Halaman

Friday, August 21, 2009

Bertemu Ramadhan.

Jam 1530 aku menuju ke daerah Sri Gombak membelah lebuhraya DUKE. Trafik amat menyenangkan perjalanan untuk aku yang sememangnya memburu masa hari ini. Menyusur keluar melalui persimpangan Gombak, kelihatan deretan kereta di plaza tol. Sebelum ini aku tidak pernah beratur melebihi tiga kereta. Kali ini memang panjang, tidak terhitung pula.

Dari Sri Gombak, aku ke Taman Maluri pula. Sekali lagi perjalanan amat selesa melalui lebuhraya DUKE. Sebaik memasuki lebuhraya MRR2 dari susur keluar Ampang, deretan kereta tiga lorong memenuhi lebuhraya. Aku mengerling jam, jam 1700. Kesesakan lebuhraya bagai pagi hari manusia yang pergi bekerja. Walau hanya mengambil masa 20 minit mengharungi kesesakan untuk aku sampai susur keluar Taman Maluri berdekatan Pandan Jaya, tapi aku tidak tahu sepanjang mana lagi di hadapan.

Ramadhan disambut esok dan mereka juga pasti mengambil peluang untuk berpuasa di kampung halaman. Di tambah lagi suasana cuti persekolahan minggu ini pastinya amat menarik.
Berdedai kereta mengensot perlahan di jalanraya. Hujan rintik yang menimpa cermin depan kereta seolah satu keraian dengan bunyi rintikkannya. Berbahagialah mereka yang dapat berpuasa di kampung halaman, pastinya nostalgia lama menggamit dapat dilisankan pada anak-anak mereka.

Masihkah meriah lagi waktu berbuka di surau-surau atau masjid-masjid dengan hilai tawa kanak-kanak berlari keliling kampung. Kehadiran kanak-kanak yang sibuk membentang sejadah di saf-saf surau. Diherdik pak siak kerana membuat bising tika jemaah terawih. Sempat bermain baling selipar di hadapan surau, menunggu jamuan moreh disediakan.

Mungkin di masjid Kg. Baru, tiada lagi suasana sebegini. Ramai yang dulu anak-anak kini dewasa dan berhijrah keluar. Hanya legasi bubur lambuk masih kekal tradisi menarik segala rata umat dari segala pelusuk beratur sedari Asar. Kelibat pak guru, M. Rajoli yang sering berlegar di kawasan masjid, menakut-nakutkan kami dengan keranda kematian dan tempat mandian jenazah. Masih berbisa merah tapak tangan dilibas rotan pak guru.

Sudah lama aku tinggalkan jejak di sana. Setiap kali Ramadhan, keriuhan masjid Kg. Baru sentiasa terkenang.
"Selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan"

Anak ketam belajar berjalan
matanya tercabut digigit lipan
selamat datang bulan Ramadhan
selamat tinggal hantu dan syaitan


Aku mohon kemaafan dari semua kenalan, teman-teman, kawan-kawan dan sahabat handai yang datang menyinggah.
dari aku,
SilbiAdekTheAbigailNatas

1 comment:

  1. Selamat berpuasa jugak bro...
    Semoga bulan berkat ini akan menberikan keberkatan kepada kita semua...

    yang baik-bauk sahaja buatmu...

    ReplyDelete