Halaman

Saturday, May 14, 2016

Menguak jemaah putih.

13 Mei 2016

Jam 1230 aku tiba di Putrajaya Sentral. Kawasan parkir berbumbung penuh. Berkali-kali aku berpusing di setiap aras mencari tapak kosong. Hampa. Lalu aku keluar dan mencari parkir di luar.

Aku membeli tiket tren ke KLIA2, RM9.40 sehala. Hujan turun seketika membasahi bumi Salak Tinggi.

Tiba di KLIA2 aku terus mendaftar masuk kerana waktu penerbangan telah hampir. Apatah lagi aku perlu berjalan kaki ke ruang menunggu Q7 untuk pelepasan.

Beberapa minit menunggu, Air Asia memaklumkan penundaan penerbangan sehingga jam 1535 melalui siar raya yang sepatutnya dijadualkan jam 1455.

Aku menggapai telefon bimbit. Aku menghubungkan wi-fi percuma lapangan terbang pada telefon bimbit. Aku tusukkan fon telinga lubang yang tersedia di telefon bimbit. Aku mendengarkan saluran Classic Rock dengan aplikasi Spotify.

Akhirnya jam 1600 baru aku diterbangkan ke Jakarta. Dalam penerbangan, tiga kali kapten pesawat mengamarkan untuk memasang tali pinggang keledar kerana cuaca buruk yang perlu ditempuh. Aku memesan kopi bila pramugara menawarkan pesanan minuman.

Matahari hampir di horizon bumi Jakarta namun tersembunyi di balik awan, membiaskan remang jingga, ketika tayar pesawat mencecah landasan. Waktu tempatan jam 1800 dan cuaca cerah.

Selesai pelepasan imigresen, aku dapatkan teksi untuk ke Thamrin City. Dibilangi pak supir, kelewatan dijangka kerana macet sebaik sahaja teksi meluncur keluar dari parkir Terminal Tiga, Bandara Soekarno Hatta.

Teksi melewati Sipli terus ke Tanah Abang melalui Jalan Kebun Kacang. Masih ramai lagi manusia yang berurusan di Tanah Abang walau mentari telah lama menghilangkan diri. Adakala kelajuan teksi merudum perlahan di beberapa jalan kerana kesibukan kereta dan sepeda motor, terutama Ojek yang bersimpang-siur mencari ruang. Aku mengambil kesempatan memerhatikan ragam warga kota, melihat-lihat deretan kedai pelbagai busana.

Sebaik tiba sekitar jam 2030 WIB, aku terus ke kedai makan D'Cost Seafood di aras bawah Amaris Hotel, Thamrin City untuk makan malam. Bezanya di kedai makan ini, kartu yang tertera gambar lauk digunakan untuk memesan makanan. Satu kartu bermakna satu porsi makanan. Unik.

Selesai itu, aku bergabung dengan tujuh orang yang hendak ke Bandung esok paginya. Kami mengambil teksi untuk ke penginapan Residensi 100 yang terletak di Jalan Kota Bumi, berhampiran Holiday Inn. Tambang teksi, Rp18,400.00 yang kira-kira jauhnya 3.4km dari Thamrin City

No comments:

Post a Comment