Halaman

Monday, November 30, 2009

Berborak dengan diri.

Sebagai rakyat sesebuah negara, tidak kira sistem perundangan apa yang diamalkan, rakyat pastinya meminta bantuan (dari apa segi pun) daripada pihak kerajaan tersebut. Sama seperti kita insan yang mempunyai Tuhan yang disembah mengikut acuan dan amalan masing-masing, pastinya tangan ditadah memohon bantuan dengan lafaz doa.

Sebut sahaja kerajaan manakah yang tidak mahu membina negara dengan rakyatnya makmur dan terbilang? Dalam skala yang kecil, keluarga siapakah yang tidak mahu ahli keluarganya cemerlang. Jika punya anak yang berjaya melangkah ke menara gading, nama siapakah yang akan dijulang masyarakat? Diasuh anaknya belajar sepandai-pandainya, pelbagai usaha ada di dalamnya untuk mengangkat anak sebagai pelajar cemerlang. Hanya untuk apa? Hanya untuk lulus peperiksaan kemudian menjawat jawatan penting dan miliki kuasa dan kewangan. Alas orang tuanya, kau yang senang esok, rumah besar, kereta besar. Begitu juga dalam memilih menantu. Jangan cakaplah jika ada orang tua yang hendak melihat anak mereka susah dan melarat. Betul?

Ini antara kaitan sebuah kerajaan dengan warganya dengan bandingan kecil dari sebuah keluarga. Inginkan kejayaan dan kecemerlangan. Ayah menasihati anak lelakinya, jangan merokok. Kerajaan juga menghabiskan jutaan ringgit untuk kempen 'Tak Nak'. Tapi semasa ayahnya menuturkan nasihat, tersepit rokok di mulut atau di antara jari telunjuk dan jari hantu. Jadi orang juga berkata kenapa tidak kerajaan mengharamkan sahaja penjualan rokok?

Pastinya ada kepentingan bukan? Ayah tidak mahu anaknya mengikut jejak langkahnya yang membazir wang membeli rokok dan juga masalah kesihatan malah masalah-masalah sampingan bila keputusan rokok. Tapi ayah sudah terjebak! Cuma tidak mahu anaknya akan susah dan menderita sepertinya. Itu kononnya, hakikatnya, ayah tidak mahu berkongsi rokok dengan anaknya dan tidak mahu anak meminta wang darinya untuk membeli rokok. Kepentingan kerajaan dalam pengutipan cukai dalam perniagaan tembakau ini mencecah jutaan ringgit, pastinya. Adakah kompromi telah berlaku antara kerajaan dengan pengilang rokok dalam masa yang sama kerajaan melarang rakyatnya agar tidak merokok sekaligus tidak membeli rokok yang boleh membantutkan permintaan di pasaran? Betulkah cara begini? Betul sebab kerajaan perlukan dana untuk mengurus dan menyara negara. Sedangkan rakyat boleh membuat pilihan dan berfikir sendiri agar untuk merokok atau tidak. Pengilang pula mungkin termakan pujuk atau kata dua dari kerajaan. Diperhatikan sekarang makin banyak pula jenama rokok berada di pasaran dan masih ada kelas-kelasnya tersendiri yang boleh mencitakan pengemar tembakau.

Cukai adalah antara cara kerajaan menjana pendapatan dan dipulangkan kepada rakyat dengan membangun kemudahan infrastruktur contohnya. Ada pelbagai cara kerajaan membantu rakyatnya yang memerlukan bantuan. Kelihatannya sangat adil, belum termasuk bagaimana kenudahan dan faedah yang dinikmati para penjawat awam yang berdedikasi melaksanakan tugas. Itu secara amnya tetapi bagaimana dengan rakyat yang bekerja dengan sektor swasta? Dilambakkanlah masalah-masalah pekerja swasta ke Jabatan Buruh untuk membuat aduan kerana hak seorang pekerja termaktub di dalam akta. Akta yang dibuat oleh perlembagaan. Berapa peratuskah pekerja swasta di peringkat bawahan yang mengetahui kewujudan fungsi Jabatan Buruh ini? Dahulu, orang yang hendak mencari kerja sahaja yang berkait dengan Jabatan Buruh ini. Selain itu adakah pekerja-pekerja ini tahu fungsi dan peranan Jabatan Buruh. Malah ada juga penyawat awam yang masih kabur dengan hal-hal sebegini. Yang diketahui secara umum, pemberhentian kerja dengan notis 24 jam tanpa sebab. Hati sudah sakit, bicara tentang undang-undang mengalahkan peguam berhujah.

Pelbagai cukai yang dibayar oleh rakyat pada kerajaannya. Sebagai tanggungjawab, memujuk hati agar generasi atau mayarakat umumnya dapat menikmati kemakmuran. Dalam hati, sumpah seranahnya berbakul. Tak payah pergi jauh, cukai jalan yang hampir tamat tempoh pun sudah bisa buat tidur malam tak lena. Harga barangan jadi mahal pun kerana cukai. Kereta yang dikeluarkan dalam negara sendiri pun kena cukai, kena bayar bila nak beli kereta. Tapi tak berapa nampak sebab termasuk dalam pinjaman bank. Bulan-bulan bayar, jadi tidak terasa. Bank hendak untung. Perniagaannya memberi pinjaman dan untuk menggalakkan rakyat meminjam. Faedah jadi tarikannya. Kena minta bantuan pada Bank Negara untuk kelulusan atau persetujuan, bukan boleh main-main. Bank Negara itu apa? Bukan kerajaan ke?

Kemudian penjual dan pengedar kereta gunakan tarikan faedah yang rendah ini untuk melariskan jualan. Ditambah lagi dengan "Zero Downpayment"! Tak menarik ke? Anak yang pandai tadi berkelulusan universiti pastinya sudah menjawat jawatan eksekutif baru kerja 3 bulan sudah boleh memandu kereta berharga ratusan ribu ringgit. Yang bergaji antara RM1,500.00 dan RM2,000.00 pun sudah boleh bergaya dengan kereta Persona sekurang-kurangnya. Yang bangga siapa? Emak ayahnya jugalah yang masyhur di kampung, anak sudah menjadi orang. Tapi yang merana siapa?

Yang merana, balik pada diri sendiri juga. Kesesakan di jalanraya yang dibanjiri jutaan kenderaan setiap kali pergi dan pulang kerja. Jangan dikenang sesak lebuhraya balik kampung semasa cuti perayaan. Inilah tekanan yang kita sendiri buat-buat tak nampak. Demi tanggungjawab pada negara dan diri sendiri, relakan sahajalah, pejam mata. Sampingannya, kita lihat jutaan kenderaan bersusun di jalanraya. Yang mana hendak cepat, dengan caranyalah yang boleh membangkitkan kemarahan pemandu lain pula. Bergesel sikit, mulalah jadi samseng jalanraya. Tak dapat bagi penumbuk, bagi isyarat tangan pun jadi. Yang membuat, nak tunjuk kuasa. Yang kena buli, sakitnya hati! Kalau kena bertemu buku dengan ruas, kerana dua manusia ini, manusia lain pula yang jadi susah. Manusia yang jauh duduk kerja jadi pendaftar mahkamah pun sudah bertambah jadi kerja. Sarjan di balai yang susah hendak buat laporan, pegawai penyiasat jadi pening. Lokap penuh!

Itu jaranglah berlaku tapi ada hingga berbunuh. Yang boleh kita lihat, ada segelintir pemandu yang menghisap rokok. Segelintir ke? Tekanan atau bersantai? Andai suku pemandu dengan jumlah kenderaan di jalanraya yang merokok, bayangkan? Pemandu, belum kira penumpang sebelah. Tekanan juga bagi mereka yang mengejar masa untuk tanggungjawab pada keluarga, majikan, masyarakat diri sendiri dan orang lain. Ibu memandu pulang hendak memasak. Ayah memandu pulang hendak makan. Anak mencelah-celah takut lewat dimarahi kekasih hati. Para pekerja terburu-buru hendak mengejar mesyuarat, mana lagi dengan tempoh waktu yang suntuk. Hendak mengawal masa atau rancang perjalanan? Apa yang boleh dirancang? Setakat keluar pergi kerja seawal pagi jam 6:00, tidak semua manusia yang boleh korbankan waktu lena yang nyenyak. Sudahlah pulang lewat malam, konon hendak mengelakkan kesesakan. Lepak dulu di restoran mamak menikmati segelas dua teh tarik yang bisa menambahkan kolestrol. Rokok bersambung puntung. Pengisiannya tak tahulah pula berkisar apa? Cerita juta juta....

Pada siapa hendak diadukan masalah ini? Perancang bandar? Lihatlah susur keluar atau susur masuk lebuhraya ke, jalan ekspres ke, jalan pintasan ke? Bersusun kereta. Dibuatnya jalan pintas tapi dilambakkan keluar pada jalanraya yang sudah memang terkenal kesesakkannya. Bayangkan, sebagai contoh, memandu dari tempat S ke tempat K pada jam 3:00 pagi mengambil masa 15 minit tetapi 60 minit pada jam 3:00 petang. Ada silap mana-mana? Jalanraya sama sahaja tidak berubah bukan?

Kerajaan sebaiknya mendidik rakyat bukan memanjakan rakyat dengan kemudahan pembelian kenderaan. 10% wang pendahuluan wajib bagi membeli kenderaan dan pembelian tunai bagi motosikal yang berharga pada bawah harga RM10,000.00. Tapi sebab ada kepentingan antara dua pihak, kerajaan dan pengedar, maka timbul pula masalah lain yang sebenar berpunca dari mereka. Bukankah satu jari telunjuk yang di tunjuk untuk menyalahkan orang lain sedangkan tiga jari yang lain terarah pada diri sendiri?

Jadikan sistem pengangkutan awam yang terbilang. Perbanyakkan pemberian permit teksi dengan nisbah 4 teksi dan satu kereta dan ini juga boleh melonjakkan jualan kereta nasional sebagai teksi atau limo dengan tambang perjalanan yang amat berpatutan bukan seperti sekarang. Kos bahan api murah dengan 100% penggunaan NGV. Peningkatan masalah penyelenggaraan jadi tinggi sebab jalan sering sesak menjadikan transmisi kerap dilakukan. Wujudkan hanya satu operator kemudahan bas bandar dilaksanakan dan hapuskan komisen mengikut jumlah penumpang dan jumlah perjalanan. Jadi mereka tidak perlu berlumba mengejar mengambil penumpang dan jumlah perjalanan. Sistem pengangkutan LRT dinaiktaraf ke MRT dengan jalinan lengkap di pelusuk rata tempat dengan sokongan perkhidmatan bas dan teksi. Kerajaan tidak boleh buat ke semua ini? Pastinya boleh! Tapi mesti tengok kepentingan dululah.

Kepentingan? Yang mana tahu, tahulah. Macam rasuah juga. Kalau kata tiada rasuah, kenapa kerajaan sibuk hendak membanteras rasuah? Kerana ianya wujudlah, ia menjadi halangan untuk kemajuan negara. Sama seperti anak yang bersekolah atau belajar, sibuk hendak bercinta, berpeleseran atau membuang masa di kepala simpang. Mana mak bapa tak baran. Gejala ini perlu dihapuskan dan dihindari dari menjangkiti anak bujang mereka kalau mereka hendak lulus peperiksaan dengan gelaran dekan. Ini semua halangan untuk mak bapa mengecapi kemasyhuran, begitu juga dengan kerajaan. Banteras rasuah!

Seperkara lagi yang terusik, sepatutnya kerajaan sudah boleh meningkat sistem penyiaran televisyen walau cukai (lesen) televisyen dan radio telah berzaman pupus. Jangan itu dijadikan alasan, dunia sudah berubah, teknologi meninggalkan mereka yang masih dalam dunia analog. Mungkin juga sebab kepentingan, maka kerajaan membenarkan satu pihak mengendalikan siaran berbayar dengan sedikit tanggungjawab sosial pada masyarakat sebagai mengaburi mata. Sekarang ianya seperti ulat naik ke mata. Rakyat setiap hari mengeluh mengenainya, kekerapan cerita yang berulang, gangguan siaran ketika hujan renyai. Walau mereka punya alasan tapi rakyat tidak punya alasan untuk tidak terkecuali untuk melekatkan piring di dinding rumah masing-masing. Andai tiada, boleh dilabelkan dikatakan tidak mengikut teknologi. Belum kira penangan rancangan realitinya. Terasa pelik pula di mata jika melihat rumah yang tiada piring mirip kuali ini.

Bukankah kerajaan sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan siaran yang menjadi 'jabatan penerangan' boleh menyelinap di setiap ceruk lembah bukit dan gunung dengan mudah? Walau ini sebagai pilihan rakyat tetapi rakyat nampaknya tertipu dengan pilihan sendiri dengan mengorbankan wang saku sendiri pada sesuatu yang sepatutnya datang dari wang poket rakyat sendiri, cukai. Menariknya, apa yang hendak mereka lakukan pastinya memerlukan pengetahuan pihak kerajaan. Kerajaan pula berfikir dengan membuka peluang pada rakyat menjadi usahawan 'glokal' seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tetapi ada pula rakyat yang mengaruk tidak tentu pasal. Jadi apakah pilihan yang ada pada kerajaan? Jawapan umumnya, kepentingan!

Ish...! Leka pula berborak seorang diri, sedar-sedar dah pukul 6 pagi, dah nak subuh. Bukan dah nak, dah subuh pun... K.E, S.Y dan si Krill, dah berceloteh pun. Nescafe pun sudah habis seteko diminum, puntung rokok pun dah penuh dalam ash tray. Hujan ribut pun ada redanya. Kalau berborak ni, sampai bila pun tak habisnya. Aku masuk tidur dulu la ea.. Ngantuk lak... Korang tak ngantuk ke baca benda alah  ni? Udah udah ler tu..

Assalamualaikum!

Monday, November 23, 2009

Taming Sari.

Sering juga bersuara pada kawan-kawan, "Kawan-kawan bukan lawan". Bila ada kawan yang berkata demikian, sebolehnya kawan tidak mahu beradu tenaga dengan kawan lain atau menjadi lawan yang boleh memutuskan sesuatu perhubungan yang telah lama diikat. Ada juga disebut sebagai sindiran/nasihat bila kawan terlajak kata hingga mencetuskan kemarahan kawan lain.

"Kawan tak makan kawan". Ini juga seperti lawan pada peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi. Adakala kawan berharap agar kawan boleh menjaga amanah atau sekurang-kurangnya tidak menyusahkan kawan. Tidak curang di belakang kawan yang lain dan sebaiknya menghormati kawan dan kawan-kawannya yang lain. Secara langsung menimbulkan isu; kawan kau, kawan aku juga.

Pengertian kawan ini terlalu luas, cuma aku dapatkan kesimpulan selama aku berkawan dengan kawan-kawan. Ada kelas mereka sendiri dalam berkawan, kawan baik atau sekadar berkawan-kawan dan membentuk satu kawanan. Malah ada sub-sub kawan seperti kenalan, teman dan sahabat. Ada juga mengatakan dengan segelas teh tarik bisa mendapat seorang kawan. Mudahkan?

Semestinya ada sesuatu yang mencetuskan seorang manusia menjadi kawan pada kawan yang lain. Sebaliknya jugalah yang membuatkan kawan itu menjadi lawan.

Jadi apa yang susah untuk menjadi kawan kepada kawan yang lain. Mengapa pula kita seharusnya menjadi lawan pada kawan?



Dihikayatkan Hang Tuah punyai empat kawan lain sehingga kawanan ini digelar Lima Bersaudara, asalnya kawan sepermainan dari kecil hinggalah dewasa. Hang Tuah juga ada berkata "Takkan Melayu hilang di dunia" yang mana akhirnya seperti dihikayatkan, beliau telah melenyapkan seorang melayu yang merupakan kawan baik beliau. Siapakah kawan, siapakah lawan?

Masing-masing antara mereka punya prinsip tersendiri. Hang Tuah menjunjung Raja yang didaulatkan yang tidak boleh ditidakkan manakala Hang Jebat memuja persahabatan mereka sehingga ada dendam padanya terhadap Raja untuk membela kematian kawannya seperti disangka hingga satu Melaka hendak diamuknya.

Kerana berkawan, beliau mati dalam tusukan keris Taming Sari dari tangan kawan sendiri.

Tuesday, November 17, 2009

Karma.

Tengahari tadi aku ke Plaza Berjaya menaiki LRT dari Setiawangsa dan turun di stesen Dang Wangi. Kemudian aku perlu menaiki monorail ke stesen Imbi. Semasa aku melintas menggunakan jejambat, kelihatan pemuda Benggali mundar-mandir berseorangan di atas jejambat. Aku hanya mengabaikan dia dengan urusannya.

Kelihatannya beberapa pasangan pelancong asing yang berkeliaran dengan sekeping peta di tangan di kawasan stesen monorail Bukit Nenas sambil melihat-lihat persekitaran. Aku mengabaikan mereka juga.

Di dalam monorail, kelihatan juga pelancong asing dengan keasyikkan mereka sendiri melihat hutan batu Kuala Lumpur yang mungkin boleh mengubah persepsi mereka mengenai kemakmuran Malaysia, dengan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang bangsa yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.



Pulang dari Plaza Berjaya, aku mengikuti laluan yang sama untuk ke Setiawangsa. Tiba di stesen Bukit Bintang, sekumpulan remaja bergaya dengan kasual santai, sesuai dengan cuaca Khatulistiwa. Tiada bezanya dengan remaja kita yang merelakan diri menjadi korban fesyen. Mereka juga tidak terkecuali, Indonesia dan Malaysia serumpun katanya. Bezanya, mereka ini tidak seperti warga Indonesia, lazim kita lihat berselerakkan di Chow Kit atau di kawasan yang digelar 'Mini Jakarta'.

Melalui jejambat yang sama aku melintas untuk ke Stesen LRT Dang Wangi. Dari jauh kelihatan pemuda Benggali itu masih ada di situ tetapi bersamanya seorang pelancong asing. Aku lihat pemuda Benggali itu memberinya beberapa butir manik lalu disuruh cium. Melintasi mereka berdua, aku lihat pelancong asing sedang membuka satu lipatan kertas kecil.

Aku tahu apa yang dilakukan oleh pemuda Benggali itu terhadap pelancong asing itu. Tapi aku semacam serba salah, aku melihat sekeliling, memerhati jika ada lelaki Benggali lain yang berdekatan. Hati ini semacam hendak menegur dan menjauhkan pelancong itu dari pemuda Benggali itu namun aku sudah terlajak jauh. Bila aku perhatikan pelacong itu mula menggeleng-gelengkan kepala seperti menolak sesuatu, jadi aku melangkah lalu. Pastinya pelancong itu bisa menghidu sesuatu.

Ya..! Itulah satu sindiket penipuan yang dilaksanakan dengan keistimewaan yang ada pada mereka. Aku pernah dihampiri lelaki Benggali seperti ini di sekitar tahun 1997. Mulanya, dia meminta untuk menilik tapak tangan aku dan aku menolak. Namun direnungnya wajah aku membuatkan aku serba-salah. Kemudian dia bersuara, menceritakan sesuatu yang telah berlaku di masa silam aku. Aku hanya tertawa kecil walau ada kebenarannya tapi itu juga boleh dikategorikan sebagai satu umpanan umum. Pastinya semua orang pernah bercinta bukan?

Namun yang buat aku terfikir, bila dia meminta aku memikirkan satu haiwan peliharaan. Sebagai keseronokkan, aku mula memikirkan tentang naga, namun sebaik sahaja fikiran ini menggambarkan seekor naga, dia dengan pantas mengganggu imaginasi aku dan berkata, "Abang.. binatang peliharaanlah, yang kita boleh bela dalam rumah. Bukan naga." Aku tergamam sebentar dan memikirkan sesuatu yang aku sendiri tidak menjangkakan begitu. "Dia ni boleh baca fikiran aku atau dia yang mengawal fikiran aku?"

Kemudian aku beralih berimaginasi pada seekor haiwan peliharaan, hati aku berdetik, arnab. Kelihatan dia menulis sesuatu di atas kertas kecil dan menghulurkan kepada aku tiga butir manik yang telah dicalit warna. Katanya, "Abang cium ini manik, kemudian abang simpan. Ini manik sudah kasi sembahyang." Aku mengiyakan sahaja seraya dia menghulurkan kertas kecil lalu aku membukanya dan tertera perkataan arnab pada kertas itu. "Woouu..!"

Dalam pada itu, dia meminta wang RM10.00 dari aku. Dalam diam hati aku berkata, "Terkena gak.." Aku cuma menyeluk poket dan menghulurkan duit kepadanya. Sekeping kertas kecil sekali lagi bertukar tangan setelah wang aku disambutnya. Aku membuka lipatan kertas dan yang tertera adalah sebaris empat nombor.

Ianya tidak habis disitu. Seminggu selepas itu, aku terserempak dengannya sekali lagi berhampiran tempat yang sama. lalu dipelawanya aku singgah minum di restoran mamak yang berdekatan, disebabkan aku biasa dengan restoran itu, aku tidak menolak.

Tanpa berlengah dia mengatakan bahawa aku punya nasib yang tidak baik di masa akan datang. Namun diselit juga angan-angan yang lumayan didengari oleh setiap manusia. Untuk mengelak yang buruk dan menggapai yang baik, dia mengeluarkan beberapa keping gambar tok saminya sedang bermeditasi ala-ala gaya yoga. Aku mula tidak berapa senang dengan situasi begini. Aku melayan cuma apa yang diperkatakan sedangkan kotak fikiran aku mula bekerja mencari jalan keluar. Sebelum terkena lagi.

Dimintanya aku beberapa ratus ringgit untuk melakukan upacara sembahyang untuk menghindari aku dari hal-hal yang buruk dan memiliki karma yang baik. Aku masih melayan setiap tutur yang keluar dari mulutnya dengan misainya yang tebal dan hitam itu, meliuk-liuk mengikut setiap gerak bibirnya.

Sesuatu yang luarbiasa, yang tak pernah aku sangkakan tercetus. Katanya, "Saya tahu abang sekarang ada empat ratus ringgit dalam wallet. Abang kasi saya tiga ratus ringgit, saya bikin ini sembahyang, abang dapat good fortune!"

Terperanjat aku mendengar kata-katanya itu. Bagaimana dia tahu aku sememangnya punya empat ratus ringgit? Aku segera memberi alasan bahawa aku memerlukan wang itu untuk urusan peribadi aku. Namun ada suara berbaur ancaman darinya bahawa aku akan ditimpa bencana kelak jika aku tidak memberinya ketika itu. Andai tidak melakukan upacara sembahyang itu.

Keras suara aku berkata, "Saya ada Tuhan, you juga ada Tuhan yang you percaya! Jadi biar Tuhan saya menentukan hidup saya bukan awak!" Giliran aku pula memberi ancaman padanya, "I nampak you ada berkeliaran di kawasan ini, kita tengok nasib siapa yang akan jadi lebih baik!"


(Gambar hiasan - tak ngamlah kalau tak de gambar... ye tak?)

Sehikayat itu... jika kalian dihampiri seorang lelaki Benggali yang kemas pakaiannya dan memegang sebuah 'organizer' dan mula menghampiri atau bersuara dengan kalian, just say "No, thank you!" dan angkat kaki lambung. Tidaklah aku ketahui hingga kini, teknik apa yang mereka gunakan untuk menbaca fikiran manusia lain atau mengawal pemikiran manusia lain. Yang pasti, mereka ini punya rangkaian sindiket penipuan yang memanipulasi pemikiran manusia. Awas! Jangan sesekali kalian mencuba untuk mengetahui lebih lanjut atau mengalaminya sendiri!

Saturday, November 7, 2009

Dunia lakonan.

Sering aku mendengar bahawa hidup ini adalah sandiwara, dunia ini sebagai pentas sandiwara dan kita adalah para pelakonnya yang punya watak masing-masing. Bila ada adegan pelakon yang terlalu diva; kita mencebik bibir, memuncung panjang tanda ketidakpuashatian bila lakonan mereka menjadi dan kita menjadi mangsa plot-plot yang sememangnya kita tidak mahu terjadi dalam hidup kita. Jadilah kita mangsa keadaan...
Tapi tanpa kita sedari, adakah kita sendiri mengikut skrip dan tidak lari dari jalan cerita kehidupan yang telah ditentukan pengarah.

Ya, kerana setiap pementasan pasti ada pengarahnya. Siapakah pengarah kita? Andai kita mengikut arahan pengarah, pastinya drama kehidupan kita akan berakhir dengan baik!


Monday, November 2, 2009

Cuci kereta.

Kalau diingat-ingatkan, berabad gak lah kereta aku ni tak dimandikan, tak dibelai dengan air sabun, tak diusap dengan kain cotton oleh tangan kasar mat bangla.  Free lepas buat kerja tadi di Maluri, aku pun dengan sengaja, menghantar kereta untuk dicuci. Standard lah kat mana-mana car wash pun cara membasuhnya. Walau cuaca agak mendung, seperti kebiasaan kebelakangan ini, hujan akan turun mencurah. Lepas dicuci tadi pun, rintik-rintik kasar hujan sudah turun. Mat-mat bangla tetap tekun dan asyik membelai kereta aku. Dilap kering luar dan dalam dan divacuum di bahagian dalam kereta.

Aku tak kisah sangat kotor debu kat body kereta tapi habuk, pasir yang kat dalam tu yang menjerit-jerit minta nak keluar. Kesian tau setiap hari mendengar rintihan habuk dan pasir tu. Selesai memenuhi permintaan habuk dan pasir, yang telah bertukar rumah; ke dalam vacuum cleaner; pastinya mereka bergembira dapat jumpa habuk dan pasir dari kereta-kereta yang lain.

Selepas duit sepuluh ringgit dan baki dua ringgit bertukar tangan, aku komplen lah tentang cover lampu depan dah berkabut pudar. Kalau kereta lain menggunakan cover lamp jenis kaca tapi jenis kereta Iswara ni, yang mesra rakyat harganya, menggunakan cover lamp jenis poly kot, macam plastik. Tak sure lak aku materialnya.




"Saya ada ubat, bule kasi ilang itu kotor," kata mat bangla yang biasa aku serahkan hal bersiram kereta aku.
"Boleh ke?" aku pula minta kepastian. Aku ragu tentang menghilangkan kesan kabut tu. Dia berlalu ke dalam stor dan beberapa minit kemudian dia membawa keluar sebotol bahan pencuci. "Ini ubat banyak mahal bang, saya kasi cuba abang tengok," katanya lagi.


Mula, digosok perlahan-lahan dengan kertas pasir halus yang dibasahi air bersih. Gosok dalam seminit je.



Setelah dilap kering, barulah disapukan dengan ubat yang dikatakan mahal tadi. Memang dia gunakan beberapa titis je. Disapu rata pada permukaan cover lampu tu.



Dibiarkan kering sekejap, sementara bangla tu hilang ke dalam stor.



Rupanya... amik kau.. dia bawa power tool. Pastu dia pun polish cover lampu tu, confiden je..
Seminit dua gak lah dia mempolishkan dengan power tool tu.



Inilah hasilnya! Barulah nampak mentol kat dalam tu...



Testing.. testing... barulah bercahaya, kalau tak... macam malap je.. Nak suluh apa kalau dah malapkan?

Macam tu gak lah kehidupan kita ni, ada masanya kemalapan tu hadir. Kita jadi blur nak teruskan kehidupan, tergapai-gapai. Jadi kita mesti membenarkan orang lain memasuki kehidupan kita untuk kita boleh bersinar semula. Menikmati semula kehidupan dan yang paling penting, kita sendiri mesti menghargai dan memberi peluang pada diri kita untuk berasa berguna untuk orang lain pula.