Halaman

Monday, June 14, 2010

Khalifah Kerajaan Busut.


“Cuba kau lihat kerajaan anai-anai. Mereka kaum yang berwawasan. Mereka telah menerima pembaharuan. Pembaharuan yang dibawa oleh mereka yang seperti aku. Mereka berfikiran terbuka tidak seperti kaum kita. Kau tengok pada deretan sahabat-sahabat kita yang sedang bekerja. Mereka membanting tulang, memerah keringat, menyusur bahaya untuk siapa? Berbaloikah jika mereka menemui ajal dalam perjalanan mereka hanya untuk memenuhi kepentingan yang bukan berpihak kepada mereka? Kepentingan yang bersifat peribadi. Bukankah itu maknanya mementingkan diri sendiri? Jika itu berlaku apa yang mereka dapat? Yang kaya akan tetap terus kaya, tetapi nasib keluarga mereka yang mati tidak ada pembelaan. Salahkah aku memperjuang demokrasi agar suara rakyat didengari.” Marah benar nada suara semut muda. Semut muda bernafas lega apabila ledakan ketidakpuasannya dapat dihamburkan. Akhirnya ombak-ombak ketidakpuasan yang hampir sahaja menggila tadi beransur tenang.

Friday, June 11, 2010

Nombor telefon.

PETANG tadi berlangsunglah sudah akad pernikahan seorang kawan, Wahida,  di Masjid Abu Bakar Johor Bahru dengan lelaki idaman pilihan hati. Aku mengenali dia sejak 20 tahun yang lepas (secara kiraan tahun) di Holiday Plaza sebaik aku melangkah keluar dari alam persekolahan di Johor Bahru. Kawan-kawan aku juga berasa senang dengan sikapnya yang tidak meremehkan,  mudah dibawa ke tengah ke tepi.  Persahabatan kami berterusan walaupun aku kembali ke Kuala Lumpur dan dia sering terbang ke Kuala Lumpur untuk makan angin sewaktu bercuti. Aku tidak berapa pasti pada tahun bilakah kami terputus hubungan, seingat-ingat aku sekitar pada tahun 1993 atau 1994. Hilang!

Namun tiba-tiba, pada sekitar tahun 2004 aku menerima panggilan telefon Wahida. Katanya, dia memperolehi nombor telefon bimbit aku dari kawan aku, Jai yang kebetulan bekerja di bangunan yang sama dengannya. Kebetulan, habislah waktu makan tengahari aku hari itu tanpa menjamah makanan kerana bercerita tentang perkembangan diri masing-masing dan mengimbas cerita-cerita lama. Yang seronoknya,  hanya dua orang kawan aku di Johor Bahru yang mengetahui nombor telefon bimbit aku ketika itu selain Jai adalah Hyffny. Boleh pula terjumpa seorang darinya.

Kemudian pada tahun 2008, aku menerima ucapan ‘Selamat Hari Raya’ melalui pesanan ringkas di telefon bimbit. Pengirimnya tidaklah aku ketahui berdasarkan nombor telefon pengirim. Aku berbalas pesanan ringkas untuk mengetahui pengirim. Bila aku membuat panggilan, suara wanita di hujung talian. Dia memperkenalkan diri sebagai Nur. Dia mengatakan, dia memperolehi nombor telefon aku daripada Wahida. Aku terkejut! Ironinya ketika itu, hanya Wahida dan Hyffny, di Johor Bahru, yang hanya mengetahui nombor telefon bimbit aku yang terbaru kerana Jai juga sudah bermaustautin di Kuala Lumpur ketika itu.

Aku cuba juga berserkap jarang tentang latar belakangnya namun semuanya tidak tepat. Banyak klu yang diberikannya dan sumpah, aku hilang ingatan tentang dirinya walaupun sebutir ingatan. Yang aku pasti, jika dia membahasakan diri aku Adek, dia sememangnya dari kalangan kawan-kawan di Holiday Plaza. Dihantar pula gambar terbarunya melalui mesej bergambar. Masih tidak jelas memori ini!

Kehidupan aku ketika dulu.

Sepanjang perjalanan pulang pada hari raya kedua, dari Melaka menuju Kuala Lumpur aku berbalas pesanan ringkas dan dia pula hanya sekadar berteka-teki. Untuk mendapatkan jawapan yang jelas dari permainan teka-teki ini, aku singgah di stesen minyak Petronas berhampiran Astro dan menelefon Wahida. Wahida mengatakan bahawa dia terserempak dengan Nur di Plaza Angsana. Wahida pula acuh tidak acuh pula menceritakan dengan jelas. Samada dia juga tidak jelas ingatan terhadap Nur atau… dia cemburu? Serba sedikit cerita daripada Wahida, aku sudah berupaya mengingati siapa Nur. Diingatkan kembali, aku mengenali Nur sekitar tahun 1989. Kemudian 19 tahun hilang khabar berita.

Lewat tahun 2009, aku ke Johor Bahru atas urusan kerja. Sambil menyelam minum air aku menemui Nur ditemani kawan baik/adik angkatnya, Nisa. Di pertemuan itu, banyaklah cerita kenangan silam yang mula terbit dari satu perenggan ke satu perenggan bersambung-sambung. Nisa hanya ralit mendengar cerita lama yang dia ketika itu masih lagi berlari di laman rumah dengan seluar katoknya.

Selang beberapa bulan kemudian, Nur memberitahu bahawa Nisa sudah memperolehi kerja baru. Sekadar memaklumkan, Nur memberitahu aku, Nisa juga sudah punya teman baru (calon teman lelaki) di tempat kerja yang baru. Handal!

Selang beberapa minggu, pada satu hari, aku menerima pesanan ringkas dari Nur meminta maaf kerana memberikan nombor telefon aku kepada Nisa. Aku tertanya-tanya mengapa pula perlu meminta maaf. Aku menelefon Nur.

Kata Nur, “Nisa dengan boyfriendnya  berciter-citer la. Boyfriend dia citerlah citer-citer lama. Sekali Nisa kata, awak citer ni, macam saya dah pernah dengar lak kak Nur berciter ngan kawan dia. Jalan citer pun lebih kurang sama je. Nama, awak sebut pun macam sama.”  Pastu boyfriend dia tanyalah, sapa kak Nur, sapa kawan kak Nur tu? Nisa pun ceritalah pasal i, bagitau… orang panggil u, Adek. Pastu boyfriend dia kata, macam tau i, nama Adek tu pun macam kenal je. Dia mintak la nombor tpon u. Tu yang Nisa citer kat i la. I tanyalah Nisa,  sapa nama boyfriend kau tu. Nisa kata Rizal. I pun tak ingat sangat. Tu yang Nisa mintak nombor u, i bagi la.”

Aku pula berkata, “Huh.. Padanlah si Rizal telefon i semalam. Macam tu citernya. Takkan u tak ingat dia, diakan dulu nak tackle u.” Aku gelak.

Rizal, rakan kelas sekolah aku tiba-tiba menelefon. Tanpa angin, tanpa ribut mengapa pula Rizal menelefon aku? Dari mana pula dia mendapat nombor telefon aku? Terdetik juga mulanya. Oleh kerana teruja dengan panggilan Rizal, persoalan itu tidak terluah dan keghairahan mempelawa dia untuk menyertai rakan sekolah yang lain di Facebook menjadi perbualan utama.  Namun cara Rizal bertutur, kedengaran seperti dia dalam terburu-buru mengejar masa.

Aku minta nombor telefon Nisa daripada Nur untuk mengetahui cerita sebenar. Selepas Nisa mengesahkan, aku menelefon Rizal dengan nombor telefon yang dia buat panggilan semalam.

“Ooohh… Padanlah kau cakap ngan aku macam nak cepat je ea semalam..  Kau ngan Nisa la tuu.. Pandailah kau…” Aku dan Rizal gelak!



Monday, June 7, 2010

Mimi dan Myra diizinkan berkahwin.

SG. PETANI – Pertemuan kedua-dua belah keluarga telah mempersetujui bahawa Mimi dan Myra diikat tali pertunangan sebagaimana adat Melayu diwarisi. Hantaran sebanyak RM8,000 dan mas kahwin RM2,000 dengan tempoh pertunangan selama setahun diakad oleh kedua-dua pihak keluarga.

Majlis pertunangan yang di adakan di Taman Ria Jaya, Jalan Kuda Kepang, Sungai Petani, Kedah turut dihadiri sanak saudara dan rakan taulan menjadikan tarikh 5 Jun 2010 sebagai satu tarikh yang membahagiakan bagi Nor Syamira binti Morad.

Menurut kakak Mimi, Siti Saleha, (gambar) dia tidak berapa pasti berapa lama perhubungan antara Mimi dan Myra telah berlanjutan tetapi beliau yang sekadar menjangkakan untuk tempoh 5-6 tahun. Bermula dengan satu perkenalan di Institut Profesional Baitumal (IPB), Cheras di mana tempat mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing.

Semoga jodoh yang diizinkan olehNya dapat dipelihara sehingga diijabkabul. Amin!




Cincin pertunangan disarung di jari manis Myra.


Mimi atau nama sebenarnya, Mohd Azmi bin Abdullah disisi tunang tersayang, Myra.


Thursday, May 20, 2010

Cindai.

PADA tahun 1997 aku duduk menetap di Menara Jentayu di AU3, Keramat Ulu Klang. Penempatan di situ agak sunyi dari kebisingan kenderaan kerana berhampiran dengan selekoh yang agak tajam. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan tersebut untuk menghala ke Ulu Klang mahupun ke arah Setiawangsa. Hanya deruman enjin bas Rapid sekali-sekala memecahkan kesunyian memandangkan perhentian terakhir laluan bas tersebut hanya beberapa meter dari Menara Jentayu.

Ketika waktu senggang hujung minggu, berbuallah aku dengan jiran sebelah. Maklumlah sebagai warga baru di situ banyaklah persoalan tentang kemudahan yang ada berdekatan walau sebenarnya aku agak biasa dengan kawasan tersebut. Dalam berbual panjang, entah bagaimana jiran baru ini menceritakan tentang anaknya yang ditegur.

Pada satu malam yang kelihatan biasa seperti malam-malam sebelumnya, anaknya yang memang gemar menyanyi mengikut alunan lagu dari radio seperti biasalah melalak dengan sumbang. Tetapi pada satu malam, waktu menghampiri tengah malam, anaknya menyumbangkanlah lagu Cindai, nyanyian Siti Nurhaliza ketika itu.

Ceritanya lagi, ketika bait lagu “Cindailah mana…’. Tiba-tiba ada satu suara yang menyahut dari luar tingkap bilik anaknya, “Cindai di sini…” Maka berlarilah anaknya seperti tidak cukup tanah dibuatnya keluar dari biliknya lantas masuk ke bilik ibunya.

“Saya tak percaya apa anak saya ceritakan. Siapa pulak yang nak bergayut kat tingkap menyahut sambung lagu tu… tingkat 4 pulak” bercerita jiran ini. Aku hanya menanti lanjut cerita yang hendak disambung. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala seperti orang kalah judi yang pasrah dengan wang taruhannya dikaut oleh taukeh judi.

“Habis tu.. siapa lak yang menyahut bang,” aku bertanya mengumpan cerita.

“Entahlah..,” jawabnya pendek dengan mimik muka kelihatannya misteri walaupun seperti dia tahu ada sesuatu.

“Kata orang tua yang saya bertanya, yang menyahut tu pontianak. Orang lama tak panggil benda tu pontianak tapi cindai,” dia menerangkan apa yang diketahui.



-------------------------------------------------------------

Kini, aku menetap pula di Flat Sri Nilam di aras 15. Kesibukkan jalanraya hingga lewat malam terasa seolah aku berada di bahu jalanraya padahal aku di aras tertinggi bangunan. Bising, amat bising dengan deruman pelbagai kenderaan lebih-lebih lagi bas Metro dan SJ mahupun RapidKL yang mengejar penumpang, membunyikan hon bertalu-talu atau tika pemandu menekan keras pedal minyak dan tidak terkecuali jeritan ekzos budak-budak motor yang memulas minyak seolah-olah mahu terbang ke bulan.

Namun dengan kebingitan ini ianya tidaklah mengganggu kehidupan malah terasa meriah sentiasa kecuali bila malam menular ke waktu dinihari dan jalanraya mulai lenggang dengan kenderaan kecuali ada tika dan waktunya pula, laungan siren dari kenderaan ambulan meminta jalan, memecahkan keheningan malam atau dinihari menuju ke Hospital Ampang yang berdekatan.

Semalam, sedang aku menanti sabar dengan kerenah kelajuan jalur lebar yang selemau-lemaunya dan tidak pernah pula terjadi seperti ini yang terlalu mengambil masa yang lama untuk aku melayari satu laman. Aku menyedut sebatang rokok sambil membelek-belek halaman buku tiba-tiba kedengaran bunyi lampu kalimantan di bilik dilanggar sesuatu. Mulanya aku hanya menyangka seekor kumbang hitam yang sering sesat dalam penerbangan malam atau tertarik dengan cahaya lampu kalimantan.

Bila aku memandang ke arah lampu kalimantan, perasaan aku gugup sebentar. Kelibatnya tidak seperti kumbang yang boleh aku biarkan perilakunya. Bentuknya seolah seekor tabuan, bila aku amati ianya bukan seekor tabuan atau penyengat malah saiznya lebih besar dari mana-mana serangga yang terbang pernah aku lihat di dalam rumah melainkan lipas yang kepanasan seolah memberitahu hari akan hujan.

Aku berlari keluar dari bilik kerana khuatir jika serangga ini boleh mendatangkan bahaya. Bila serangga ini menyinggah hinggap di tabir langsir, aku amati serangga itu. Tidak pernah aku lihat jenis atau spesisnya. Menggerunkan juga. Besar. Hitam. Bila aku cuba mendekati lalu ianya terbang pantas. Bila ianya terbang liar seperti mengelilingi satu bulatan di dalam bilik kelihatan sinar-sinar hijau dari sayapnya yang mengibas laju punca pantulan dari cahaya lampu kalimantan.

Segera aku ke dapur lantas mencapai penyembur racun serangga. Aku menyembur ke ruang udara di dalam bilik, mengharap dengan semburan itu dia akan segera mencari jalan keluar dengan kadar segera untuk menyelamatkan diri bila ianya merasakan bahawa racun yang mengapung di udara bisa memudaratkan dirinya pula. Aku menutup pintu bilik dan sekadar menunggu sambil menonton drama Korea di televisyen seketika.

Masih jua lagi kedengaran bunyi yang keras akibat serangga itu melanggar-langgar di dinding, pintu bilik dan di lampu kalimantan. Aku membiarkan waktu berlalu memberi serangga itu peluang keluar dari bilik. Masa berlalu kejap. Apabila tiada apa-apa bunyi yang kedengaran, aku membuka pintu bilik, meruap aroma racun serangga ke hidung. Aku memerhati di siling bilik. Tiada! Aku perhatikan di atas lantai bilik, juga tiada! Sudah keluar anggapku.

Aku menarik kerusi dan duduk kembali menghadap skrin komputer. Sebaik sahaja satu klik pada tetikus tiba-tiba kedengaran seperti suara merintih. Berdiri bulu roma di rengkuk. Aku bingkas bangun, cemas mencari punca suara merintih. Aku cuba berhati-hati dan tenang. Dari bawah meja yang tersusun kertas putih, kelihatan serangga itu dalam kepayahan untuk terbang semula. Ada suara yang merintih dari serangga itu! Ditambah dengan kibasan sayapnya yang bergeser di lantai menghasil bunyian yang menakutkan.


Aku mencapai segulung kertas mahjung yang tersandar di sudut bilik lalu aku menguisnya ke tengah bilik di bawah cahaya lampu kalimantan. Aku amati rupa bentuknya. Menakutkan. Amat!

Rajah 1. Saiz serangga. (macam kelas biologi lak)

Serangga itu seperti lipas bentuk kakinya. Sayapnya terkangkang luas bercantum dari abdomennya yang keras berwarna coklat hitam. Aku menguis dengan pembaris kayu pula. Serangga itu masih mampu megepak dengan laju namun tidak berjaya terbang hanya berpusing-pusing seperti mercun teratai yang dibakar di malam raya. Serangga itu berusaha untuk mengangkat untuk menterbalikkan abdomennya dengan sayapnya yang besar untuk membolehkannya terbang semula tapi gagal mungkin lemah kerana kesan racun yang disembur tadi. Masih lagi kedenganran suara seperti manusia merintih kesakitan. Fikiran aku sudah tidak pada realistik. Pelbagai andaian datang menerpa. Syaitan atau jinkah yang terbang masuk dan merupa? Spesis serangga apakah yang datang bertandang malam-malam begini? Anehnya, ianya merintih..

Rajah 2. Gambar serangga yang menceroboh.

Aku mengangkat serangga itu dan memasukkanya di dalam baling plastik lalu aku tutup ketat penutupnya.

Rajah 3. Semoga kau semadi aman...
Usai itu, aku duduk kembali di kerusi, aku memandang keluar jendela bilik. Aku perhatikan susun atur lampu jalan yang bercahaya kuning dengan kenderaan yang masih menjalar di atas jalan raya walau tidak seperti waktu petang tadi yang bertali arus. Memang sengaja aku aturkan meja ini di tepi jendela kerana aku gemarkan angin malam yang sekali-sekala datang menyapa ke tubuh yang adakalanya terasa berbahang kehangatan.


Tidak kurang juga dapat aku melihat beberapa pelanggaran kecil akibat kecuaian antara pemandu. Atau memerhatikan mereka yang berdedai turun dari bas, melangkah kepenatan pulang dari tempat kerja. Tidak kurang juga aku bias menjengah bila ada jeritan dan pekikan dari pertelingkahan antara manusia-manusia di bawah.



Dalam aku ralit memerhati keluar dari jendela bilik tiba-tiba aku teringatkan kisah jiranku 17 tahun yang lalu. Bagaimana, andai katalah.. tiba-tiba ‘cindai’ itu terbang melintasi jendela bilik? Atau hanya berawangan-awangan di jendela memerhatikan aku? Disusuli pula dengan hilaiannya… tika aku memaling memandang keluar jendela…!

Tuesday, May 18, 2010

Biarkan berlalu.

Perkenalan aku dengannya pun tidaklah seakrab dengan kawan-kawan aku yang lain. Kata orang kenal ‘gitu-gitu je’. Lagipun dia lebih tua dari aku, orang kata, dah banyak makan garam. Jadi aku tidaklah berapa rapat sebab jurang usia dan prinsip. Sekali-sekala aku melepak juga dengannya. Asal-usul dia pun aku tak tahu pada mulanya. Kawan-kawan aku yang lain pun tidak berapa pasti malah tidak tahu nama penuh dia pun. Cuma panggil nama panggilan yang entah siapa yang mulakan dulu. Melekatlah sehingga kini.

Kenal pun waktu itu, dia seoarang penyanyi agak popular. Sebelum itu, dia menyanyi di merata tempat, pelbagai kugiran yang dia sertai, menubuhkan kugiran baru dan menggantikan penyanyi dalam kugiran. Dia tak main di majlis orang kahwin seperti mana lazim kugiran baru yang mahu mencuba nasib. Mungkin rezeki dia, kenal para gitaris yang hebat-hebat. Suaranya pun boleh tahan tika melagukan lagu-lagu yang memang makanannya, bak kata juri awam.

Kemudian lama aku tak dengar cerita tentang dia. Tidak tahu langsung perkembangan dia. Sebabnya aku ada kawan baru selepas beberapa tahun aku kenal dia. Kata orang, seorang kawan baru boleh membuatkan kita hilang sepuluh kawan yang lain. Mungkin juga ada benarnya. Kadang-kadang sahaja bila aku bersendirian, adakalanya aku membelek album-album lama. Bila terlihat gambar dia, aku jadi rindu padanya, rindu pada nyanyiannya. Bila menghayati nyanyiannya, aku sering mengelamun terkenang masa yang berlalu.

Sekarang, dunia sudah berubah, masa sudah jauh ke hadapan. Walau lama sudah tidak mendengar khabar beritanya tetapi dengan komunikasi yang canggih dalam internet dapatlah sekali-sekala aku menjenguk apa yang berlaku dalam dunia dia walau tidak dalam perhatian namun aku akur memantau kawan-kawan lama. Kawan baik sentiasa disisi, kawan lama dilupa jangan!

Di sini, dia tidak punyai ramai kawan tapi tetap ada kawan-kawan yang sentiasa menyanjungi dia. Dia tidaklah sepopular dahulu lagi walau dia miliki bakat dalam bidang nyanyian. Tiba-tiba kelmarin aku terperanjat dengan tajuk berita yang terpampang walau kecil cuma ‘point size’ yang tertera namun disasarkan juga anak panah kecil ini pada sebaris ayat.

Ronnie James Dio Dies!

Ronnie James Dio -- who took over as lead singer of Black Sabbath after Ozzy Osbourne left the group -- died today. He was 67.

Dio announced last summer he was battling stomach cancer. According to his website, he had been undergoing treatment at a Houston hospital.

Dio is often credited for popularizing the "devil's horn" hand gesture in metal culture.

His wife Wendy, said on his website, "Today my heart is broken ... Many, many friends and family were able to say their private good-byes before he peacefully passed away. Ronnie knew how much he was loved by all. We so appreciate the love and support that you have all given us. Please give us a few days of privacy to deal with this terrible loss. Please know he loved you all and his music will live on forever."

Sumber: tmz.com


 
Bohonglah kalau aku cakap aku tak tahu dia, cuma dia sahaja yang tidak kenal aku..!

Rest In Rock..!
(July 10, 1942 – May 16, 2010)

 

Wednesday, May 12, 2010

Wasiat.

Hari ini aku agak sibuk dalam kelapangan. Hanya satu kerja yang berjaya dapat aku selesaikan kemudian aku bersantai sambil mengemas kotak peralatan di temani petir dan guruh.

Usai segalanya aku menyedut sebatang rokok sambil menikmati rintik-rintik hujan yang masih menitik dari tabir-tabir atap genting. Terasa sesekali kesejukkan bila disapa bayu kota yang lembab.

Telefon bimbit aku tiba-tiba memecahkan anganku yang sudah jauh melayang ke puncak Menara KLCC.

Pemanggil : Halloooo… Adek!

Aku : Haah..

Pemanggil : Datang Kg. Sepening Lalat, Orang Kayaaa mahu berjumpa..

Aku : Skang?

Pemanggil : Dengan pantas..

Nampaknya angan-angan seakan di ambang kenyataan. Orang Kaya Kg. Sepening Lalat sememangnya sering memberi aku peluang pekerjaan yang meraih laba. Mungkin Orang Kaya mahu aku membesarkan kandang rimaunya. Ya.. kandang harimau.. bukan ladang limau..

Minggu lepas aku ada mendapat perkhabaran harimau ‘bengal’nya sudah melahirkan anak kembar. Pasti mahu disediakan kandang yang lebih selesa. Dalam fikiran aku, aku sudah berkira-kira untuk mencadangkan agar dibina pendiang api di dalam kandang itu nanti. Bolehlah aku mengambil keuntungan yang berlipat kali ganda….

Tiba di perkarangan rumah Orang Kaya, aku disambut sepi lalu aku melaungkan azan.., azan lak… aku melaungkan salam…!

Terpacullah pembantunya dengan sambutan salam dengan suaranya antara dengar tidak dengar.

Aku dipelawa naik dan terus dibawa berjumpa dengan Orang Kaya tetapi tidak seperti lazimnya, aku tidak dibawa ke kamar bacaan tetapi menuju ke tingkat atas yang menempatkan kamar peraduan Orang Kaya. Sedikit kehairanan dan kegusaran mula bersarang di dadaku yang senak dengan candu.

Aku dapat melihat Orang Kaya terbaring di atas katil yang bertilamkan Vono, Tilam yang beliau beli bersama aku ketika jualan J-Card di Jusco Maluri. Diskaun 70% + 10% lagi ketika sesi ‘Happy Hour’ dicanang.

Tiada suara, sepi sesepinya tika itu. Tidak kedengaran juga ngauman harimau peliharaannya yang sering memecahkan suasana ketenangan Kg, Sepening Lalat. Aku merapati Orang Kaya dan aku melihat kesayuan dari sinar matanya. Hampir tiada senyuman dari bibirnya yang hitam pekat akibat sering menggosok gigi mengunakan arang dari kedai Linggam di hujung kampung, sebelum ini beliau kaya dengan gurau senda ‘nasi tambahnya’. Aku duduk di kerusi bersebelahan hampir di katil yang dibelinya di jualan Ikea 6 bulan lepas. (Jenuh jugalah budak Ikea hendak menghantar katil sebab Kg. Sepening Lalat tiada di dalam Google maps)

Dengan satu anggukkan lemah dari Orang Kaya, pembantunya datang membawa satu fail berwarna coklat sepertimana biasa pejabat kerajaan menggunakannya. Diselak seketika kemudian dihulurkan kepada aku. Dalam hati, aku berkira itulah tender yang hendak ditawarkan walau hati aku masih bersarang sendat dengan keganjilan yang aku hadapi ketika ini.

Aku membaca nota yang terselit dengan klip kertas yang berbunyi,


Aku menjadi pegun.

.. dan sekeping gambar.


“Itu Perkosa.. aish.. ishhh… Perkasa. Lembu jantan Orang Kaya,” pembantu Orang Kaya bersuara seperti menerangkan.

Aku tahu, aku tahu benar Perkasa. Ketika lembu ini dilahirkan, akulah yang berkejar berlari ke sana sini, mencari tempat persembunyian kerana takut untuk melihat proses kelahirannya. Kini, lembu jantan inilah yang mengemudi 100 ekor lembu betina untuk menghasilkan susu. Generasi ketiga kumpulan lembu susu inilah yang menyambung kelangsungan perniagaan susu lembu segar di pasaran ketika ini. Siapa yang tidak mengenali susu jenama ‘Sepancut Dua’. Kerana Sepancut Dualah, Orang Kaya dapat menyara dan membesarkan 15 orang anak dan tiga orang isterinya. Fikiran aku tiba-tiba teringatkan Nur, anak sulung Orang Kaya dari isteri ketiganya.

“Maka itu, Perkasa mahu diwasiat kepada Adek,” suara pembantu Orang kaya membantutkan khayalan aku kepada Nur.

“Kacaulah dia ni...” getus aku di dalam hati.

Aku tersenyum kelat sambil memandang mukanya sambil menyelak lampiran lain yang kelihatan seperti borang memohon kerja di Jabatan Perkhidmatan Awam. Aku memandang kosong ke wajah Orang Kaya yang masih membisu. Beliau mengangguk lemah, isyarat supaya aku mengisi ruang yang perlu aku penuhi. Aku dihulurkan sebatang pena berjenama Kayametrico. Antara barangan alat tulis yang dikeluarkan dari perniagaan Orang Kaya.

Aku membaca dan menulis apa yang dikehendaki.

1. Tiga perkara yang anda suka lakukan ketika menonton televisyen?

A: Duduk bersandar di sofa yang Orang kaya belikan di Lorenzo.


B: Layan kopi O yang aku selalu ambil sesuka hati di kilang kopi Orang Kaya.


C: Menghisap rokok Camel atas pengaruh orang lama Orang Kaya.


2. Tiga jenis makanan pelik yang pernah anda nikmati.

A: Daging kuda masak asam pedas. (Kuda lumba Orang Kaya tempang selepas KL race)


B: Kimchi yang dibuat oleh isteri pertama Orang Kaya yang berasal dari Korea Selatan.


C: Roti canai yang dicecah dengan sambal kicap cili padi ketika lawatan social di Padang, Indonesia.


3. Bagaimanakah anda bertemu dengan pasangan anda?

Nostalgia ni… jumpa dan berkenalan ketika bangku sekolah menengah.


4. Nyatakan berapa ramai kawan anda di Facebook?

Yang sebetulnya adalah.. lebih kurang 40 orang.. yang lebih, sekadar buat jiran.


5. Nyatakan siapa yang bertanggungjawab membawa wasiat ini kepada anda.

Diikutkan cerita, pembantu Orang Kaya, Mazlina Mokhtar.


6. Sanggupkah anda mengumumkan kepada pihak HASIL dan Pusat Pungutan Zakat tentang wasiat ini?

YA. Saya mengisytiharkan bahawa saya menerima wasiat ini yang berupa seekor lembu susu jantan daripada Orang Kaya Sepening Lalat kepada pihak terbabit.


7. Untuk pengetahuan, terdapat banyak lagi wasiat yang hendak diagihkan. Nyatakan tujuh (7) penama yang anda berasakan layak untuk menerima wasiat ini.

Nuke Rude
Alizan punya cerita
FaPet Blog
Pak Karim
[r][a][y] eusouff
I don’t tell lie
My blog


Bercawan-cawan kopi O dan berbatang rokok jua aku habiskan untuk mengisi selembar kertas ini. Selesai itu, pembantu Orang Kaya berbisik kepadaku, “Biarlah Orang Kaya berehat sebentar.”

Aku masih termangu memerhatikan keadaan Orang Kaya yang terbaring di atas katil. Kelihatan jari-jemari Orang Kaya bergerak-gerak seolah mengamit aku menghampiri. Dalam suara yang lemah, Orang Kaya berbisik, “Siapa champion?”


Aku tersenyum penuh makna dan bersuara, “Wigan kena belasah 8-0.” Aku menepuk-nepuk bahu Orang Kaya, terlihat ukiran senyuman kebahagiaan muncul dalam saat itu. Aku meminta diri setelah dicuit oleh pembantu Orang Kaya. Melalui kamar rehat, aku dapat melihat Puan Besar siri Tiga berada di beranda lalu aku menapak menghampiri tanpa di temani pembantu Orang Kaya.

Setelah memberi salam dan bertanya khabar berita, aku bertanya kepada Puan Besar siri Tiga, apakah punca segala terjadi pada Orang Kaya.

“Ini semua gara-gara orang kampung,” nada sayu puan Besar siri Tiga memeranjatkan aku.

“Mengapa pula salah orang kampung,” aku bertanya meminta penjelasan.

