Halaman

Sunday, December 23, 2012

Makanan kematian.

Qibas gemuk hanya melihat kosong kawanan yang lain meragut-ragut rumpur hijau segar yang diberikan. Dia amat tidak berselera. Terlihat dia seekor qibas yang lebih kecil di sudut kurungan. Mulutnya masih lagi mengunyah-ngunyah. Sekali-sekali qibas gemuk mengibas-gibas ekornya menghalau lalat yang datang menghinggap. Itu tidak mampu menghindarinya dari kerisauan. Qibas gemuk tahu, qibas kecil itu hanya untuk hidangan ahli keluarga manusia itu. Dan aku, daging aku akan diagihkan kepada para fakir yang tidak pernah menjamah kelazatan daging.

“Apa yang meresahkan kau wahai saudara tuaku?” bertanya seekor qibas muda datang menghampiri. Qibas gemuk hanya memaling seketika. “Aku tahu apa yang bermain di kotak fikiranmu wahai saudara tuaku. Aku bermimpi tadi, terlihat aku seorang manusia memegang pisau yang berkilat setelah diasah tajam. Dia melangkah perlahan mendatangi aku, merungkaikan ikatan tali di leherku. Sepantas itu juga aku menanduk di bawah dagunya. Darah termuntah dari mulutnya. Aku melompat di atasnya lalu dia rebah meniarap  ke tanah. Aku menggonggong pisau dengan gigiku. Lalu kutarahkan secebis daging di lengan manusia itu. Lalu aku carik-carikkan dengan gigiku. Demi Allah! Sungguh hanyir bau darahnya. Dagingnya sungguh jelik kurasakan.”

Berkatanya lagi, “Rumput itu sudah jelas dijadikan makanan untuk kita dan kita pula dijadikan makanan untuk manusia. Manusia pula adalah makanan untuk kematian. Apa yang aku mengerti bahawa sememangnya daging kita amat lazat dan sungguh istimewa!”

“Wahai saudara tuaku, sudahkah kau lupa siapa kita ini? Lupakah kau pada syair indah yang selalu nenek lagukan pada kita?”

Wahai manusia
Datangilah aku
Dengan pisau yang tajam lagi berkilat
Jangan dilupa lafaz redhaNya.

Aku makhluk istimewa
Menggantikan Nabi Ismail a.s.
Apabila diperintahNya Nabi Ibrahim a.s.
setelah didambakan seorang putera

Begitulah kami
Maha suci Allah yang Maha Agung!
Engkau membalas
mereka yang berbuat kebajikan.

InTheShadow

Saturday, December 1, 2012

Gadai tak tertebus.



 Adakala tergelincir juga gerak lidah kita mengeluh kerana hujan menghalang pergerakan atau kerja yang bakal dilaksanakan. Walau kita akui hujan yang diturunkan oleh Allah adalah rahmatNya. Lebih-lebih di musim tengkujuh sekarang ini, apa jua perancangan, faktor hujan pasti menjadi antara agenda terpenting. Pelbagai persediaan dirangka bagi menghadapi taburan hujan yang tinggi terutama di penghujung tahun bagi kita di Malaysia khasnya dan Asia Tenggara amnya.

Dengan musim percutian persekolahan sememangnya menjadi kegemaran orang kita melaksanakan majlis perkahwinan. Majlis yang berlangsung di bawah kanopi di antara lorong-lorong taman perumahan tetap meriah dan riuh dengan kehadiran tetamu-tetamu yang diundang. Gara-gara sanak-saudara yang menyanyi  dalam majlis sering dijadikan gurauan bila nyanyian mereka itulah puncanya berguguran titis-titis air dari awan yang sejuk menyegarkan.

Sebalik semua itu, tetap wujud kesukaran bagi kita. Tukang-tukang masak yang berkampung di bawah pelepah-pelepah pohon kelapa di kawasan kampung pasti kelam-kabut menangani urusan penghantaran lauk-pauk ke meja hidang. Ketibaan atau kepulangan tetamu yang terpaksa mengharungi hujan dengan berpayung. Bagaimana dengan warga emas atau orang yang kurang upaya? Belum lagi diberi perhatian pada pengantin yang masih belum diarak dan diraikan. Pasukan kompang entah ke mana berlindung. Jurugambar melarikan diri ke pentas pelamin. Sanak-saudara dan ahli rombongan dengan dulang hantaran entah mana berteduh. Pengantin lelaki berdiam diri dalam kereta. Pengantin perempuan pula resah memikirkan suami yang kebasahan kerana hujan. Mungkin juga kugiran yang mengamatkan suasana bertukar menjadi pentas sepi. Semua peralatan musik berkabung dibawah kanvas biru oren.

Angin yang bersatu dengan hujan, petir dan guruh bersulam kilat dan dentuman. Tempias menganggu khemah tamu berjamu. Anak-anak  pula tidak mengendahkan apa yang berlaku melainkan mencari keseronokkan. Tetap berkejaran sesama mereka dalam hujan yang sejuk menyegarkan. Hilanglah suara si ibu memekik-mekik memanggil nama anak-anak. Di satu sudut pula si ayah hanya tersenyum kecil melihat telatah anak-anak yang berseronok walau hatinya gusar akan dimarahi isteri. Pedulikan!

Bukankah hujan ini menimbulkan banyak suasana, baik yang kurang selesa atau sesuatu yang menyenangkan. Di penghujung hari, majlis yang seperti di dalam tongkang pecah akhirnya boleh membuatkan kita mengukir senyuman. Pelbagai cerita di sebaliknya mampu meleraikan tawa.

Itulah yang Allah anugerahkan pada kita. Bila hilangnya mentari, hujan sudah membasahi bumi. Setelah semuanya berakhir, pelangi indah pasti muncul.

Kita tidak akan dapat menikmati semua ini seandainya bumi Malaysia yang kita cintai ini sama terlukis seperti di Palestin mahupun di Syria. Kita kuyup dengan air yang sejuk dan menyegarkan tetapi saudara kita di sana kuyup dengan darah yang hangat dan hanyir. Kita hilang sabar melihat kedegilan anak-anak yang bermain lopak. Mereka kehilangan orang yang disayangi buat selamanya. Kita dihujani air yang aromanya sungguh menyegarkan. Mereka dihujani mortar-mortar yang tiada belas kasihan apatah lagi untuk menghargai nyawa manusia. Keseluruhannya adalah kemusnahan sebuah peradaban. Peradaban Islam!

Kita hanya dibanjiri air setakat betis, pelbagai cabang bantuan datang menerpa sepantas petir yang mengilat di langit. Mereka? Kita yang bertanggungjawab sebagai saudara seIslam malah demi kemanusiaan gigih melancarkan pelbagai bantuan kerana sememangnya kita tahu dan amat mengetahui bahawa kita dilimpahi rahmatNya. Nah, jika kita sudah pun menyedari bahawa rahmatNya bersama kita di bumi Malaysia, tetapi mengapa kita pula perlu mengadaikannya kepada Rothschild?

InTheShadow


Monday, November 12, 2012

MyBlackened.

Selepas mengemas peralatan bertukang, aku melangkah keluar dari premis menuju ke arah kawasan tempat letak kereta. Kelihatan langit cerah dan cuaca agak terik pada petang itu. Sudah lima petang berturut-turut hujan turun dengan lebat, mengakibatkan jalan raya sesak dengan kenderaan. Masing-masing menuju destinasi dengan urusan yang perlu dilangsaikan.


“Aaahh..!” Tayar kereta belakang bahagian kiri pancit. Aku segera meletakkan kotak peralatan berhampiran belakang kereta. “Pancit benar ni,” aku membenarkan perkara yang berlaku. Setelah menyimpan kotak peralatan di tempat barang pada bahagian belakang kereta, aku segera memandu menuju ke stesen petrol yang kebetulan bersebelahan di premis aku memasang papan tanda untuk mengepam angin pada tayar keretaku.

“Aah.. Sudah! Angin tak masuk pula. Apa hal pula ni?” Aku cuba mengepam pada tayar bahagian hadapan. Boleh. Segera pula aku memandu mencari kedai servis tayar yang berdekatan. Mujur kelihatan sebuah kedai tayar Selepas satu selekoh jalan yang aku pandu masuk. Segera aku memberhentikan kereta di hadapan kedai lalu mendapatkan pekerjanya untuk melihat apa kerosakkan pada tayar kereta.

Segera dia mendapatkan pam bertekanan udara lalu mengepam angin masuk pada tayar yang pancit. Seperti tiada masalah sahaja dia perlakukan. Tayar mula mengeras tapi entah mengapa pula aku tidak mendesaknya untuk memeriksa tayar, sekiranya berlaku kebocoran. Perhatianku teralih bila seorang lelaki datang menghampiri. Lantas sahaja aku meluahkan masalah sebenar yang lebih besar dari masalah kebocoran tayar. Keretaku mengalami masalah pecutan.. Di awal pemanduan terasa seperti enjin tersenggut-senggut namun kembali lancar selepas seketika. Asap hitam juga menghambur keluar dari ekzos walaupun enjin melahu. Penggunaan petrol juga tidak realistik dengan pengisian RM30.00 petrol aku hanya dapat perjalanan sejauh 75 kilometer kurang lebih. 

Lantas lelaki tadi masuk di bahagian pemandu lalu menghidupkan enjin kereta. Ditekannya pedal kelajuan berkali-kali. Deraman enjin bertukar menjadi deruman yang bingit. Kemudian dibuka hud hadapan kereta. Terjenguk-jenguk dia melihat ke arah enjin. Sekali lagi di kembali menekan pedal kelajuan berulang kali. Mencari salah pada bunyi yang mengaum dari enjin kereta. Dia menarik palam pencucuh lalu memberitahu untuk menukarnya. Begitu juga perlu mencuci ‘valve’ enjin. 

Aku hanya membenarkan dia membuat apa sahaja yang patut. Kereta inilah yang bertanggungjawab untuk aku mencari makan. Rosak dia, sukarlah aku untuk bergerak untuk bekerja. Selepas sejam membaikpulih enjin, kedengaran sungguh lembut deraman enjin. Tiada lagi deruman yang menggegarkan. Pemanduan lancar! Hilang segala kerisauan hati.

Diikutkan, sudah sebulan lebih masalah yang melanda pada enjin kereta ini. Cuma aku tiada kesempatan untuk singgah di bengkel Ah Wai. Lebih-lebih lagi setelah dia berpindah dari Taman Maluri ke premis baru di Taman Pertama. Malas pula aku nak mencarinya. Jika situasi menjadi buruk, mungkin bengkel yang berhampiran kediamanku boleh dituju.

Hanya berpunca daripada tayar yang pancit, aku dapat membaiki masalah enjin kereta. Lebih baik lagi, lelaki itu tadi adalah pemilik bengkel tersebut malah dia mengenali aku. Walaupun aku tidak perasan wajah dan susuk badannya. Setelah bersembang, barulah diketahui bahawa dia adalah bekas pekerja Ah Wai lima tahun dahulu.

Kesimpulannya,
"Sesuatu perkara itu  tidak berlaku kepada kita. Sesuatu perkara  itu berlaku UNTUK kita."

Malangnya, keesokkan harinya, tayar belakang kereta kembali kempis. Segeralah aku memandu ke pusat servis tayar yang berhampiran dengan kediamanku untuk dibaikpulih.

InTheShadow

Monday, August 27, 2012

Ketulahan.

Aku rasa.., aku diSUMPAH!

Hari ini, aku ke Majlis Perbandaran Kajang untuk hantar permohonan lesen premis syarikat Tasik Hardware dan syarikat Sing Long Food. Tak ramai orang. 10 minit kemudian nombor giliran dipanggil. Aku ke kaunter 2, serah borang.

"Abang duduk dululah," kata petugas kaunter.

Aku kembali mendapatkan tempat duduk dan merancang agenda kerja seterusnya kerana ini pastinya berjalan lancar tanpa masalah, fikirku. Semua dokumen lengkap.

Kemudian petugas kaunter panggil aku.

"Ini, abang kena isi borang yang baru. Kemudian sertakan foto dalam premis," dia beritahu.

"Bila pulak kena ada foto dalam premis, sebelum ni tak perlu pun," saja aku nak panjangkan cerita sebab macam berkaitan pula dengan isu di MBSA.

"Baru je bang," dia balas.

Baru..!?

Pada 15 Ogos 2012, aku ke kaunter yang sama ini untuk mengambil surat sokongan Bomba dan Jabatan Alam Sekitar untuk melengkapkan dokumen permohonan dua syarikat ini. Tiada pula notis pemberitahuan yang diwartakan atau petugas memberitahu 'kaedah penambahan baik' ini!

Aduuuhhh...! Terus aku ke lokasi premis untuk ambil foto bahagian dalam premis. Cetak yang baru dan esok hantar semula...

Kan dua kali kerja tuuuu!

Nota: Dakwat pencetak pulak abis...

InTheShadow

Saturday, August 25, 2012

Meludah ke langit.


Kelmarin aku ke Majlis Bandaraya Shah Alam untuk menguruskan permohonan lesen premis dan papan tanda. Mewakilkan pelanggan aku yang menyewa premis di Kota Kemuning untuk perniagaan alat penggera keselamatan. Berurusan dengan Jabatan Pelesenan, Majlis Bandaraya Shah Alam tidaklah sekerap aku berurusan di Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau Majlis Perbandaran Kajang. Justeru itu, aku amat memastikan agar segala arahan yang dicatatkan dalam borang permohonan lengkap dan betul. Diperiksa dan disemak lima atau enam kali. Selain lokasi yang jauh dari pusat operasi aku, sebolehnya aku hendak mengelakkan daripada membuat kerja yang sama dua kali.

Aku menekan butang pada mesin mengambil nombor giliran. Baru sahaja hendak melabuhkan punggung di kerusi, nombor giliran aku dipanggil. Maklumlah, tidak ramai orang yang berurusan kerana baru hari keempat umat Islam meraikan Aidil Fitri. Memang sengaja aku berurusan pada minggu tersebut untuk mengelakkan kesesakan di Lebuhraya Persekutuan. Segera aku ke kaunter dan menyerahkan dokumen.

Petugas di kaunter segera menyemak satu persatu helaian dokumen dan menandakan apa yang perlu di muka hadapan borang. “Pelan lokasi dan pelan lantai perlu disertakan, tak disertakan pun?” Petugas wanita muda itu mula bersuara. Jelas dia kurang sihat kerana selesema. Kerap sahaja dia menyeka hidungnya yang merah dengan tisu. “Ada cik,” aku menjawab pendek sambil menyelakkan helaian dokumen di turutan belakang. “Ada buat renovation,” dia bertanya lanjut setelah melihat pelan lantai. “Ada.., buat ruang utama dan bilik pejabat,” aku menerangkan. “Jika ada, encik kena rujuk dengan Jabatan Bangunan. Dapatkan kelulusan bina sekatan dinding dahulu,” dia menjelaskan. “Tapi mengapa tidak dicatatkan pada borang yang memerlukan kelulusan Jabatan Bangunan, jika ada kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan dan sebelum ini pun saya ada juga menguruskan permohonan seperti ini tapi tidak pula diperlukan kelulusan pengubahsuaian daripada Jabatan Bangunan, pejabat kilang lagi,” aku bertanya dan mahukan kepastian.

“Bila encik buat?” petugas itu bertanya lagi sambil menekup hidungnya dengan tisu. “Tahun lepas,” aku menjawab sambil berkira-kira tempohnya. “Itulah encik, ini pun baru setahun kami laksanakan. Encik rujuk dulu di Jabatan Bangunan. Jika boleh, bolehlah submit balik. Kalau tak, kena tunggu kelulusan daripada mereka dululah,” dia memberi panduan. “Di mana Jabatan Bangunan?” aku bertanya sambil memungut kembali 4 set dokumen permohonan. “Tingkat 21,” jawabnya pendek.

Aku bingkas bangun kerana aku tahu jam hampir menunjukkan jam 12:00  tengahari. Aku tidak mahu terkandas dengan waktu makan tengahari mereka. Ke mana hendak aku melahu sampai jam 2:00 petang nanti?

Aku menekan butang lif seraya memandang ke paparan nyalaan lampu di bahagian atas pintu lif yang mengisyaratkan samada lif akan naik atau turun. Aku perasan papan tanda yang dilekatkan di dinding bahagian atas pintu lif yang aku berdiri menanti hanya untuk ke aras 14 sahaja. Mataku segera melilau mencari lif yang naik melebihi aras 14. Hanya bersebelahan dua pintu dari bahagian lif yang aku tunggu sebentar tadi. Aku menekan sekali lagi butang lif yang boleh ke aras yang lebih tinggi. Selepas seketika aku berada di dalam mesin angkut itu untuk ke aras 21.

Melangkah keluar dari lif, aku berpaling kiri dan kanan mencari arah pejabat Jabatan Bangunan. Di bahagian kanan letaknya. Aku menolak daun pintu dan kelihatan dua orang perempuan muda bertudung duduk di meja di bahagian kiri pintu masuk. “Nak tanya..., saya nak buat lesen premis tapi ada buat pengubahsuaian bilik pejabat. Perlu kelulusan Jabatan Bangunan ke?” aku bertanya apabila melihat mereka seperti terganggu dengan kemunculan aku. Aku duduk di kerusi yang disediakan di hadapan meja mereka tanpa dipelawa. “Err... kena encik.  Office encik tu di tingkat berapa?” seorang daripada mereka yang duduk berhadapan dengan aku menjawab dan bertanya. “Tingkat satu tapi kenapa sekarang kena ada kelulusan Jabatan Bangunan? Dahulu tak ada pun. Kenapalah suka-suka tambah itu ini? Dulu saya gunakan borang yang dicetak online, katanya tak boleh guna. Kena guna borang baru. Bila nak bagi borang, borang pula habis. Baru nak buat fotokopi. MPSJ (Majlis Perbandaran Subang Jaya) pun begitu. Kita dah siapkan dokumen lengkap, bila hantar, katanya mesti gunakan borang yang baru. Kena isi semula, patah balik, jumpa owner, minta turun tandatangan sekali lagi di borang baru. Kan leceh tu? Kena buat kerja yang sama dua kali. MPKj (Majlis Perbandaran Kajang) pula, perlu ada surat wakil. Sebelumnya tidak perlu. Selang sebulan dua, keluar arahan baru yang kita kena ikut!” aku seperti meluahkan rungutan yang berbuku di hati. Walaupun aku faham dan mengerti itu sistem kerja aturannya, memberi nilai tambah yang baik tapi cuma geram dengan pelaksanaan kuasa orang atas yang suka-suka menukar aturan.

