Halaman

Tuesday, May 21, 2013

Sandakan, Sabah - Hari Kedua.



Pada mulanya kami hendak ke Sepilok dan Labuk Bay. Lalu kami telefon brader teksi yang membawa kami dari lapangan terbang semalam. Bertanyakan harga upah untuk membawa kami ke Sepilok dan Labuk Bay. Dia menawarkan harga RM200.00 untuk ke dua lokasi itu. Namun dia memberi nasihat agar kami melakukan lawatan ke lokasi tersebut pada keesokan hari memandangkan waktu makan pada sebelah pagi tadi baru sahaja berakhir. Jika esok hari, selepas melawat Sepilok dan Labuk Bay kami akan terus dihantar ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami terima saranan beliau.
Disebabkan rancangan ke Sepilok dan Labuk Bay ditunda, maka hari ini kami melakukan Jejak Sejarah (Heritage Trails) Bandar Sandakan. Dari hotel kami berjalan kaki menuju ke bangunan Wisma Sandakan. Melewati depan Wisma Sandakan menuju ke Wisma Perbandaran. Aku terlihat premis pusat bermain snuker. Jam baru pukul 11:00 pagi namun sudah ada pengunjung. Handal!
Kebiasaan jika tiada penghawa dingin, kayu snuker (cue) akan terasa kesat bila diletakkan di antara ibu jari tangan dan jari telunjuk. Penggunaan kertas pasir akan membantu. Alah tegal alah biasa mereka ini.
Antara monumen yang menceritakan sejarah bandar Sandakan.
Kemudian kami memasuki Wisma Warisan yang menempatkan Muzium Warisan Sandakan. Muzium ini agak sederhana keluasannya dan pamerannya hanya berkisar tentang pengembaraan Martin dan Osa Johnson di Borneo dan ditempatkan juga beberapa replika rumah tradisional pelbagai kaum di Borneo.

Dari Muzium Warisan Sandakan, kami menyusuri Tangga Seribu menuju ke Rumah Agnes Keith.
Memandangkan kami tiba di perkarangan Rumah Agnes Keith pada jam 1:00 tengahari, kaunter tiket telah ditutup untuk rehat makan tengahari. Kami menuju ke sebuah restoran yang terletak bersebelahan.
Dua pelancong bermain croquet selepas menikmati hidangan makan tengahari.
Kami memesan dua set sandwich dan salad.
 
Tepat jam 2:00 petang kami kembali semula ke kaunter tiket dan membeli tiket berharga RM2.00 seorang untuk satu sesi lawatan ke Rumah Agnes Keith.
Rumah Agnes Keith.

Selepas melawat Rumah Agnes Keith, kami menyusuri semula Tangga Seribu menuju ke bandar Sandakan semula. Dari situ kami mengambil teksi ke Kampung Buli Sim Sim, sebuah perkampungan air dengan tambang RM10.00 sehala.
Aku terserempak dengan seorang penduduk yang membela seekor burung helang.
Dari Kampung Buli Sim Sim kami berjalan kaki menuju ke Pasar Sim Sim yang letak berdekatan. Nama sahaja pasar tetapi tidak kelihatan aktiviti-aktiviti seperti pasar lazimnya. Ia lebih seperti medan selera. Di sini terdapat beberapa kedai yang menyediakan ikan bakar.
Apalagi..
 Ikan merah.
 Ikan sapi.
 Sotong.
Sememangnya sedap dan murah.. amat murah!

 photo TheEvil.png