“Bukan orang kampung kita tapi ‘Orang Kampung, semuanya OK!’,” sedikit kebanggaan dalam nadanya. Aku pula yang tersenyum malu lalu meminta diri untuk beredar. Ketika ini kedengaran bunyi enjin helikopter yang hendak mendarat di ‘HeliPad’ di bersebelahan rumah Orang Kaya Kg. Sepening Lalat. Terdetik di hati bertanya siapa pula yang datang berkunjung. Ketika aku turun dari tangga hadapan rumah, aku amat kenal 3 susuk tubuh yang keluar dari perut pesawat yang kelihatan seperti pepatung. Nasib baiklah rumah Orang Kaya tidak berhampiran laut, kalau tidak pasti mereka datang dengan kapal atau yacht.


Seorang daripadanya menghulurkan salam dan bertanya khabar dalam bahasa yang amat asing di kampung ini kepadaku. Aku menyambut salam Romen Abramovich dan bertanya khabar, begitu juga dengan Carlo Ancelroti dan pembantu Romen, Cik Milijic Rodanski. Setelah berbual dan berseloroh mengenali keuzuran Orang Kaya, mereka berdua masih lagi tidak putus-putus ketawa geli hati ketika menaiki tangga rumah Orang Kaya.





Ketika aku hendak memasuki kereta, sempat juga aku menjeling dan senyum kepada Nur yang memerhati dari tadi di jendela kamarnya.







KINI, setelah 3 bulan berlalu...

Orang Kaya Kg. Sepening lalat juga sudah kembali bertenaga...
Dua minggu selepas itu, Orang kaya menikah lagi satu!

Dari kiri: isteri pertama (Korea), isteri kedua (Macau), isteri keempat (Finland), isteri ketiga (Jerman).

Inilah wajah-wajah keempat-empat isteri Orang Kaya yang hidup dengan rukun, aman harmoni dan bahagia!

Monday, May 10, 2010

Harung.

PERTANDINGAN beradu kerbau diadakan untuk mengelakkan pertumpahan darah apabila seorang putera dari Jawa ingin menguasai pemerintahan dengan rakyat tempatan, kini Sumatera Barat. Putera tersebut menampilkan seekor kerbau yang besar lagi ganas manakala rakyat tempatan mempertaruhkan seekor anak kerbau yang telah diasah tanduknya. Ketika peraduan bermula, anak kerbau meluru laju ke arah kerbau pihak pencabar kerana menyangka ibunya untuk mendapat susuan. Malangnya, tanduk anak kerbau yang sudah diasah tajam melorek perut kerbau besar lalu menumbangkan kerbau besar itu. Kemenangan ini yang disorak ‘menang kerbau’ membawa pada satu pemerintahan baru di Pagar Ruyung. Dari peristiwa inilah wujudnya perkataan Minangkabau.

Untuk memperluaskan jajahan baru, mereka dari Pagar Ruyung telah merantau ke Nusantara dan menjadikan Rembau untuk bermukim. Oleh kerana Tanah Melayu di diami oleh kaum orang Asli dan mengamalkan adat bernasabkan ibu sama seperti adat yang dijunjung oleh orang Minangkabau, adat Perpatih, yang juga bernasabkan ibu maka perkahwinan antara kaum orang Asli dan orang Minangkabau melahirkan suku Biduanda yang mana golongan ini yang menguasai tampuk pemerintahan. Apabila lebih banyak daerah dapat diterokai seperti Naning, Segamat, Klang, Ulu Pahang dan beberapa daerah lain dan membentuk satu jajahan besar dan mendapat perlindungan dari kerajaan Kesultanan Johor sebagai penaung.


Itu sebahagian kecil penubuhan sejarah Negeri Sembilan di Tanah Melayu pada awalnya. Setelah penjajahan British dan beberapa perang saudara meletus, Negeri Sembilan kehilangan Naning di tangan Melaka, Segamat di Johor, Klang di Selangor dan Ulu Pahang jatuh dalam sempadan negeri Pahang. Apabila tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu di mana kebanyakkan negeri mengamalkan Adat Temenggong tetapi Negeri Sembilan kekal utuh mengamalkan Adat Perpatih dalam mentadbir negeri dan dalam kehidupan orang kebanyakkan sehingga ke hari ini.

Kabur tentang amalan adat Perpatih yang bernasabkan ibu, maka ramai kalangan kita yang masih belum jelas mengenainya. Yang paling ketara apabila dikatakan bahawa segala harta akan diperturunkan kepada pihak wanita dan pihak lelaki akan hanya tinggal sehelai pinggang. Hakikatnya hanya tanah adat atau harta pusaka dari luluh ibu akan turun pada anak perempuan bukannya harta suami yang akan dibolot oleh isteri yang mengamalkan adat Perpatih. Harta suami hanya akan ditentukan sebagai harta sepencarian seandainya berlaku perceraian secara syariah. Tidak lebih dari itu.

Kekeliruan ini menyebabkan ramai ibu bapa melarang anak teruna mereka dalam membina hubungan cinta dengan wanita yang menjunjung adat Perpatih kerana khuatir harta suami akan memihak kepada isteri sahaja. Ada segelintir ibu yang membentak sekeras-kerasnya apabila anak teruna menyatakan isi hati untuk meminang gadis Kuala Pilah atau anak dara sunti kelahiran Rembau. Ditempelaknya anak teruna dengan berbagai kata yang sebenarnya mereka sendiri tidak jelas mengenainya.

Teruna mana yang sanggup meninggalkan gadis pengarang jantung bila cinta sudah mekar di hati. Bila rindu datang menerpa kala malam berlabuh. Demi cinta, perintah ibu diingkar, nasihat ibu bagai mencurah air di daun keladi walau ada berbelah hati terhadap ibu dan wanita yang dicintai. Pengorbanan apakah yang harus teruna lakukan? Akhirnya, teruna berkorban dengan cinta kerana teruna tahu, amat tahu bahawa hak seorang anak lelaki hanya pada ibu. Larangan ibu dituruti, cinta ditinggalkan sepi bersama si dara dengan rendaman airmata, janji hidup semati dimungkiri memusnahkan pelamin angan.

Wanita itu lemah kata mereka tapi mereka juga berkata, “Tangan yang menghayun buaian itu boleh menggegarkan dunia”. Seorang wanita boleh menjadi ibu kepada anak-anak mereka dan dalam masa yang sama mereka adalah isteri pada seorang lelaki. Sebagai isteri, wanita tidak punya apa-apa kuasa pada seorang lelaki yang bergelar suami tetapi amat berkuasa ke atas hak anak-anak lelaki mereka. Bukan ibu tiada hak pada anak gadis tetapi hak itu tidak kekal, akan berpindah pada seorang lelaki yang dinikahi kelak. Tetapi pada anak lelaki, sehingga mati ibu berhak terhadap anak lelakinya. Buktinya, ketika talqin, nama kita berbintikan nama ibu kita, hilang bin atau binti pada nama ayah kita.

Para wanita, diingatkan jangan sekali-sekali memberi kata dua pada suami untuk memilih antara kasih sayang isteri dengan kasih sayang ibu. Apakah yang hendak kalian katakan jika suami kalian memberi kata putus, “Isteri, abang boleh cari tetapi di mana untuk abang mencari seorang ibu?” Akan terduduk meraungkah kalian atau kalian akan lebih berpuas hati dijatuhkan talak demi kepuasan nafsu sendiri? Ini konflik keluarga dan kita mungkin juga dewasa untuk menangani perkara begini.

Dengan kemarahan yang meluap adakala kita terlupa kedudukan kita bila berhadapan dengan seorang manusia yang sama sifatnya seperti kita tetapi mereka mempunyai sesuatu yang amat teguh, sesuatu yang dijanjikan olehNya bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Malah ditekankan bahawa kepentingan dan keutamaan ibu itu tiga kali lebih dari lelaki bergelar ayah.

Sedari kita kecil, ibu tempat kita bermanja dan mendapat kasih sayang. Kita berebut dengan adik-beradik yang lain untuk mendapat keistimewaan dari ibu. Adakala juga kita mengelak untuk melakukan apa yang disuruhnya. Kanak-kanak bergantung segalanya pada ibu dan ibu menggantungkan segala harapannya pada anak-anaknya. Namun bila kita mula menginjak remaja, serasa kita mula yakin untuk berdiri di atas kaki sendiri. Yakin kerana kita telah menerima segala ajaran, nasihat dan tunjuk bimbingan darinya dan kita mula mahu melangkah jauh mengenali kehidupan ini.

Segelintir kita yang mula melihat dunia luar dari kacamata sendiri tanpa bimbingan ibu, maka ibu disingkirkan, ibu dikatakan sebagai satu batu besar yang boleh menghalang kemajuan diri. Segala bicara ibu bagai halilintar menusuk ke gegendang telinga yang mana dulunya lembut mendodoikan kita di dalam buaian kain batik lepas ibu sendiri. Segalanya sudah berubah selari dengan perubahan dunia yang bebas, segalanya bebas lepas tidak boleh disempadani lagi.

Ibu bertanya satu, kita menjawab sepuluh. Lancar pula ayat bahasa yang lancang terhadap ibu sendiri. Bila ibu mula bersuara tinggi, kita menghempas pintu bilik sekuat hati. Terasa bengkak di hati seperti hak asasi manusia dicabuli. Bila ibu membebel kita menjawab,”Ibu tahu apa? Ibu tak puas hati, kita boleh bawa diri. Lipat kain baju, angkut keluar memasuki dunia sendiri dengan lapang di hati kita bergembira hingga ke dinihari. Tiada siapa peduli, tiada siapa kita kenali malah terjual harga diri, baik gadis mahupun lelaki.

Betul! Ibu tak tahu apa-apa. Tak tahu apa yang berlaku di dunia kita. Apa pula yang kita tahu tentang kehidupan yang kita cari? Ibu hanya duduk di rumah tapi dialah chef, menguruskan segala macam resepi dan masakan. Masakan ibulah nombor satu, tiada yang lain dapat menandingi. Dia bukan memberi rezeki tetapi dialah menyambungkan rezeki kepada kita. Dialah doktor yang duduk merawat di sisi kita, menuam atau menyuap sesudu teh kecil ubat batuk, memujuk kita bersabar agar cepat sembuh. Dialah orang pertama yang mengesan panas demam kita. Dialah juga peguambela dan peguamcara bila kita berbalah dengan adik-beradik kita. Mana yang benar diperjelaskan, mana yang salah ditimbang tarakan. Dialah pereka hiasan dalaman, merias indah kemas rumah untuk kita bahagia menikmati.

Dialah juga pereka fesyen tika kita hilang butang baju, bila tertetas seluar sekolah atau bocor poket kurung. Dialah perunding lanskap yang membina taman indah di hadapan rumah buat kita berlari riang mengejar rama-rama terbang hinggap di kelopak bunga kertas. Dia juga pengurus kewangan yang menguruskan segala amanah perbelanjaan dengan saksama. Belanja sekolah seharian tidak pernah dilupakannya. Dialah riba kita bila kita lelah kepenatan, bahu dialah yang sentiasa dibasahi dengan airmata kita. Dialah yang kita mengaduh bila tersadung lopak di jalan. Dia jugalah bila kita terlupa…


Hari berlalu mengginjakkan usia kita juga dari hari sehari. Kita yang dulu bertatih, berjalan dipimpin hinggalah kita adakala berlunjur sebelum duduk tetap di makan usia. Beringatlah, walau setua manapun kita satu hari kelak, kita tetap akan memanggil dia, ibu.

Mungkin kita sekarang juga sudah menjadi ibu pada anak-anak kita sendiri. Adakah kita akan berazam untuk melakukan yang lebih baik dari ibu kita? Mampukah kita sedangkan kita sendiri masih bergantung hidup pada ibu. Di rumah ibulah anak kita membesar. Tidak pun sebagai alasan, kita tidak mahu membebankan ibu dengan karenah anak kita, maka dihantar ke rumah pengasuh atau taman asuhan. Berjaraklah cucu dengan neneknya.

Memang dulu ibu tidak berkerjaya, hanya menggunakan masa terluang menanak nasi lemak bersambal sotong atau kangkung goreng, mee goreng, mihun siam atau menggetel karipap. Dihantar ibu berjalan kaki menuju ke kedai di kepala simpang. Mungkin kita sendiri yang disuruh menghantarnya. Dapatlah sikit duit buat belanja dapur, kita pula dapatlah komisen untuk menikmati ais kepal bercurah sirap merah. Namun ibu punya waktu untuk memelihara kita yang mungkin punya enam beradik ataupun lebih hingga ada yang punya empat belas orang adik-beradik. Kini, kita dapati banyak faktor mengapa kita tidak boleh berbuat demikian seperti ibu dulu. Dari manakah datangnya tenaga ibu? Bukankah ibu seorang wanita yang dikatakan lemah?

Kita juga sudah menjalani kehidupan kita sendiri tanpa adakala kita tidak sedari bahawa kebahagiaan yang kita nikmati ini adalah doa dari ibu kita. Tiada ibu yang akan mendoakan kemusnahan buat anak, segalanya hanyalah memohon kebaikan dan kebahagiaan dariNya. Walau sebesar mana kasih sayang ibu terhadap anak-anaknyanya, namun ibu tetap akui ada yang lebih maha pengasih lagi maha penyayang.

Kegusaran kita, dulu kita membawa watak sebagai anak yang membuatkan ibu sukar melelapkan mata. Buatkan ibu kecut perut bila kita masih tidak pulang walau maghrib telah lama berlalu. Nah, sekarang kita pula memainkan watak sebagai ibu, adakah kita akan terasa sebagai pembalasan dari anak sendiri, lebih-lebih lagi dengan segala macam rentak cabaran. Apakah tahap kerisauan, jika kita terlihat risalah rumah orang-orang tua di meja bacaan anak kita? Adakah mahu sahaja kita memanggil ajal sebelum kita menempuh persaraan? Bukankah mati itu lebih baik…….?

Monday, April 26, 2010

Nikmat alam persekolahan.

Keseronokkan itu semua manusia impikan selain menikmati kebahagiaan hidup. Terpulang pada individu untuk menikmati keseronokkan. Sekadar berbual melalui telefon dengan kekasih hati pengarang jantung juga sudah cukup teruja. Memandu di lebuhraya yang tiada kesesakkan juga menyeronokkan perjalanan untuk sampai ke destinasi yang di tuju. Sekadar duduk berbual kosong bersama ahli keluarga atau sahabat handai di warung tepi jalan juga amat menyeronokkan. Bila ada keseronokkan sebegini terasa hidup ini amat tenang, bahagia dan segalanya berjalan lancar. Hilang sebentar segala permasalahan yang sentiasa membontoti kehidupan kita.

Setelah sekian lama, 21 tahun aku dan rakan-rakan sekelas yang sudah lama tidak mendengar khabar apatah lagi bersua muka dan hanya sekali-sekala terlintas kenangan waktu persekolahan menyelinap menghadirkan segala suka duka waktu persekolahan. Semasa di alam persekolahan, terasa bagai kita mempunyai satu dunia yang tersendiri. Seiringan dangan zaman remaja yang baru mempelajari dunia dan erti kata kehidupan sebagai seorang pelajar yang mana tanggungjawab yang paling jelas hanyalah belajar. Dari belajar mengenali huruf, mengeja huruf dan lansung menyebut susunan huruf menjadi perkataan dan membina sebuah ayat. 

Masalah pada ketika itu hanyalah satu, beban yang dirasakan amat berat, menyiapkan kerja sekolah. Bagi mata pelajaran yang diminati, kita bersungguh dan memperuntukkan lebih masa untuk mengulangkaji dan menyiapkan nota-nota yang paling ringkas untuk di memorikan dalam fikiran. Agar mudah nanti dimuat turun ketika menghadapi peperiksaan-peperiksaan penting. Bagi mata pelajaran yang kita kurang minatnya, terasa seperti batu besar yang memberatkan mukasurat buku tulis untuk diselak menyiapkan kerja latihan yang diberikan. Seolah bagai tidak wujud mata pelajaran tersebut.

Itulah antara tanggungjawab pelajar, di peringkat mana pun sekali selagi digelar pelajar. Nyata sekali semasa itu, nilai akademi ketika itu hanyalah tujuan yang satu, lulus cemerlang dalam peperiksaan yang dilalui. Kita pun tidak sedar berapa peratuskah apa yang kita belajar yang boleh kita serapkan dalam kehidupan kita. Selain tahu membaca, menulis dan mengira, sebagai pelajar, kita masih jauh dari memahami falsafah pendidikan itu. Tidak terlihat oleh kita apa yang ada pada dunia luar walaupun kita tahu keazaman untuk lulus cemerlang kemudian menjawat pekerjaan yang menjaminkan.

Begitulah juga harapan kedua ibu bapa kita yang berbuih mulut menasihatkan dan mengingatkan selain para pendidik yang berusaha keras mengingatkan matlamat hidup kita agar menjadi manusia berjaya kelak. Ada antara kita yang memandang tinggi kata-kata yang dilontarkan, tidak kurang juga yang memandang sepi. Kerajaan menyediakan peluang pendidikan agar, sekurang-kurangnya setiap warganya celik huruf dan selebihnya terpulang pada pelajar itu sendiri. Ibu bapa yang sedar betapa pentingnya ilmu pengetahuan berusaha keras untuk memastikan anak-anaknya mendapat tempat di sekolah yang terbaik prestasinya terutama di sekolah berasrama penuh.

Manusia ini berbeza setiap pemikiran dan gerak hatinya. Tangan kanan dan tangan kiri kita juga tidak sama ukuran apatah lagi fikiran dan gerak hati kita sendiri yang telah diizinkan oleh Tuhan yang Esa agar menuruti perintah atau kehendak kita. Kita hanya akan menyedari beberapa perkara yang dahulunya semasa di sekolah menengah, umumnya, merupakan tindakan yang betul atau memutuskan satu keputusan yang sukar untuk diputuskan, adakalanya kita menyedari bahawa itu hanyalah akan menciptakan satu pengalaman, samada keputusan itukah yang telah membina hala tuju kita sebagai manusia atau ianya akan menjadi satu penyesalan yang sentiasa membayangi kita. Jangan disesalkan penyesalan itu, sebaliknya bila kita menyedari penyesalan itu, sebaiknya kita pula memutarkan stering kehidupan kita menuju ke arah yang kita inginkan. Kita juga boleh kembali ke petak pertama. Belajar! Samada belajar di gedung ilmu atau di gedung pengalaman.

Seorang kawan meluahkan penyesalannya kerana padanya seolah pembaziran masa melakukan aktiviti luar darjah. Pengajaran yang dia dapati amat berharga untuk disimpan dan dia mahu pengalaman itu dicurahkan agar generasi keduanya tidak tersalah tafsir.

Nasihat pada anaknya, “Semasa di sekolah, kau nikmatilah zaman persekolahan kau tapi jangan sekali-kali kau abaikan pelajaran.” Unik. Itu kata seseorang yang telah jauh meninggalkan alam persekolahan, amat bernilai. Lebih nilainya dari sebutir permata lapan karat. Persoalannya, andai kita yang dituturkan sebegitu semasa di alam persekolahan, adakah kita mengerti apa yang tersirat, apa yang bakal dihadapi setelah mengharungi 5 tahun dengan mengusung beg galas yang sarat dengan buku sekolah di tambah senaskhah dua majalah yang di beli dari kedai majalah?

Andai kita memahaminya sekarang, tidak termampulah oleh kita untuk mengundurkan putaran masa dan apa yang mampu kita buat hanyalah memberi yang terbaik untuk generasi kita sebagaimana generasi di atas kita mengingatkan satu amanah yang penting dan kita ingkari dan memandang sepi. Untuk menyedapkan hati kita yang berduka seketika, kita jalanilah kehidupan yang kita sendiri pandu untuk menjadi kita sekarang. Menyesal itu boleh, membaiki apa yang disesalkan itulah yang dituntut. Mereka berkata tidak mengapa jika tidak berjaya dalam akademik namun biarlah menjadi manusia yang berjaya. Apakah kayu pengukur untuk menetapkan sebagai manusia yang berjaya?

Semestinya kita bersyukur dan bahagia dengan apa yang telah kita lalui dan jangan sekali-kali kita membandingkan diri kita dengan orang lain. Kita tidak tahu apa yang telah orang lain lalui untuk menggenggam kejayaan dan kita juga semestinya bangga dengan pencapaian kita hari ini dengan apa yang telah kita lalui. Sukar untuk kita menjadi diri sendiri, kita juga adakala menipu diri kita, menyimpan rahsia kita sendiri. Janganlah terlalu terpengaruh dengan falsafah aku adalah aku. Itu hanyalah mainan kata-kata bahawa dia tidak akan mudah dipengaruhi atau melakukan perkara yang sama dengan manusia lain. Tidak lebih dari itu secara dasarnya. Apakah perkara yang kita miliki sekarang tidak dipunyai oleh orang lain. Apakah sikap dan sifat yang kita punyai tidak dipunyai oleh orang lain? Adakah kalian tahu? Sering pula kita berdalih, apa kelebihan orang lain tiada dalam diri kita. Jika mereka boleh melakukan sesuatu mengapa kita pula yang sama sifat manusianya tidak mampu melakukannya? Andai kita nafikan, bermakna kita tidak tahu langsung tentang kehidupan orang lain di bumi ini.

Jangan sekali-kali bangga bahawa akulah ‘one and only’. Mengangkat sendiri kelebihan atau bakat yang ada. Andai kita susah, ada lagi insan lain yang susah. Andai kita merasakan kita hebat, ada lagi manusia lain yang lebih hebat. Cuma tiada dalam pengetahuan kitalah membuatkan kita sering tersilap langkah dalam membuat keputusan. Kaitlah dengan peribahasa, bahawa hidup ini umpama roda yang sentiasa berputar dan sememangnya sentiasa berputar dan hanya akan berhenti ketika Dia hendak menghentikan dengan tiupan sangkakala.

Bangga dengan diri kita dan membanggakan diri adalah dua perkara yang berbeza. Kita bangga diri kita kerana kita sudah tahu kemampuan kita menjalani kehidupan, kita puas dengan apa yang kita capai dengan kemampuan itu dan ini mendorong kita membina keyakinan untuk kita harungi kehidupan ini. Membanggakan diri seumpama kita memperbodohkan diri kita sendiri di hadapan khalayak yang ada antara mereka lebih hebat dari kita. Apakah perasaan kita, bila kita pamerkan kebanggaan kita dan kemudian dimusnahkan dengan mudah oleh orang lain yang lebih hebat dari kita?

Bagi aku amat mudah dalam kehidupan ini. Kita sebenarnya dan sememangnya pun, kita amat saling memerlukan antara satu sama lain. Tuhan jadikan kita berpasang-pasang, lihat sahaja anggota badan kita, carilah pada setiap inci badan kita, adakah mana-mana bahagian tubuh kita yang bersegi? Di anggota badan kita juga tidak punya ‘sempadan’ apatah lagi dalam sikap bantu-membantu. Kita pekak dan bisu tapi masih mampu berkomunikasi. Kita buta penglihatan tapi kita masih mampu melangkah berjalan. Adakah tiap anggota badan kita yang boleh bekerja secara bersendiri tanpa bantuan anggota yang lain? Jadi mengapa tidak kita jalani kehidupan kita dengan saling ‘bantu-membantu’ tanpa mengira apa jua kepentingan atau faedah yang diperolehi?


Bantu diri kita. Bantu ahli keluarga kita. Bantu komuniti kita. Gabungkan semua komuniti dan saling bantu membantu. Akhirnya akan wujudlah 1Malaysia!

Tuesday, April 6, 2010

Mukabuku.

Terima kasih kepada Shariffah Danggor yang berhubung dengan aku melalui Friendster sebelum ini. Dia telah beralih menggunakan Facebook kerana mengatakan bahawa Friendster terlalu rumit untuk dikendalikan apatah lagi dengan masalah kelajuan yang dihadapi. Dia telah menyarankan aku untuk beralih juga ke Facebook. Sekadar melihat wajah Facebook, aku terima dia sebagai kenalan pertama sebagai rakan di dalam Facebook. Setelah beberapa hari aku menggunakannya, aku menambah tiga orang kenalan dari kalangan blogger dan teman email. Keseluruhannya beberapa minggu aku mempunyai enam rakan. Aku menyedari bahawa tiada apa-apa peranan dalam penglibatan aku di dalam Facebook dan akhirnya aku membiarkannya sepi beberapa bulan.

Dalam keadaan Facebook aku lalukan bersendirian, populariti Facebook makin meningkat. Aku cuma melawat untuk melihat perkembangan yang berlaku. Ada beberapa aktiviti yang telah dilakukan oleh rakan-rakan tanpa penglibatan aku. Aku cuba juga mencari rakan-rakan di luar yang berkemungkinan memiliki profil di dalam Facebook. Namun usaha yang mudah itu gagal dalam apa jua bentuk carian. Daftar keluar dan aku melayari web-web yang biasa aku kunjungi melayan diri aku sendiri.

Aku lihat anak-anak aku galak bermain permainan yang tersedia di dalam Facebook malah isteri aku sendiri. Aku hanya membiarkan dan memberikan peluang mereka menggunakan kemudahan itu. Kerancakkan mereka yang leka dalam permainan, aku diajak turut menyertai permaianan mereka. Anak aku lebih arif tentang permainan, memberi taklimat, tujuan dan cara permainan. Walaupun tujuan mereka untuk mendapat balasan hadiah dari setiap permainan, aku bersetuju. Adakala aku pula disuruh memperkemas-kinikan permainan mereka bila mereka tidak berpeluang melayarinya. Akhirnya, aku yang terjebak.



Dalam pada itu aku mula menambah dua rakan, mereka berdualah yang kiranya sahabat dari luar talian yang dimuatkan dalam talian. Aku pula mula bertukar-tukar hadiah sepermainan daripada mereka selain daripada anak-anak aku. Oleh kerana beberapa kriteria yang diperlukan dalam permainan aku mula menambah sebanyak mungkin rakan sepermainan melalui laman peminat permainan. Dari situ bilangan rakan permainan dari serata pelusuk bumi yang dihubungkan oleh talian semakin meningkat.

Hinggalah pada suatu hari, Hyffny, sahabat aku memberikan satu laman cadangan untuk aku melayarinya. Tertera lencana sekolah lama aku di skrin. Satu perasaan mula menyelinap di fikiran. Aku menghabiskan masa melayari dari satu mukasurat ke mukasurat yang lain membaca komen-komen berkaitan gambar yang dimuat naik, melayan memori aku di sekolah Sultan Ismail, Johor Bahru. Namun tiada rakan sekelas yang dapat dicari. Kelihatan cuma pelajar-pelajar ‘junior’ dan ‘senior’ dari tahun yang berlainan. Aku daftar sebagai ahli kumpulan dan meninggalkan pesanan.

Selang beberapa hari, aku mendapat jemputan kenalan dari laman sekolah lama. Aku dapati mereka adalah pelajar setahun muda dari aku dan mereka masih bisa mengenali aku. Kerana, dari nama samaran yang digunakan aku, pastinya mereka tidak dapat mengecam, kemungkinan bantuan gambar-gambar diprofil dapat membantu mereka mengingati diri aku walau pada mulanya aku juga mengalami masalah yang untuk mengenali mereka melalui gambar yang termuat. Segalanya berubah berkaitan rupa paras dan fizikal. Dari beberapa perbualan yang mengaitkan kisah silam, barulah kesahihan ternyata. Sukar digambarkan perasaan itu. Ada semangat di situ yang lahir. Persahabatan yang terputus selama 21 tahun dapt terjalin kembali hanya kerana laman Facebook!

Dari hari ke sehari, aku sering menanti dan melawat laman sekolah lama. Akhirnya pada satu hari, terpampang gambar kelas di halaman utama. Aku tidak dapat mengingati rupa paras pengirimnya walau tertera nama pengirim. Sememangnya aku kurang bercampur dengan pelajar perempuan, hanya beberapa orang sebagai rakan usikkan dan gurauan. Aku perhatikan satu persatu wajah-wajah mereka dan membaca nama-nama yang disertakan di bawah. Aku hanya membuat andaian pada pengirim melalui ruang komen. Selang beberapa hari, aku dapati telah banyak komen yang muncul pada laman gambar tersebut. Aku mengenali nama-nama mereka dan wajah pada avatar mereka namun ada juga yang menggunakan raut wajah anak mereka yang membuatkan aku gagal mengecam mereka daripada nama yang digunakan.

Dari situlah bermula semula perhubungan yang sudah lama terputus tanpa sebarang berita dahulu. Yang sejauh merentasi Laut Cina Selatan dapat direnang, yang sejauh tujuh benua dapat dapat didaki. Kami saling bertanya dan bertukar maklumat tentang rakan-taulan lain yang dalam pengetahuan pada yang lain. Sememangnya kami dulu tiada sempadan kelas, pergaulan kami tidak terbatas pada jurusan yang sama. Kini bersatu semula di bawah laman sekolah Sultan Ismail dan pencarian rakan lain akan diteruskan.

Anak-anak aku mengamanahkan kepada aku untuk menguruskan permainan mereka dan kini aku sentiasa menanti kehadiran rakan-rakan sekolah kembali dalam perjalanan hidup aku.

Andai senikata lagu “Dapat ku undurkan masa” untuk membaiki kesilapan lalu, bagi aku itu tak perlu. Biarlah apa yang berlalu itu terus berlalu menjadi memori. Kerana kenangan lama itulah yang memaniskan dan mewarnai perjalanan hidup aku. Bukan meminta mereka berada di sisi namun gelak ketawa yang terburai dalam merungkai segala rahsia dan kenangan masa lalu menjadi satu kepuasan yang amat bernilai dalam diri kita masing-masing. Kita tidak boleh hidup dalam kenangan lama tapi kerana pengalaman lalulah kita bisa meniti hari-hari mendatang dengan lebih ceria kerana kita tahu kita masih memerlukan antara satu sama lain walau hanya dengan secebis cerita lama.

Tidak terhad pada rakan lama sekolah aku, malah rakan dari sekolah yang lain: aku mengucapkan jutaan TERIMA KASIH kerana mencipta persahabatan antara kita.

Kawan-kawan lebih ‘mengenali’ kurang, lebih diri aku.

Dan kerana aku masih mengingati leteran ibuku, ‘kau ni kan mati sok dek kawan..”