Halaman

Saturday, January 1, 2011

Malim jangan kecundang.

Masa berlalu dan kini sudah berada di tahun 2011. 9 tahun lagi untuk mara menghadapi tahun 2020, tahun di mana wawasan yang sepatut telah terpacak dalam sanubari setiap rakyat Malaysia. Aku masih di takuk lama, tidak berganjak. Kaku dari apa jua perubahan. Bisu dari segala kelantangan teknologi. Buta untuk menggarap peluang. Pekak dari gelombang motivasi. Terumbang-ambing di halaman lautan, tidak tahu mana hendak dihalakan.

Mengharap angin yang meniup layar, samada ke dada lautan atau ke gigi pantai. Di dada lautan atau menjejak kaki di daratan, kedua-keduanya sama sahaja. Ada badai yang sentiasa menggila. Manakah tempat yang akan aku berpaut?

Azam? Tidak perlulah bergebang panjang tentang azam. Apa yang hendak dilakukan, laksanakan sahaja. Apa yang dimahukan, usahakan sahaja. Atau, akan melakukan apa yang sebelum ini belum dilakukan. Mungkin apa yang telah dilakukan sepanjang tahun-tahun ada kesilapan dan kegagalan. Jadi pastinya perlulah melakukan apa yang belum dilakukan. Bukan sekadar mencuba tapi mesti dilakukan apa yang belum dilakukan sebelum ini. Adakah perlu menongkah arus atau menukar lorong kehidupan, belum ditentukan. Tunggu dan lihat betapa angin boleh membantu mengembangkan layar nanti. Bersedia sahaja untuk menjadi malim, itu pasti. Namun karang di dalam lautan tidak boleh diduga begitu sahaja.

Begitu juga tidak boleh mengharap angin sentiasa bertiup keras. Ada tika akan memasuki daerah angin mati. Layar terus kuncup. Mampukah hendak berdayung dengan kederat yang bersisa? Mungkin ini juga peluang untuk berbaring di rakit pemikiran, meneliti dan menduga atau meneropong pulau berdekatan untuk singgah berlabuh. Mendapatkan lebih bekalan untuk perjalanan yang belum pasti. Apa yang pasti, mati. Tetapi sebelum mati, adakah hanya perlu duduk termangu menanti Izrail menerpa?


Premier Beef Handmade Udon.


Makanan terakhir di tahun 2010 dan makanan pertama aku di tahun 2011.


Selamat Meredah Tahun 2011..!





blog

1 comment:

  1. Selamat Tahun Baru 2011 ;)

    Semoga 2011 diperteguhkan iman dan taqwa, diperkuatkan kudrat utk lebih berusaha. InsyaAllah

    ReplyDelete