Halaman

Saturday, August 15, 2015

Berfikir itu baik tapi mengambil keputusan bersama itu lebih baik!


Tenang menerima panggilan telefonnya. Diminta untuk bertemu di kedai kopi berdekatan. Tenang mempersiapkan diri lalu keluar dari rumah dan berjalan kaki menuju ke kedai kopi yang dimaksudkan. Tenang berjalan kaki sambil menikmati udara pinggir kota.

Kelihatan Gundah sedang duduk sambil menatap menu. Salam diberi dan salam berjawab. Tenang menarik kerusi, duduk sambil memerhati Gundah yang tersenyum. Tapi Tenang tidak menikmati senyuman sahabatnya itu seperti lazimnya. Menyedari air muka Tenang tidak memberi reaksi, lalu  Gundah memanggil pelayan, melayan pesanan sahabatnya, Tenang.
Setelah pesanan minuman dan makanan dihidangkan atas meja bulat yang kecil. Gundah kelihatan masih mencari ayat yang sesuai untuk melampiaskan segala gundah di dada. Tenang tetap tenang menanti. Membiarkan Gundah mencari ruang yang selesa untuk bercerita.

Akhirnya,

"Tenang, saya ingin meminjam daripada kamu wang untuk melangsaikan segala permasalahanku," mula bicara Gundah dengan nada yang rendah. Nada yang penuh pengharapan. "Apa masalah yang melanda dan  kamu secara tiba-tiba memohon bantuanku," Tenang bertanya dengan ketenangan hati. Seperti tenangnya air kopi hitam pekat di dalam cawan di hadapannya.

Bro! Ini bukan cerpen! Straight to the point lah!

Gundah kemalangan. Remuk teksi bahagian hadapan. Kereta tunda datang bawa teksi ke bengkel. Selesai. Bengkel memberi anggaran dalam lingkungan dua ribu dua ratus. Gundah setuju! Selepas enam hari teksi dalam bengkel, teksi siap. Gundah ke bengkel. Tetapi bila dilihatnya invois bayaran, harganya jadi tiga ribu empat ratus. Dalam poket Gundah ada dua ribu tiga ratus. Gundah terperanjat sebab harganya berbeza. Setelah diberi penjelasan oleh orang bengkel, Gundah tiada pilihan. Dalam hatinya berasa tertipu. Tetapi Gundah amat memerlukan teksinya untuk mencari makan sara keluarga. Gundah bungkam!

Dalam kegundahan, Gundah membuat keputusan untuk meminjam daripada ceti haram. Gundah meminjam seribu lima ratus. Perlu dibayar balik seratus ringgit sehari selama tiga puluh hari. Kamera digital dan telefon pintar diambil sebagai cagaran ketika ceti haram memeriksa kediaman Gundah.
Gundah fikir dia sudah dapat mengatasi masalahnya. Setakat seratus ringgit sehari Gundah boleh usahakan. Dalam hati Gundah sudah ada wajah kelegaan.

Lima hari berlalu, tiada masalah. Gundah dapat melunaskannya dengan baik. Gundah sibuk menghantar penumpangnya ke sana ke mari. Telefon Gundah berdering ketika sedang memandu penumpangnya ke KLCC. Gundah membiarkan sahaja. Tiga kali telefon Gundah berdering namun Gundah tetap tidak menjawab kerana sedang memandu.

Setelah penumpang turun di KLCC, Gundah menelefon semula pemanggilnya. Pemanggil itu adalah ceti haram yang meminjamkan duit, lalu menuduh Gundah hendak melarikan diri kerana tidak mahu menjawab panggilan walau puas Gundah memberikan sebab dan alasan. Tidak dihiraukannya, malangnya kerana sebab itu, ceti haram mengenakan tambahan hutang sebanyak seribu lima ratus atas baki hutang yang ada. Bila dihitungnya, sudah menjadi empat ribu! Hati Gundah membara!

Disebabkan tidak berpuas hati, Gundah membiarkan tiga hari berlalu tanpa membayar hutang yang sepatutnya dijelaskan. Namun dalam hati Gundah makin tebal rasa cemas, bimbang diapa-apakan oleh ceti haram. Lagi-lagi ketika dia bersama penumpang. Lebih mencemaskan, bila memikirkan isterinya atau anak-anaknya yang menerima kesan dari perbuatannya.

Terasa hendak pecah jantung Gundah bila pulang ke rumah semalam, dua orang ceti haram berada di dalam rumah Gundah walaupun isterinya menghidangkan minuman pada tetamu yang tidak diundang itu tapi hati Gundah amat cemas. Gundah mengawal perasaan cemasnya. Gundah diberi amaran tentang tiga hari hutangnya tidak dijelaskan. Akhirnya, telefon pintar isterinya jadi cagaran. Perkara yang hendak disembunyikan dari isterinya akhir terbongkar. Isteri Gundah, Resah duduk menangis mengenangkan nasib yang menimpa.

"Tapi mengapa kau tidak menelefon dan minta pertolongan aku ketika kau kekurangan wang seribu seratus itu untuk dibayar ke bengkel? Sekarang kau terpaksa mencari empat ribu lebih untuk menjelaskan hutang pada ceti haram," ada sedikit kesalan pada diri Tenang terhadap sahabatnya Gundah.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment