Halaman

Sunday, March 3, 2013

Rock Oo! Rimba Bara Kembali!



Memang aku teruja! Kalau bolehlah dapat tonton waktu tayangan paling awal pada 28 Februari tu, pasti aku dah terpacak kat depan kaunter tiket. Tapi tulah, kerja! Tak mengapa, esok masih ada. Esoknya hari Jumaat aku menonton pada tayangan pukul 4:15 petang di MBO KL Festival, Setapak.

Rock.. Oo! Menonton Que Haidar menetak-netak ais kepal pada awal babak dah buat aku gelak. Sengihnya bersahaja bila menjawab, “Ada lipan bara.” Hahahaha..! Lakonan Que Haidar sebagai Amy Mat Piah amat mantap. Mimik wajahnya yang amat, amat mengharap untuk menjadi vokalis kumpulan Rimba Bara memang mantap. Kena lak masa babak dia memujuk Jijoe (Khir Rahman) dengan sebungkus teh. Begitu juga, mimik wajahnya yang amat, amat gembira bila diberi peluang “jamming” bersama-sama dengan Rimba Bara dan diberikan lagu baru, Tika yang menjadi harapan Jijoe untuk membuat “come back”.

Kemudian kehadiran Zul Kapan (Soffi Jikan) menyampaikan berita yang mengelirukan buat Jijoe, seakan Zul Kapan akan bersama Rimba Bara menandatangi kontrak di bawah Luncai Emas. Boleh dilihat wajah kehampaan yang ditunjukkan oleh Amy. Sentap! Namun bila sahaja dimaklumkan dengan lebih lanjut bahawa Zul Kapan akan bersama Malaikat Maut, ada sinar harapan yang dimimikkan oleh Amy. Amat ghairah untuk terus menjadi vokalis utama kumpulan Rimba Bara.

Amat berbaloi sekali apabila Khir Rahman berjaya memujuk Que Haidar untuk berlakon semula hingga Mamat Khalid sanggup tidak akan meneruskan penggambaran “Rock.. Oo Rimba Bara Kembali” sekiranya Que Haidar tidak mahu meneruskan watak Amy Mat Piah.

Amat, amat lucu bila menonton babak akhir ketika Amy gagal mengawal emosinya dan berlari menangis keesak-esakkan. Kiut! Hahahaha.. Walau diketahui Khir Rahman lebih senior pengalaman lakonannya, lebih-lebih lagi di bidang teater, namun semangat keakraban persahabatan mereka, membawa aliran yang amat positif di layar perak.

Lagu-lagu era rock kapak dalam filem ini, sememangnya menggamit pelbagai pengalaman dan memori bagi setiap rocker atau penonton yang hidup berjuang pada era kegemilangan rock. Kemunculan kumpulan Search , Wings, Bloodshed, Hellions, MAY, SYJ, Scandals dan berpuluh-puluh kumpulan rock tiba-tiba memenuhi ruang udara dengan pengaruh kuat dari kumpulan rock dari Barat seperti DIO, Iron Maiden, Metallica, Def Leppard, Scorpions atau White Snake dan ratusan lagi genre di bawah cabang rock itu sendiri. Dilupa jangan Loudness dari Jepun!

Ini nyata sekali ketika itu, kebanyakan remaja  terutama pelajar lelaki peringkat sekolah menengah telah mengenggam kemas untuk menganggotai atau menubuhkan sendiri kugiran masing-masing. Ada yang sanggup ponteng sekolah, menabung duit belanja harian, berkongsi untuk membayar sesi “jamming” di studio-studio yang ketika itu juga banyak muncul secara tiba-tiba. Siapa kata industri rock tidak menjana ekonomi? Aku yang ketika itu di tingkatan empat pada tahun 1988, walau tidak cenderung pada peralatan muzik, namun sokongan tetap ada untuk bersama mereka, berjuang walau aku mampu tidur di dalam studio dengan kebingitan keras “scrumming” gitar dan hentakkan padu “double pedals” drummer. Aku tetap lena, kerana rock telah larut , mengalir deras dalam jiwa.

Menonton filem ini, seperti meyaksikan tayangan ulangan kehidupan aku bersama rakan-rakan sebaya yang lain yang menggemari muzik rock terutamanya yang kita istilahkan sebagai “Rock Kapak!” sekarang. Semua yang dipersembahkan oleh Mamat Khalid terutama dari segi fesyen rock itu sendiri amat tepat! Manalah dorang dapat kasut high cut Aliph tu? Kecuali pengalaman sebagai pemuzik rock. Aku hanya pengemar muzik rock – King Diamond, Mercyful Fate, pastinya Metallica!

Falsafah Mamat Khalid dalam karya ini adalah untuk berkongsi bagaimana cabaran dan harapan kumpulan rock yang bersaing sesama sendiri. Susah-senangnya menjadi warga kota dengan bergantung harapan dengan orang lain. Jatuh bangunnya semangat juang meneruskan langkah menelan apa sahaja untuk mengisi perut yang sama kuatnya dengan ‘growling’ vokal rock itu sendiri. Pengorbanan dalam percintaan demi untuk cita-cita seperti pada babak Slash memarahi kekasihnya di perhentian bas di hadapan khalayak ramai. Namun pantas kita ketahui, genangan air mata Slash mengharapkan pemahaman dan pengorbanan kekasihnya dan terpaksa hipokrit bahawa seorang rocker tidak perlu ada perasaan cinta.

Pada aku, aku lebih suka jika Mamat Khalid lebih cenderung kepada ‘permainan’ promoter terhadap kumpulan-kumpulan rock yang baru naik. Memperlihatkan kekotoran pemikiran manusia tamak yang sanggup mempergunakan bakat seni orang lain untuk menyara kehidupan mewah atau kehidupan kepura-puraan para promoter. Pada ketika itu, hampir semua kumpulan muzik rock ini hanya bergantung pada “konsert” di tapak-tapak ekspo. Konsert funfair! Di mana kemuncaknya ketika itu adalah di tapak ekspo Pulau Pinang atau Port Dickson. Selain beradu nasib di pertandingan “Battle of the Bands” untuk mengukuhkan reputasi dan menaikkan profil kumpulan rock masing-masing seperti Ella and The Boys.

Mungkin kos yang besar untuk membangunkan set tapak ekspo dan masalah kebanjiran peminat menonton konsert funfair, maka itu Mamat Khalid hanya mengilhamkan seperti pada babak kumpulan Rimba Bara bermain di majlis perkahwinan satu keluarga Hindu. Menunjukkan betapa terdesaknya golongan ini untuk meneruskan kelangsungan hidup di kota Kuala Lumpur. Namun bila sedikit laba diperolehi, manusia menjadi lupa dan terus mementingkan diri sendiri dengan jalan yang salah, dan sememangnya masalah ketagihan dadah banyak dikaitkan terhadap golongan rocker selain dengan masalah penampilan berambut panjang dan berpakaian tidak senonoh.

Aku juga lebih suka jika Jijoe lebih positif terhadap vokal Amy. Ketika inilah elemen-elemen membina atau metafora yang berkaitan dengan kehidupan dilontarkan sebagai pengajaran untuk para penonton. Bukan hanya sebagai objek sendaan untuk Jijoe dan Black. ATAU, boleh juga diwatakkan Amy sebagai orang yang berilmu dalam bidang muzik atau vokal tetapi mengikut resmi padi. Katakan selepas filem Rock yang dahulu, Amy merantau ke daerah yang lain dan lebih dahulu bergaul dengan kumpulan-kumpulan muzik kemudian pulang ke kampung dengan pengetahuan dan pengalaman yang lebih baik untuk membimbing Rimba Bara.

Dengan kesilapan yang dilakukan oleh kumpulan Malaikat Maut ditonjolkan sebagai hukuman bagi mereka yang berhidung tinggi atau tamak dengan bakat yang ada. Mereka mesti bertanggungjawab di atas apa yang telah mereka lakukan, mereka sendiri telah menabur pasir ke dalam periuk. Benar, memaafkan dan memberi peluang kedua itu adakalanya baik tetapi lebih baik jika, Jijoe lebih menyedari kelebihan bakat Amy sebagai penyanyi utama dan membuka lembaran baru dan melangkah untuk mendapat tempat di dalam “Battle of the Bands”!

Kemuncaknya, konsert di Stadium Merdeka!

Tapi aku amat faham. Untuk membawa kembali kehebatan zaman rock 80an di zaman muka buku adalah satu yang amat, amat sukar walau ianya tidak mustahil untuk dilakukan. Semuanya tertakluk kepada produser.

*Lagi cantik kalau rambut panjang palsu dorang tu lebih re-al!


 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment