Halaman

Monday, November 23, 2009

Taming Sari.

Sering juga bersuara pada kawan-kawan, "Kawan-kawan bukan lawan". Bila ada kawan yang berkata demikian, sebolehnya kawan tidak mahu beradu tenaga dengan kawan lain atau menjadi lawan yang boleh memutuskan sesuatu perhubungan yang telah lama diikat. Ada juga disebut sebagai sindiran/nasihat bila kawan terlajak kata hingga mencetuskan kemarahan kawan lain.

"Kawan tak makan kawan". Ini juga seperti lawan pada peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi. Adakala kawan berharap agar kawan boleh menjaga amanah atau sekurang-kurangnya tidak menyusahkan kawan. Tidak curang di belakang kawan yang lain dan sebaiknya menghormati kawan dan kawan-kawannya yang lain. Secara langsung menimbulkan isu; kawan kau, kawan aku juga.

Pengertian kawan ini terlalu luas, cuma aku dapatkan kesimpulan selama aku berkawan dengan kawan-kawan. Ada kelas mereka sendiri dalam berkawan, kawan baik atau sekadar berkawan-kawan dan membentuk satu kawanan. Malah ada sub-sub kawan seperti kenalan, teman dan sahabat. Ada juga mengatakan dengan segelas teh tarik bisa mendapat seorang kawan. Mudahkan?

Semestinya ada sesuatu yang mencetuskan seorang manusia menjadi kawan pada kawan yang lain. Sebaliknya jugalah yang membuatkan kawan itu menjadi lawan.

Jadi apa yang susah untuk menjadi kawan kepada kawan yang lain. Mengapa pula kita seharusnya menjadi lawan pada kawan?



Dihikayatkan Hang Tuah punyai empat kawan lain sehingga kawanan ini digelar Lima Bersaudara, asalnya kawan sepermainan dari kecil hinggalah dewasa. Hang Tuah juga ada berkata "Takkan Melayu hilang di dunia" yang mana akhirnya seperti dihikayatkan, beliau telah melenyapkan seorang melayu yang merupakan kawan baik beliau. Siapakah kawan, siapakah lawan?

Masing-masing antara mereka punya prinsip tersendiri. Hang Tuah menjunjung Raja yang didaulatkan yang tidak boleh ditidakkan manakala Hang Jebat memuja persahabatan mereka sehingga ada dendam padanya terhadap Raja untuk membela kematian kawannya seperti disangka hingga satu Melaka hendak diamuknya.

Kerana berkawan, beliau mati dalam tusukan keris Taming Sari dari tangan kawan sendiri.

2 comments:

  1. hmm... tanpa kawan, hidup tak meriah... tp kena pandai pilih kawan...

    ReplyDelete
  2. maksu pegang kepada prinsip berkawan lite-lite sajork... takut, kadang2 kerana perkara kecil boleh jadi besar bila ada sekam tersembunyi.

    salam aidiladha

    ReplyDelete