Halaman

Thursday, May 29, 2014

Terima kasih Uncle Wong.


Satu

Abah membelokkan keretanya ke perkarangan Tadika Capitol, meloloskan diri sebentar dari kesesakan lalu lintas pagi ini. Aku bersalaman dengan abah seraya turun dari kereta. “Jangan nakal-nakal tau,” abah berpesan. Aku hanya mengangguk kecil lalu berjalan perlahan ke kelas.

Kelas bermula seperti biasa. Cikgu Caroline mengajar kami mengenal huruf. Aku yang duduk di meja baris paling belakang bersama Bachan menetapkan wajah ke hadapan. Sekali-sekala Cikgu Caroline menegur Samad yang suka mengusik Alicia menyebabkan Alicia terpekik. Samad memang nakal. Adakala kami yang lain juga turut ketawa bila melihat Alicia mengetus dan mengadu manja pada cikgu. Alicia fasih berbahasa Inggeris dan ini sering menjadi ajukan Samad bila kami berkumpul di taman permainan pada waktu rehat.

Loceng berdering sebanyak dua kali menandakan waktu rehat. Kami segera mengeluarkan beg uncang bertali dari beg galas, di mana beg uncang kami mengandungi pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan garpu yang diperbuat dari plastik. Kami semua akan menyusun pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan garpu tadi di atas meja kami. Kemudian Uncle Wong akan membawa troli makanannya untuk mengagihkan makan pada kami semua. Diikuti oleh Uncle Siah yang akan menuangkan air minuman dari cereknya yang besar.

Kelas menjadi riuh seperti kebiasaannya. Mengambil kesempatan bergurau dengan rakan semeja. Bila Uncle Wong mendekati meja kami, kami akan duduk tegak. Diam dan sopan menanti Uncle Wong mencedok makanan ke atas pinggan kami. Jika tidak, Uncle Wong tidak akan memberi kami makanan. Hari ini kami makan bihun goreng Hailam, bihun yang digoreng berkicap satu hirisan tebal sengkuang putih bersoskan cili manis dan ditaburkan dengan kacang goreng tumbuk dan air sirap sebagai minuman. “Thank you, Uncle Wong, Uncle Siah,” Ucapan yang sering kami lontarkan setelah diajar adab setelah menerima apa jua pemberian dari orang lain. “Welcome,” ucapan balas yang lazim kedengaran dari Uncle Wong dengan senyuman yang amat mesra.

Tadika kami tidak mempunyai kantin. Semua makanan ketika waktu rehat telah disediakan oleh Uncle Wong dan Uncle Yap. Mereka berdua merupakan tukang masak di tadika kami. Sebab itulah kami dibekalkan (dibeli semasa pendaftaran masuk) satu beg uncang yang mengandungi pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan garpu. Adakalanya kami di kelas dapat menghidu aroma masakan mereka berdua. Membuatkan kami adakalanya berteka-teki dengan rakan yang lain tentang hidangan waktu rehat.

Setelah selesai menikmati juadah rehat kami, kami akan beratur sambil menatang pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan garpu yang digunakan tadi untuk kami sendiri basuh di sinki yang berada di luar kelas. Setelah dibasuh kami lapkan semuanya hingga kering dengan kain yang disediakan dan kembali ke dalam kelas dan menyimpannya semula di dalam beg uncang. Setelah itu, kami akan berlari berkeliaran ke taman permainan. Bermain jongkang-jongkit atau duduk berayun di buaian atau bermain papan gelunsur. Aku, Samad, Bachan, Ramli, Hanafi, Chong, Lee dan Rama bermain gelunsur dan kemudiannya kami bermain ‘kejar-kejar’. Amat riuh dengan usikan dan jeritan kami semua. Riuh!

Loceng berdering lagi sebanyak dua kali menandakan waktu rehat tamat. Kami semua akan berbaris berdua-duaan sebelum memasuki kelas semula. Kelihatan Mrs. Seah, pengetua, memerhatikan kami. Sementara Cikgu Caroline dan Cikgu Lam mengatur selia kami. Barisan yang sudah teratur akan memulakan langkah menuju ke kelas masing-masing dengan badan kami yang masih lekit berpeluh. Bila tiba di kelas, keriuhan masih tidak lagi beransur pergi. Masih lagi minat berlari-lari di dalam kelas. Mengusik rakan kelas perempuan. Bagi mereka yang sudah mengalah, sapu tangan dikeluarkan dari kocek lalu mengelap muka dan leher yang masih lekit berpeluh.


 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment