Halaman

Wednesday, April 17, 2013

Tiba di Sandakan, Sabah.

 
Dari lapangan terbang Sandakan, kami terus mengambil teksi. Teksi berkupon, RM26.50 untuk ke bandar Sandakan. Dalam perjalanan ke Hotel Four Point, aku berborak dengan pemandu teksi. Dari menyiasat mengenai tempat-tempat menarik dan berkaitan aktiviti kami di sini, tak terlepas juga halnya dengan senario mengenai pengganas Sulu yang mengganas di Felda Sahabat, Lahad Datu. Sambil rancak berborak dengan brader teksi, kami tiba di bandar Sandakan melepasi Pasar Umum Sandakan, dia memberitahu, "Ini semua yang bawa kotak-kotak kecil ni, mereka ni jual rokok seludup ni. Orang-orang sana la tu bang." Aku hanya memerhatikan. Memang sukar untuk bezakan dengan orang tempatan. Sama! Seterusnya kami diturunkan di perkarangan hotel. Brader teksi seraya menghulurkan kad namanya padaku setelah aku menyerahkan kupon.
"Kalau abang ada apa-apa, telefon saya," katanya seraya  keluar dan membuka tempat barang di bahagian belakang teksi.
Kami bersalaman dan dia meminta diri setelah membantu mengeluarkan bagasi kami.
Lenggang di lobi hotel. Hanya kami yang berurusan. Aku mendapatkan teh berperisa pic yang sejuk di hujung lobi. Memang tersedia untuk hirupan tetamu hotel. Nyaman kerongkong setelah mengharungi cuaca tengahari yang agak terik. Setelah selesai di kaunter, kelihatan dua orang pelancong asing (backpackers) menaiki eskalator menuju ke kaunter daftar masuk. Sempoi.
 
Keluar jalan-jalan cari makan. Tumpuan orang ramai di bandar ini tidaklah sebesar mana. Satu jam bersiar di setiap kaki lima premis-premis perniagaan di bandar ini sudah memadai jika tidak menyinggah membeli keperluan. Akhirnya KFC juga yang disinggah untuk santapan tengahari. Selepas itu, kami hanya menurut kaki melangkah sehinggalah kami melintas di hadapan Pasar Umum Sandakan. Kami menyinggah sebentar menyiasat situasi. Bersih! Berbeza dengan pasar basar di Pudu atau di Chow Kit. Kami berpusing di sekitar bahagian menjual makanan kering. Namun aku perhatikan di bahagian menjual daging, lantainya bersih, kering dan daging dicangkuk dan digantung teratur dalam peti penyejuk. Tidak seperti penjual daging di pasar Chow Kit yang dagingnya jualan sentiasa terdedah dihinggapi lalat.
Kami disapa peniaga-peniaga di situ. Ramah. Masing-masing cuba mempromosikan udang kering. Kami hanya melihat-lihat. Mataku hanya melayani susunan bungkusan-bungkusan kopi. Iseri mula membelek-belek bungkusan udang kering. Sesekali disapa peniaga memberitahu setiap harga barangan dagangan. Ikan masin dan ikan bilis perlbagai rupa tersusun kemas. Kelihatan juga sekumpulan, dalam 8 orang barangkali, anggota tentera darat yang lengkap berseragam celoreng dan bersenjatakan rifel otomatik sibuk tawar-menawar dengan peniaga tempatan. Lucu pula bila melihatkan 'orang perang' kita tawar-menawar. Mengalahkan perempuan, lebih-lebih dengan senjata yang disandang. Aku rasa mereka ambil kesempatan untuk membeli ole-ole buat orang rumah.
Kami tidak membeli apa-apa hanya aku membeli sebungkus serbuk kopi berharga RM2.00 untuk buat minuman di bilik nanti. Apa yang aku perasan tadi di bilik hotel mereka membekalkan dua bungkus kopi O dan dua sachet teh Sabah serta gula putih, gula perang, gula tanpa pemanis dan krimer. Tetapi kopi bukan jenama Nescafe, yang lazim disediakan pihak hotel di Semenanjung. Harapnya selepas penyelarasan harga di Sabah dan Sarawak, kopi Nescafe dapat dibekalkan. Bukan memilih tapi sudah menjadi kebiasaan. Kalau kopi Davidoff lagi hebat. Hehehe...
Setelah kami merayau, kami berhenti sekejap minum petang. Jam menunjukkan pukul empat lebih. Kami melepak di Harbour Garden Cafe bersebelahan Hotel Swiss Inn. Kelihatan kapal marin tentera laut kita meninggalkan dok. Aku memesan kopi O ais. Suasana petang di sini sememangnya nyaman. Aku hanya memerhati manusia yang mudik ke hulu dan ke hilir.
Sebelum pulang ke bilik. kami menyinggah ke aras 13 di bangunan hotel. Kolam renang! Gambar di atas, lihat deretan kanopi yang memanjang, itu adalah kawasan yang aku singgah minum tadi.
Di perkarangan kolam renang. Jam menunjukkan pukul 6:30 petang tapi suasana seperti Maghrib jika di Semenanjung. Memang boleh leka jika melepak sini.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment