Halaman

Wednesday, September 9, 2009

Jualan murah.

Aidil Fitri menjelang tiba beberapa hari lagi. Tentunya sudah ada yang mempersiapkan keperluan pakaian raya lebih awal, begitu juga dengan kelengkapan lain yang perlu. Dalam masyarakat berbelanja secara sederhana kerana kegawatan ekonomi dunia namun masih ada segelintir yang masih mampu berbelanja mewah tanpa berfikir kesan keborosan pada masa akan datang. Yelah.. kita maklum, duit masih ada, berkepuk dalam poket. Tidak di hairan jika duit pipis, gaji bulan depan menjanjikan pasti poket kembali kembung. Ikut kerak nasi masing-masing.
Aku cuma ingin berkongsi sahaja. Bukan untuk kau menurut kata. Kau punya duit, kau punya suka hendak berbelanja. Elok juga kau berbelanja duit yang ada kerana merancakkan kembali ekonomi dunia.
Sememang jualan murah menarik perhatian ramai orang. Hakikatnya, jualan murah ini adalah untuk para pembekal melangsaikan stok-stok lama yang tak jalan beberapa bulan lalu. Jadi mereka yang membeli di luar musim jualan murah, adakala terasa tertipu bila harga di jatuhkan sehingga 50% hingga ke 70% malahan ada yang jatuh sehingga potongan 80%. Tapi untuk meredakan hati yang amarah, mereka yang membeli pada jualan murah adalah mereka yang ketinggalan fesyen terkini. Tidak mengapa, terpulang pada selera masing-masing. Bagi mereka yang berbelanja pada yang perlu dan berbaloi untuk duit, berbelanja pada musim jualan murah amat praktikal. Tidak kisah tentang fesyen terbaru asalkan keperluan yang perlu tertunai.
Minggu lepas, Jusco AU2 membuat jualan J-Card fiesta dan hari ini, berlangsung jualan J-Card di Jusco IOI Mall, Puchong. Mereka yang sudah mengetahui pastinya ada yang sanggup untuk mengambil cuti untuk memeriahkan suasana. Menariknya, satu senario berlaku ketika jualan J-Card di AU2, di mana ada 'Happy Hour' dari syarikat pembuat dan pembekal comforter berjenama. Asalnya harga comforter sememangnya terlalu mahal untuk dimilik bagi segelintir orang. Rata-rata harga bagi satu comforter adalah antara RM300.00 sehingga RM700.00.
Bila 'Happy Hour' ini berlangsung selama 2 jam dengan teriakkan jurujualnya, harga dijatuhkan sehingga RM69.00 sehingga RM79.00, dimana potongan harga 70% + 20% dilaksanakan. Contoh, bila harga asal berjumlah RM300.00 diberikan diskaun 70% maka harga selepas diskaun itu ialah RM90.00 kemudian didiskaunkan lagi RM90.00 itu dengan 20% menjadi harga jualan sebanyak RM72.00 sahaja. Sedangkan kos sebenar untuk satu comforter hanyalah RM35.00 sahaja.
Lihat sahaja mereka yang berebut mencari warna dan corak pilihan hati untuk menghias kamar tidur. Walau situasi ini dikatakan situasi menang-menang antara pembekal dan pembeli, tapi bagaimana dengan pembeli yang telah membeli awal di luar musim jualan murah dengan harga jualan RM300.00?

No comments:

Post a Comment