Halaman

Wednesday, February 27, 2013

Jalan kerja.

Memikirkan kesukaran mendapatkan tempat letak kereta di kawasan berhampiran bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, ada baiknya aku berurusan di sana menggunakan pengangkutan awam sistem aliran ringan, LRT. Biarlah hari ini aku menapak dari satu urusan ke satu urusan yang lain. Hanya hujan yang menjadi cabaran bagi pejalan kaki. Aku memandang dada langit, awan-awan putih berbaur dengan awan yang mendung melarat di udara membuatkan hari menjadi redup. Nyaman. Terikan mentari belum menjadi sengitan walau hari sudah mencapai jam 12:00 tengahari.

Dari stesen Setiawangsa aku ke stesen Wangsa Maju menggunakan Aliran Kelana Jaya arah Gombak, harga tiket hanya seringgit. Meluncur lancar dan tidak sampai lima minit aku sudah pun menuruni tangga di stesen Wangsa Maju mencari premis syarikat P & L Marketing di Desa Setapak untuk memulangkan modem Wiggy P1 yang aku tamatkan perkhidmatannya. Tiada lagi keperluannya dan ini menggalakkan pengurangan kos bulanan aku.

Selesai urusan yang mengambil masa lebih kurang 15 minit, aku kembali ke stesen Wangsa Maju, Aliran Kelana Jaya untuk perjalanan ke stesen PWTC, Aliran Ampang ke arah Sentul Timur dan aku perlu menukar tren di stesen Masjid Jamek dengan harga perjalanannya, RM2.10. Dalam tren, kelihatan seorang gadis berketurunan Cina tekun menelaah buku soalan-jawapan ujian memandu kenderaan bermotor, edisi diperbaharui.. Bertambahlah seorang lagi pemandu kereta di jalan raya.

Turun di stesen Masjid Jamek, Aliran Kelana Jaya untuk penukaran aliran, aku menapak melalui terowong bawah tanah yang berhawa dingin sepenuhnya menuju ke stesen Masjid Jamek, Aliran Ampang. Aku disapa seorang makcik, bertanyakan arah stesen untuk menaiki tren ke stesen Hang Tuah. Dengan pengetahuan kuno yang ada pada aku, aku memberitahu bahawa dia perlu ke stesen yang bertentangan di seberang jalan, ke arah Sri Petaling atau Ampang kerana kedudukan stesen Hang Tuah hanya selepas satu stesen sahaja dari sini, stesen Plaza Rakyat. Untuk kepastian yang sahih aku menasihatkan makcik itu agar bertanya lanjut di kaunter pertanyaan yang ada kira-kira tiga meter dari tempat kami berdiri.

Tiba di stesen PWTC, aku menapak ke bangunan Sunway Putra Mall yang letaknya bersebelahan stesen PWTC. Aku menuju ke arah letaknya mesin angkut yang mengangkut manusia ke aras yang dikehendaki oleh manusia itu sendiri. Butang aras 16 ditekan bila aku sudah memasuki ke dalam perut mesin angkut, pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) aku tujui. Memperbaharui daftar syarikat perniagaan. Aku diberikan borang pembaharuan daftar syarikat. Aku lengkapkan dengan tulisan tangan menggunakan pena mata bulat. Serahkan kembali kepada pegawai yang bertugas. Nombor giliran diberikan. Aku menunggu giliran, bersandar di kerusi besi tahan karat yang disediakan untuk para pelanggan.

Belum puas melepaskan lelah menapak, nombor giliran berdenting. Aku menuju ke kaunter empat. Aku serahkan 2 set borang pembaharuan yang telah diisi, kad pengenalan dan sejumlah wang yang diperlukan untuk melunaskan pembaharuan. Disebabkan kelewatan hampir lima bulan kerana gagal memperbaharui daftar syarikat perniagaan sebelum tamat tempoh, setiap satu syarikat dikenakan denda sebanyak RM50.00, RM10.00 bagi setiap bulan yang lewat. Bagi pembaharuan satu syarikat untuk setahun adalah RM60.00 dan dua tahun untuk syarikat yang menggunakan nama sendiri pada kad pengenalan adalah RM60.00, RM30.00 setahun. Beberapa pertanyaan mengenai pertukaran alamat syarikat aku lontarkan pada pegawai bertugas. Dalam kecekapan melakukan tanggungjawabnya, dia masih boleh menjawab semua pertanyaanku dengan baik malahan sempat memberikan serba sedikit panduan untuk mempermudahkan urusan.

Rata-rata hanya 15 minit aku selesai di Suruhanjaya Syarikat Malaysia walaupun hari sudah di penghujung waktu makan tengahari bagi mereka yang bekerja makan gaji tapi dalam pengetahuanku, kaunter ini tetap dibuka untuk semua urusan.

Dari stesen PWTC aku mesti menaiki tren untuk ke stesen Masjid Jamek semula dan berjalan kaki kira-kira satu kilometer untuk ke bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Tiba di premis bahagian pembayaran, kelihatan sungguh ramai manusia yang beratur panjang. “Mengapa pula sebegini ramai manusia hari ini. Kebiasaanya lenggang sahaja,” aku soal diriku sendiri. Aku membiarkan mereka dan terus ke kaunter pengambilan nombor giliran. Aku menyentuh dengan jari telunjuk pada paparan ‘Kompaun’ pada skrin sentuh. Canggih!

Sementara menantikan nombor giliranku tiba, aku memasang telinga. Mendengar keriuhan orang ramai yang masih lagi berduyun mengunjungi kaunter bayaran DBKL  yang kebiasaannya tenang. Suara manusia yang bertanya bertingkah dengan suara para pegawai penguatkuasaan DBKL memberi penerangan. Riuh!

Ketahuilah olehku, sempena sambutan Hari Wilayah, pihak DBKL memberi diskaun pada semua kompaun kesalahan trafik lalu lintas tanpa perlu membuat rayuan pengurangan bayaran kompaun sehingga 28 Februari 2013. Mereka tidak perlu mengambil nombor giliran kerana dua kaunter khas disediakan dan mereka diminta beratur. “Biasalah.. orang Malaysia, semua tunggu saat akhir,” getus hatiku.

Berbeza dengan urusanku di sini. Urusanku, aku perlu berjumpa dengan ‘Pegawai Kompaun’ untuk membuat rayuan pengurangan bayaran kompaun kerana kesalahan menghalangi kaki lima bagi pihak pelangganku yang menjalani perniagaan pakaian di Taman Sri Rampai. Hampir sejam aku duduk di kerusi yang disediakan. Mataku meratah ke seluruh dalam premis memerhatikan gelagat manusia yang gembira dengan pemberian diskaun ini. Para petugas di kaunter juga sabar dan tekun melaksanakan amanah yang diberikan.

Kemudian tiba giliranku memasuki kamar pegawai kompaun. Aku serahkan notis kesalahan untuk tujuan pengurangan bayaran kompaun. Pegawai kompaun membaca dengan teliti notis kesalahan yang dikeluarkan dan setelah itu dia menulis jumlah kompaun yang perlu dibayar dan menurunkan tandatangannya serta cap kuasa. Aku diarahkan terus ke kaunter lima bagi tujuan pembayaran. Beruntung pelangganku, bayaran kompaun yang sepatutnya RM300.00 dapat dikurangkan sehingga RM50.00! Untungnya pada aku? Memadailah RM30.00 sebagai upah perkhidmatan. Selesai urusanku untuk hari ini.

Aku menapak semula menuju ke stesen Masjid Jamek, Aliran Kelana Jaya untuk pulang ke habitat di Taman Keramat Permai dengan harga satu perjalanan, RM1.20.

 photo TheEvil.png

No comments:

Post a Comment