Halaman

Tuesday, March 2, 2010

Mendaki puncak.


Angan-angan, sebutannya ringan dan mengasyikkan. Diikutkan, keseronokkan berangan tiada puncaknya, tinggi melayang meneroka, bercabang aliran daya keasyikkan halanya. Segalanya indah mengikut kemahuan hati sendiri. Jauh perginya dalam pemikiran kita, selepas satu, satu lagi hadir menjadi penyambung. Kita jadi khayal melayan angan-angan yang tiada batasnya, yang tiada mustahil dalam dunia angan-angan. Mereka kata tiada guna berangan-angan. Membuang masa dan melayan sesuatu yang mustahil.

Terpulang juga pada individu itu sendiri untuk berangan-angan. Adakalanya angan-angan itu datangnya dengan sendiri dengan sedikit desakan dari fikiran kosong. Jauh menungnya berjalan dalam dunia angan. Bermula dengan ‘andailah aku…’ atau ‘kalaulah aku…’ angan-angan itu bermula. Angan-angan bukanlah merenung kenangan yang telah berlalu tetapi sesuatu yang ingin kita nikmati atau apa sahaja yang kita mahu miliki atau kita lakukan pada masa akan datang.

Orang Melayu sering dikaitkan dengan angan Mat Jenin. Tetapi mana titik perubahan yang mampu kita lakukan? Tidak dinafikan angan-angan itu mempunyai dunianya tersendiri. Sememangnya ada angan-angan hanya melayan perasaan dan kita menjadi pengarah dalam dunia itu sendiri. Kita merasakan kita hampir boleh melakukan segalanya. Dan kita juga sedar kita tidak boleh mengecapinya dalam dunia realiti ini. Ianya sekadar fiksyen dalam fikiran kita yang layak dijadikan cerpen, novel atau filem untuk kita berkongsi sama.

Namun begitu, kelakuan berangan dapat membantu kita mengenal diri sendiri. Mengenali keupayaan diri kita merealisasikan angan-angan menjadikan satu azam atau cita-cita yang sebaiknya kita genggam. Dalam proses ini ianya memerlukan banyak usaha dan pengorbanan untuk mencapai matlamat yang bermula dengan angan-angan walau sekadar untuk kita berkongsi fiksyen fikiran kita dengan khalayak.

Usaha yang dibentuk inilah yang bakal menyerlah keperibadian kita sebagai seorang manusia dalam kelompok masyarakat. Samada kita lebih dapat mengenali diri sendiri dengan sikap-sikap atau pandangan yang baru atau pun akan lebih menyakinkan kita bahawa itulah sikap yang sememangnya telah kita miliki dan kita perlu terus memantapkan untuk menjadikan diri kita lebih baik dalam kehidupan ini.

Ada individu yang tidak pasti kebolehan yang dimiliki dan tidak dapat melihat kemampuan untuk membuktikannya. Tetapi setelah usaha dan pengorbanan dalam proses menjadikan angan-angan satu kejayaan, individu itu pastinya akan merasa satu kejayaan dengan kepuasan dirinya, tidak kira samada pencapaian cita-cita itu gagal atau berjaya. Pentingnya adalah kita telah dapat cara untuk mengenali diri kita, kita telah menggunakan keupayaan diri semaksima mungkin dan tahu keupayaan dan kebolehan diri kita. Janganlah pula kita merendahkan moral diri kerana kesilapan yang dilakukan kerana itulah pelajaran yang paling berharga.

Lebih banyak kesilapan, (tetapi bukanlah kesilapan yang sama berulang-ulang terjadi) yang dilakukan bermakna telah banyak cara kita cuba gunakan untuk menghampiri kejayaan. Kesilapan dan kecundang adalah seiring namun dengan usaha yang digiatkan seiring dengan kesabaran maka kita pastinya menemui banyak perkara dalam diri kita dan pemikiran kita dalam mengharungi kehidupan.

Jangan sesekali menganggap kejayaan itu mempunyai jalan pintas. TIADA! Keseluruhan kajayaan datang dari usaha diri dalam kita mencari kekuatan dan pemikiran dari sekeliling kita. Jika begitu mengapa kita perlu bersusah payah mendaki Gunung Kinabalu. Bukankah senang jika kita ke puncaknya dengan menggunakan helikopter?

1 comment:

  1. x dpt g tempat org dpt tgk dr blog ni pon da ok la...mcm2 budaya masyarakat luar.aku je duk terpuruk kat jb ni..

    ReplyDelete