Halaman

Friday, July 31, 2009

Lantai jajahan.

Pagi tadi aku singgah di medan selera; sarap 2 keping roti canai dan segelas nescafe O. Saing suapan membaca akhbar lebaran demi lebaran. Mengesat sisa minyak di bibir dengan servet merah jambu; aku nyalakan sebatang rokok, menyambung khusyuk membaca berita-berita dalam negara dan sukan bolasepak luar negara.


Sekali-sekala aku menjentikkan sisa tembakau sudah bakar ke lantai.

Kau, berbaju biru dan berkolar hijau, datang dengan sebatang mop. Menggelap lantai dengan tekun tanpa ada garis kerisauan di wajah kau yang tenang. Aku kenal persekitaran ini bersih kerana ada kau melaksanakan tanggungjawab. Keikhlasan kau bekerja melenyapkan kedutan gusar kehidupan yang telah kau rintangi.

Maafkan aku kerana bisa membuang sahaja sisa tembakau yang sudah bakar ke lantai jajahan kau.

Tengahari itu aku sekali lagi memasuki jajahan kau untuk tuntutan nafsu perut aku. Usai aku membuncitkan perut dengan nasi berlauk ikan keli goreng berkuah gulai daging salai serta ulam bendi bercecah sambal belacan. Nikmatnya pula aku menyedut asap dari sebatang rokok menggalas kepedasan di mulut. Berjajaran hembusan nafas kenyang bersama deruan asap putih kekuningan.


Kali ini kau tiba pula dengan sebatang penyapu rami di tangan. Kau tekun dengan amanah dipikul tanpa memperdulikan keasyikkan manusia lain lahap menyuap rezeki; kau asyik menyapu. Selang tika, kau pula melabuhkan duduk di kerusi, lepaskan lelah yang bersarang di dada, mungkin. Sepaling lagi aku kepada kau, segelas teh tarik menjadi pelepas dahaga.

Dalam pada itu juga kau mengeluarkan sebungkus rokok lalu kau cepit di bibir dan nyalaan mancis membakar hujung rokok lalu berkepullah asap-asap putih kekuningan menderu selari dengan lelah nafas kau.

Saat dan ketika itu, pudarlah rasa salah aku kepada kau pagi tadi dan begitu juga baru sekejap tadi aku menjentikkan lagi sisa tembakau yang sudah bakar ke lantai jajahan kau.

No comments:

Post a Comment