Dari pengarah sinematografi, beralih duduk pula di kerusi
pengarahan. Lebih-lebih lagi pengalaman di belakang tabir pastinya membuatkan
Helmi Yusof membuak-buak untuk menerapkan dua pengalaman beliau ke layar perak.
Maka terhasillah ‘Bikers Kental’.
Mempertaruhkan Zizan dari segi komedi dan Awie yang umum mengetahui
keperibadian beliau sebagai pelakon dan penyanyi rock tersohor dan terlibat
dalam dunia permotoran sebagai biker!
Aku bukan biker dan pastinya bikers di luar juga hampa dengan
filem ini. Dari segi komedi atau kelucuan, ianya berjaya. Dari jalan cerita,
aku katakan, gagal! Tidak mengapa. Ini merupakan filem pertama di Malaysia yang
mengetengahkan dunia bikers! Baru bertatih takkan nak terus berlari, kan? Mesti
ada langkah pertama dulu. Syabas dan tahniah buat Helmi Yusof dan tenaga
produksi!
Mulanya aku menonton promo ‘Bikers Kental’ satu saluran di
Astro. Alamak! Macam.., bosannya..! Kemudian aku membaca artikel mengenai Helmi
Yusof di akhbar. Aku membulatkan tekad untuk menonton di pawagam. Menyaksikan
sendiri apa yang diperkatakan dalam akhbar.
Sememangnya hambar! Jika tidak kerana komedinya, filem ini
hanya berlegar di sekelumit memori manusia. Mungkin sepuluh tahun akan datang,
ada orang bertanya, Helmi Yusof pernah direct cerita wayang ke? Tapi pasti
kerana azam dan obses beliau terhadap dunia biker ini tidak melemahkan semangat
beliau. Ranjau berliku untuk membuat filem ini pastinya beliau lebih arif. Ini
juga tidak melunturkan iltizam beliau.Terdorong untuk menjadi pengarah pertama filem biker, mungkin
tajaan dari pihak Aprillia dan pihak lain serta kesempatan ‘Bikers Week’ di
Krabi, filem ini dihasilkan secara terburu-buru, benar?
Aku tak jelas siapa yang kena tembak. Mengapa ditembak dan
penjenayah hanya meneropong dari jauh? Bidin terserempak dengan mangsa tembakan.
Keliru dengan keputusannya barangkali di tempat kejadian, lebih-lebih lagi bila
Bidin melihat duit yang banyak di dalam sebuah beg. Bidin ingin berlaku jujur
tetapi bila posternya disisi motosikal besar terjatuh membuatkan Bidin gelap
mata lantas mengutamakan nafsunya sendiri untuk memiliki sendiri sebuah
motosikal berkuasa tinggi.
Sepatutnya babak ini boleh dilakukan dengan lebih terperinci
dan lebih aksi daripada babak yang berkisar di tempat kerja Bidin yang tidak
mengarah ke mana-mana selain untuk menunjukkan obses Bidin untuk memiliki motor
berkuasa tinggi dan kaitannya dengan majikannya. Kemudian? Babak Bidin meminta
cuti? Alamak.. pasti boleh buat lebih baik lagi. Tak perlu pun tak mengapa. Aduhai..!
Masakan Bidin terlepas dari pemerhatian pihak polis yang membuat
siasatan di tempat kejadian. Di sini boleh dipanjangkan usaha polis untuk
menjejaki penjenayah. Ini, orang yang ditembak, pulih. Sihat walafiat. Mengekori
Bidin sehingga ke Krabi. Apakah kepentingan watak ini? Atau mungkin ada sekuel
filem kedua yang akan menjelaskan?
Bila Eddie mencanangkan untuk ke Krabi, aku ingat inilah
permulaannya. Aku membayangkan konvoi besar! Dua barisan motosikal berkuasa tinggi
beratur sejauh tiga atau empat kilometer akan mendominasi Lebuhraya Utara –
Selatan. Jauh panggang dari api!
Hanya mereka berenamkah sahaja yang mengetahui tentang Bikers
Week di Krabi? Alangkah bagus jika di tonjolkan mereka berenam ini bergabung
dengan bikers lain dari bandar-bandar lain seperti di Ipoh, Butterworth, Alor
Setar, Kangar semasa dalam perjalanan. Atau mereka yang berenam ini bergabung
dengan kumpulan bikers dari selatan seperti dari Singapura, Johor Bahru, Melaka
dan Seremban. Bayangkan deruman motor ini membingitkan gegendang telinga
penonton dalam Dolby Stereo?
Kesempatan ini boleh memperlihat dan memperjelaskan segala
cabaran dan kesukaran ahli-ahli bikers melakukan konvoi lebih-lebih lagi untuk
satu perjalanan yang amat jauh. Bagi yang tidak biasa menunggang motosikal
walau dengan Honda EX5, dari Kuala Lumpur ke Seremban boleh menyebabkan kebas
kaki dan tangan dan lenguh-lenguh badan. Inikan pula menunggang dari Kuala Lumpur ke Krabi yang jauhnya lebih dari 900km. Tapi bagi mereka berenam amat
santai menunggang tanpa masalah. Logik sikit la beb! Kata filem, pasti ada dramanya.
Boleh jadi kerosakan motosikal. Terserempak dengan
kemalangan atau ahli biker sendiri mengalami kemalangan akibat kecuaian, atas
nama mengajar penunggang motosikal lebih berdisplin. Meredah hujan lebat,
menunggang pada waktu malam. Atau masalah yang dihadapi oleh penunggang –penunggang
motosikal berkuasa tinggi bila berhadapan dengan pemandu kereta yang ego atau
pemandu lori kontena. Atau, ditahan oleh pihak berkuasa. Memperlihatkan
kesalahan-kesalahan trafik yang patut dielakkan bagi seorang penunggang
motosikal. Atau, tonjolkan bagaimana sebuah konvoi diurus dan ditadbir dengan
baik. Banyak falsafah dunia bikers yang boleh diterjemahkan dalam filem ini
untuk mengupas kekentalan menjadi seorang biker. Bukan sekadar 3M, motor, minah motor dan
masyuk! Atau menunggang keseorang tanpa arah untuk ke Krabi. Atau menerbitkan
pilihan antara cinta dan menjadi biker.
Aku pasti Helmi Yusof sendiri sebagai biker pernah mengalami
pengalaman sebegini atau dikumpulkan semua maklumat yang berfaedah untuk
diterjemahkan di dalam karya ini. Rasanya bukan sedikit kumpulan motosikal
berkuasa tinggi di Lembah Klang apatah lagi di Malaysia. Mungkin pihak produksi
ingin mengelakkan masalah, kerenah dan cerewet bikers dan tidak berani
mengambil risiko untuk menghimpunkan beberapa kumpulan motosikal ini selain
tidak punya kesempatan waktu untuk mempelawa bikers lain untuk turut serta
memandangkan tarikh kejadian sebenar Bikers Week di Krabi amat hampir. Jadi,
tangkap muatlah.
Selebihnya, kalian yang telah menonton Bikers Kental ini
pasti mengundang banyak persoalan dan kemudian mengabaikan sahaja kerana tidak
ada kaitan dalam kehidupan peribadi. Terpulang pada kalian untuk menerima apa
jua mesej dan hiburan dari filem ini. Bagi aku, bila aku menonton atau membaca,
aku mencari pengetahuan hal-hal yang tidak bisa aku alami, perkara yang jauh
dalam dunia kehidupan aku tetapi boleh sampai kepadaku dengan medium sebegini.