Aku duduk banglo
Beralas kotak kadbod
Lima kaki panjang
Tiga kaki lebar
Ada deretan kedai
Kedai pakaian kedai cermin mata
Kedai serbaneka, kedai alat tulis
Untuk tetamu waraskan urusan
Ada juga kafe, bistro dan restoran
Buat tetamu datang menyinggah
Berparlimen dan menjaja angan
Di akhir deretan menghadap timur
Tersergam bercahaya kemilau hotel
Buat tetamu lupa jalan pulang
Di tenggara banglo
Indah gadang rumah-Nya
Buat tetamu bermunajat taubat
Di hujung utara persimpangan masuk
Balai polis bersebelahan balai bomba
Menjaga kepentingan para tetamu
Di barat bertentang timur
Terwakaf seluas tanah
Berceracak nisan tersusun barisnya
Cuma banglo ini
Tidak dibina kolam renang
Kerana tetamunya gemar
Berenang menyelam hutang-piutang