Halaman

Monday, July 27, 2009

Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Aku membeli tiket LRT dua hala untuk ke stesen PWTC dari stesen Maluri, RM4.80. Berada di platfom, aku perhatikan laluan tren di paparan LED. Ke Sentul Timur, jadi aku tidak perlu menukar tren di stesen Chan Sow Lin.

Tiba di The Mall, aku segera menaiki eskalator menuju ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang berada di aras 1. Masih ramai lagi 'ulat-ulat' yang berkeliaran di hadapan pintu masuk SSM. Aku berpapasan dengan mereka menuju ke kaunter angka giliran. Tujuan aku cuma untuk memperbaharui daftar niaga untuk Focus Vision Enterprise.

Hanya untuk urusan pembaharuan sahaja, pemilik syarikat tidak perlu hadir. Selain itu, baik menukar alamat atau apa sahaja perubahan, sekurang-kurang seorang dari pemilik syarikat perlu hadir jika syarikat perkongsian. Jika pemilikan tunggal sudah tentulah pemilik yang kena buat semua. Berhati-hati dengan 'ulat-ulat' yang berkeliaran kerana semua urusan di SSM boleh dilakukan sendiri tanpa melalui orang tengah yang akan mengenakan bayaran. Sedangkan ianya percuma selain bayaran yang ditetapkan oleh pihak SSM.

Aku mendapat nombor giliran 2368, setelah mengisi borang A1 dengan maklumat yang dikehendaki, aku mengambil tempat duduk sambil menonton rancangan Discovery yang ditayangkan melalui skrin televisyen. Kaunter sekarang sedang melayan nombor 2351, bermakna ada 17 orang di hadapan aku yang akan berurusan.



Namun, tidak sampai 20 minit, angka giliran aku pula berdeting. Aku ke kaunter 5 lalu menyerahkan daftar niaga yang tamat tempoh hari ini. Setelah menyerahkan wang pembaharuan, RM60.00 untuk setahun, aku diberi daftar niaga baru dan resit pembayaran. Mudah dan cepat! Tidak perlu orang tengah!

INGAT! Sehari lewat untuk memperbaharui daftar niaga, daftar niaga akan dibatalkan serta-merta. Terpaksa mohon yang baru jika memerlukan nama syarikat yang sama tetapi akan mendapat nombor pendaftaran syarikat yang berlainan. Jika dulu, denda dikenakan tetapi tidak lagi sekarang. Perbaharui daftar niaga seawal-awalnya 2 bulan dari tarikh tamat tempoh.

Aku? Aku memang suka buat kerja pada saat-saat akhir! Lagipun aku cuma dapat arahan ini pun hari Jumaat lepas...

No comments:

Post a Comment