Halaman

Monday, August 17, 2009

Pengkhianat.

Memang di kalangan bangsa dalam negara ada dua watak; wira dan pengkhianat. Usah disebut tentang wira, semua orang punya cita-cita menjadi wira walau dalam kelompok yang yang paling kecil. Semua wira ada perjuangan mereka sendiri.
Tapi biarlah aku menjadi pengkhianat. Aku lebih rela..!

Mulanya aku juga ingin menjadi wira. Berjuang, menitis peluh aku menapak dari langkah kecil menuju daerah kemegahan. Puas aku meredah jalan dan onak, luka tidak aku hiraukan. Seru sahaja rakan perjuangan aku dulu, pasti mereka melaung seia dan sekata. Tanpa berbelah bahagi kami akan mara untuk menjadi wira. Kami akan berusaha sehabis boleh di barisan hadapan Stadium Merdeka. Stadium TPCA menjadi saksi betapa semangat kami berkobar-kobar laksana semangat Lord Baden Powell yang tidak pernah luntur dalam jiwa kami.

Itu dulu...

Kini aku digelar pengkhianat!

Kerana semangat kami rundum. Ya.. kerana merekalah juga yang merundumkan periuk nasi sendiri. Mereka jugalah tidak berpegang pada prinsip dan kepercayaan. Lebih mementingkan hari ini dari masa depan. Lebih mementingkan poket dari semangat kami yang menapak berjuta tapak untuk menjadi wira. Sanggup mereka bermuka tembok, pengkhianat! Sangka musang yang berbulu ayam tidak dapat menipu ayam di reban, meyelinap masuk untuk meratah ayam muda. Akibatnya, semua orang mempersoalkan pengkhianatan ini. Itulah kuasa wang yang mula menyelinap dalam darah mereka. Menggadaikan segala maruah yang kau bina sendiri. Rasuah disuap mulut terngangga, gelap mata nafsu digoda.

Biarlah aku menjadi pengkhianat!

Duduklah aku tenang di atas sofa dengan tanpa gangguan, segelas kopi o, sekotak rokok jadi peneman. Andai rakan seperjuangan mempelawa, di kedai mamak aku menyandar. Berderai tawa menutur cerita pengkhianatan. Tiada lagi wira sejati jadi sebutan, jika ada hanya nostalgia wira yang bersisa pudar di hati. Tiada lagi Mokhtar Dahari, R. Arumugam atau tertanya-tanya jejak Soh Chin Aun, mana hilang Santokh Singh. Yang nyata walau sealiran berbeza zaman, hanya Serbegeth Singh, saban minggu ceria di kaca televisyen!

Pengkhianatlah aku!

Liga-M, Liga Super tidak pernah lagi aku ambil pusing. Siapa di atas, siapa di bawah, bukan dalam pengetahuan aku. Usah disoal siapa wiranya sekarang, tidak aku maklum. Malah nama presiden FAM tidak pernah lekat dalam ingatan. Walau nama ejaannya hampir sama dengan ejaan nama aku dan yang sebangsaku. Aku lebih mudah menutur nama Wayne Rooney dari tanah British yang menjajah Malaya, aku mudah ingat Fernando Torres, dari bangsa penjarah Filipina dan apalagi Cristiano Ronaldo yang mungkin moyangnya gugur di Selat Melaka. Tidak lekang Robbie van Persie, mungkin moyangnya juga yang datang menakluk Indonesia.

Biarlah aku jadi pengkhianat dari kalangan bangsaku kerana mereka jugalah yang mengajar aku untuk mengkhianati. Pengorbanan aku dan rakan seperjuang yang lain untuk ke stadium bola telah ditipu bulat-bulat. Akan ku kenang selamanya... bermimpilah untuk industri sukan negara. Selagi pengkhianat seperti aku tidak berpaling tadah kembali.

No comments:

Post a Comment