Halaman

Tuesday, March 2, 2010

Menggapai puncak Kinabalu.

Tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu 20 minit awal dari jadual ketibaan. Negeri di Bawah Bayu telah aku jejak walau terpisah kedudukkannya dengan laut Cina Selatan dengan Semenanjung Malaysia dan mengambil masa 150 minit penerbangan, sudah tentunya dengan kapal terbang dari Terminal LCCT, KLIA.

Aku nantikan ketibaan kereta sewa yang telah dilakukan urusniaganya dua minggu sebelum perjalanan ini. Sementara itu, aku membaca risalah mengenai negeri ini yang mempunyai puncak gunung tertinggi di Malaysia, 4,095.2 meter dari aras laut. Sabah juga gah kerana memiliki bunga paling besar di dunia iaitu bunga Raflessia.
Tumpuan percutian aku hanyalah di sekitar Kundasang dan megikut perancangan, aku juga akan singgah di Kota Belud sebelum pulang. Dari Bandaraya Kota Kinabalu akan mengambil masa lebih kurang 2 jam pemanduan untuk ke Kundasang. Bunyinya seperti daerah Kundasang itu terlalu jauh jika dibandingkan dengan tempoh perjalanan di Semenanjung.

Sebenarnya tidaklah terlalu jauh namun faktor kelajuan pemanduan sekitar 60-80km/j dipengaruhi oleh jalan raya yang mempunyai banyak selekoh dan kenderaan bermuatan yang memandu perlahan. Seharusnya memandu perlahan untuk melihat pemandangan bukit, hutan dan semestinya pemandangan Gunung Kinabalu yang sudah boleh dilihat dari daerah Tuaran lagi.





Perjalanan ke Kudasang yang melalui daerah Tamparuli ini diambil kesempatan untuk bersiar di sekitar pasarnya dan berjalan kaki melintasi jambatan gantung yang dikatakan mempunyai legenda dengan seorang gadis Dusun.


Ada juga beberapa tempat yang menarik yang disinggahi dalam perjalanan, antaranya Pekan Nabalu dan satu tempat untuk melihat pemandangan puncak Gunung Kinabalu.

Di katakan adalah lebih baik untuk melihat pemandangan puncak Gunung Kinabalu seawal pagi kerana puncak gunung mudah diliputi kabus atau awan pada waktu mula meninggi.

Semasa melewati satu perkampungan, terperasan satu gerai di tepi jalan yang menjual daging babi hutan salai. Bukanlah terperanjat cuma kagum dengan kelainannya. Majoriti penduduk kampung di sini menganuti agama Kristian, pastinya akan ada papan tanda ini di jalan masuk setiap kampung yang dilewati dalam perjalanan.

Rata-rata perjalanan ke Kundasang di temani pemandangan kaki gunung dan hutan atau gaung yang menghijau dan nyaman. Tidak perlu penghawa dingin sepatutnya semasa memandu tetapi untuk mengelak debu dan asap kenderaan lain, terpaksalah…


Tegak matahari di atas kepala, aku tiba di Kundasang. Namun kedinginannya tetap membuatkan badan mengigil bila disapa angin yang sentiasa menderu berlalu. Tiada penghawa dingin di dalam bilik. Air yang keluar dari kepala paip bagaikan air yang cair dari ais, sejuk dan amat sejuk.


Waktu matahari mula condong ke barat di sebalik Gunung Kinabalu, aku bersiar sekitar pekan Kundasang yang mempunyai deretan kedai kayu yang menjual buah-buahan dan sayuran. Muzium Peringatan zaman perang (Kundasang War Memorial) hanya terletak bersebelahan dengan medan selera. Sekadar membuat satu pusingan, kiranya lengkaplah aku menjelajah pekan Kundasang yang mengambil masa kurang dari 10 minit.




Sini ayam dijual hidup-hidup. Terbaik dari reban..!



Sebelum pulang, singgah membeli sayap ayam, disebut kepak ayam di Semenanjung. Sayap ayam bakar berharga RM1.20 satu bezanya saiz sayap ayam ini lebih besar seperti yang boleh didapati di Semenanjung. Oleh kerana gelojoh nafsu perut, lebih-lebih lagi dengan kesejukkan hawa di sini, 20 keping sayap ayam dibeli untuk makan malam. Selain itu sempat juga membeli 3 keping martabak sayur.. Lazat..!


Sup sayur yang dimasak enak dimakan panas-panas.


Hari Kedua.

Seawal jam 0600 pagi aku bangkit dari tidur untuk melihat keindahan sinar mentari menyimbah bumi Kundasang. Kedinginan yang menggigit membuatkan kopi panas tidak terasa mengalir di kerongkong malah dialu-alukan memanaskan hawa badan melawan kedinginan pagi. Perlahan dari timur, mentari menampakkan sinar sebagai tanda permulaan hari.


Dan bermulalah juga aktiviti percutian seperti yang direncanakan…

Untuk pengetahuan, semua tempat menarik yang dilawati pasti ada bayaran masuk dikenakan. Bayaran yang mampu, bagi dewasa, RM3.00 seorang dan kanak-kanak umur bawah 12 tahun antara RM1.00 atau RM1.50 seorang.


Pemandangan puncak Gunung Kinabalu di awal pagi dari Kinabalu Pine Resort.



Salah satu tempat permulaan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, Timpohon Point di Kinabalu Park. 5 minit pemanduan dari pekan Kundasang. Satu lagi permulaan pendakian di Mesilau.


Pemandangan puncak Gunung Kinabalu dari anjung pemandangan di Timpohon, Kinabalu Park.


Memandu dari Kundasang melalui Ranau untuk ke Poring Hot Spring. Tempat mandi air panas terbuka dan tertutup selain itu ada Taman Kupu-Kupu, Jambatan Kanopi, Gua Kelawar, Air Terjun Kipungit dan Air Terjun Langanan.


Tempat terbuka untuk mandian air panas.


Rumah untuk mandian air panas secara tertutup. Ada dua bilik pada setiap satu rumah. RM20.00 untuk satu jam.


Makanan tengahari yang dibeli di pasar tamu di Ranau. Nasi putih dibungkus dengan daun tapai. (kalau tak silap la).


Jambatan kanopi yang digantung di atas pokok setinggi lebih kurang 30.7 meter dari tanah dan sepanjang lebih kurang 100.5 meter.


Dari Poring, ke Mesilau melawat ladang ternakan lembu tenusu di Desa Dairy Farm.


Kumpulan lembu betina yang baru bercerai susu dan sedia untuk mengawan (weaner). Anak-anak lembu betina (baby calf) diasingkan sebagai kumpulan heifer.



Pusat pemerahan susu lembu.



Ini seekor lembu jantan yang mengetuai lebih kurang 100 ekor lembu betina dalam satu kumpulan lembu (milking) yang diperah susunya. Secara purata seekor lembu mengeluarkan 10 liter susu.


Hari Ketiga.


Lebih kurang 1 jam lebih pemanduan dari Kundasang ke Pasar Tamu Kota Belud.


Sotong kurita.


Hasil dituai, keuntungan diraih.


Ikan Talang dijadikan ikan masin yang disapu sambal lada di jual di pasar besar Kota Belud. Ke Kota Belud hanya untuk membeli ikan masin ini yang dikirim teman-teman. Kemudian ke Kota kinabalu.


Dari Kota Belud memandu ke Bandaraya Kota Kinabalu terus ke Pasar Ikan Masin berdekatan Pasar Phillipines.



Sotong kurita juga diasinkan.


Setelah berjalan bersiar di pasar ikan masin, pasar Phillipines dan menikmati air kelapa muda, berehat ambil angin laut di Karambunai. Lewat petang kembali semula ke Bandaraya Kota Kinabalu dan singgah di pasar malam Kg. Air. Buat warga Sabah, pembangunan semakin pesat dan kompleks membeli-belah 1Borneo yang berhampiran dengan Universiti Malaysia Sabah kini merupakan satu kebanggaan warga Sabah.



Sementara menanti waktu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur, singgah makan malam dengan ikan bakar di belakang pasar Phillipines. Harga yang amat murah, keenakannya dirindui.

1 comment:

  1. salam...bestnya entry nih...w'pun da tiga kali masz ke sabah tp x smpat nak jalan2 smpai ke kundasang...wish had more time to travel... insya'allah de rezeki lbh plan nak visit sabah lg but dis time nak backpacking...

    ReplyDelete