Halaman

Monday, July 18, 2011

Punah lelaki.

Hari itu aku menerima satu SMS, jam lebih kurang 1100 pagi,

“Adk, tlg cri saper2 yg nak. Tp x nk men blkg.
Trdesak, x tau leh jd gini”.

Tiada tertera nama pengirim, hanya nombor telefon bimbit.  Aku membiarkan sahaja pada mulanya. Namun aku memeriksa semula isi SMS yang dikirim. Aku tertarik pula dengan maksud ‘tak nak main belakang’, lain macam sahaja fikir aku. Seronok juga kalau melayan.

Aku menekan butang untuk menelefon nombor pengirim. Tiada jawapan. Biarlah.. Selang beberapa minit aku menerima  SMS dari nombor yang sama, bertanya siapa aku. Aku pula membalas dan bertanya siapa dia. Bukan individu yang dikenali. Berlakulah balas-membalas SMS. Pada siri pengenalan diri, dia seorang wanita bernama Aida.

Pati ceritanya,

Dia meminta aku menolongnya untuk memberi pinjam wang sejumlah RM330.00 sebelum jam 1500 hari itu juga untuk dia menjelaskan wang sewa rumahnya yang diberitahu kepada aku bahawa wang yang sepatutnya dibayar kepada tuan rumah telah dilarikan oleh teman serumah dan sebagai balasan, aku bisa menidurinya malam nanti. Hebat!

Jadinya,

Aku melengahkan masa kerana bila panggilan dibuat, tiada jawapan darinya. Alasannya melalui SMS, dia bekerja sebagai model, kini sedang berada di lokasi penggambaran dan bercakap menggunakan telefon bimbit adalah dilarang.

Untuk mengesahkan perkara tersebut aku disuruh untuk menelefon tuan rumah untuk memberitahu bahawa aku sudi menolongnya membayar duit sewa rumahnya. Aku menelefon tuan rumah dan bertanya kedudukan sebenar. Ceritanya sama dari kedua-dua pihak. Setelah mendengar penjelasan panjang lebar dari tuan rumah, aku pula berpura-pura bahawa kawan aku yang boleh membantu. Tuan rumah pun menghantar nombor akaun banknya melalui SMS kepada aku setelah disarankan oleh aku. Amat segera hantaran nombor akaunnya pada aku. Aku juga meminta Aida menghantar nombor akaun bank tuan rumah untuk aku membuat perbandingan jika mereka lalai dan melakukan kesilapan. Nombor akaun bank yang aku terima sama. Namun amat pantas penghantarannya.

Dalam senggang waktu, aku membiarkan seketika. Menanti apa yang bakal berlaku. 20 minit berlalu. Aida menghantar SMS bertanya tentang pertolongan yang bakal aku berikan. Dia menyakinkan aku mengenai balasannya. Dia juga menawarkan sebuah komputer riba sebagai sandaran pinjaman.

Aku jadi seronok, seronok melayani perkara begini.

Bila waktu telah menghampiri jam 1500 Aida bertanya lagi tentang tawarannya dan berharap aku sudi membantunya.  Akhirnya aku membalas kerana kesuntukkan waktu aku tidak dapat untuk membantunya ketika ini.  Aida menghantar SMS meraih simpati. Aku hanya membiarkannya dan senyum seorang diri memikirkan hal dunia. Macam-macam!  Tiada lagi SMS yang menyusul.

Lelaki mana yang tidak tertarik dengan tawaran begini. Benarkah? Aku bukan tidak tertarik cuma aku andaikan ini hanyalah satu sindiket penipuan. Dalam proses yang berlaku banyak keraguan yang muncul. Andai walau benar sekalipun Aida ini memerlukan pertolongan sebegitu. Dia tidak semestinya menggadaikan tubuhnya untuk dinikmati lelaki lain hanya dengan nilai RM330.00. Murah benar maruahnya sebagai seorang perempuan, mudah dijaja bila kesempitan atau dia biasa melakukannya atau dia benar-benar terhimpit.  Aku fikir, seorang pelacur yang tersepit pun tidak akan melakukan perkara begitu. Pelacur juga ada maruahnya. Pelacur juga membuat garisan antara mencari sesuap nasi dan maruah. Tak percaya? Pergilah maki seorang pelacur…

Mengapa Aida tidak sahaja terus menawarkan komputer riba sebagai sandaran. Bukankah lebih menarik  untuk mendapati sebuah komputer riba dengan hanya nilai itu. Amat murah sebagai sandaran seandainya dia gagal melunaskan pinjaman itu? Pastinya ada sesuatu yang tersembunyi bila penawaran yang lebih hebat sebagai ganjaran, lebih-lebih lagi pada orang yang tidak dikenalinya.

Mungkin modus operasinya begini;

Apabila seseorang lelaki yang telah terperangkap dengan penawaran ini, ada beberapa antara perkara boleh berlaku pada yang ingin menolong;

Pertama, anda tidak akan mendapat kembali wang anda.  Nombor telefon yang anda ada untuk menghubunginya akan pasti gagal dihubungi. Tamat. Anda geram dan sakit hati. Akhirnya anda menyejukkan hati dan menerimanya sebagai balasan takdir dariNya yang mana mungkin anda juga pernah melakukan kesilapan atau menipu pada orang lain. Anda akan menganggap ianya seperti sedekah sahajalah wang itu untuk anda menenangkan hati yang sakit sedangkan dia di sana tertawa bergembira melakukan penipuan pada anda sambil mengeluarkan wang dari ATM.

Kedua, setelah wang diterima olehnya, anda akan dihubungi untuk berjumpa dengannya di satu lokasi yang dia tetapkan untuk melunaskan ganjaran yang telah ditawarkan. Dia tidak akan menerima sebarang penawaran lokasi dan waktu dari anda dengan seribu alasan bodoh yang anda tidak pernah dengar. Akhirnya anda pasti akan menerima cadangannya agar habuan anda tidak terlepas! Pastinya..  anda akan hadir menemuinya seorang diri.

Berlanjutan pada  pertemuan itu, beberapa situasi mungkin  akan berlaku. Anda dapat bersamanya berdua-duaan di dalam bilik dan andaikanlah bahawa anda dapat menidurinya dan kemudian bisa melangkah pulang dengan selamat. Anda beruntung! Pasti ianya akan berlanjutan dan anda akan menjadi tempat dia bergantung dan meletakkan harapan. Anda pula dalam kesedapan. Setelah beberapa minggu kemudianya, dikhabarkan pada anda bahawa dia sedang mengandungkan anak anda. Tahniah!


Tetapi bagaimana keesokkan harinya dia menelefon anda dan mengugut dengan apa yang telah berlaku semalam telah dirakam oleh pihaknya tanpa pengetahuan anda untuk meraih wang yang banyak daripada anda. Mengugut  untuk menyebarkan rakaman video itu melalui internet, menganggu keluarga anda atau membuat masalah di tempat kerja anda. Dalam masa yang sama juga, dia boleh menjual rakaman itu pada penganjur laman-laman web lucah dan menerima habuannya.

Atau,
Ketika anda berdua-duaan di dalam bilik. Hanya sempat menelanjangkan diri. Tiba-tiba ketukan dari luar pintu bertalu-talu dengan kasar disusuli jeritan maki hamun. Anda panik? Pelbagai andaian yang menerpa. Pintu dibuka, muncul beberapa lelaki dan seorang daripadanya mengamuk bahawa anda telah menidurinya isterinya. Beranikah anda meminta pengesahan sijil nikahnya? Ketika inilah, anda akan diugut untuk menyelesaikannya dengan wang. Diiringlah anda menuju ke mesin ATM. Lebihlah malang bila mereka mengetahui baki simpanan wang anda yang banyak.

Atau,

Dua situasi di atas boleh berlaku dalam masa yang sama. Di mana anda dapat menidurinya, perlakuan itu semuanya dirakam. Setelah anda selesai bermukah, muncul beberapa lelaki dan mengugut wang dan keselamatan anda. Dan yang lebih ‘meyeronokkan’ anda diliwat oleh beberapa lelaki tadi. Mampukah anda meraung?


Jangan diingatkan bahawa wanita itu lemah sedangkan anda tidak mengetahui kehebatan mereka. Sesiapa sahaja yang bernama lelaki akan punah kerana nafsu pada wanita dan wang. Mereka mencari keuntungan mudah dengan melakukan jenayah sebegini. Tetapi anda, lelaki, boleh menghindarinya bila anda sentiasa beringat bahawa syaitan ada di sisi kita, akan sentiasa meniup keasyikkan dan melekakan anda pada realiti hanya dengan bisikan seorang wanita.


Aku tidak pasti perkara ini pernah terjadi atau telah dialami oleh seseorang. Hanya andaian aku apa yang boleh berlaku jika aku menurut apa yang berlaku. Sebab aku hairan, hanya untuk meminjam wang RM330.00 ada yang sanggup menawarkan sebegitu. Terlalu mudah dan mengasyikkan. Bagi aku, apa sahaja yang datang dengan mudah disertai ganjaran yang menarik tanpa risiko, itu PENIPUAN!






blog

No comments:

Post a Comment