Qibas gemuk hanya melihat kosong kawanan yang lain
meragut-ragut rumpur hijau segar yang diberikan. Dia amat tidak berselera. Terlihat dia seekor
qibas yang lebih kecil di sudut kurungan. Mulutnya masih lagi mengunyah-ngunyah.
Sekali-sekali qibas gemuk mengibas-gibas ekornya menghalau lalat yang datang
menghinggap. Itu tidak mampu menghindarinya dari kerisauan. Qibas gemuk tahu,
qibas kecil itu hanya untuk hidangan ahli keluarga manusia itu. Dan aku, daging
aku akan diagihkan kepada para fakir yang tidak pernah menjamah kelazatan
daging.
“Apa yang meresahkan kau wahai saudara tuaku?” bertanya seekor
qibas muda datang menghampiri. Qibas gemuk hanya memaling seketika. “Aku tahu apa
yang bermain di kotak fikiranmu wahai saudara tuaku. Aku bermimpi tadi,
terlihat aku seorang manusia memegang pisau yang berkilat setelah diasah tajam.
Dia melangkah perlahan mendatangi aku, merungkaikan ikatan tali di leherku.
Sepantas itu juga aku menanduk di bawah dagunya. Darah termuntah dari mulutnya. Aku melompat di atasnya lalu dia rebah meniarap ke tanah. Aku menggonggong pisau dengan
gigiku. Lalu kutarahkan secebis daging di lengan manusia itu. Lalu aku carik-carikkan
dengan gigiku. Demi Allah! Sungguh hanyir bau darahnya. Dagingnya sungguh jelik
kurasakan.”
Berkatanya lagi, “Rumput itu sudah jelas dijadikan makanan
untuk kita dan kita pula dijadikan makanan untuk manusia. Manusia pula adalah
makanan untuk kematian. Apa yang aku mengerti bahawa sememangnya daging kita
amat lazat dan sungguh istimewa!”
“Wahai saudara tuaku, sudahkah kau lupa siapa kita ini?
Lupakah kau pada syair indah yang selalu nenek lagukan pada kita?”
Wahai manusia
Datangilah aku
Dengan pisau yang tajam lagi berkilat
Jangan dilupa lafaz redhaNya.
Aku makhluk istimewa
Menggantikan Nabi Ismail a.s.
Apabila diperintahNya Nabi Ibrahim a.s.
setelah didambakan seorang putera
setelah didambakan seorang putera
Begitulah kami
Maha suci Allah yang Maha Agung!
Engkau membalas
mereka yang berbuat kebajikan.
Engkau membalas
mereka yang berbuat kebajikan.
No comments:
Post a Comment