Halaman

Wednesday, March 27, 2013

Leka berhati-hati.

Kelihatan kereta beratur masuk ke tempat letak kereta di LCCT. Ramai juga manusia yang berlepas pada awal pagi hari, maklumlah cuti persekolahan. Aku tidak punya waktu. Segera aku pandu kereta ke bahagian tempat letak kereta ke arah keluar dari kawasan LCCT. Bayarannya RM16.00 sehari. Selepas mengambil kad masuk dari mesin berpalang otomatik, segera aku mencari ruang letak kereta. Agak jauh ke hulu barulah berjumpa ruang kosong.

Aku melangkah laju menuju semula ke terminal perlepasan. Jam menunjukkan pukul 5:45 pagi ketika aku merujuk pintu berlepas di paparan televisyen berhampiran pintu masuk terminal pelepasan. Pintu 12. Waktu pesawat aku belepas jam 6:25 pagi. Mujur aku sudah daftar masuk melalui dalam talian. Segera melangkah menuju ke tempat pelepasan. Manusia beratur panjang. Aku melepasi bahagian pemeriksaan tanpa masalah.

Agak jauh ke hujung letaknya pintu 12. Sebaik sahaja hendak melabuhkan punggung di kerusi, pintu pelepasan dibuka. Gusar juga bila melihat dari jauh tadi, pintu ditutup. Kebiasaannya, 20 minit sebelum waktu penerbangan, pintu pelepasan akan ditutup. Aku mengeluarkan kad pengenalan dari dompet dan sertakan dengan pas berlepas. Aku beratur bersama penumpang-penumpang yang lain.

Entah mengapalah semuanya di bahagian hujung. Dapat parkir kereta di bahagian hujung tempat letak kereta. Pintu berlepas juga nun jauh di hujung. Untuk menaiki pesawat, pintunya juga paling hujung. Kami semua berjalan kaki. Kembali aku bersatu dengan penumpang-penumpang yang lain, beratur melepasi pemeriksaan terakhir sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Di dalam perut pesawat, aku mencari tempat duduk, 19F. Beruntung! Tempat duduk bersebelahan tingkap pesawat. Tidak aku hiraukan pengumuman oleh ketua anak kapal. Aku meletakkan bagasi di bahagian yang disediakan di bahagian atas kerusi penumpang. Sebelum itu aku mengeluarkan sebuah buku dari bag galas. Aku menyesuaikan posisi badan dengan kerusi. Agak selesa walau ruangnya agak sempit. Menaiki penerbangan Air Asia ini, aku umpamakan seperti menaiki bas ekspres juga cuma bezanya, ianya meluncur di udara. Aku mengenakan tali pinggang lantas menyelak muka surat buku yang ditanda di bahagian terakhir sesi bacaan.

Pengumuman keselamatan dilakukan oleh ketua anak kapal penerbangan dan dengan bantuan anak kapal yang menunjukkan cara-cara pengunaan tali pinggang, topeng kecemasan pernafasan, penggunaan jaket keselematan dan menunjukkan lokasi ke arah pintu kecemasan sekiranya berlaku kecemasan. Namun aku tidak memberikan sepenuh perhatian. Aku menumpukan pada bacaan sehinggalah anak kapal mengagihkan makanan. Bagi mereka yang memesan makanan melalui dalam talian, mereka diutamakan. Pagi itu aku bersarapan 2 set sandwich di dalam pesawat menuju ke Sandakan yang mengambil masa 2 jam 50 minit. Tidak berapa pasti pula aku kelajuan pesawat ketika pengumuman tadi.

Selepas sarapan, aku menyambung bacaan, sekadar untuk mengisi masa penerbangan tapi mata diserang kengantukan. Aku menyerah diri pada kengantukan. Buku kuselitkan di jaring belakang kerusi penumpang di hadapan. Aku menikmati cahaya fajar di ufuk timur melalui tingkap pesawat. Cuma kali ini, aku mengatasi awan yang memutih. Tidak aku sedari bila waktunya aku terlena.

Bila sedar sahaja dari ketiduran, ketua anak kapal mengumunkan bahawa pesawat akan mendarat sebentar lagi. Penumpang dinasihatkan mengenakan tali pinggang, menaikkan semula sandar kerusi dan tandas tidak dibenarkan penggunaannya ketika ini. Aku memandang keluar melalui tingkap melihat daerah Sandakan dari udara buat seketika. Seketika itu juga tayar pesawat mencecahkan dirinya di bumi Sandakan.

Ketika berjalan kaki menuju ke terminal Lapangan Terbang Sandakan selepas turun dari pesawat, aku menghidupkan telefon bimbit. Terpapar waktu di skrin telefon bimbit jam 9:18 pagi.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment