Adakala tergelincir juga gerak lidah kita mengeluh kerana
hujan menghalang pergerakan atau kerja yang bakal dilaksanakan. Walau kita akui
hujan yang diturunkan oleh Allah adalah rahmatNya. Lebih-lebih di musim
tengkujuh sekarang ini, apa jua perancangan, faktor hujan pasti menjadi antara
agenda terpenting. Pelbagai persediaan dirangka bagi menghadapi taburan hujan
yang tinggi terutama di penghujung tahun bagi kita di Malaysia khasnya dan Asia
Tenggara amnya.
Dengan musim percutian persekolahan sememangnya menjadi
kegemaran orang kita melaksanakan majlis perkahwinan. Majlis yang berlangsung
di bawah kanopi di antara lorong-lorong taman perumahan tetap meriah dan riuh
dengan kehadiran tetamu-tetamu yang diundang. Gara-gara sanak-saudara yang
menyanyi dalam majlis sering dijadikan
gurauan bila nyanyian mereka itulah puncanya berguguran titis-titis air dari
awan yang sejuk menyegarkan.
Sebalik semua itu, tetap wujud kesukaran bagi kita.
Tukang-tukang masak yang berkampung di bawah pelepah-pelepah pohon kelapa di
kawasan kampung pasti kelam-kabut menangani urusan penghantaran lauk-pauk ke
meja hidang. Ketibaan atau kepulangan tetamu yang terpaksa mengharungi hujan
dengan berpayung. Bagaimana dengan warga emas atau orang yang kurang upaya?
Belum lagi diberi perhatian pada pengantin yang masih belum diarak dan
diraikan. Pasukan kompang entah ke mana berlindung. Jurugambar melarikan diri
ke pentas pelamin. Sanak-saudara dan ahli rombongan dengan dulang hantaran
entah mana berteduh. Pengantin lelaki berdiam diri dalam kereta. Pengantin
perempuan pula resah memikirkan suami yang kebasahan kerana hujan. Mungkin juga
kugiran yang mengamatkan suasana bertukar menjadi pentas sepi. Semua peralatan musik
berkabung dibawah kanvas biru oren.
Angin yang bersatu dengan hujan, petir dan guruh bersulam
kilat dan dentuman. Tempias menganggu khemah tamu berjamu. Anak-anak pula tidak mengendahkan apa yang berlaku
melainkan mencari keseronokkan. Tetap berkejaran sesama mereka dalam hujan yang
sejuk menyegarkan. Hilanglah suara si ibu memekik-mekik memanggil nama
anak-anak. Di satu sudut pula si ayah hanya tersenyum kecil melihat telatah
anak-anak yang berseronok walau hatinya gusar akan dimarahi isteri. Pedulikan!
Bukankah hujan ini menimbulkan banyak suasana, baik yang
kurang selesa atau sesuatu yang menyenangkan. Di penghujung hari, majlis yang
seperti di dalam tongkang pecah akhirnya boleh membuatkan kita mengukir
senyuman. Pelbagai cerita di sebaliknya mampu meleraikan tawa.
Itulah yang Allah anugerahkan pada kita. Bila hilangnya
mentari, hujan sudah membasahi bumi. Setelah semuanya berakhir, pelangi indah pasti
muncul.
Kita tidak akan dapat menikmati semua ini seandainya bumi
Malaysia yang kita cintai ini sama terlukis seperti di Palestin mahupun di
Syria. Kita kuyup dengan air yang sejuk dan menyegarkan tetapi saudara kita di
sana kuyup dengan darah yang hangat dan hanyir. Kita hilang sabar melihat
kedegilan anak-anak yang bermain lopak. Mereka kehilangan orang yang disayangi
buat selamanya. Kita dihujani air yang aromanya sungguh menyegarkan. Mereka
dihujani mortar-mortar yang tiada belas kasihan apatah lagi untuk menghargai
nyawa manusia. Keseluruhannya adalah kemusnahan sebuah peradaban. Peradaban
Islam!
Kita hanya dibanjiri air setakat betis, pelbagai cabang bantuan
datang menerpa sepantas petir yang mengilat di langit. Mereka? Kita yang bertanggungjawab
sebagai saudara seIslam malah demi kemanusiaan gigih melancarkan pelbagai
bantuan kerana sememangnya kita tahu dan amat mengetahui bahawa kita dilimpahi
rahmatNya. Nah, jika kita sudah pun menyedari bahawa rahmatNya bersama kita di
bumi Malaysia, tetapi mengapa kita pula perlu mengadaikannya kepada Rothschild?
No comments:
Post a Comment