Halaman

Wednesday, September 2, 2009

Hari raya pertama.

Seingat aku, pada usia aku 10 dan 11 tahun, hari raya tahun itulah yang paling seronok. Dah pandai nak berbelanja sendiri dengan duit raya. Lupa dah pada pak belang yang tak makan daging tu.

Sebaik sahaja matahari terpacak atas kepala, duit raya yang dikumpul dari orang kampung sudah memberatkan poket baju melayu. Masa tu kalau dapat singgit, heboh kita orang bagitau kawan-kawan yang lain supaya jangan lupa beraya di rumah tersebut terutama rumah Wak Rahmat (tokeh barongan dan bangsawan jawa) berhampiran sekolah agama tu... Duit syiling dua puluh sen dan lima puluh sen berkerincing dalam poket bila aku berlari melompat longkang.

Belah baruh telah habis kami pusing, cuma tinggal belah darat. Setelah berdiskusi, belah darat tiada ramai yang kami kenal maka kami batalkan rombongan raya ke belah sana. Keputusannya, kami mahu berjoli katak dengan duit raya. Arah tujuan?

Kami sepakat untuk ke Ampang Park!

Dari Kg. Baru kami menyusuri benteng sungai Klang yang memisahkan Kg. Baru dengan tanah perkuburan Jalan Ampang. (Sekarang lebuhraya AKLEH yang membumbungkan sungai tu). Kami hanya menapak menyusuri sehinggalah ke jalan besar, Jalan Tun Razak berhampiran flat Sg. Baharu, kemudian menyusuri jalan besar, melintasi Jalan Yap Kwan Seng sehinggalah tiba ke Ampang Park.


Apa ada kat Ampang Park?

Hoho... masa itu, Ampang Park lah yang paling best lebih-lebih lagi ada amusement park yang paling besar di Kuala Lumpur. Permainan video, kereta langgar-langgar berelektrik (kira canggih dah masa tu), yang best, ia macam belon panas tu tapi kita orang boleh main-main lompat di dalamnya. Kalau main game, antara PacMan atau Space Invaders yang jadi pilihan. Masukkan syiling dua puluh sen, lenguhlah tangan mengendalikan joy stick tu.. Puas main, beralih pula main game lumba kereta. Masa tu belum ada lagi Daytona. Skrin pun hijau je. Ada yang kaler pun, budak-budak besar dah conquer. Jangan haraplah dapat.

Puas main video game, kita orang akan main pin ball. Menariknya pin ball sebab bunyi dan lampunya yang menarik setiap kali bola mengena sasaran. (Rindu nak main pin ball). Tapi masa tu main belasah je main. Tarik je handle, bola keluar, dah seronok gila... kadang tukang jaga flipper kiri kanan tu sorang satu jaga. Hahaha...

Yang happening bila kita orang main bumper car. Token mahal, seringgit sekali main, beratur tunggu giliran pun panjang. Sanggup! Bila dah main, abis lah suma kita orang langgar. Tak kira kawan dah. Hahahaha... yang buat penat, penat gelak.. Dah puas main sakan, kita orang turun lah. Bila turun, singgah jap kat pawagam, saja round-round tengok poster cerita apa yang best.
Tapi masa tu port kita orang tengok wayang kat Federal. Kat Ampang Park ni banyak cerita orang dewasa. Jadi layan poster je lah. Hahaha... Apek tu jeling je kita orang.

Bila balik, kita orang ikut jalan lain. Ikut Jalan Ampang. Jalanlah perlahan-perlahan. Masa tu belum ada KLCC, dulu situ kelab lumba kuda. Bila dah melintas kat kelab lumba kuda tu, kita orang lintas jalan masuk AngkasaRaya. Buat apa? Hehehe...

Situ ada A&W! Kira minum rootbeer float dengan burger atau waffle aiskrim tu kira dah mewah dah. Brader-brader yang kerja situ pun baik-baik, layan segala pertanyaan kami. Bukan tanya apa, tanya hargalah. Pastu brader tulah yang tolong kirakan duit syiling kita orang. Makan pun 'tong-tong' je. Yang penting rootbeer sorang satu, burger dengan waffle, share-sharelah. Dah puas sejukkan badan dalam aircond, kita orang sambung lagi jalan.

Nak ke Kg. Baru, kita orang short cut ikut kubur Ampang. Kubur Ampang ni pun kira dah jadi taman permainan kita orang. Macam-macam cerita kita orang dengar pasal kubur Ampang ni, hantu kepala anjing lah, hantu bawa anak minta susu lah, hantu kum-kum, hantu stokin... macam-macamlah... aku tak pernahlah terserempak walau selalu gak bermain waktu-waktu senja.

Di hujung kubur Ampang ada kampung setinggan, Kg. Cendana. Ramai gak kawan-kawan sekolah aku kat situ. Jadi kita orang singgahlah beraya. Puas beraya lima enam buah rumah, kita orang bergabung lagi dengan budak-budak Cendana ke pasar minggu lak. Kita orang lalu lah flat PKNS 17 tingkat tu.

Sampai pasar minggu, hari senja. Jadi duduk berkumpullah kat pentas dulu, tunggu orang habis sembahyang. Lepas je Maghrib, semua tadi yang dah merancang nak beli mercun bunga api, meluru pergi kedai Pakcik Ishak atau mana-mana kedai yang jual bunga api. Bermain pula bunga api kat depan pentas. Standard, bunga api kucing, bunga api yang keluar asap banyak tu, kita orang patah-patahkan pendek, bakar campak je kat bawah. Yang mewah tu, beli mercun katak, bunga api teratai. Paling canggih, bunga api das lah. Tu kena kira berapa banyak das, siapa yang paling panjang, kira tererlah!



Siapa yang berani pegang mercun yang terbang ke atas, dia orang main pegang je. Yang mana agak-agak cuak, pakai botol air oren lah. Pastu berlawanlah dengan bunyi letupan. Karang budak Kg. Pasir bakar, pastu budak area sekolah agama main gak. Meriahlah dengan letupan di angkasa mengegarkan ruang udara Kg. Baru. Tu belum kira budak-budak besar masuk campur... Kena 'mat fit' masuk campur tangan... siap.. macam-macam mercun dia orang bawa. Entah dari manalah dia orang dapat, yang penting, kita orang semua bergembira main mercun!


Dah habis semua bunga api, mercun.. barulah rasa perut lapar. Barulah ingat rumah. Kami pun ada yang berpecah pulang. Oleh kerana aku duduk di hujung lorong, makanya akulah yang terakhir sampai rumah, berjalan dalam gelap. Tapi semua rumah yang aku lintas masih meriah dengan tetamu yang datang beraya.

Melangkah masuk je ke rumah, dah pastilah mak aku bersuara dulu. "Dari pagi kau hilang, dah gelap malam baru kau balik?" Nak cover dari kena marah, aku meluru dulu salam mak long, pak long yang duduk menyantap lontong. Pastu duduk main dengan sepupu-sepupu aku. Main lagi....

2 comments:

  1. Assalamualaikum,
    14 Mei 2013,pertama kali jejak kaki di Tanah Perkuburan Islam,Jalan Ampang walaupun dah lama dok KL sejak 1983.Itupun nak mencari pusara orang kampung dari Terong,Perak iaitu pelakon bangsawan Tok Yem atau nama sebenarnya,Ibrahim B.Jaafar dan salah seorang isterinya,pelakon Minah Ketot.Tok Yem meninggal dunia tahun 1969 di Kg.Baru.Bersembang dgn pekerja tanah perkuburan mengenai susun atur pusara2 di situ.Lagipun mereka pekerja2 baru dan tak banyak tahu kisah2 lama.Kebetulan temu seorang sedang baiki pusara lama dan dia dulu dok Kg.Baru.ada dia sebut Kg.Cendana.rasa Kg.setinggan tu belakang Renaissance Hotel,KL sebab ada Jalan Cendana.nak tanya agak2 tahun bila Kg.Cendana dikosongkan dan ke mana2 penduduknya dipindah?
    Terima kasih.
    Hj.Zulkifli Zahari
    Bandar Sri Damansara

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam,

    Tuan Haji, saya pun sudah lupa bila Kg. Cendana tu di pindahkan. Kerana sejak tahun 1985 saya telah besekolah di luar Kuala Lumpur dan seterusnya merantau ke Johor Bahru. Walau saya anak jati Kg. Baru dan pusara ayah saya bersemadi di Tanah Perkuburan Ampang, saya tidak pasti tahun yang tepat. Arwah ayah meninggal tahun 1996, Kg Cendana masih ada. Tahun 1998 barulah saya perasaan Kg. Cendana telah dikosongkan. Rakan taulan yang ada di sana pula telah berpindah sebelum Kg. Cendana dikosongkan. Kebanyakkan penduduk di situ bertebaran di sekitar Kg. Baru, Kg. Keramat dan kawasan sekitar yang lain. Maaf jika saya tidak dapat membantu.

    ReplyDelete