Halaman

Monday, November 30, 2009

Berborak dengan diri.

Sebagai rakyat sesebuah negara, tidak kira sistem perundangan apa yang diamalkan, rakyat pastinya meminta bantuan (dari apa segi pun) daripada pihak kerajaan tersebut. Sama seperti kita insan yang mempunyai Tuhan yang disembah mengikut acuan dan amalan masing-masing, pastinya tangan ditadah memohon bantuan dengan lafaz doa.

Sebut sahaja kerajaan manakah yang tidak mahu membina negara dengan rakyatnya makmur dan terbilang? Dalam skala yang kecil, keluarga siapakah yang tidak mahu ahli keluarganya cemerlang. Jika punya anak yang berjaya melangkah ke menara gading, nama siapakah yang akan dijulang masyarakat? Diasuh anaknya belajar sepandai-pandainya, pelbagai usaha ada di dalamnya untuk mengangkat anak sebagai pelajar cemerlang. Hanya untuk apa? Hanya untuk lulus peperiksaan kemudian menjawat jawatan penting dan miliki kuasa dan kewangan. Alas orang tuanya, kau yang senang esok, rumah besar, kereta besar. Begitu juga dalam memilih menantu. Jangan cakaplah jika ada orang tua yang hendak melihat anak mereka susah dan melarat. Betul?

Ini antara kaitan sebuah kerajaan dengan warganya dengan bandingan kecil dari sebuah keluarga. Inginkan kejayaan dan kecemerlangan. Ayah menasihati anak lelakinya, jangan merokok. Kerajaan juga menghabiskan jutaan ringgit untuk kempen 'Tak Nak'. Tapi semasa ayahnya menuturkan nasihat, tersepit rokok di mulut atau di antara jari telunjuk dan jari hantu. Jadi orang juga berkata kenapa tidak kerajaan mengharamkan sahaja penjualan rokok?

Pastinya ada kepentingan bukan? Ayah tidak mahu anaknya mengikut jejak langkahnya yang membazir wang membeli rokok dan juga masalah kesihatan malah masalah-masalah sampingan bila keputusan rokok. Tapi ayah sudah terjebak! Cuma tidak mahu anaknya akan susah dan menderita sepertinya. Itu kononnya, hakikatnya, ayah tidak mahu berkongsi rokok dengan anaknya dan tidak mahu anak meminta wang darinya untuk membeli rokok. Kepentingan kerajaan dalam pengutipan cukai dalam perniagaan tembakau ini mencecah jutaan ringgit, pastinya. Adakah kompromi telah berlaku antara kerajaan dengan pengilang rokok dalam masa yang sama kerajaan melarang rakyatnya agar tidak merokok sekaligus tidak membeli rokok yang boleh membantutkan permintaan di pasaran? Betulkah cara begini? Betul sebab kerajaan perlukan dana untuk mengurus dan menyara negara. Sedangkan rakyat boleh membuat pilihan dan berfikir sendiri agar untuk merokok atau tidak. Pengilang pula mungkin termakan pujuk atau kata dua dari kerajaan. Diperhatikan sekarang makin banyak pula jenama rokok berada di pasaran dan masih ada kelas-kelasnya tersendiri yang boleh mencitakan pengemar tembakau.

Cukai adalah antara cara kerajaan menjana pendapatan dan dipulangkan kepada rakyat dengan membangun kemudahan infrastruktur contohnya. Ada pelbagai cara kerajaan membantu rakyatnya yang memerlukan bantuan. Kelihatannya sangat adil, belum termasuk bagaimana kenudahan dan faedah yang dinikmati para penjawat awam yang berdedikasi melaksanakan tugas. Itu secara amnya tetapi bagaimana dengan rakyat yang bekerja dengan sektor swasta? Dilambakkanlah masalah-masalah pekerja swasta ke Jabatan Buruh untuk membuat aduan kerana hak seorang pekerja termaktub di dalam akta. Akta yang dibuat oleh perlembagaan. Berapa peratuskah pekerja swasta di peringkat bawahan yang mengetahui kewujudan fungsi Jabatan Buruh ini? Dahulu, orang yang hendak mencari kerja sahaja yang berkait dengan Jabatan Buruh ini. Selain itu adakah pekerja-pekerja ini tahu fungsi dan peranan Jabatan Buruh. Malah ada juga penyawat awam yang masih kabur dengan hal-hal sebegini. Yang diketahui secara umum, pemberhentian kerja dengan notis 24 jam tanpa sebab. Hati sudah sakit, bicara tentang undang-undang mengalahkan peguam berhujah.

