Halaman

Monday, February 4, 2013

Sepuluh sen.

Sepuluh sen boleh melengkapkan nilai sembilan puluh sen untuk menjadi satu ringgit untuk bayaran tol di plaza tol Batu 9 Hulu Langat arah ke Kajang. Manakala kita akan mendapat baki sepuluh sen bila membayar dengan wang kertas RM1.00 apabila melalui plaza tol Batu 11 Hulu Langat menuju ke pusat bandaraya. Bayangkan berapa keuntungan mudah yang diperolehi oleh syarikat kutipan tol ini jika ramai pemandu yang terlupa memungut baki sepuluh sen ini? Pekerja di pondok tol ini juga tidak boleh mengambilnya sebagai keuntungan peribadi kerana mereka tidak dibenarkan membawa sebarang jenis bentuk wang ketika beroperasi.

Man! Kira berapa? Teriak seorang  lelaki yang duduk bersebelahan meja di restoran mamak pada suatu petang.

Setelah dikira, diberitahu jumlahnya RM6.10 tetapi lelaki berketurunan India Muslim itu hanya meminta RM6.00 sahaja sebagai bayaran sepinggan rojak dan segelas minuman Nescafe O ais. Ini satu tindakan yang amat baik oleh seorang peniaga malah ada juga peniaga yang menghalalkan nilai sen dalam jumlah bayaran jika nilai bayaran itu amat tinggi berbanding sen tersebut.

Ini tidak boleh berlaku jika kita membuat pembayaran di pasaraya besar atau membayar bil-bil utiliti. Pasti juruwang tersebut tidak akan memansuhkan nilai sepuluh sen pada jumlah bayaran. Kebiasaan mereka hanya mampu meminta kita memberikan nilai sepuluh sen itu untuk memudahkan pemulangan baki. Secara peribadi, saya juga tidak mahu membebankan syiling yang banyak ke dalam saku. Sebolehnya kita akan meminimakan pulangan baki dalam bentuk syiling kecuali kita minat menabung.

Pepatah Melayu mengatakan, “Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”. Tidak dinafikan! Sekiranya kita menabung sepuluh sen sehari, didarabkan dengan 30 hari secara amnya, berapa jumlah yang boleh kita dapat untuk setahun? RM36.00 untuk setahun. Pasti ada yang tertawa melihat jumlah yang kita perolehi selama setahun kita menabung sepuluh sen ini.

Dari nilai dasarnya sahaja, apalah yang boleh kita beli dengan nilai sepuluh sen kecuali mendapat dua butir gula-gula. Apatah lagi setelah setahun menabung. Saya ajukan persoalan ini pada rakan-rakan yang umumnya setuju dengan nilai belian sepuluh sen. Walaupun ianya persoalan remeh, mereka memberikan pelbagai jawapan yang positif.

Mengapa tidak diadakan sepuluh tabung?

Atau,

Menabung sahaja dua puluh sen atau lima puluh sen atau satu ringgit sehari jika mahukan jumlah yang tinggi!

Aku bertanya pada mereka, adakah kalian mengamalkan tabungan RM10.00 sehari?

Hanya senyuman yang terlirik pada wajah kami dan persoalan itu sepi dibawa keheningan waktu. Semuanya mati kata-kata.

Semua orang digalakkan untuk menabung. Kerajaan, ibu bapa kita malah rakan-taulan juga sering menasihatkan kita agar menabung.  Kita dididik dari kanak-kanak agar melakukan tabungan. Peredaran masa membuatkan kita dewasa sebelum waktunya tetapi tabiat menabung yang dipupuk dari usia kanak-kanak hilang entah kemana. Adakah kita lupa atau kita sememangnya sudah menjadi pakar ekonomi untuk menguruskan akaun kewangan peribadi kita?

Kebanyakkan dari kita memegang prinsip dan mengamalkan bahawa tabungan boleh menyelamatkan kita pada saat kita benar-benar memerlukan wang untuk mengatasi waktu-waktu sulit. Kita lebih peka menabung untuk membantu masa depan kita atau jika berlaku kecemasan malahan ada juga yang mewujudkan skim tabungan hanya untuk membeli apa jua barangan yang diidamkan. Ada juga segelintir kita yang menabung untuk perbelanjaan pendidikan atau majlis perkahwinan anak-anak mereka.

Apa jua alasannya, sikap menabung amat terpuji! Tidak kira apa jua matlamatnya atau nilainya atau apa jua caranya yang serba moden dan terkini sekarang. Menabung boleh menyelamatkan situasi.
Satu pepatah orang Yahudi, “Bagaimana kita boleh menolong orang lain jika kita sendiri tidak kuat?”. Disebabkan ini pepatah bangsa Yahudi, boleh jadi asing bagi kita, kita tidak akan memberi tumpuan atau menilai pepatah ini. Adakah ini kerana kita sudah cukup bangga dengan “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”?

Memang wang tidak boleh dibawa mati. Tetapi pengurusan untuk hal kematian memerlukan wang juga. Jangan diingat urusan van jenazah atau ambulan itu tidak memerlukan wang. Perlu! Harus dibayar dengan apa untuk membeli kapas, kain kapan dan kapur barus? Apatah lagi batu nesan! Kalau sudah namanya, ‘membeli’. Samada bayaran atau sedekah ianya masih melibatkan pertukaran wang dari satu tangan kepada tangan yang lain. Alhamdulillah bagi mereka yang menghulurkan sedekah. Ini peluang mereka yang gemar bersedekah. Tetapi bagaimana kita hendak bersedekah jika kita tidak memiliki wang, walau sepuluh sen?

Pernahkah kita sendiri mendidik diri kita sendiri untuk berkorban untuk manusia lain dengan tabungan kita? Saya fikir dengan satu tabung atau sepuluh tabung yang mempunyai nilai RM36.00 atau RM360.00 dapat membantu seorang atau sepuluh orang yang amat memerlukan. Jika sejuta orang Melayu memberi perhatian dan bertanggungjawab dengan sikap ini saya rasa orang Melayu akan ada kekuatan tersendiri.

Maka wajarlah saya, menyarankan diri saya sendiri dan menyeru kepada kalian juga agar amalkan sikap menabung. Cuma matlamatnya adalah untuk kita dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan pertolongan. Infakkanlah tabungan kita untuk mencari rahmatNya. Hari ini kita senang di duniaNya.

InTheShadow

1 comment:

  1. Setuju! Sepuluh sen tu besar nilainya kalau dinilai betul2.. =)

    ReplyDelete