Apabila semalam aku menerima khabar berlakunya gempa bumi di Padang, Sumatera Barat; memori aku melancong ke sana pada tahun 1997 kembali tergambar. Serentak aku tertanya adakah tempat-tempat yang pernah aku lewati itu juga ranap, hancur lebur?
Ada juga segelintir manusia yang punya sekelumit dendam bertanya, mengapa tidak Jakarta sahaja yang bergegar? Pastinya Malaysia segera menghulurkan bantuan, mengenepikan segala permasalahan dahulu dan hanya menumpukan bantuan kemanusiaan ke Sumatera Barat.
Secara sinis, bencana alam ini dialaskan sebagai balasan kepada umat manusia yang ingkar pada Allah yang satu. Namun bila dikatakan balasan, secara tiba-tiba ianya menggambarkan sebagai bala, malapetaka, kehancuran atau 'hukuman tunai' yang diturunkan oleh Allah s.w.t terhadap hambaNya yang lalai di bumi tanpa menunggu hari pembalasan atau kiamat. Telah Allah menunjukkan bukti-bukti yang nyata tanpa dipedulikan oleh umat manusia. Itu secara luaran yang kita nampak atau mungkin yang kita rasa atau fikir benar.
Siapakah kita untuk mempertikaikan kebenaran sesuatu bencana yang telah Allah turunkan. Sedangkan nikmat yang Allah berikan, semakin alpa umat manusia dalam mencari hidayahNya.
Angka korban yang diwar-warkan menghampiri seramai 600 setakat ini, manusia tidak berdosa terkorban malah kemungkinan besar masih ada ramai lagi mangsa korban yang belum ditemui dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan atau sebagainya.
Berkait dengan 'balasan tunai' yang kerap dilontarkan bila seseorang manusia itu dihukum atau mendapat balasan yang setimpal di dunia akibat dosa-dosa daripada Allah s.w.t. tanpa menunggu di akhirat sebenarnya adalah satu rahmat yang besar bagi manusia yang menerima balasan itu. Bukankah kita juga sering berkata malah meyakini bahawa 'yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari kita sendiri (manusia).'
Maka itu, mengapa bila bencana seperti gempa bumi, tsunami, ribut taufan atau sebagainya yang diklasifikasikan sebagai hukum alam yang tiada seorang manusia pun yang mampu menghalang atau meramalkan dengan tepat tentang sesuatu malapetaka itu bakal melanda, dikatakan balasan dari Allah. Jika balasan, lumrahnya itu adalah sesuatu yang buruk. Mengapa yang buruk juga datang dari Allah s.w.t sedangkan ianya kelihatan amat berbeza dengan kenyataan manusia itu sendiri 'Segala yang baik datang dari Allah' atau adakah kerana sikap manusia yang buruk ini lalu mengabaikan bumi, memajukan pembangunan tanpa memikirkan kesan negatif pada alam yang berubah menyebabkan malapetaka ini berlaku?
Mungkin juga! Paling hampir seperti pembakaran terbuka atau pelepasan gas rumah hijau telah menyebabkan bumi dicemar, sedangkan kita sendiri masih menduduki bumi yang tercemar ini. Tapi apa kesannya untuk jangkamasa pendek? Apa yang kita khuatir ialah wabak atau wujudnya penyakit-penyakit baru tanpa vaksin yang kita rimaskan. Sedangkan tiada penyakit yang berjangkit dan larilah kamu dari penyakit kusta sebagaimana kamu lari dari singa lapar.
Berbalik pada kalimat 'Yang baik itu datangnya dari Allah', ramai yang menganggap perkara baik-baik yang boleh dilihat oleh mata kasar. Bukan kenaikan pangkat atau kenaikan gaji itu datang dari Allah. Bukan kekayaan atau nikmat hidup itu datang dari Allah. Ini antara yang kita boleh nampak, lihat atau kita jangkakan bila kita telah berusaha dan berdoa padaNya.
Maha nikmatnya adalah apabila Allah s.w.t menurunkan balasan dalam apa jua bentuk melapetaka ke atas hambaNya itu di dunia, maka Allah telah menghapuskan dan mengampunkan segala dosa-dosanya dan mahu hambaNya itu datang menghadapNya tanpa membawa tiada yang lain hanyalah kebaikan-kebaikan dan amalan-amalan yang diperintahkan kepada hambaNya.
Sedangkan para malaikat tertanya-tanya mengapa Allah menciptakan manusia sedangkan manusia itu sendiri yang akan menghancurkan bumi yang diciptakan, apatah lagi aku manusia yang sememangnya amat-amat jauh dariNya.
saya tak berani nak komen apa2 ttg kejadian gempa tu... ntah utk balasan entah utk ujian entah utk mendekatkan lagi.... wallahualam
ReplyDelete