Halaman

Sunday, December 29, 2013

Lurus dan selekohnya lebuhraya.


Semalam jam 8:30 malam, aku memandu melalui Lebuhraya Persekutuan menuju ke Shah Alam. Perjalanan lancar bermula dari Lebuhraya DUKE. Tol tidak menjadi halangan. Terasa tenang dan harmoni memandu di lorong tengah. Tidak mengejar masa walau sahabat-sahabat sudah berkumpul di kediaman salah seorang sahabat yang mengadakan Santai BBQ di Seksyen 2. Damai terasa diiringi alunan lagu dari radio.

Kenderaan di lorong kanan dengan kelajuan munasabah. Berhampiran Sri Hartamas, sebuah kereta Wira mendesak kereta Volvo agar memberi laluan. Ada kecemasan barangkali. Begitulah, walau dalam damai, sesekali akan hadir sedikit tekanan. Volvo tenang memberi laluan dan kekal di laluan tengah. Berlalu sudah tekanan.

Ada ketika di Sungei Way, sebuah Satria berwarna putih memotong dari laluan kiri. Laju. Terus memintas memasuki laluan paling kanan. Kemudian memotong kenderaan hadapannya di laluan kanan menggunakan laluan tengah. Terus memecut dan hilang dari penglihatan. Kenderaan lain masih lagi bergerak tenang.

Begitulah kehidupan. Kebanyakkan kita memilih untuk hidup dengan tenang dengan cara yang sendiri tetapi masih tertakluk pada rukun dan peraturan yang tertakluk. Adakala tekanan menyedarkan kita cara kehidupan yang betul walau tekanan itu datang dari sumber yang amat menganggu. Kita juga tidak mudah terpengaruh dengan tekanan yang secara tidak langsung seperti mengajak kita menyertai seperti mereka. 

Memberontak.
Mendesak.

Ada yang merasakan bahawa dirinya sahaja yang betul. Melakukan apa sahaja yang betul sedangkan khalayak mendapati dia menentang arus. Mereka membiarkan sahaja kerana mereka tahu manusia seperti itu tidak akan ke mana. Cuma berada di sedikit ke hadapan. Tapi itu tidak bererti apa-apa. Tidak mengubah apa-apa. Mereka ini hanya menjadi sempadan agar tidak berlaku kemalangan, yang boleh membawa kerosakan, pembaziran masa, memberi peluang orang lain menangguk di air yang keruh dan trauma dalam kehidupan.

Begitulah kehidupan dari penglihatan lurus sebuah lebuhraya. Lebuhraya yang telah lama terhampar menghubungkan segala duka dan khabar gembira.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment