Halaman

Saturday, September 26, 2009

Kalau makan, bagi aku..

Dalam suasana hari raya aku akan ke Alor Gajah, Kg. Paya Datoh untuk beraya di rumah makcik Bedah, saudara belah mak mertua aku. Walau mak mertua aku tidak turut serta hanya berwakilkan abah dan anak perempuannya (isteri akulah), aku serta Syami dan Sarah.

Seperti dirancang semalam (raya pertama), aku usulkan pada abah, adalah molek jika sampai di rumah makcik Bedah pada waktu tengahari, seperti tahun-tahun lepas. Aku tahu masakan makcik Bedah amat menyelerakan; asam pedas ikannya, asam rebus bendinya, masak gulainya, sayur goreng, ikan masin serta ulam-ulam yang segar. Ditambah dengan colekkan sambal belacan bersuap nasi putih panas berasap.

Tapi abah punya rancangan lain; dia berselera untuk menikmati satay berhampiran pasar Menggong di Alor Gajah. Dia mengidam satay perut yang dikatakan boleh dihabiskan sehingga 20 cucuk untuk dia seorang.

Setelah beraya di Kg. Mertang, Sri Pilah dan Kepis selepas matahari condong ke arah barat, aku tiba di Alor Gajah melalui Tampin bila bulan sabit Syawal menampakkan cahaya. Kami terus menghala ke pekan Alor Gajah untuk memenuhi selera abah. (lagipun abah yang bayarkan...).

Aku meminta kebenaran untuk meletakkan kereta di bahagian belakang stesen Petronas dari seorang petugas di situ dengan alasan bahawa abah yang kurang upaya untuk menapak jauh. Dengan ramah kebenaran diberi dan petugas itu juga bagai tahu yang kami hendak menjamu selera.
Abah memesan 30 cucuk satay perut, 15 cucuk satay ayam dan 10 cucuk satay daging. Sarah memesan 10 keping otak-otak sebagai pembuka selera. Perjalanan tadi membuatkan kami berasa lapar semula walau berpinggan nasi impit berkuah kacang dan soto berkuahkan sup daging lembu segar yang disembelih di malam raya, menjolok tembolok petang tadi semasa ziarah raya di rumah adik-beradik atuk.

Lepas menjamu selera, kami terus ke rumah makcik Bedah. Abah yang kekenyangan tidak sanggup lagi menelan dan berpesan pada Sarah dan Syami agar tidak memberitahu makcik Bedah yang kami telah menjamu satay sebentar tadi. Aku pula berkira-kira apalah hidangan yang terhidang nanti di rumah makcik Bedah. Aku hanya 'menjamah' kira-kira 20 cucuk satay dan 2 otak-otak sahaja tadi. (Sikit je tu.... )

Bertanya khabar dan berbual dengan ahli keluarga makcik Bedah, aku yang leka berbual dipanggil untuk makan. Makan? Sengaja aku pelawa abah untuk turut serta, abah beri alasan perutnya sudah senak. Aku duduk di meja makan dan menyenduk nasi ke pinggan. Aku senduk asam pedas daging tetel dan sayur kacang panjang goreng ke atas nasi panas. Tidak kelihatan pula ikan masin gelama belah atau ikan masin cekik leher yang selalunya mengiringi lauk-pauk. Masih berselera... aku tambah sedikit nasi dan menyudu kuah asam rebus ikan bilis dan bendi ke dalam pinggan. Pengakhirannya... aku sulam dengan dua cawan kopi o panas....!

1 comment: