Halaman

Thursday, May 30, 2013

Bikers Kental!


Dari pengarah sinematografi, beralih duduk pula di kerusi pengarahan. Lebih-lebih lagi pengalaman di belakang tabir pastinya membuatkan Helmi Yusof membuak-buak untuk menerapkan dua pengalaman beliau ke layar perak.  Maka terhasillah ‘Bikers Kental’. Mempertaruhkan Zizan dari segi komedi dan Awie yang umum mengetahui keperibadian beliau sebagai pelakon dan penyanyi rock tersohor dan terlibat dalam dunia permotoran sebagai biker!

Aku bukan biker dan pastinya bikers di luar juga hampa dengan filem ini. Dari segi komedi atau kelucuan, ianya berjaya. Dari jalan cerita, aku katakan, gagal! Tidak mengapa. Ini merupakan filem pertama di Malaysia yang mengetengahkan dunia bikers! Baru bertatih takkan nak terus berlari, kan? Mesti ada langkah pertama dulu. Syabas dan tahniah buat Helmi Yusof dan tenaga produksi!

Mulanya aku menonton promo ‘Bikers Kental’ satu saluran di Astro. Alamak! Macam.., bosannya..!  Kemudian aku membaca artikel mengenai Helmi Yusof di akhbar. Aku membulatkan tekad untuk menonton di pawagam. Menyaksikan sendiri apa yang diperkatakan dalam akhbar.

Sememangnya hambar! Jika tidak kerana komedinya, filem ini hanya berlegar di sekelumit memori manusia. Mungkin sepuluh tahun akan datang, ada orang bertanya, Helmi Yusof pernah direct cerita wayang ke? Tapi pasti kerana azam dan obses beliau terhadap dunia biker ini tidak melemahkan semangat beliau. Ranjau berliku untuk membuat filem ini pastinya beliau lebih arif. Ini juga tidak melunturkan iltizam beliau.Terdorong untuk menjadi pengarah pertama filem biker, mungkin tajaan dari pihak Aprillia dan pihak lain serta kesempatan ‘Bikers Week’ di Krabi, filem ini dihasilkan secara terburu-buru, benar?

Aku tak jelas siapa yang kena tembak. Mengapa ditembak dan penjenayah hanya meneropong dari jauh?  Bidin terserempak dengan mangsa tembakan. Keliru dengan keputusannya barangkali di tempat kejadian, lebih-lebih lagi bila Bidin melihat duit yang banyak di dalam sebuah beg. Bidin ingin berlaku jujur tetapi bila posternya disisi motosikal besar terjatuh membuatkan Bidin gelap mata lantas mengutamakan nafsunya sendiri untuk memiliki sendiri sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Sepatutnya babak ini boleh dilakukan dengan lebih terperinci dan lebih aksi daripada babak yang berkisar di tempat kerja Bidin yang tidak mengarah ke mana-mana selain untuk menunjukkan obses Bidin untuk memiliki motor berkuasa tinggi dan kaitannya dengan majikannya. Kemudian? Babak Bidin meminta cuti? Alamak.. pasti boleh buat lebih baik lagi. Tak perlu pun tak mengapa.  Aduhai..!

Masakan Bidin terlepas dari pemerhatian pihak polis yang membuat siasatan di tempat kejadian. Di sini boleh dipanjangkan usaha polis untuk menjejaki penjenayah. Ini, orang yang ditembak, pulih. Sihat walafiat. Mengekori Bidin sehingga ke Krabi. Apakah kepentingan watak ini? Atau mungkin ada sekuel filem kedua yang akan menjelaskan?

Bila Eddie mencanangkan untuk ke Krabi, aku ingat inilah permulaannya. Aku membayangkan konvoi besar! Dua barisan motosikal berkuasa tinggi beratur sejauh tiga atau empat kilometer akan mendominasi Lebuhraya Utara – Selatan. Jauh panggang dari api!

Hanya mereka berenamkah sahaja yang mengetahui tentang Bikers Week di Krabi? Alangkah bagus jika di tonjolkan mereka berenam ini bergabung dengan bikers lain dari bandar-bandar lain seperti di Ipoh, Butterworth, Alor Setar, Kangar semasa dalam perjalanan. Atau mereka yang berenam ini bergabung dengan kumpulan bikers dari selatan seperti dari Singapura, Johor Bahru, Melaka dan Seremban. Bayangkan deruman motor ini membingitkan gegendang telinga penonton dalam Dolby Stereo?

Kesempatan ini boleh memperlihat dan memperjelaskan segala cabaran dan kesukaran ahli-ahli bikers melakukan konvoi lebih-lebih lagi untuk satu perjalanan yang amat jauh. Bagi yang tidak biasa menunggang motosikal walau dengan Honda EX5, dari Kuala Lumpur ke Seremban boleh menyebabkan kebas kaki dan tangan dan lenguh-lenguh badan.  Inikan pula  menunggang dari Kuala Lumpur ke Krabi yang jauhnya lebih dari 900km. Tapi bagi mereka berenam amat santai menunggang tanpa masalah. Logik sikit la beb! Kata filem, pasti ada dramanya.

Boleh jadi kerosakan motosikal. Terserempak dengan kemalangan atau ahli biker sendiri mengalami kemalangan akibat kecuaian, atas nama mengajar penunggang motosikal lebih berdisplin. Meredah hujan lebat, menunggang pada waktu malam. Atau masalah yang dihadapi oleh penunggang –penunggang motosikal berkuasa tinggi bila berhadapan dengan pemandu kereta yang ego atau pemandu lori kontena. Atau, ditahan oleh pihak berkuasa. Memperlihatkan kesalahan-kesalahan trafik yang patut dielakkan bagi seorang penunggang motosikal. Atau, tonjolkan bagaimana sebuah konvoi diurus dan ditadbir dengan baik. Banyak falsafah dunia bikers yang boleh diterjemahkan dalam filem ini untuk mengupas kekentalan menjadi seorang biker.  Bukan sekadar 3M, motor, minah motor dan masyuk! Atau menunggang keseorang tanpa arah untuk ke Krabi. Atau menerbitkan pilihan antara cinta dan menjadi biker.

Aku pasti Helmi Yusof sendiri sebagai biker pernah mengalami pengalaman sebegini atau dikumpulkan semua maklumat yang berfaedah untuk diterjemahkan di dalam karya ini. Rasanya bukan sedikit kumpulan motosikal berkuasa tinggi di Lembah Klang apatah lagi di Malaysia. Mungkin pihak produksi ingin mengelakkan masalah, kerenah dan cerewet bikers dan tidak berani mengambil risiko untuk menghimpunkan beberapa kumpulan motosikal ini selain tidak punya kesempatan waktu untuk mempelawa bikers lain untuk turut serta memandangkan tarikh kejadian sebenar Bikers Week di Krabi amat hampir. Jadi, tangkap muatlah.

Selebihnya, kalian yang telah menonton Bikers Kental ini pasti mengundang banyak persoalan dan kemudian mengabaikan sahaja kerana tidak ada kaitan dalam kehidupan peribadi. Terpulang pada kalian untuk menerima apa jua mesej dan hiburan dari filem ini. Bagi aku, bila aku menonton atau membaca, aku mencari pengetahuan hal-hal yang tidak bisa aku alami, perkara yang jauh dalam dunia kehidupan aku tetapi boleh sampai kepadaku dengan medium sebegini.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment