Halaman

Wednesday, June 11, 2014

Pulau Tioman setelah 17 tahun.




Setelah selesai majlis pernikahan sahabatku, Mohd Noorhisham Mohammad di kediamannya, Jalan Kemuncak 2, Taman Nong Chik, Johor Bahru, petang tadi, aku dijemput isteri ke Tepian Tebrau menikmati makan malam bersama ibu mertua, Busu, Sarah, Syami dan Syasha pada jam 8:00 malam.

Pulang jam 11:00 malam, aku terus melelapkan mata memandangkan jam 2:00 pagi nanti aku akan memandu ke Mersing untuk ke Pulau Tioman. Ironinya, selepas majlis pernikahan aku pada tahun 1997, aku berbulan madu ke Pulau Tioman dan kemudian ke Padang, Indonesia. Kini setelah, 17 tahun, selepas majlis pernikahan sahabat baikku, aku sekali lagi ke Pulau Tioman.

Jam 1:30 pagi aku dikejutkan isteri untuk bersiap. Isteri memberitahu bahawa keluarga Amri dan keluarga Azmi serta adik iparnya, Fikri juga telah tiba di Kluang setelah bertolak dari Tampin pada jam 9:30 malam. Seperti direncanakan, kami akan bertemu dan berkumpul di Jeti Mersing pada jam 4:30 pagi. Setengah jam sebelum feri bertolak dari jeti ke Pulau Tioman.

Dari Taman Pulai Utama aku memandu melalui lebuhraya Kempas menuju ke Kota Tinggi. Pemanduan di awal pagi amat lancar. Dari Kota Tinggi, aku hanya membontoti sebuah kereta Viva sehingga ke bandar Mersing. Hanya sekali-sekala kami memotong kenderaan berat dan berselisih dengan kenderaan lain. Melepasi Desaru, pemanduan kami menyaksikan jutaan kelkatu yang menggerumuni limpahan cahaya lampu di tepi-tepi jalan atau di hadapan rumah-rumah kampung. Tidak diketahui berapa ribuan kelkatu yang menyerbu pada suluhan lampu kereta kami. Cermin hadapan kereta melepek dengan kelkatu yang dirempuh. 60km sebelum tiba di Mersing barulah fenomena ini berkurangan.

Kami tiba di kawasan jeti Mersing pada jam lebih kurang 4:00 pagi. Keluarga Amri dan keluarga Azmi dilihat telah berkumpul di hadapan kepala simpang memasuki jeti berhampiran Jalan Abu Bakar, berdekatan dengan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrhim dan Plaza D'Jeti. Aku merapati mereka dengan berkereta. Dimple, isteri Amri menyuruh kami menunggu sebentar untuk menguruskan tempat letak kereta.


Kami meletakkan kereta di kawasan parkir yang hanya boleh memuatkan lebih kurang 30 buah kereta bersebelahan Stadium Mersing, dengan bayaran RM30.00 untuk tiga hari kepada seorang lelaki yang menjaga kawasan itu, kemudian kami segera menggalas beg pakaian dari bonet kereta dan menuju ke jeti.

Kelihatan beberapa pegawai kastam berdiri di hadapan pintu masuk ke jeti. Ramai juga pelancong tempatan dan luar negara sedang bersiap menanti pintu ke feri dibuka untuk laluan. Setelah menguruskan 'boarding pass', kami segera beratur untuk ke feri. Lebih kurang jam 5:00 pagi, feri bergerak menuju ke Pulau Tioman.

 Mengambil tempat duduk (bebas) dalam feri.

Lebih kurang jam 7:00 pagi kami tiba di Jeti Panuba, Panuba Inn Resort tempat kami akan menginap 3 hari 2 malam. Sebelum itu feri telah menurunkan sebahagian penumpang di Jeti Air Batang.



Menanti kaunter daftar dibuka.


 Kami menjengah ke pantai sebelum kaunter daftar dibuka pada jam 7:30 pagi tapi petugas hanya tiba pada jam 9:00 pagi. Setelah membuat urusan pendaftaran kami hanya dibenarkan masuk ke bilik pada jam 11:00 pagi. Sementara itu kami menikmati bufet sarapan - roti bakar, telur separuh masak, nasi goreng cina, mi goreng, minuman jus - oren dan anggur, kopi dan teh.

 Selepas sarapan, Sarah sempat memberikan roti pada ikan di jeti.

Aku sekeluarga diberikan bilik SD 18, keluarga Azmi SD 19, keluarga Amri D 5 dan Fikri serta ibu bapa mertua Azmi di bilik D 6. Bilik dilengkapi bilik mandi, kipas, penghawa dingin, televisyen (tiada Astro - hanya TV1, TV2 dan siaran Al-Hijrah), peti ais kecil dan balkoni. Kami selesa dan berpuas hati. Tenang dan nyaman!






 Disebabkan teruja dengan air laut yang jernih dan jelas memperlihatkan renangan ikan-ikan marin yang berwarna-warni, kami semua menyewa peralatan snorkel - dive mask dan life jacket dengan harga RM15.00 sehari (sepatutnyalah) dan tambahan RM5.00 untuk kaki itik (fins).


Pemandangan pantai sekitar Panuba Inn Resort, Pulau Tioman.




Siang mohon mengundurkan diri lalu senja menampakkan dirinya yang indah untuk memperkenalkan malam yang bakal hadir.

Malam, tiada aktiviti yang dapat dilakukan kerana resort ini berada sendirian menemankan pantai. Kami hanya menikmati makan malam, bersantai sambil berborak. Pada lewat malam, dari jendela kamar, kelihataan beberapa penginap yang lain memancing dari atas jeti. Aku hanya berehat di dalam bilik sambil menonton tayangan filem The Sentinel di siaran TV2.

-----------------------------------------------

Hari kedua, jam 10:00 pagi kami bersedia dan menunggu di jeti untuk aktiviti snorkeling di Tulai Coral Island - Pasir Panjang dan Teluk Genting. Makan tengahari di Kg. Salang dan sambung snorkeling di Monkey Bay.


 Marlina, Bella (bertopi), Zahrah, Sarah, Syami, Iman dan Ammar.

Iman, Danish dan Syami. 


 Dimple bersama suami, Amri.
Tapi disebabkan anak-anak tidak sabar.. berdeburan air memercik bila mereka melompat ke dalam laut dari jeti.



 


Singgah makan tengahari di Kg. Salang selepas snorkeling di Pasir Panjang dan Teluk Genting di Tulai Coral Island.

Makan di Salang Dream Restaurant: Fish (Haruan Tasik) - Fries - Salad RM15.00/pinggan. Enak dan lazat!


Kedai Bebas Cukai - hanya ada coklat, arak, curut, tembakau dan rokok. Sekarton Dunhill RM72.00 dan sekarton Surya 20's Gudang Garam RM45.00.

Harga t-shirt cenderamata Tioman di sini RM35.00 berbanding di kedai lain di pulau, RM25.00 - RM30.00. Adalah lebih baik membeli t-shirt di Plaza D'Jeti (R&R Mersing) berhampiran jeti, semasa pulang atau sebelum pergi.

Biawak masih ada! Tapi mungkin sudah berkurangan. 17 tahun dulu, 10 hingga 15 ekor biawak bersidai di saliran yang sama ini. Bergaduh sesama sendiri berebut makanan hingga luka dan cedera.

---------------------------------------------------

Hari ketiga aku cuma berehat di bilik dan mengemas pakaian untuk pulang. Cuma anak-anak masih teruja untuk melakukan snorkeling berhampiran jeti dan pantai.

Setelah puas menghirup udara Pulau Tioman, menikmati ketenangan dan menerokai keindahan laut, tiba masanya untuk kembali ke Kuala Lumpur.
Aku, Amri dan Azmi.

Keluarga Azmi & Faezah - Danish, Iman, Ammar dan Zahrah serta Fikri dan ibu bapa Faezah.

Keluarga Amri & Dimple - Along, Angah, Alang dan Bella. Amri tiada dalam gambar kerana kepenatan.

 Keluargaku bersama isteri, Sarah dan Syami.

Tiga sahabat baik, Faezah, Dimple serta anaknya Bella dan Marlina.

Feri tiba di jeti Panuba jam 2:00 petang dan kami bergerak dan menyinggah beberapa jeti untuk mengambil penumpang lain. Kami sampai di jeti Mersing lebih kurang jam 5:00 petang. Kami melihat-lihat kedai yang menjual barangan cenderamata yang lebih kepada t-shirt selaman berkaitan Pulau Tioman. Kemudian kami singgah makan di kedai makan hujung  Plaza D'Jeti sementara menantikan seorang lelaki membuka palang tempat letak kereta.

Jam 7:00 malam kami memulakan perjalanan pulang melalui jalan lama ke Kluang - Kahang - Air Hitam dan meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Utara Selatan ke Kuala Lumpur.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment