Bila kewangan mulai stabil dan hidup dalam kemewahan, kita adakala memasang angan-angan untuk menjadi lebih kaya dan lebih kaya lagi, dari segi harta dan wang ringgit. Tidak kurang juga, baru dengar guruh di langit, air tempayan di buang. Mana yang tamak kadang terlupa, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Insya-Allah, apa yang kita usahakan akan memberi hasil yang lumayan dan berbaloi dengan usaha kita. Simpanan wang mulai bertimbun di bank, enam tujuh angka tercetak di penyata bank di terima setiap bulan, dan semakin bertambah. Nafsu dan akal mencari jalan keluar untuk berbelanja besar bak kata orang, besar periuknya, besarlah keraknya juga.
Beli rumah bungalow malah mahu bina yang lebih hebat dari yang tersergam siap.
Mulalah berjinak-jinak dengan 'driving range' sebelum boleh masuk padang. Bukan apa.. semua ini perlu untuk jalinan perniagaan.
Adab makan dan minum juga perlu dipelihara. Napkin kena sentiasa ada beralas di paha. Maklumlah, sut, jahitan tangan dari Itali.
Jet persendirian ditempah terus semasa pameran LIMA di Langkawi. Mudah untuk berurus niaga dengan pembeli atau pembekal luar negara yang tidak menentu masa mesyuaratnya. Apatah lagi perbezaan masa.
Curi juga masa untuk berhibur dengan pembeli atau pembekal. Suka-suka, serasa meriah pula dikelilingi wanita-wanita cantik.
Atas pengaruh rakan niaga, minat pula melabur membeli kuda-kuda lumba. Menceburi bidang sukan memang minat dari kecil.
Jadual kerja mesyuarat memang padat. Adakala sarapan pun di Sydney sebelum memulakan kerja. Sarapan makanan penting! Jangan sesekali ditinggalkan.
Sudah tentu makan malam memerlukan suasana yang indah sebelum mengakhiri tugasan kerja. Hilangkan segala keletihan dan tekanan di kota Paris yang menjanjikan suasana romantiknya dan kelazatan setiap hirupan wain anggur yang masam kelat.
Kadang, sampai sudah tak tahu mana hendak berehat. Tahu-tahu sudah sampai di Bali. Menikmati urutan yang nyaman. Bisa aja...
Beli bot ini pun bukanlah keperluan sangat tapi kadang-kadang datang juga rindu tangan hendak mengail. Terjun lepas melompat berdebur ke dalam air. Mengingat zaman kanak-kanak bermain di tali air sawah di kampung.
Dalam kemewahan rezeki dan kesihatan yang diberiNya, bukan kata lupa atau tidak tahu, tahu.. tapi alasnya, belum dapat seru. Tak mengapalah... Tapi apa salahnya, dalam kesibukkan itu, singgahlah kejap di kedai kain untuk membeli kain putih buat kain kapan kita sendiri. Berapa ringgitlah sangatnya tak?
No comments:
Post a Comment