Halaman

Wednesday, July 29, 2009

Jambu batu dan serbuk asam.

Apalah faedahnya kau sepak terajang kereta orang tua itu hingga berlekuk-lekuk pintu belakangnya. Mujur tidak pecah cermin keretanya dengan hentakkan-hentakkan kaki kau. Mungkin deria pendengarannya sudah terjejas walau tadi kau menampar-nampar keretanya memintanya dia berhenti. Aku tahu... Memang kau bengang bila dia melanggar bahagian depan kereta BMW 5 series kau tadi semasa dia mengundurkan kereta untuk keluar dari petak letak kereta.

Aku pasti dia tidak berniat hendak melanggar kereta kau. Dia sudah tua, jalannya tadi pun bertongkat. Amat perlahan langkahnya waktu aku berselisih dengannya di kaki lima sebentar tadi. Hingga terbit kata hati aku yang pakcik ini masih lagi kuat untuk berurusan di bank walau bertongkat. Kau tidak perasan barangkali dia seorang warga emas kerana leka membeli jambu batu bercampur asam di tepi jalan. Tapi perasan pula waktu dia melanggar kereta kau?

Nyata aku tidak tahu, mengapa kau bertindak sedemikian, menjerit-jerit dengan kata-kata seranah bagai kerasukan syaitan laku kau. Meriakkan keheningan pagi yang harmoni setelah hujan membasahi bumi. Malah sanggup kau mencapai dahan kayu sebesar kaki kau. Apa yang sudah terniat di dalam hati kau? Apa yang telah mendorong kemarahan kau sebegitu sekali? Hanya kerana pelanggaran kecil itu, kau menjadi liar bagaikan babi hutan disinggahi peluru Pak Atan di kebun pisangnya.

Bila dia berhenti, kau membuka pintu keretanya. Menjerit di depan mukanya dengan genggaman dahan kayu di tangan kau memaksa dia keluar. Terkial-kiallah orang tua itu keluar dengan tongkatnya. Sedikit kau tergamam dengan siapa kau menghadap, baru tersedar sikit ada banyak mata mula menggerumuni kelakuan kau. Lalu kau campakkan dahan kayu di atas jalan. Datanglah dengan pantas manusia-manusia lain menyabarkan kesumat hati kau. Jika tidak aku pun tak pasti apa tindakan kau kelak. Mungkinkah jalan kecil itu bakal menjadi 'crime scene'?

Aku tahu kau tidak berpuashati, kumat-kamit mulut kau masih penuh dengan sumpah seranah. Sinar mata kau juga memperlihatkan api kemarahan pada manusia-manusia yang menyebelahi orang tua itu, kau tidak memperdulikan manusia-manusia yang cuba membawa kau ke alam realiti. Syaitan telah lama mengekori kau dari tadi, mengapi-apikan kebencian kau kepada seorang tua yang tidak berdaya. Sekurang-kurang, syaitan itu telah merendahkan kehormatan diri kau sendiri. Berbaloikah merendahkan maruah kau sendiri untuk mempertahankan ego kau sebagai pemilik sebuah kereta BMW?

Kau darah muda, darah kau nyaman untuk syaitan berlari-lari dengan sukaria. Lepaskan orang tua itu dengan kemaafan dan keinsafan dalam diri kau. Setidaknya kau berundur jauh mengamankan diri kau sendiri. Mohon kekuatan dan kesabaran diri kau pada jalan yang lebih baik. Kerosakan kereta kau pun hampir tiada, begitu juga kereta orang tua itu. Tiada celanya kereta kau kerana pelanggaran tadi, ular menyusur akar, tidak hilang bisanya. BMW tetap BMW, walau remuk berdentum dengan lori tanah. Ini, kau pula mengaibkan diri kau di khalayak.

Atau kau baru saja lelah mengilap mengilatkan harta kesayangan kau itu? Sebelum itu kau perlu sedar bahawa tempat kau meletakkan kereta itu bukan di dalam petak letak kereta. Itu memang bukan alasan untuk memberi dia hak untuk melanggar kereta kau tapi jika kau sendiri mengikut peraturan dan berdisplin, pasti pelanggaran tadi boleh dielakkan. Tapi kau rakus memberhentikan kereta kau di situ hanya kerana nafsu tekak kau pada sepotong jambu batu yang digauli serbuk asam.

Tiada apa yang mencacatkan pandangan gaya pemanduan kau dengan kereta BMW itu dengan sedikit kesan calar, jika ada. Kau masih bisa memikat mata gadis-gadis di jalanan atau pemuda-pemuda lain yang iri melihat kau segak di dalam perut kereta buatan Eropah itu. Lebih berbaloi bila terpancar kesucian hati kau menerusi wajah kau yang sentiasa sabar dan sering memaafkan.

Kerana itulah Allah membenci hambanya yang mencintai dunia, mengasihi harta benda dan tidak mengeluarkan zakat.

Bagaimana pula jika orang tua itu adalah jelmaan malaikat yang turun menguji manusia-manusia atas kehendak Allah?

Atau syaitan yang menyerupai seorang manusia tua untuk memandu orang muda itu melakukan jenayah dan dosa?

No comments:

Post a Comment