Halaman

Monday, October 5, 2009

Cucu makcik Zai diculik!

Pagi tadi dalam pukul 0930 aku leka membuang air kolam ikan di rumah mak aku. Sedang mak aku pula sibuk menyediakan masakan untuk tahlil malam ketiga di dapur luar. Tiba-tiba kedengaran suara memekik, merintih memanggil nama mak aku. Ada getar dalam suara itu. Aku cam suara makcik Zai yang berjiran dengan mak aku. Mulanya aku tidak memperdulikan kerana aku sangka ini adegan biasa antara mak aku dan makcik Zai. Kerana makcik Zai selalunya cemas bila memanggil mak aku.

Tapi bila mak aku pula menjerit "Allahuakbar, macam mana boleh jadi macam ni...?" Aku berlari mendapatkan mak aku untuk buletin utama.

"Cucu makcik Zai kau hilang! Macamana pulak leh jadi macam ni?" mak aku pula yang lebih gabranya. Aku mengunci paip air yang disalur ke kolam dan terus mendapatkan makcik Zai di rumahnya. Kebetulan bumbung rumah makcik Zai sedang diperbaiki oleh kontraktor. Lalu dia turun dari bumbung memberitahu bahawa tadi dia ada nampak motosikal berwarna putih dibonceng seorang budak, tapi dia buat tak tahulah sebab tak mengenali kanak-kanak tersebut.

Sebaik makcik Zai mendengar kata kontraktor itu, makin kuatlah teriakan makcik Zai dan jiran-jiran lain sudah mula menggerumuni perkarangan rumah makcik Zai. Hampir pitam makcik Zai dibuatnya, cemas, panik, serba tak kenalah. Ke dalamlah dia, kalau-kalau cucunya ada di dalam bilik. Kejap, ke luar rumahlah dia mencari. Puas mencari, masih tiada nampak kelibat cucunya. Ada jiran sudah mula mencari di longkang berdekatan, di surau berhadapan rumah, di padang permainan dan setiap lorong berdekatan. Tiada!

Bila disuruh tanya menantunya, bapa pada cucunya itu, mati-mati makcik Zai memberitahu bapanya tiada di rumah belum balik kerja. Bermatian makcik Zai cakap bapanya tiada di rumah. Aku bertanya pada makcik Zai bagaimana boleh hilang cucunya.

"Tadi makcik Zai ada di depan dengannya, teman dia main bola ni. Kemudian makcik Zai masuk dalam, jawab telefon. Bila makcik Zai keluar, tengok dia dah tak ada kat depan ni," dalam cemas, mengigil badan makcik Zai bercerita. Aku dengan pantas menelefon polis melaporkan kejadian culik. Menceritakan semula rentetan kejadian pada pegawai polis. Dilaporkan juga tentang kontraktor yang melihat kanak-kanak kecil yang membonceng motosikal.

Beberapa jiran masih lagi sibuk mencari di sekitar. Wajah-wajah cemas jelas kelihatan pada semua yang mencari. Ketua kampung juga telah diberitahu. Hanya menunggu polis tiba untuk bantuan atau melancarkan gerakan mencari.

Dalam pada itu, ada jiran yang mendesak agar menghubungi bapanya memberitahu tentang kehilangan anaknya. Tapi panggilan tidak berjawab, mencemaskan lagi suasana. Telefon pula pada si ibu di tempat kerja memberitahu kejadian malang ini.

Dalam pada aku dan jiran-jiran yang lain menanti kehadiran ketua kampung dan pihak polis, tiba-tiba suasana riuh kedengaran dari rumah makcik Zai, kedengaran suara menyebut ada, ada. Kami masuk ke perkarangan rumah makcik Zai untuk mengetahui berita terkini. Makcik Zai yang sudah terjelepuk duduk keletihan berkata bahawa cucunya itu telah dibawa keluar oleh bapanya dan ada bersamanya. Si isteri telah menghubungi suaminya untuk memberitahu bahawa anaknya telah hilang tapi si suaminya menjawab bahawa anaknya itu ada bersamanya.

Rupanya... si bapa, semalam bekerja malam dan tidaklah diketahui makcik Zai bahawa menantunya itu ada di rumah kerana menyangka masih belum pulang dari tempat kerja. Semasa makcik Zai menjawab telefon di bahagian dapur, si bapa telah turun melalui ruang depan dan membawa si anak keluar untuk bersarapan tanpa berpesan atau memberitahu makcik Zai, mak mertuanya.

Mahu tak pengsan makcik Zai bila keluar semula dan mendapati cucunya tiada di laman. Setelah dipanggil-panggil, dijerit-jerit nama cucunya, tiada sahutan, lagilah cemas makcik Zai.

Kami semua yang ada mula menampakkan wajah kelegaan, syukurlah tiada apa-apa yang terjadi. Cuma makcik-makcik, ibu-ibu yang lain mula menyumpah seranah si bapa kerana berbuat begitu. Cemas orang dibuatnya pagi-pagi hari. Aku menelefon semula pihak polis memberitahu bahawa kanak-kanak itu telah diketahui ada bersama bapanya, mana yang menyebabkan pemikiran kami semua terarah kepada penculikan. Gara-gara melihat ada kanak-kanak membonceng motosikal. Pihak polis yang faham tentang situasi ini, tentunya mencetuskan panik juga bertanya adakah ini melibatkan kes penceraian, di mana si bapa cuba melarikan anak dari bawah jagaan ibunya?

"Tak.. tak.. ini cuma kesilapan komunikasi, bapak dia main angkut je anaknya keluar tak berpesan," aku menjawab. Disebabkan peronda polis telah dihantar ke lokasi maka aku diarah menunggu ketibaan pihak polis untuk memberikan laporan yang sepatutnya.

5 comments:

  1. salam,
    pergi tanpa pesan,
    buat ibu pengsan,
    ada aja alasan,
    menjadikan cerita berkesan...

    ReplyDelete
  2. takut gaks kalau2 perkara buruk menimpa.... risau sebegini memang bertempat... kalau maksu pun, risau gaks...

    alhamdulillah tak ada apa2 ek... len kali ayahnya kena ler checking2 dulu kan, sebelum kaki melangkah ke mana2. kata orang, ckp siang pandang2, ckp mlm dengar2.. bukan utk bab mengata, mengumpat... tapi juga utk perkara sebegini. komunikasi itu penting disalurkan pada tempat yg betul :)

    ReplyDelete
  3. sabau jerlah... igtkan betul2... klulah betul2 mmg haru 1 malaysia... next time pesan kat bapak budak tuh jgn buat lagi... naya jer nnt jd kes polis... org lain pun susah... isy isy isy

    ReplyDelete
  4. Huh!! Nasib Baik ada... huhu... saspen je...

    ReplyDelete
  5. Muehehehehehe!!!! kesian memang Makcik Zai kena naya r...

    ReplyDelete