Halaman

Sunday, February 20, 2011

Melangkah ke daerah asing.

Pagi Sabtu, aku melangkah masuk ke daerah Kampung Puah Lembah mukim Gombak. Kelihatan berkelompok beberapa lelaki separuh umur, ada yang duduk di kerusi dan ada hanya berdiri. Ada yang bertiga. Ada yang berlima dan ada juga yang berdua. Ada antara mereka yang bersongkok dan berkopiah putih hanya. Tidak diketahui butir bicara antara mereka. Tiada garis kelucuan di wajah mereka. Serius. Amat.

Lebih rapat aku ke arah kelompok-kelompok lelaki itu, ada wajah-wajah yang memaling ke arah aku seolah melihat seekor kambing yang sesat dalam daerah rusa bintik bertanduk perkasa sambil meragut pucuk-pucuk daun.

Aroma tumisan lauk-pauk dari kawah menusuk ke dalam deria bau. Namun masih tertutup selera makan walau perut kosong belum diisi pagi itu. Aku menapak jauh lagi memasuki daerah yang asing, wajah-wajah yang asing terlihat dipandanganku. Ramai wajah-wajah manusia yang duduk berharap. Ada para pemuda dan pemudi yang sibuk ke hulu dan ke hilir. Kanak-kanak berlari riang bermain sesama mereka dengan Jalur Gemilang berkibar di tangan.

Aku berdiri tercegat memerhati khemah-khemah yang berdiri bersusun atur. Ada khemah yang di penuhi meja-meja makan bersusun panjang kerusi dengan pinggan gelas bertelangkup kemas berhias di atas meja. Ada juga beberapa meja bulat bersusun pinggan gelas yang lebih cantik dan berhias bunga di dalam pasu-pasu kecil pada setiap meja yang berbentuk bulat.

Aku memaling ke kanan melihat khemah yang dihuni beberapa pemudi berbaju kurung kelabu bercorak kehitam-hitaman menyarung tubuh mereka. Ada juga warga emas yang kemas berpakaian baju Melayu berwarna hitam lengkap bersamping berwarna keemasan dan bersongkok hitam terletak. Setiap dari mereka mengulit alat muzik.


Pak Mahat yang buta penglihatan berumur 82 tahun merupakan ketua dan pengasas kumpulan muzik tradisional caklempong dari Pekan, Pahang. Biola yang digesek adalah buatan tangan ayahnya.

Bersebelahan khemah mereka terletak pula pentas utama acara hari itu. Beberapa pemuda dan pemudi lengkap berpakaian tradisional dari setiap bangsa dan suku kaum di Malaysia berdiri, bersedia di atas pentas, walaupun mereka bukanlah dari bangsa atau suku kaum tersebut. Kelihatan peluh memercik dari wajah-wajah mereka yang cantik berias. Kehangatan hari yang semakin meninggi dan kesudian angin datang melusuri daerah ini mungkin dapat menyamankan sedikit perasan mereka.

Orkestra Sekolah Kebangsaan Setiawangsa.


Hati ini berbunga puas. Melihat pengorbanan dan ketabahan mereka untuk disatukan dalam acara majlis hari itu. Tapak langkah aku tidak keruan untuk disusun. Hanya menuruti langkah aku menyusuri daerah acara ini. Aku berhenti di sebuah khemah yang menarik susun pamerannya untuk aku menyelak beberapa buku dan risalah yang tersusun rapi di rak. Kedengaran paluan kompang dari satu kelompok para pemuda tidak jauh di situ. Hanya paluan latihan agar lebih sempurna persembahan . Belum lagi paluan sambutan.


Ada antara mereka sibuk dengan urusan yang diamanahkan. Baik lelaki mahupun wanita, yang remaja, yang muda, yang tua masing-masing dengan langkah mereka masing-masing. Ada juga para pemuda daerah ini yang hanya duduk termangu di tebing sungai, duduk menanti acara disempurnakan. Bersembang dan bergurau sesama mereka.

Ada beberapa kumpulan di bahagian sambutan menanti dan bersedia di pintu gerbang yang diikat reben berbunga di tiang gerbang merentangi laluan masuk. Kelihatan kumpulan tarian singa yang sememangnya dipelopori oleh kaum Tionghua. Ada kumpulan tarian tradisional yang berdiri sedia di lapangan sambutan. Lengkap pakaiannya menonjolkan identiti budaya Melayu.


Masa yang di nanti tiba. Orang besar melangkah masuk ke daerah dengan iringan paluan kompang dan kibaran jalur Gemilang di tangan. Lagu-lagu patriotik berkumandang di udara dengan nyanyian koir oleh para pemastautin daerah ini. Panas yang mengigit, membahangi kulit tidak dipedulikan oleh mereka lagi. Apa yang dirancang bakal disempurnakan sebentar lagi.


Daerah ini akan dimasyhurkan sebagai kampung tradisi adat dan budaya. Kampung yang dulu dihuni oleh para pelombong ketika penerokaannya  kini telah berada di pinggir ibukota. Begitu juga dengan enam lagi kampung yang berdekatan. Akan memberi taat setia pada pemerintah bahawa tiada belah bagi lagi. Pinggirannya hanyalah pada kedudukan geografi kerana kepesatan kemajuan dan kemakmuran negara namun tradisi adat dan budaya tetap akan terpacak tegap dalam jatidiri di setiap manusia yang menghuni daerah ini. Inilah yang mereka perjuangkan. Kampung yang bertradisi, penuh dengan kemasyarakatan dan semangat gotong-royong ini diberi peluang untuk sama-sama bernafas dengan udara kemakmuran.

Berdiri tegak manusia ciptaan Allah ini menghormati lagu Negaraku berkumandang. Mungkin mengalir satu perasaan bangga pada mereka yang berketurunan darah semangat perjuangan. Terbidang dada, tangan memberi tabik hormat! Jiwa inilah yang diperlukan walau elaun pasti ditagih untuk meneruskan perjuangan.

Bermula ucapan demi ucapan berselang-seli dengan persembahan agar tidak membosankan barangkali atau tidaklah menonjol sangat agenda pemerintah. Pastinya mereka bermuka-muka di hadapan tuan rumah walau mereka tetamu disanjungi lagi diundang. Begitulah budaya Melayu, pandai mengambil hati, bermanis mulut. Tradisi Melayu, anutan Kitab Allah, tetamu mesti dijamu. Jamuan yang telah terhidang dijamah, sedikit sama dicicipkan, banyak sama dilapahkan. Namun tiada ucapan kesyukuran padaNya. Sendiri-sendirilah mengangkat doa mengucap syukur.


Perjuangan tidaklah percuma antara dua pihak ini, perjuangan juga bukanlah mengenggam penumbuk dan ditumbuk di udara. Ibarat aur dan tebing, sama-sama menyedari dan sama-sama pandai mengambil kesempatan dan peluang antara mereka sesama. Bagai tali dipilin tiga, ADUN, Parlimen dan Pemerintah, tidaklah perlu digusarkan kekuatannya dan jangan diragui janji-janji, manifestasi atau misi dan visi. Apa yang perlu dan diminta, bersabar!


Anak kecil mana apabila telah meminta mudah dipujuk rayu. Entah anak berguling di lantai, meraung menangis,  membentak-bentak kaki mahu ditunaikan segera kemahuan. Bukan bapa tidak mahu membelikan atau memberi. Kalau permintaan tiada dalam senarai perbelanjaan, tiada dalam perancangan. Berbagai pujuk rayu ditabur pada anak agar anak faham dan diam, yang penting diam dan tidak memalukan bapa di mata orang lain yang memandang. Dialihkan perhatian agar kemahuan anak dimatikan segera. Apabila anak diam dan mengangguk faham maka bapa tahulah bahawa anak masih taat pada bapanya. Itu sahaja sudah cukup mengembirakan hati bapa.

Itulah program Merakyatkan Seni Budaya bagi aku!


blog

No comments:

Post a Comment