“Encik buatlah aduan kat orang atas. Kita orang ni orang bawah je,” mudah sahaja dia menjawab persoalan ini. Mungkin remeh baginya rungutan orang seperti aku. Agaknya kalau orang yang ada-ada atau orang yang bergelar buat aduan, barulah ketua jabatan terkulat-kulat hendak menjawab. Mungkin dia juga beralasan, ‘Saya tiada kuasa dalam hal ini. Kena rujuk dengan pengarah bahagian’.

“Yelah, tapi cik yang selalu berhadapan dengan orang awam yang berurusan. Takkan cik tak boleh panjangkan bila ada mesyuarat mingguan ke dengan ketua jabatan. Dia orang mana tahu masalah macam ni jika tiada yang suarakan. Nak kami emailkan, tak pastilah orang yang berkenaan terima atau tidak. Kalau dia delete, habislah. Situ sahajalah penghujungnya,” aku sengaja kelihatan cerewet. Mereka berdua hanya mampu tersengih.

Bila aku lanjutkan bagaimana hendak memohon, barulah dia keluarkan satu buku panduan permohonan yang perlu diisi. Dia menjelaskan setiap perkara yang perlu dan bagaimana melengkapkan borang tersebut yang perlu dibeli dengan harga RM50.00 kemudian diarahkan pula aku membuat bayaran di tingkat 13. “Mahalnya, lima puluh ringgit! Kenapa tak buat kaunter bayaran saja kat sini sekali? Lecehlah nak turun naik,” aku sengaja memanjangkan rungut dalam nada bersenda.

Singkat sahaja tempoh buat bayaran. Resit rasmi dikeluarkan. Aku menekan butang lif untuk ke aras 21 semula untuk menyerahkan bukti bayaran sebelum boleh membawa pulang buku permohonan. Pintu lif terbuka, aku menekan butang bertanda angka 21 tapi tiada nyalaan lampu yang sepatutnya menyala menunjukkan ianya berfungsi. Tetapi tidak. Aku sedar lif ini tidak sampai ke aras 21. Aku segera melangkah keluar. Aku memerhatikan setiap lif. Mencari lif manakah yang boleh ke aras 21. Tiada papan tanda seperti di tingkat bawah. Kebetulan ada kakitangan yang lalu. Aku pantas bertanya.

Tidak teringat pula di aras mana. Pintu lif terbuka. Ada sebuah keluarga hendak masuk melangkah. Aku cuba hendak menekan butang yang menahan pintu lif dibuka lama sedikit daripada yang direncanakan. Terkial-kiallah pula aku mencari panel untuk ditekan. Disebabkan warna catnya sudah luntur, tidak dapat dipastikan dengan segera yang mana panel untuk bukaan dan tutup. Nyaris sahaja anak kecilnya dalam lingkungan umur 6 tahun terkepit di pintu lif. Mujur anak kecil itu pantas melompat masuk menyedari pintu hampir tertutup kerana kegagalan aku mencari panel bukaan pintu lif. Mungkin ayahnya menyedari riak wajahku yang serba-salah, dia bersuara, “Dah hilang catnya, mana nak nampak”. Aku hanya tersenyum seraya memandang wajah anak kecil itu. Sebelum aku melangkah keluar dari lif sempatlah aku mengucapkan selamat hari raya pada mereka.

Sebaik sahaja aku menuju ke pintu masuk Jabatan Bangunan, aku lihat papan tanda kecil tergantung di pintu masuk, tertera ‘TUTUP’. “Ish.. baru pukul 12:30, dah lunch ke?” pantas hatiku berbisik. Namun aku menolak daun pintu. Mereka masih lagi di situ. Aku menyerahkan resit bayaran tadi seraya bertanya, “Awal nak keluar lunch?”. Mereka hanya tersenyun simpul sambil menghulurkan buku panduan tadi. Aku bergegas keluar kembali dan mendapatkan lif sekali lagi untuk ke aras bawah.

Tiba di aras bawah, aku meluru ke tandas yang terletak di lorong antara blok-blok lif yang berbeza aras naiknya. Aku menolak daun pintu bilik tandas yang pertama. “Uish.. apalah punya jenis orang macam ni,” aku menggerutu bengang apabila melihat mangkuk tandas dipenuhi najis manusia, tidak dipam. Aku menolak daun pintu bilik tandas bersebelahan. Sama juga! Aku mencari-cari tombol atau penarik pam untuk aku mengepam air untuk menghanyutkan najis itu lenyap dari pandangan. Tiada! Aku perasan ada satu sensor, yang akan menyalakan cahaya berwarna merah, di dinding yang mana sepatutnya berfunsi secara otomatik untuk mengepam air bila pengguna keluar dari bilik tandas. Namun tidak berfungsi! Tanpa menghiraukan keadaan yang sebegitu, aku bersahaja membuang air kecil.  Di bilik tandas ini, mudah untuk beristinjak tidak seperti  di mangkuk kencing yang terlekat di dinding, perlu berdiri untuk membuang air kecil. Sukar untuk berinstinjak.

Di basin, aku mencuci tangan. Aku menekan panel bekas isian sabun sepatutnya. Tiada setitik pun cairan sabun yang keluar. Mataku melihat di kotak tisu yang terlekat di dinding. Juga tiada tisu disediakan. Hanya kelengkapan, tiada kemudahan. Bagus lagi tandas di stesen petrol. Siap sabun dan tisunya, jika tiada, boleh minta di kaunter. Siap terpampang papan tanda jika berhajat. Tahu kenapa?

Sebab premis-premis begini, restoran terutamanya malahan premis pejabat atau bengkel apatah lagi klinik perubatan. Disyaratkan oleh Jabatan Kesihatan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan agar setiap tandas WAJIB menyediakan sabun dan tisu, jika ingkar, saman dikenakan. Sedihnya, tandas di dalam bangunan yang mensyaratkan peraturan sebegini, gagal melaksanakannya.

Aku menuruni tangga untuk ke tempat letak kereta. Setelah keluar dari petak letak kereta, aku termanggu sekejap. Mencari tanda arah laluan keluar. Aku perhatikan setiap tiang yang berdekatan yang dicat merah separuh tiang dari bawah, tiada tanda anak panah yang lazimnya digunakan sebagai pandu arah. Berpandukan arah anak panah di lantai laluan, membawa aku berpusing-pusing ke sebahagian kawasan tempat letak kereta. Di dinding hanya tanda anak panah berwarna hitam dan berlatarbelakang berwarna kuning, kebiasaan sebagai tanda arah laluan kereta. Untuk tanda arah keluar, lazimnya berwarna kontras dengan warna dinding atau tiang, di mana kebiasaannya berwarna hijau terang. Mudah terlihat. Ditulis perkataan KELUAR dan tanda anak panah memandu arah.

Kelihatan satu kenderaan lain juga mencari jalan keluar. Aku mengekori. Di selekoh terakhir membelok menaiki laluan ke aras atas, baru aku perasan satu tanda arah keluar di tiang di mana anak panahnya sama warna dengan warna merah yang dicat pada tiang cuma garis luar (border)  halus berwarna putih manakala perkataan KELUARnya berwarna putih dengan huruf yang condensed (kurus) yang sepatut BOLD (tebal).

Jika ada kuasa pada aku, aku kategorikan bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai yang tidak mesra pengguna atau tidak mesra pelawat!



InTheShadow

Saturday, August 18, 2012

Leraikan hak.


Dendam  benci disimpan jangan
Leraikanlah hak dunia akhirat
Bermaafan darjatnya takwa
Bukan kerana Syawal berkunjung.

Ramadan hadir berlalu pergi
Berjihad kita menentang nafsu
Hanya tinggal segumpal daging
Menjadi kerajaan diri.

Syawal menjengah dirai bersama
Semoga amalan kita diterima
Taqabbalullah minna waminka
Rasulullah kita bersapa mesra.

Dalam merai kemenangan
Nafsu yang ditentang
Perlu sentiasa ditakluki
Pagari iman jangan ditembusi.

Selamat meraikan Aidil Fitri
Ampun kupohon dari kalian
Keluarga sahabat rakan taulan
Atas segala salah dan silap.


InTheShadow

Thursday, August 2, 2012

Ulam raja merajai.



Bulan yang lebih baik dari seribu bulan!

Secara zahirnya, ya, aku berpuasa, menahan diri dari lapar dan dahaga. Itu aku tahu. Kekoknya aku apabila menahan diri daripada ketahigan candu. Janggal rasanya membaca akhbar tanpa merokok. Tidak lengkap pula bila duduk melepas lelah tanpa menyepit sebatang rokok di antara jari telunjuk dan jari hantu.

Yang lainnya tidaklah aku layak untuk mengajar kalian untuk menjalani ibadah puasa ini. Bagaimana untuk merebut kebaikan-kebaikan yang dikurniakanNya pada bulan di mana Al-Quran diturunkan pada junjungan nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. Syaitan yang sentiasa sahaja mengajak manusia mengingkari perintahNya dan membukakan pengetahuan serta kebijaksanaan kita dalam melakukan apa yang dilarang olehNya telah pun dirantai.

Syaitan dirantai!? Aku majal tentang apa yang tersirat dalam kalimah ini. Syaitan bongkak pada Adam tewas pada Ramadan! Apatah lagi kita manusia yang sombong ini, masih tidak sedar kuasa Allah yang menjadikan semesta alam dan segala isinya. Pemilik Arasy yang Agung!

Aku tidaklah ghairah untuk mengunjungi bazar Ramadhan yang sememangnya pelbagai juadah dijual untuk menjamu selera  ketika kita berbuka. Sebabnya, banyak juadah yang ‘indah khabar dari rupa’. Daripada aku menyumpah atau menyesal dan membazir, lebih selesa aku berbuka dengan apa yang ada di rumah.Berbuka itu seperti meraikan satu kejayaan kecil kerana kita telah menjalani rintangan berpuasa yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Tapi disebabkan syaitan dan godaannya tiada, apa yang perlu dirintangkan?

Tadi aku berbuka di rumah dengan nasi berlaukkan asam pedas ikan tenggiri batang, cencaluk dengan hirisan bawang kecil dan cili padi, ikan masin tenggiri yang telah dijeruk, digoreng dan ditaburkan juga dengan hirisan bawang dan cili padi, diperah pula asam limau ke atasnya. Ditemani pula dengan ulam raja. Selera makan membawa aku menambah nasi sepinggan lagi.

Dalam meraikan kejayaan, akhirnya aku berahi dengan selera makan gara-gara keenakan ulam raja! Raja segala ulam ini melenyapkan ingatan nabi agar berhenti sebelum kenyang. Syaitan tiada untuk memujuk, syaitan tiada di sisi untuk melalaikan ingatanku. Aku pasti ianya datang dari dalam diri aku sendiri. Manusia seperti aku ini, syaitan tidak perlu mengerah sepenuh masanya walau dia punya waktu hingga kiamat. Cukup untuk dia menoda dan mendidik nafsu dalam diriku kemudian dia pergi. Kini aku ada secubit pengertian, aku mesti meneguhkan pagar di hati agar tidak ditembusi dengan kelalaian nafsuku sendiri.

Aku tewas dengan nafsu hanya dengan beberapa pucuk dedaunan ciptaanNya!


InTheShadow

Thursday, July 5, 2012

Sejuk jari telunjuk.


Awal Mansor bangun hari ini. Mendahului subuh. Mansor melekakan waktu dengan bersiap dan menanti masuknya waktu. Dalam dirinya dia sudah berkira-kira agar urusannya menjadi mudah hari ini. Dia mesti berusaha dan bertawakal. Tiadalah daya baginya sesungguhnya segala daya itu hanyalah milikNya. Namun hatinya amat teruja. Amat!

Dengan berkemeja biru muda berlengan panjang yang telah digosok semalam lagi. Sepadan pula dengan tali leher biru muda bercorak geometri biru gelap. Sengaja tali leher itu dibelinya untuk hari ini dan inilah hari dia mengenakan tali leher semenjak tamat zaman pembelajaran, tujuh tahun dahulu.  Mansor menyesuaikan kemeja birunya dengan berseluar hitam berjalur kelabu halus. Satu-satunya sepatu kulit yang dimilikinya telah siap digilap kelmarin walau tidak bersinar kilat namun kelihatan hitam menawan. Mansor bersedia.

“Selamat pagi,” Mansor menyapa lembut pada penyambut tetamu, seorang gadis Tionghua di ruang legar pejabat yang besar lagi dingin. “Saya datang untuk menghadiri temuduga,” sambung Mansor setelah salam selamat paginya dibalas dengan fasih. Gadis itu menyerahkan sekeping borang dan mintanya diisi dan Mansor diarah ke ruang menulis. Mansor memerhatikan sekeliling. Susun atur dan hiasan dalaman pejabat itu amat menarik dan selesa. “Alangkah bagus jika aku diterima bekerja di sini,” desis hati Mansor berharapan.

Selesai mengisi borang permohonan,  Mansor meneliti dan menyemak semula butir-butir yang telah diisinya. Gusar, gemuruh di hatinya akan menerbitkan kesalahan dalam mengisi butiran yang perlu diketahui oleh bakal majikannya. Mansor bangun dengan tertib seraya dia mendapatkan gadis Tionghua itu semula dan menyerahkan borang permohonannya dengan senyuman. Senyuman Mansor berbalas. “Encik Mansor boleh menunggu di sana,” gadis Tionghua itu bersuara sambil menunjukkan arahnya dengan sopan.

Debar di hati Mansor belum lagi redanya. Bertambah debarnya apabila melihat calon-calon lain bertrampilan hebat melangkah masuk dan melakukan perkara yang sama seperti yang dia lakukan sebentar tadi. Namun Mansor mendamaikan hatinya bahawa mereka itu tidak berebut jawatan yang sama kerana pastinya mereka yang hebat-hebat ini berkelulusan ijazah dan ingin mengapai cita yang lebih tinggi. Mansor hanya cuba berusaha untuk menjadi seorang lelaki yang memiliki pekerjaan buat masa ini. Diploma yang dimilikinya tidak menjanjikan apa-apa hanya sebagai bukti dia telah menerima sekelumit ilmu dalam bidang pengurusan.

Mansor akui, pengetahuan yang dimilikinya ibarat sebutir buih di padang pasir. Mansor tidak pernah menghadapi dunia sebenar. Selama ini dia hanya dalam dunianya sendiri dan dia berasa selamat begitu. Usahanya untuk menginjak ke dunia sebenar telah ditolak mentah-mentah. “Mungkin aku terlalu membuka diri semasa sesi perkenalan. Tidak sepatutnya aku lajak ke misi dan visi diriku terburu-buru tanpa dipinta,” Mansor menganalisa tingkah lakunya sebentar tadi.


Hati Mansor amat hampa. Amat! Tidak mampu dia melayani hatinya yang lara. Pelbagai lintasan di hatinya menimbulkan keraguan. Keyakinannya telah dicabar. Akalnya pula berjuang, berperang dengan hatinya. Mansor mohon perlindungan kepadaNya dari segala keraguan di hatinya. Dia mengikut kata akal. Rezeki itu di tanganNya bukan pada keputusan manusia yang sememangnya tidak pernah puas dengan apa yang mereka miliki. “Aku sendiri tidak mampu memuaskan kemahuan manusia lain namun biarlah aku berpuas hati dengan apa yang aku terima dan apa yang aku miliki,” akal Mansor memutuskan.

Terasa sejuk di hujung jari telunjuk Mansor ketika menekan butang lif di aras lapan Bangunan Wawasan itu.


InTheShadow

Wednesday, June 13, 2012

Hinaan ayah ke hujung nyawa



Kau ghaib entah ke mana
Aku melilau darat ke baruh
Calar-balar betis aku
disanggah renek berduri
Meranduk paya paras pinggang
Kau memang menyusahkan!

Apa yang buat kau menyentap
Tidak sakitkah hidung kau
Menyentap tali berpilin tiga
Berserat  Abaca Sumatera
Sebesar kelingking aku
Kau memang bodoh!

Selama kau menghilang
Hari sekolahku terabai
Kerja rumah belum ditanda
Ruang hadir dicoret kosong
Kau sungguh kejam!

Lebih pedih lagi
Bukan kau yang mengadap
Hayunan tempeleng ayah
Sepak terajangnya menyinggah
Di badan kerdil ini
Kau memang tidak berhati perut!

Sumpah seranahnya lali di telinga
“Anak haram”
“Tak boleh diharap”
“Biarlah mampus!”
“Hidup pun tak berguna”

Ampun maaf aku lenyap sahaja
Ayah bagai kerasukan Daasim
Bengisnya mengalahkan
Ibu singa kehilangan anak!
Kau memang celaka!

Mengapa kau tergamak
Mencalarkan kasih sayang
Aku dengan ayah
Sudahlah ibu berpisah jauh
Kau memang tiada perasaan!

Bendang perlu dibajak
Ayah mencuka pulang menoreh
Aku tidak diberi muka
Jangan terlihat kelibat aku
Di hujung matanya
Kau memang tidak bertanggungjawab!

Aku bertempik di batas bendang
Bertingkah azan Asar dari surau
Aku benci kau!
Kubang kau akan aku kambus!

Penglihatan aku kelam
Aku rebah
Hanya sempat menyambar
Silauan terik mentari petang.


InTheShadow