Semasa melalui Lebuhraya Maju ke LCCT pada jam lebih kurang 4:00 pagi, hujan mencurah lebat. Sebelum melepasi tol Salak Selatan, terdapat lencongan dari dua lorong menjadi selorong. Aku sangkakan selorong tu selari dengan hala perjalanan tapi pada pertengahannya dihalakan untuk ke lorong bertentangan. Dalam cahaya yang kelam dan hujan lebat, aku tak perasan papan tanda penukaran lorong. Secara tiba-tiba penglihatan aku menangkap tanda arah sedangkan aku masih meluncur laju. Segera aku memijak brek kereta. Kereta mengelongsur ke kiri dan kanan, namun aku dapat mengawal kereta. Mujur kereta belakang masih berjarak.
Berdebar juga jika berlaku apa-apa. Sepatutnya pihak kontraktor meletakkan papan tanda bercahaya memandangkan kerja-kerja dilakukan pada waktu malam. Aku perasan seorang pekerja yang berdiri berhampiran agak tergamam melihat aku tidak memperlahankan kereta sewaktu menghampiri lencongan. Lencongan permanduan arah bertentangan berakhir sejurus sebelum plaza tol Salak Selatan.
Hujan lebat mulai renyai ketika aku melepasi plaza tol Putrajaya. Aku memandu perlahan sehinggalah aku tiba di plaza tol KLIA dan menyedari bahawa penerbangan aku ke Sandakan pada jam 6:25 pagi. Aku mengerling ke arah jam pada papan pemuka kereta, 5:08 pagi. Kegusaran menyerang. Mujur hujan mulai reda. Aku memecut laju.
No comments:
Post a Comment