Halaman

Tuesday, September 22, 2009

Cerita petang sebelum raya.

Rancangnya hendak ke Kuala Pilah jam 1500 tapi dalam sibuk mengemas baju untuk disumbatkan dalam beg, lekalah pula melipat sekali baju yang baru sampai dari ampaian. Dah melipat tu, tersemangatlah sekali tuk mengemas gobok.

Akhirnya jam 1630 barulah semua selesai untuk aku berangkat, kena singgah kejap di rumah orang tua, ambil rendang ayam yang dimasak pagi tadi oleh orang rumah. Dalam pada menyibuk-nyibuk di rumah orang tua aku yang telah pun berangkat ke Bukit Mertajam; rumah abang aku. Hujan turun dengan lebat! Aku yang bercadang hendak membayar fitrah terpaksa jugalah meredah hujan lebat. Kemudian singgah pula di klinik untuk mengambil ubat demam Syami, malangnya klinik pun sudah beraya, tutup! Aku berlari pula ke farmasi yang berdekatan untuk membeli ubat, alang-alang aku membeli ubat selsema sekali, sebab aku sering diserang virus selsema, apatah lagi bila sudah bermain hujan.

Jam 1800 baru aku bertolak dari Keramat Permai menuju Kuala Pilah. Sedangkan aku perlu mengambil bapa mertua di stesen bas Kuala Pilah yang dijangka tiba pukul 1900 dari Johor Bahru dan baru kami ke Galau bersama. Rasanya seperti tidak sempat untuk sampai Kuala Pilah seperti waktu yang dirancang. Tiba sahaja aku di selekoh memasuki MRR2 berhampiran Ampang Point, aku lihat kereta menentang arus berderet di sebelah kanan jalan. Sudah! Apa sudah jadi? Kereta semua menghala ke jalan yang tidak sepatutnya. Bila aku bertanya pada seorang pemandu teksi, katanya ada banjir besar di hadapan, bas juga tidak mampu mengharungi. Keputusannya, semua kenderaan berpatah balik samada menuju ke Ampang Point atau mencari alternatif jalan lain.

Aku membelok masuk menyertai barisan kereta yang ingin melalui jalan dalam di depan barisan kedai-kedai, memasuki semula Jalan Ampang menuju ke Taman Maluri. Kerisauan hati mengenai kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan antara Nilai-Seremban di tambah dengan kesuntukkan masa, buat aku juga mencari jalan alternatif lain. Seorang kawan dihubungi melalui telefon bimbit. Cadangannya menyuruh aku melalui Semenyih dan terus ke Nilai. Aku segera memandu menuju Jalan Cheras dan memasuki Lebuhraya Cheras-Kajang [peta] menuju Saujana Impian seterusnya melintasi Semenyih.

Melepasi Kajang Perdana, aku di hubungkan pula dengan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) [peta]. Kelihatannya lebuhraya itu amat lengang dengan kenderaan. Hanya ada empat buah kenderaan di hadapan aku dan sebuah di belakang aku. Hairan juga aku bila melihat situasi begini, apatah lagi ini juga adalah kali pertama aku menggunakan lebuhraya ini. Orang ramai masih tidak tahu lagikah kewujudan lebuhraya tiga lorong ini? Mulanya aku merancang untuk keluar di persimpangan Nilai/Pajam seperti yang dicadangkan kawan aku tadi, tetapi bila melihat papan tanda untuk ke Seremban dan beberapa kenderaan lain meneruskan perjalanan, aku fikir lebih baik aku terus ke Seremban dan seterusnya ke Kuala Pilah.

Akhirnya, aku juga yang tertipu. Untuk hala keluar ke Seremban masih belum dibuka dan semua kenderaan mesti keluar melalui susur keluar Mantin. Aku hampirkan kad Touch'N Go di pad bayaran semasa melalui plaza tol, RM4.00 tertera di skrin. Murah juga aku fikir. Dari situ aku membelok ke kanan untuk ke pusat bandar Seremban dan menghala ke Bukit Putus. Jam 1915, waktu berbuka puasa bagi kawasan Negeri Sembilan aku hanya beberapa kilometer sahaja untuk menghampiri Bukit Putus. Sememangnya aku menikmati perjalanan yang sungguh lancar pada petang itu. Aku menyuruh isteri supaya menelefon abah, sekiranya dia telah tiba di stesen bas haruslah dia menunggu kami sampai.


Abah masih lagi dalam perjalanan di Bahau, belum lagi tiba di Kuala Pilah. Legalah juga, sekurang-kurangnya abah tidak perlu menunggu lama; lebih-lebih lagi abah seorang OKU. Kaki kanannya menggunakan kaki palsu kerana tulang kakinya telah remuk dilanggar motosikal 4 tahun yang lalu dan dinasihatkan doktor agar dipotong sehingga paras lutut.

Kelihatannya ada lencongan untuk ke Bukit Putus dan ada pembinaan jalan baru di sebelahnya, mungkin selepas ini, pemanduan melalui Bukit Putus tidak lagi berlekok-lekok. Melalui Bukit Putus perjalanan lancar hanyalah sehingga kawasan rekreasi Ulu Bendul, pemanduan aku tersekat-sekat dengan deretan kenderaan yang memperlahankan kenderaan. Cuma mengambil masa lebih kurang 20 minit sebelum perjalanan kembali lancar. Tepat aku memasuki pekan Kuala Pilah, abah menelefon dan menyuruh aku mengambilnya di hadapan Agro Bank.

Syami dan Sarah mulanya 'racun' atuknya untuk makan berbuka puasa di KFC tetapi ditawarkan atuknya mengatakan bahawa ada banyak makanan yang telah dimasak oleh Mak Teh di rumah. Ayat-ayat power mereka berdua mati ditelan pujukan isteri aku. Akhirnya, lebih kurang jam 2030 aku tiba di Galau dan menikmati sup tulang dan masak lemak cili api ayam kampung. Syami dan Sarah makan bertambah!

1 comment:

  1. Masak lemak cili api ayam kampong?? hmmmm...yum..yum...muehehehehe!!!

    bro kim salam kat Syami dan Sarah ek muehehehehehe!!!

    ReplyDelete