Pelbagai cukai yang dibayar oleh rakyat pada kerajaannya. Sebagai tanggungjawab, memujuk hati agar generasi atau mayarakat umumnya dapat menikmati kemakmuran. Dalam hati, sumpah seranahnya berbakul. Tak payah pergi jauh, cukai jalan yang hampir tamat tempoh pun sudah bisa buat tidur malam tak lena. Harga barangan jadi mahal pun kerana cukai. Kereta yang dikeluarkan dalam negara sendiri pun kena cukai, kena bayar bila nak beli kereta. Tapi tak berapa nampak sebab termasuk dalam pinjaman bank. Bulan-bulan bayar, jadi tidak terasa. Bank hendak untung. Perniagaannya memberi pinjaman dan untuk menggalakkan rakyat meminjam. Faedah jadi tarikannya. Kena minta bantuan pada Bank Negara untuk kelulusan atau persetujuan, bukan boleh main-main. Bank Negara itu apa? Bukan kerajaan ke?

Kemudian penjual dan pengedar kereta gunakan tarikan faedah yang rendah ini untuk melariskan jualan. Ditambah lagi dengan "Zero Downpayment"! Tak menarik ke? Anak yang pandai tadi berkelulusan universiti pastinya sudah menjawat jawatan eksekutif baru kerja 3 bulan sudah boleh memandu kereta berharga ratusan ribu ringgit. Yang bergaji antara RM1,500.00 dan RM2,000.00 pun sudah boleh bergaya dengan kereta Persona sekurang-kurangnya. Yang bangga siapa? Emak ayahnya jugalah yang masyhur di kampung, anak sudah menjadi orang. Tapi yang merana siapa?

Yang merana, balik pada diri sendiri juga. Kesesakan di jalanraya yang dibanjiri jutaan kenderaan setiap kali pergi dan pulang kerja. Jangan dikenang sesak lebuhraya balik kampung semasa cuti perayaan. Inilah tekanan yang kita sendiri buat-buat tak nampak. Demi tanggungjawab pada negara dan diri sendiri, relakan sahajalah, pejam mata. Sampingannya, kita lihat jutaan kenderaan bersusun di jalanraya. Yang mana hendak cepat, dengan caranyalah yang boleh membangkitkan kemarahan pemandu lain pula. Bergesel sikit, mulalah jadi samseng jalanraya. Tak dapat bagi penumbuk, bagi isyarat tangan pun jadi. Yang membuat, nak tunjuk kuasa. Yang kena buli, sakitnya hati! Kalau kena bertemu buku dengan ruas, kerana dua manusia ini, manusia lain pula yang jadi susah. Manusia yang jauh duduk kerja jadi pendaftar mahkamah pun sudah bertambah jadi kerja. Sarjan di balai yang susah hendak buat laporan, pegawai penyiasat jadi pening. Lokap penuh!

Itu jaranglah berlaku tapi ada hingga berbunuh. Yang boleh kita lihat, ada segelintir pemandu yang menghisap rokok. Segelintir ke? Tekanan atau bersantai? Andai suku pemandu dengan jumlah kenderaan di jalanraya yang merokok, bayangkan? Pemandu, belum kira penumpang sebelah. Tekanan juga bagi mereka yang mengejar masa untuk tanggungjawab pada keluarga, majikan, masyarakat diri sendiri dan orang lain. Ibu memandu pulang hendak memasak. Ayah memandu pulang hendak makan. Anak mencelah-celah takut lewat dimarahi kekasih hati. Para pekerja terburu-buru hendak mengejar mesyuarat, mana lagi dengan tempoh waktu yang suntuk. Hendak mengawal masa atau rancang perjalanan? Apa yang boleh dirancang? Setakat keluar pergi kerja seawal pagi jam 6:00, tidak semua manusia yang boleh korbankan waktu lena yang nyenyak. Sudahlah pulang lewat malam, konon hendak mengelakkan kesesakan. Lepak dulu di restoran mamak menikmati segelas dua teh tarik yang bisa menambahkan kolestrol. Rokok bersambung puntung. Pengisiannya tak tahulah pula berkisar apa? Cerita juta juta....

Pada siapa hendak diadukan masalah ini? Perancang bandar? Lihatlah susur keluar atau susur masuk lebuhraya ke, jalan ekspres ke, jalan pintasan ke? Bersusun kereta. Dibuatnya jalan pintas tapi dilambakkan keluar pada jalanraya yang sudah memang terkenal kesesakkannya. Bayangkan, sebagai contoh, memandu dari tempat S ke tempat K pada jam 3:00 pagi mengambil masa 15 minit tetapi 60 minit pada jam 3:00 petang. Ada silap mana-mana? Jalanraya sama sahaja tidak berubah bukan?

