Halaman

Monday, January 10, 2011

Jubli Perak.

Dalam minggu pertama tahun 2011, inilah tirai pembukaan acara gemilang yang dipersembahkan oleh TV3 menerusi Anugerah Juara Lagu ke 25. Jutaan manusia yang menonton , baik secara langsung, menonton di kaca televisyen mahupun menerusi laman web. Masing-masing menanti penyanyi kesukaan tampil membawa persembahan yang mantap lagi terbaik. Syabas buat penyanyi-penyanyi Malaysia yang telah mengangkat pelbagai aliran muzik untuk dipersembahkan dan mewarnai dunia nyanyian.

Kerinduan bagi peminat muzik kategori etnik terubat dengan tiga lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza. Bagi para remaja yang kini sudah menginjak usia, lagu-lagu nyanyian Ziana Zain pastinya menghanyutkan ingatan suka duka zaman percintaan terutama kelunakkan lagu Madah Berhelah. Tidak lari juga lagu-lagu nyanyian Datuk Shariffah Aini yang mengingatkan kita pada zaman kenakalan sewaktu kanak-kanak. Mungkin waktu itu, kita mengusik atau gelak terkekeh-kekeh melihat aksi kakak atau emak kita yang turut menyanyi bersama ketika lagu-lagu itu berkemundang di corong radio.

Apa yang menarik di Anugerah Juara Lagu ke 25 ini? Bagi aku, tiada! Aku hanya duduk menonton menikmati lagu-lagu aliran baru menyapa di gegendang telinga. Namun pada kemuncak anugerah, kemenangan lagu ‘Tolong Ingatkan Aku’, nyanyian dan ciptaan Ana Raffali telah membuktikan sesuatu.

Sememangnya aku tidak mengenali beliau dan hanya mengetahui kewujudannya apabila lagu duetnya bersama Suhaimi Meor Hassan rancak ke udara pada hampir setiap segmen perjalanan hidup kita. Seperti yang dicanang oleh juruacara majlis, bakat nyanyian Ana Raffali dikesan melalui Youtube. Hebat bukan?

Maka itu, rasanya barisan juri mahupun penganjur Anugerah Juara Lagu ke 25 kali ini telah membuktikan bahawa kejayaan itu tidak akan diperolehi melalui  jalan singkat atau jalan pintas untuk mencapai kecemerlangan. Fikirkanlah liku-liku perjalanan beliau untuk merintis dunia hiburan itu. Segala perjalanan usaha dan dalam proses menjadi cemerlang pastinya kejayaan akan mengekori. Ramai antara kita yang ingin mengejar dan mengenggam kejayaan tetapi lupa untuk menjadi manusia yang cemerlang.

Fikirnya bukanlah beliau seorang sahaja yang memperalatkan kemajuan untuk mencari kecemerlangan diri. Sedikit tuah juga mungkin diperlukan. Bagi mereka yang merasakan dirinya mungkin telah cukup cemerlang tetapi masih belum meraih kejayaan, kesabaran dan ketabahan adalah pertahanan yang utama. Dilupa jangan, sejak azali lagi segalanya telah ditulis takdir kita oleh Allah yang satu. Cuma kita manusia tidak mengetahui apa yang bakal datang. Yang mampu kita lakukan adalah sentiasa berusaha untuk mencapai apa yang kita citakan pasti kejayaan akan mengekori dan yang utama berdoa kepadaNya agar segala usaha kita diberkati.

Bukan doa yang jauh dari sejadah….. macam aku…!


blog

1 comment:

  1. ala.. x sempat tgk datuk siti, datuk sharifah aini n ziana zain.. sbb dah ter'zzzz.. mengantik giler baban mlm td.. haishh..

    tp masa pembukaan tuh tgk gaklah.. best gak.. hohoho

    ReplyDelete