral melintang, aku memanjangkan cuti untuk ke Johor Bahru.

Thursday, September 17, 2009

Harga diri beg.

Atas nama kesedaran memelihara alam sekitar, ramai juga pengunjung pasar Ramadhan yang membawa beg dari pelbagai jenis fabrik atau bakul untuk mengisi juadah yang dibeli. Kuranglah penggunaan beg plastik yang dikatakan sukar untuk dilupuskan. Cuma plastik yang membungkus makanan sahaja yang tidak dapat dielakkan (buat masa ini kerana faktor kos), sudah tentunya plastik yang berwarna merah jambu, oren, kuning atau macam-macam warna yang ada, gemar digunakan peniaga untuk mengisi barangan jualan. Ada juga plastik ini digelar 'plastik bising'. Tak nampak pula ada orang yang membawa mangkuk tingkat untuk membeli juadah, antara lain yang nampak, penggunaan 'tupperware'.

Elok juga ini di jadikan budaya. Sebab ada segelintir pasaraya besar seperti Tesco atau Jusco mengaplikasi beg guna semula sebagai gantian penggunaan beg plastik. Malah diberi kupon/ pelekat/chop menawarkan ganjaran tertentu bila pelanggan menggunakan beg guna semula ini sekerap yang ditentukan. Mudah bukan, kita pun tidaklah jenuh hendak menyumbat beg-beg plastik yang kosong ini di laci kabinet dapur, untuk menjadikan beg sampah kelak. (Jimat duit tak perlu beli beg plastik sampah hitam tu). Terasa sayang juga bila hendak dibuang begitu sahaja. Tapi itulah masalah yang timbul bila tiba masa untuk dilupuskan.

Itu belum kira lagi beg-beg plastik yang cantik menarik bila berbelanja di butik-butik pakaian. Yang menariknya, sesuai juga digunakan semula untuk membawa bekal makanan dalam beg plastik Levi's, contohnya. Kira macam tak seganlah bila bawa bekal atau barang lain dalam beg-beg plastik Sogo, Isetan, Toko 3, yang berjenama butik atau sebagainya yang 'standard' dan menarik rekacetaknya. Selain hendak menunjuk-nunjuklah pada orang lain yang kita pernah berbelanja disitu. Betul tak?

Kerana itulah; aku lihat, ada sepasang suami isteri yang berumur. Mulanya aku tak kenal, tak tahu, memang aku tak tahu siapa dia. Setiap petang antara jam 1530 hingga 1630, mereka berdua adakala bertiga dan suaminya yang bertongkat masih mampu berjalan merayau mencari juadah berbuka di pasar Ramadhan Setiawangsa. Sekali tengok memanglah mereka biasa-biasa sahaja orangnya, macam orang lain yang mengunjungi pasar Ramadhan. Tapi bila memerhatikan jenama pakaian suaminya, aku tahu dia ada citarasa. Isterinya berpakaian biasa, sebab dia 'tahu tempat' untuk berpakaian pastinya.

Menariknya, wanita itu (isteri), menyandang satu beg PVC memampangkan logo Harrods untuk mengisi juadah yang dibeli. Aku berselorohlah dengan abang aku, "Tengok makcik tu, pakai beg Harrods datang pasar Ramadhan. Isi puding...." Abang aku pula menjawab, "Tulah mak bapaknya owner Habib Jewels." Aku lihat sahaja mereka.... Memang sempoi..!

Inilah beg yang aku nampak makcik tu kendong petang tadi. Inilah dia...

Tuesday, September 15, 2009

Jangan jadi malas Adek...!

Dapat bersandar di sofa buat rasa malas berkumpul di pemikiran aku. Hendak berganjak seinci pun malas. Malah nak mencapai teh o ais limau yang aku tapau dari gerai pun rasa malas walau terik tekak aku kehausan air sejuk minta dialirkan ke dalam kerongkong.
Aku hanya membiarkan Sarah dan Syami menonton drama Qaleesya. Lawak ceritanya. Dalam pada itu mata aku terlelap sekejap. Bila berderai ketawa Sarah dan Syami aku tersedar kembali...
Hendak mandi pun aku terpaksa gagahkan diri untuk bangun. Punyalah malas ini manusia untuk bergerak. Bercinta...
Sementara itu aku menyaksikan satu iklan Cadbury Gold, yang mana coklat disusun dalam barisan dan kata-kata melamar; kalian fikir, adakah perempuan itu hendak menerima lamaran lelaki tersebut? Cuma tertanya-tanya pada wanita-wanita di luar sana... Apakah alasan kalian?
Baru aku bercadang untuk meninggalkan sofa, gatal pula tangan ni menukar saluran. Cerita artis Malaysia - Yasmin Ahmad, The Storyteller. Serupa seperti blog arwah. Terus buat aku melekat kejap di sofa. Bukanlah kata aku peminat nombor satu tapi seronok/sebak/bangga/sayu bila mendengar kenyataan-kenyataan dari mereka yang akrab dan mengenali pesona arwah. Aku pasti kalian juga telah menontonnya dan sendiri fahamlah dengan idea dan hasil kreatif beliau.
Aku tidaklah berharap semua manusia seperti beliau yang dikatakan penuh dengan kasih sayang dan pemaaf. Apa yang aku berharap agar semua manusia dapat menerima kesan dari hasil-hasil kerja beliau yang menggarap satu kehidupan yang realiti, yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita walau bertemakan cinta, erti cinta, ianya sebenar lebih dari itu.
Memang aku katakan bahawa air tangan beliau dalam iklan atau filem adalah satu kelainan sebelum ini. Sebenarnya tidak! Ianya sebenarnya ada dalam diri aku, sekeliling aku malah mencerminkan sesuatu dari pengalaman aku jua. Maka itu, bila ianya jadi paparan, aku tidak perasan bahawa itu sebenarnya biasa berlaku dalam hidup ini, dan aku terlepas pandang sahaja. Yang buat kelainannya adalah keberanian beliau menjadikan idea biasa itu sebagai satu hasil kreatif, menegakkan yang benar sehingga aku terlupa untuk mengakui ianya lumrah hidup bermasyarakat.
Dalam aku bermalas-malas di sofa, aku harus bangkit untuk melakukan kerja yang sepatut aku laksanakan malam ini. Yasmin Ahmad yang telah bersemadi itu masih mampu menggerakkan aku agar terus bergerak.

Monday, September 14, 2009

Ke kiri pusing!

Rata-rata ramai pengunjung pasar Ramadhan semakin bijak berbelanja. Tiada lagi istilah rambang mata atau buruk nafsu untuk berbuka puasa dengan pelbagai juadah. Sederhana gamaknya. Oleh kerana kita ada sebulan puasa, maka pengunjung membuat penggiliran untuk membeli juadah berbuka puasa. Andai inilah senarionya, aku puji sikap mereka. Belajar untuk tidak menjadi tamak, sebaiknya amalkan juga dalam apa jua keputusan dalam hidup masing-masing. Bukan hanya dalam skop membeli juadah berbuka puasa.

Dalam pada itu juga, ada juga segelintir manusia yang menjinjit sarat juadah yang dibeli. Secara positif, mereka mungkin membeli juadah yang dikirim oleh ahli keluarga atau rakan taulan. Tidak mengapalah... jangan kirim dengan air liur sudahlah! Agak-agaklah...

Bila sudah sarat berat dengan juadah, kebanyakkan manusia menggunakan tangan kanan yang dianggap kuat bertenaga untuk menjinjit segala bungkusan plastik tersangkut di lima jari kanan. Oleh itu, segelintir mereka itu terpaksa membayar harga juadah yang dibeli dengan menggunakan tangan kiri.

Budaya Melayu Islam kita masih menebal mengatakan yang kiri adalah sesuatu yang tidak baik, tidak molek. Lafaz, 'Maaf ya, tangan kiri..." sudah lali aku dengari akhir-akhir ini. Aku faham... "tak apa' yang sering aku balas.

Aku tidak kisah menerima bayaran atau mereka mengambil bungkusan air dari tangan kiri. Hendak buat macamanakan? Tidak dibeli, terkilan pula orang yang mengirim. Atau terkilan selera sendiri untuk menikmati juadah yang diidamkan. Bertolak ansurlah dengan pendirian orang Melayu sendiri tentang penggunaan tangan kiri. Walau ada juga mereka yang tidak biasa untuk melafazkan lafaz maaf kerana 'terkurang ajar' menggunakan tangan kiri.

Tidak perlulah kita mempertikai 'kiri' itu dalam keadaan sebegini. Maka, jika kiri itu sebagai sesuatu yang tidak molek dan seboleh-bolehnya kita jauhi.. Jadi beringatlah pada mereka yang akan memandu pulang ke kampung halaman sempena Aidil Fitri ini, 'Jangan sekali-kali kalian memotong kenderaan lain di bahagian kiri atau menggunakan laluan kecemasan di bahu kiri lebuhraya.' Nescaya, jika tidak menyusahkan diri kalian dengan saman pakcik polis. Tapi secara tidak langsung, kalian telah merendahkan cara pemanduan kalian bila diperhatikan, dicela atau disindir oleh pemandu lain. Andai ada pemandu lain yang melakukan, biarkanlah. Biarkanlah mereka dengan cara yang 'kiri', kalian yang kanan, walau tersangkut dalam kesesakan, bergembiralah menikmati lagu raya dari corong radio kalian yang mungkin puluhan ribu ringgit nilainya.

(Cuma kenderaan berat sahaja yang wajib mengikut lorong kiri?).

Dari 2 jadi 4 kini 5!


Akhirnya, pada 18 Ramadhan barulah kami dapat membuat 4 jenis air setelah bekalan gula diperolehi sebanyak 72 kilogram.

dan...

pada 22 Ramadhan kami menambah satu lagi jenis air, Iced Lemon Tea!
Insya-Allah Ramadhan tahun depan, jika dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki...
kami bercadang untuk mengambil 2 lot niaga bersebelahan dan menambah koleksi air jus untuk dijual.
Maka dengan berbaki 5 hari lagi kami berjualan, jadi sesiapa yang ingin menikmati air-air ini, silalah mengunjungi gerai kami di Pasar Ramadhan Setiawangsa. (berhampiran Giant/Petronas/McDonald atau di bahagian belakang apartment Mahsuri). Tegurlah aku, baru aku tahu yang kalian juga dari kalangan blogger. Renung-renunglah gambar aku di sebelah untuk pengecaman ea... hahahahaha.... sebungkus RM1.70, 3 bungkus RM5, kawan-kawan.. sebungkus aku tolak RM1.50... Kalau kena gaya, kena rezeki waktu lelong, RM1.00 sebungkus!
(Tengah tunggu Fapet datang je ni... x sampei2..)

Sunday, September 13, 2009

Panjat tiang.


Setelah menunggu hampir dua minggu, akhirnya kelulusan permit untuk memasang bunting di tiang lampu diperolehi pihak Samadhi dari pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Tak ke naya? Sudah 19 Ramadhan baru promosi berbuka puasa secara bufet di restoran bawah Samadhi Retreats Sdn Bhd hendak dipasang. Sudah dua tahun Samadhi menggunakan design bunting ini dan tahun inilah baru masalah timbul kerana tiada penggunaan Bahasa Malaysia dalam promosi tersebut.


Mungkin ini gara-gara pertukaran pegawai di pihak MPAJ. Pada tahun 2007, aku telah menegur kerana ketiadaan pengunaan Bahasa Malaysia namun oleh sebab kuasa orang dalam antara pihak Samadhi dengan MPAJ membuatkan semuanya berjalan lancar. Tahun ini baru sangkut.



Setelah mendapat permit untuk memasang pada petang Rabu lepas, aku pun bersedialah dengan aksesori kerja yang perlu dibawa selepas berbuka. Aku mesti memasang semua bunting itu, 31 unit pada jam 0000. Sebelum itu aku menjemput Joe, pembantu sukarela, di Taman Maluri.


Setelah meneliti pelan lokasi pemasangan, aku bermula di Jalan Kerja Ayer Lama, berhampiran SPCA kemudian diikuti di Jalan 1, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, menuju jalan masuk ke restoran di mana ada tiga restoran di bawah satu bumbung; Il Tempio, Mandi-Mandi dan Tamarind Springs. Kemudian di jalan yang menuju ke Ampang Jaya berdekatan Kelab Darul Ehsan. Akhir sekali di bahagian Jalan Mamanda berhampiran Ampang Point.




Semua kerja pemasangan berakhir pada jam 0300. Letih memang tak ingatlah, naik tangga turun tangga, putuskan dan buang dawai lama yang berselirat di tiang-tiang lampu. Mana papan iklan lori sewa dengan plywood (iklan haram), semua aku harus campak ke bawah. Sebotol air mineral 1.5l jugalah hampir habis aku togok. Siap semua kerja aku menderu ke Taman Maluri, singgah sahur di restoran mamak, Restoran Kiblah sambil menonton perlawanan bolasepak England menentang Croatia.

Jawablah dengan amalmu, kak.

Kesibukkan aku minggu ini memang nyata. Sebelah pagi aku hanya mampu menguruskan kerja-kerja aku sehingga jam 1200. Kemudian aku mesti menguruskan persiapan untuk berjualan di pasar Ramadhan. Cuaca yang tidak menentu di sebelah petang yang sentiasa lembab membuatkan badan aku juga sembab keletihan. Habis berjualan, aku ke Kg. Chubadak menghadiri majlis tahlil buat sepupu aku yang baru meninggal.
Terima kasih buat kariah 'surau tinggi' yang melaksanakan fardhu kifayah di atas pemergiannya. Arwah telah selamat dikebumikan pada jam 1100 hari Jumaat lepas di tanah perkuburan Kg. Puah, Gombak. Jutaan terima kasih pada semua insan yang memaafkan segala dosa salah silap dan menghalal segala hutang piutang arwah dan yang telah bertungkus lumus menyempurnakan pengebumian arwah secara langsung dan tidak langsung.
Terima kasih juga buat kawan-kawan yang mengucapkan takziah di blog ini.
Kematian ini hampir pada kita semua, andai kita tahu tarikh kematian kita... Apakah tindakan kalian?

Friday, September 11, 2009

Pergi tak kembali.

Hilang kepenatan aku yang baru pulang dari berjualan pasar Ramadhan. Lesap segala sengal-sengal lenguh badan. Terpadam selera aku untuk menjamah juadah berbuka puasa.
Al-Fatihah.
Buat sepupuku, Yaharah binti Abdullah berusia 62 tahun. Pergi menghadap Ilahi sebaik sahaja azan Maghrib 20 Ramadhan usai berkumandang.
Melalui Lebuhraya DUKE aku membelah sisa remang senja menuju Kg. Chubadak, Sentul. Kain putih baru sahaja mahu diikat di setiap simpang masuk waktu ketibaan aku. Menandakan ada kematian. Ahli keluarga adik beradik tekun melagukan surah Yasin menambahkan suasana pilu.

Thursday, September 10, 2009

Radio pun ada hari.

Asal lagu ini dinyanyikan oleh Sudirman Haji Arshad tapi sebab cari dalam youtube tak jumpa, jadilah... dinyanyikan semula.

Bukanlah kerana aku tidak boleh hidup tanpa radio cuma musik sering membangkitkan nostalgia. Adakala ianya memberi satu kehidupan untuk aku terus bertenaga.

September 9, 2009 Selamat Hari Radio SeMalaysia!

Wednesday, September 9, 2009

Jualan murah.

Aidil Fitri menjelang tiba beberapa hari lagi. Tentunya sudah ada yang mempersiapkan keperluan pakaian raya lebih awal, begitu juga dengan kelengkapan lain yang perlu. Dalam masyarakat berbelanja secara sederhana kerana kegawatan ekonomi dunia namun masih ada segelintir yang masih mampu berbelanja mewah tanpa berfikir kesan keborosan pada masa akan datang. Yelah.. kita maklum, duit masih ada, berkepuk dalam poket. Tidak di hairan jika duit pipis, gaji bulan depan menjanjikan pasti poket kembali kembung. Ikut kerak nasi masing-masing.
Aku cuma ingin berkongsi sahaja. Bukan untuk kau menurut kata. Kau punya duit, kau punya suka hendak berbelanja. Elok juga kau berbelanja duit yang ada kerana merancakkan kembali ekonomi dunia.
Sememang jualan murah menarik perhatian ramai orang. Hakikatnya, jualan murah ini adalah untuk para pembekal melangsaikan stok-stok lama yang tak jalan beberapa bulan lalu. Jadi mereka yang membeli di luar musim jualan murah, adakala terasa tertipu bila harga di jatuhkan sehingga 50% hingga ke 70% malahan ada yang jatuh sehingga potongan 80%. Tapi untuk meredakan hati yang amarah, mereka yang membeli pada jualan murah adalah mereka yang ketinggalan fesyen terkini. Tidak mengapa, terpulang pada selera masing-masing. Bagi mereka yang berbelanja pada yang perlu dan berbaloi untuk duit, berbelanja pada musim jualan murah amat praktikal. Tidak kisah tentang fesyen terbaru asalkan keperluan yang perlu tertunai.
Minggu lepas, Jusco AU2 membuat jualan J-Card fiesta dan hari ini, berlangsung jualan J-Card di Jusco IOI Mall, Puchong. Mereka yang sudah mengetahui pastinya ada yang sanggup untuk mengambil cuti untuk memeriahkan suasana. Menariknya, satu senario berlaku ketika jualan J-Card di AU2, di mana ada 'Happy Hour' dari syarikat pembuat dan pembekal comforter berjenama. Asalnya harga comforter sememangnya terlalu mahal untuk dimilik bagi segelintir orang. Rata-rata harga bagi satu comforter adalah antara RM300.00 sehingga RM700.00.
Bila 'Happy Hour' ini berlangsung selama 2 jam dengan teriakkan jurujualnya, harga dijatuhkan sehingga RM69.00 sehingga RM79.00, dimana potongan harga 70% + 20% dilaksanakan. Contoh, bila harga asal berjumlah RM300.00 diberikan diskaun 70% maka harga selepas diskaun itu ialah RM90.00 kemudian didiskaunkan lagi RM90.00 itu dengan 20% menjadi harga jualan sebanyak RM72.00 sahaja. Sedangkan kos sebenar untuk satu comforter hanyalah RM35.00 sahaja.
Lihat sahaja mereka yang berebut mencari warna dan corak pilihan hati untuk menghias kamar tidur. Walau situasi ini dikatakan situasi menang-menang antara pembekal dan pembeli, tapi bagaimana dengan pembeli yang telah membeli awal di luar musim jualan murah dengan harga jualan RM300.00?

Monday, September 7, 2009

Thursday, September 3, 2009

Di antara mereka.

Awal Ramadhan, aku melihat Syamsul Ghau-Ghau buat liputan untuk rancangan Syamsul di Bazaar Ramadhan. Tetamu yang diiringi ialah pasangan suami isteri Fauzi dan Lisda serta anak kecil mereka. Mungkin baru 5-6 gerai rombongan ini menyinggah di gerai-gerai yang ada di Param Setiawangsa, hujan turun mencurah-curah.

Menjerit berteriaklah para peniaga yang berhampiran mengusik si pengacara dan tidak kurang juga berasa kasihan kepada anak kecil yang didukung Lisda. Aku pun tidak tahu di mana mereka singgah berteduh. Tapi si jurukamera masih leka membuat penggambaran di gerai tahu sumbat dan kuih udang Nogori berhadapan gerai aku.

Lama juga hujan, tidak menunjukkan tanda untuk teduh. Perasan juga aku, Syamsul berlari anak bersama krew kerja tanda penggambaran mungkin selesai atau dibatalkan. Berjinjit jugaklah beberapa bungkusan makanan di tangan kanan Syamsul, sempat...

Tak nampak pula aku kelibat pasangan tadi.

Semalam, aku lihat Chef Wan bersama seorang sahabat meronda. Tika itu masih terlalu awal, jam 1600. Masih banyak gerai yang masih dalam proses penyediaan makanan. Ramai juga peniaga yang menegur dan berteriak nama Chef Wan kita. Beliau hanya mampu tersenyum seolah-olah tidak mahu mengangkat dirinya sebagai selebriti. Sempoi sahaja Chef Wan kita...

Usha resepi ke Chef Wan?

Petang tadi antara jam 1700 dan 1730, manusia semakin ramai berpusu-pusu melepasi gerai-gerai. Suasana yang sedikit redup kerana baru lepas hujan mula menjadi bingit dengan teriakan-teriakan para peniaga mempromosi barang jualan. Di celah-celah ramai manusia itu, aku perasan pasangan romantik, Que Haidar dan Linda Jasmine. Linda yang berbadan dua masih anggun dalam pakaian santainya. Que sempoi dengan seluar pendek bermuda dan t-shirt.

Mungkin mereka tahu apa yang mereka mahukan di situ. Mereka hanya berjalan tanpa menoleh kiri kanan melihat gerai-gerai jualan sambil mulut mereka kelihatan rancak berbual antara satu sama lain. Mungkin sedang bertanya antara satu lain juadah apa yang patut dibeli sahaja dan terus pulang. Mereka biasa agaknya dengan juadah yang sering dibeli dari situ hingga tidak kelihatan tercanggak-canggak mencari juadah untuk berbuka nanti.

Bila selebriti begini ada di kalangan kita, kita pun tidak tahu apa tindakan yang perlu mereka buat. Apa laku yang perlu dijaga atau perlukah mereka terus melemparkan senyuman pada semua orang? Atau mereka sendiri yang menegur orang ramai, menghulur salam? Jika mereka yang mula menegur, orang kata lain pula. Andai orang yang menegur mereka, khuatir dikatakan kita mengganggu waktu peribadi mereka. Susah juga, serba tak kena pula.

Sehingga sekarang, aku sering juga terserempak dengan selebriti di tempat-tempat awam dan di luar waktu kerja mereka. Seingat aku, hanya pelakon Os sahaja yang aku tegur semasa aku membuat kerja di Terminal Putra beberapa bulan lepas. Manakala yang lain, aku hanya berselisih atau melihat sahaja dari jauh. Setakat ini, mereka juga elok laku perangainya walau mereka punya nama besar dalam industri seni.

Tapi bila membandingkan segelintir mereka yang punya reputasi buruk ketika di tempat awam, malah yang tercemar namanya dalam dunia internet, aku tidak tahu apa tujuan mereka sanggup melakukan begitu. Paling-paling, mereka menyalahkan pihak lain yang memburukkan nama mereka, sedangkan maruah, muka dan tubuh mereka sudah berdagang jauh dalam internet. Tak malukah ibubapa mereka mahupun diri mereka sendiri? Apa yang membuatkan yang mereka tidak boleh berfikir jauh dan menjaga tingkah laku? Mengapa pula ada segelintir mereka yang boleh beradab di tempat awam?

Aku memang tak kisahlah kalau mereka hendak buat apa pun. Kata 'american'.. tapi orang Amerika, tatasusilanya berbeza dengan agama Islam. Agama Kristian pun tidak menyukai maksiat, mereka keliru dengan agama dan budaya, seolah bersatu. Sedangkan kita, agama dan budaya adalah berbeza dan punya garisannya tapi bergerak selari. Ada halal dan haramnya, asasnya pun semua orang tahu. Arak, zina dan judi itu haram. Tujuh dosa besar pun hampir semua umat Islam yang Melayu pun tahu. Isu aurat jangan sentuhlah. Adakah atas alasan kemerdekaan, bebas, dan mereka juga sengaja hendak menggelirukan minda mereka sendiri atau mereka ini memang buta kayu.

Aku lebih bangga jika mereka ini 'low profile' di tempat awam, berbakat besar dan bertanggungjawab dalam industri seni. Walau mereka ini tidaklah galak hendak menegur atau minta disapa, tapi seolah aku boleh rasakan yang mereka ini masih menghormati orang di sekeliling mereka. Daripada mereka yang hipokrit di depan awam. Terasa 'keplastikkan' tingkah laku mereka. Adakah sebenarnya mereka ini faham dengan istilah 'artis' itu sendiri?

Wednesday, September 2, 2009

Hari raya pertama.

Seingat aku, pada usia aku 10 dan 11 tahun, hari raya tahun itulah yang paling seronok. Dah pandai nak berbelanja sendiri dengan duit raya. Lupa dah pada pak belang yang tak makan daging tu.

Sebaik sahaja matahari terpacak atas kepala, duit raya yang dikumpul dari orang kampung sudah memberatkan poket baju melayu. Masa tu kalau dapat singgit, heboh kita orang bagitau kawan-kawan yang lain supaya jangan lupa beraya di rumah tersebut terutama rumah Wak Rahmat (tokeh barongan dan bangsawan jawa) berhampiran sekolah agama tu... Duit syiling dua puluh sen dan lima puluh sen berkerincing dalam poket bila aku berlari melompat longkang.

Belah baruh telah habis kami pusing, cuma tinggal belah darat. Setelah berdiskusi, belah darat tiada ramai yang kami kenal maka kami batalkan rombongan raya ke belah sana. Keputusannya, kami mahu berjoli katak dengan duit raya. Arah tujuan?

Kami sepakat untuk ke Ampang Park!

Dari Kg. Baru kami menyusuri benteng sungai Klang yang memisahkan Kg. Baru dengan tanah perkuburan Jalan Ampang. (Sekarang lebuhraya AKLEH yang membumbungkan sungai tu). Kami hanya menapak menyusuri sehinggalah ke jalan besar, Jalan Tun Razak berhampiran flat Sg. Baharu, kemudian menyusuri jalan besar, melintasi Jalan Yap Kwan Seng sehinggalah tiba ke Ampang Park.


Apa ada kat Ampang Park?

Hoho... masa itu, Ampang Park lah yang paling best lebih-lebih lagi ada amusement park yang paling besar di Kuala Lumpur. Permainan video, kereta langgar-langgar berelektrik (kira canggih dah masa tu), yang best, ia macam belon panas tu tapi kita orang boleh main-main lompat di dalamnya. Kalau main game, antara PacMan atau Space Invaders yang jadi pilihan. Masukkan syiling dua puluh sen, lenguhlah tangan mengendalikan joy stick tu.. Puas main, beralih pula main game lumba kereta. Masa tu belum ada lagi Daytona. Skrin pun hijau je. Ada yang kaler pun, budak-budak besar dah conquer. Jangan haraplah dapat.

Puas main video game, kita orang akan main pin ball. Menariknya pin ball sebab bunyi dan lampunya yang menarik setiap kali bola mengena sasaran. (Rindu nak main pin ball). Tapi masa tu main belasah je main. Tarik je handle, bola keluar, dah seronok gila... kadang tukang jaga flipper kiri kanan tu sorang satu jaga. Hahaha...

Yang happening bila kita orang main bumper car. Token mahal, seringgit sekali main, beratur tunggu giliran pun panjang. Sanggup! Bila dah main, abis lah suma kita orang langgar. Tak kira kawan dah. Hahahaha... yang buat penat, penat gelak.. Dah puas main sakan, kita orang turun lah. Bila turun, singgah jap kat pawagam, saja round-round tengok poster cerita apa yang best.
Tapi masa tu port kita orang tengok wayang kat Federal. Kat Ampang Park ni banyak cerita orang dewasa. Jadi layan poster je lah. Hahaha... Apek tu jeling je kita orang.

Bila balik, kita orang ikut jalan lain. Ikut Jalan Ampang. Jalanlah perlahan-perlahan. Masa tu belum ada KLCC, dulu situ kelab lumba kuda. Bila dah melintas kat kelab lumba kuda tu, kita orang lintas jalan masuk AngkasaRaya. Buat apa? Hehehe...

Situ ada A&W! Kira minum rootbeer float dengan burger atau waffle aiskrim tu kira dah mewah dah. Brader-brader yang kerja situ pun baik-baik, layan segala pertanyaan kami. Bukan tanya apa, tanya hargalah. Pastu brader tulah yang tolong kirakan duit syiling kita orang. Makan pun 'tong-tong' je. Yang penting rootbeer sorang satu, burger dengan waffle, share-sharelah. Dah puas sejukkan badan dalam aircond, kita orang sambung lagi jalan.

Nak ke Kg. Baru, kita orang short cut ikut kubur Ampang. Kubur Ampang ni pun kira dah jadi taman permainan kita orang. Macam-macam cerita kita orang dengar pasal kubur Ampang ni, hantu kepala anjing lah, hantu bawa anak minta susu lah, hantu kum-kum, hantu stokin... macam-macamlah... aku tak pernahlah terserempak walau selalu gak bermain waktu-waktu senja.

Di hujung kubur Ampang ada kampung setinggan, Kg. Cendana. Ramai gak kawan-kawan sekolah aku kat situ. Jadi kita orang singgahlah beraya. Puas beraya lima enam buah rumah, kita orang bergabung lagi dengan budak-budak Cendana ke pasar minggu lak. Kita orang lalu lah flat PKNS 17 tingkat tu.

Sampai pasar minggu, hari senja. Jadi duduk berkumpullah kat pentas dulu, tunggu orang habis sembahyang. Lepas je Maghrib, semua tadi yang dah merancang nak beli mercun bunga api, meluru pergi kedai Pakcik Ishak atau mana-mana kedai yang jual bunga api. Bermain pula bunga api kat depan pentas. Standard, bunga api kucing, bunga api yang keluar asap banyak tu, kita orang patah-patahkan pendek, bakar campak je kat bawah. Yang mewah tu, beli mercun katak, bunga api teratai. Paling canggih, bunga api das lah. Tu kena kira berapa banyak das, siapa yang paling panjang, kira tererlah!



Siapa yang berani pegang mercun yang terbang ke atas, dia orang main pegang je. Yang mana agak-agak cuak, pakai botol air oren lah. Pastu berlawanlah dengan bunyi letupan. Karang budak Kg. Pasir bakar, pastu budak area sekolah agama main gak. Meriahlah dengan letupan di angkasa mengegarkan ruang udara Kg. Baru. Tu belum kira budak-budak besar masuk campur... Kena 'mat fit' masuk campur tangan... siap.. macam-macam mercun dia orang bawa. Entah dari manalah dia orang dapat, yang penting, kita orang semua bergembira main mercun!


Dah habis semua bunga api, mercun.. barulah rasa perut lapar. Barulah ingat rumah. Kami pun ada yang berpecah pulang. Oleh kerana aku duduk di hujung lorong, makanya akulah yang terakhir sampai rumah, berjalan dalam gelap. Tapi semua rumah yang aku lintas masih meriah dengan tetamu yang datang beraya.

Melangkah masuk je ke rumah, dah pastilah mak aku bersuara dulu. "Dari pagi kau hilang, dah gelap malam baru kau balik?" Nak cover dari kena marah, aku meluru dulu salam mak long, pak long yang duduk menyantap lontong. Pastu duduk main dengan sepupu-sepupu aku. Main lagi....

Bila tiba hari raya...

Hari ini dah 12 hari berpuasa. Bukan nak menghitung hari tuk raya. Bila dah besar gemuk ni, raya pun macam tiada apa-apa kecuali sembahyang raya dan bayar zakat fitrah. Balik kampung? Kampung aku sebenarnya tak jauh, dekat je. Selalu gak aku pusing-pusing kampung. Tapi rumah aku membesar dulu sudah tiada lagi. Dah bertukar menjadi stesen LRT. Sedih... memang sedih... ngam-ngam rumah tu nak dirobohkan, orang tua lelaki aku pergi menghadap Ilahi. Budi bicara pihak kontraktor dapatlah kami sekeluarga lanjutan tempoh untuk berpindah keluar. Kini bila hari raya, tanah perkuburan Jalan Ampang destinasi utama untuk diziarahi walau seminggu sebelum raya aku dan abang-abang aku akan menziarahinya dahulu.

Jika dahulu aku di rumah lama, lebih kurang masa begini aku telah diberikan tugas-tugas untuk menyambut hari raya. Tugas utama aku ialah mempolishkan semua barangan hiasan tembaga. Itu wajib aku kena buat. Autosol tu jadi barang mainan aku bila nak menyambut raya. Tugas lain, aku kena cat 'pintu gate' dan mana-mana bahagian dinding rumah yang perlu di cat. Adik perempuan aku, kerja dia, menggantung kad raya... habis semua dia baca...

'Pecah kaca, pecah gelas, sudah baca, harap balas..' Ayat standard yang paling popular dulu!

Kenangan aku semasa kanak-kanak di sana amat meriah tika bulan Ramadhan. Masjid setiap hari dikunjungi walau hanya untuk berlari di sekeliling mengusik rakan sebaya yang lain. Jiran-jiran bertandang singgah berbual kosong selepas berbuka dan berbondong kami ke masjid untuk terawih. Aku, terawih beberapa rakaat je la, pastu naik atas masjid sibuk jadi katerer tuk moreh la. Hehehe...

Selepas berbuka puasa untuk hari terakhir berpuasa adalah kemuncak untuk aku menikmati suasana kemeriahan hari raya. Sebaik selepas mendengar pengisytiharan dari penyimpan mohor besar raja-raja, (biasanya kami sekampung sudah mengetahui kerana ada tetangga yang bekerja di pejabat penyimpan mohor, cuma nak dengar yang rasmi punya...) aku dan abang-abang aku berjalan kaki ke Pertama Kompleks atau Campbell untuk bershopping. Puas shopping, kami akan berlegar-legar di Jalan Tunku Abdul Rahman untuk menanti acara lelong bunga api dan mercun. Begitu juga dengan seluar baju yang dijual di kaki lima berhampiran Selangor Emporium.

"Aaaa... dipilih.. dipilih... dilambung tak pecah, dihampas baderai..."

Seronok woo tengok orang lelong barang. Macam-macam gaya lelongan....
Ada lelong kuih raya, mercun bunga api, barang mainan, barang perhiasan... macam-macam lah ada..

"Aaaaa... bang.. tak cukup lima, saya tambah lagi satu... 10 ringgit...!"
"Asal barang jadi duit..... yeeaaahhhh.... mari rapat... asal duit jadi barang..."

Mana dah terserempak dengan budak sekampung, kami akan berjalan pulang beramai-ramai sambil bercerita barang baju seluar kasut yang dibeli. Sampai di rumah, masih ada lagi satu tugas rasmi aku menanti, vakuum carpet! Itu memang kepakaran aku dulu semasa kanak-kanak. Selesai kerja, baru aku akan keluar ke rumah jiran, yang punya laman cukup luas untuk kami, kanak-kanak bermain mercun dan bunga api hinggalah awal pagi. Tika itu mana ada rasa penat atau ngantuk. Seronok je yang tau...

Sekarang? Entah berapa lama sudah tidak aku ke Jalan TAR. Jika ke sana pun, lalu je la atau cuma ada urusan kerja di premis berdekatan. Nama nak menyinggah, bershopping, tak ada lah. Pertama dan Campbell pun sudah lama tidak aku jejak. Masjid Kg. Baru pun hanya lalu melintas sahaja kini.

Bila kini tiba hari raya, hanya sanak saudara yang jadi pengisiannya. Sepupu sepapat pun kalau berselisih pun mungkin tak perasan. Kalau accident tengah jalan pun dah tak kenal. Apalagi dengan anak-anak saudara yang berbacang-bacang baunya. Jadi hari raya ini macam kawat cam di balai la gamaknya. Masing-masing dah berubah paras rupa bentuk. Yang dah bersuami, ikut cara suami. Yang dah berbini, boroilah perut membawa... macam aku. Hahaha... Yang dulu kecil berhingus, kini dah sasa, tegap, cantik molek.

Apalagi ada hari raya? Setakat ketupat rendang, sekarang bila-bila pun boleh makan. Lontong, nasi impit, kuah kacang, lemang? Kalau teringin, capai aje yang segera kat supermarket.

Apa yang tinggal hanyalah budaya saling maaf bermaafan. Itulah sahaja, erti hari raya pada aku hari ini.

Tuesday, September 1, 2009

Peluang dapat duit petrol!

Semalam dalam kepenatan pulang berniaga dari 'param', aku menonton berita utama TV3. Sebelum disampaikan berita, penyampai dahulukan keutamaan rakyat. Keutamaan untuk rakyat membayar harga baru petrol!

Baru saja aku ingat nak gunakan petrol yang baru ni dengan harga RM1.75 seliter tapi dimusnahkan dengan pemasyhuran tentang harga baru ini. Yang dahulu RM1.80 mendadak naik ke aras RM2.05 seliter kononnya untuk kereta berkuasa tinggi. Mereka yang berkuasa ini pernah ke memuncungkan nozzle ke dalam kereta mereka sendiri? Mereka pernah ke beratur membayar harga petrol di kaunter? Yang tahu claim elaun petrol ada la...
Jadi dalam aku update blog rakan-rakan, terbacalah peluang untuk mendapat giveaway petrol voucher dari MummyLyna. Sememangnya dahulu lagi MummyLyna merencanakan untuk memberi voucher-voucher petrol ini untuk para pembaca blognya cuma belum jumpa caranya. kini idea telah terbit, sedang dilaksanakan.
Jadi pada anda yang juga ingin menggapai voucher petrol ini, bolehlah dapatkan keterangan lanjut di blog MummyLyna ea. Hendak seribu daya, tak nak korang bagi aku je la. Aku memang nak sangat! Hahaha.... Emas hitam...


mysuperkids giveaway


Sertai sekarang untuk voucher minyak PERCUMA!


weblog popular 1Malaysia


*this giveaway is open to everybody and anybody. if you don’t have blog and you’re interested to be in, just create a simple blog with www.blogger.com or www.wordpress.com or any bloghosting your prefer and just do the same thing Senang kan.

**this giveaway is closed on 30 September 2009 (still mood raya lagi kan? Open house tak habis lagi tu)

Mulanya.. keliru.

Sebelum ini aku isi petrol di sebuah stesen minyak Caltex. Seperti biasa aku memberitahu nombor pam dan warna nozzle, jika di Caltex, nozzlenya berwarna kuning. Setelah itu aku selambalah mengisi. Dalam aku mengisi petrol, terperasanlah aku harga yang tertera; RM1.75 seliter. Terfikir pula aku samada aku telah mengisi petrol yang salah atau kata lain petrol jenis lama. Aku baca pelekat di tepi tempat letak nozzle, Unleaded 95. Aku perhatikan pemandu lain yang mengisi petrol. Mereka juga mengisi petrol dengan nozzle yang berwarna kuning. Dalam kekeliruan itu, tekad juga hati aku untuk menggunakan petrol ini memandangkan harganya murah walau 5 sen. Jadi untuk RM20.00 aku peroleh 11.42 liter yang sebelum ini hanya 11.11 liter.

Tiga hari kemudian aku mengisi lagi petrol di stesen Shell di Batu Caves. Kali ini aku ditanya oleh petugas di kaunter, petrol lama atau petrol baru?
Apa bezanya? Aku pula menjawab soalan dengan soalan.
Yang baru, Unleaded 95, RM1.75 dan yang lama tu Super 97 petrol lama kita gunakan, RM1.80 seliter.
Kalau macam tu, petrol barulah. Aku menjawab.

Baru aku mengerti. Ada petrol baru dan harganya murah...! Sudah kira bagus ni...

mysuperkids giveaway


Sertai sekarang untuk voucher minyak PERCUMA!


weblog popular 1Malaysia