Kerajaan sebaiknya mendidik rakyat bukan memanjakan rakyat dengan kemudahan pembelian kenderaan. 10% wang pendahuluan wajib bagi membeli kenderaan dan pembelian tunai bagi motosikal yang berharga pada bawah harga RM10,000.00. Tapi sebab ada kepentingan antara dua pihak, kerajaan dan pengedar, maka timbul pula masalah lain yang sebenar berpunca dari mereka. Bukankah satu jari telunjuk yang di tunjuk untuk menyalahkan orang lain sedangkan tiga jari yang lain terarah pada diri sendiri?

Jadikan sistem pengangkutan awam yang terbilang. Perbanyakkan pemberian permit teksi dengan nisbah 4 teksi dan satu kereta dan ini juga boleh melonjakkan jualan kereta nasional sebagai teksi atau limo dengan tambang perjalanan yang amat berpatutan bukan seperti sekarang. Kos bahan api murah dengan 100% penggunaan NGV. Peningkatan masalah penyelenggaraan jadi tinggi sebab jalan sering sesak menjadikan transmisi kerap dilakukan. Wujudkan hanya satu operator kemudahan bas bandar dilaksanakan dan hapuskan komisen mengikut jumlah penumpang dan jumlah perjalanan. Jadi mereka tidak perlu berlumba mengejar mengambil penumpang dan jumlah perjalanan. Sistem pengangkutan LRT dinaiktaraf ke MRT dengan jalinan lengkap di pelusuk rata tempat dengan sokongan perkhidmatan bas dan teksi. Kerajaan tidak boleh buat ke semua ini? Pastinya boleh! Tapi mesti tengok kepentingan dululah.

Kepentingan? Yang mana tahu, tahulah. Macam rasuah juga. Kalau kata tiada rasuah, kenapa kerajaan sibuk hendak membanteras rasuah? Kerana ianya wujudlah, ia menjadi halangan untuk kemajuan negara. Sama seperti anak yang bersekolah atau belajar, sibuk hendak bercinta, berpeleseran atau membuang masa di kepala simpang. Mana mak bapa tak baran. Gejala ini perlu dihapuskan dan dihindari dari menjangkiti anak bujang mereka kalau mereka hendak lulus peperiksaan dengan gelaran dekan. Ini semua halangan untuk mak bapa mengecapi kemasyhuran, begitu juga dengan kerajaan. Banteras rasuah!

Seperkara lagi yang terusik, sepatutnya kerajaan sudah boleh meningkat sistem penyiaran televisyen walau cukai (lesen) televisyen dan radio telah berzaman pupus. Jangan itu dijadikan alasan, dunia sudah berubah, teknologi meninggalkan mereka yang masih dalam dunia analog. Mungkin juga sebab kepentingan, maka kerajaan membenarkan satu pihak mengendalikan siaran berbayar dengan sedikit tanggungjawab sosial pada masyarakat sebagai mengaburi mata. Sekarang ianya seperti ulat naik ke mata. Rakyat setiap hari mengeluh mengenainya, kekerapan cerita yang berulang, gangguan siaran ketika hujan renyai. Walau mereka punya alasan tapi rakyat tidak punya alasan untuk tidak terkecuali untuk melekatkan piring di dinding rumah masing-masing. Andai tiada, boleh dilabelkan dikatakan tidak mengikut teknologi. Belum kira penangan rancangan realitinya. Terasa pelik pula di mata jika melihat rumah yang tiada piring mirip kuali ini.

Bukankah kerajaan sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan siaran yang menjadi 'jabatan penerangan' boleh menyelinap di setiap ceruk lembah bukit dan gunung dengan mudah? Walau ini sebagai pilihan rakyat tetapi rakyat nampaknya tertipu dengan pilihan sendiri dengan mengorbankan wang saku sendiri pada sesuatu yang sepatutnya datang dari wang poket rakyat sendiri, cukai. Menariknya, apa yang hendak mereka lakukan pastinya memerlukan pengetahuan pihak kerajaan. Kerajaan pula berfikir dengan membuka peluang pada rakyat menjadi usahawan 'glokal' seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tetapi ada pula rakyat yang mengaruk tidak tentu pasal. Jadi apakah pilihan yang ada pada kerajaan? Jawapan umumnya, kepentingan!

Ish...! Leka pula berborak seorang diri, sedar-sedar dah pukul 6 pagi, dah nak subuh. Bukan dah nak, dah subuh pun... K.E, S.Y dan si Krill, dah berceloteh pun. Nescafe pun sudah habis seteko diminum, puntung rokok pun dah penuh dalam ash tray. Hujan ribut pun ada redanya. Kalau berborak ni, sampai bila pun tak habisnya. Aku masuk tidur dulu la ea.. Ngantuk lak... Korang tak ngantuk ke baca benda alah  ni? Udah udah ler tu..

Assalamualaikum!

No comments:

Post a Comment