Kelmarin aku ke Majlis Bandaraya Shah Alam untuk menguruskan permohonan lesen premis dan papan tanda. Mewakilkan pelanggan aku yang menyewa premis di Kota Kemuning untuk perniagaan alat penggera keselamatan. Berurusan dengan Jabatan Pelesenan, Majlis Bandaraya Shah Alam tidaklah sekerap aku berurusan di Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau Majlis Perbandaran Kajang. Justeru itu, aku amat memastikan agar segala arahan yang dicatatkan dalam borang permohonan lengkap dan betul. Diperiksa dan disemak lima atau enam kali. Selain lokasi yang jauh dari pusat operasi aku, sebolehnya aku hendak mengelakkan daripada membuat kerja yang sama dua kali.
Aku menekan butang pada mesin mengambil nombor giliran. Baru
sahaja hendak melabuhkan punggung di kerusi, nombor giliran aku dipanggil.
Maklumlah, tidak ramai orang yang berurusan kerana baru hari keempat umat Islam
meraikan Aidil Fitri. Memang sengaja aku berurusan pada minggu tersebut untuk mengelakkan
kesesakan di Lebuhraya Persekutuan. Segera aku ke kaunter dan menyerahkan
dokumen.
Petugas di kaunter segera menyemak satu persatu helaian dokumen
dan menandakan apa yang perlu di muka hadapan borang. “Pelan lokasi dan pelan
lantai perlu disertakan, tak disertakan pun?” Petugas wanita muda itu mula
bersuara. Jelas dia kurang sihat kerana selesema. Kerap sahaja dia menyeka
hidungnya yang merah dengan tisu. “Ada cik,” aku menjawab pendek sambil
menyelakkan helaian dokumen di turutan belakang. “Ada buat renovation,” dia
bertanya lanjut setelah melihat pelan lantai. “Ada.., buat ruang utama dan bilik
pejabat,” aku menerangkan. “Jika ada, encik kena rujuk dengan Jabatan Bangunan.
Dapatkan kelulusan bina sekatan dinding dahulu,” dia menjelaskan. “Tapi
mengapa tidak dicatatkan pada borang yang memerlukan kelulusan Jabatan
Bangunan, jika ada kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan dan sebelum ini pun
saya ada juga menguruskan permohonan seperti ini tapi tidak pula diperlukan
kelulusan pengubahsuaian daripada Jabatan Bangunan, pejabat kilang lagi,” aku
bertanya dan mahukan kepastian.
“Bila encik buat?” petugas itu bertanya lagi sambil menekup
hidungnya dengan tisu. “Tahun lepas,” aku menjawab sambil berkira-kira tempohnya.
“Itulah encik, ini pun baru setahun kami laksanakan. Encik rujuk dulu di
Jabatan Bangunan. Jika boleh, bolehlah submit balik. Kalau tak, kena tunggu
kelulusan daripada mereka dululah,” dia memberi panduan. “Di mana Jabatan
Bangunan?” aku bertanya sambil memungut kembali 4 set dokumen permohonan. “Tingkat
21,” jawabnya pendek.
Aku bingkas bangun kerana aku tahu jam hampir menunjukkan
jam 12:00 tengahari. Aku tidak mahu
terkandas dengan waktu makan tengahari mereka. Ke mana hendak aku melahu sampai
jam 2:00 petang nanti?
Aku menekan butang lif seraya memandang ke paparan nyalaan
lampu di bahagian atas pintu lif yang mengisyaratkan samada lif akan naik atau
turun. Aku perasan papan tanda yang dilekatkan di dinding bahagian atas pintu
lif yang aku berdiri menanti hanya untuk ke aras 14 sahaja. Mataku segera
melilau mencari lif yang naik melebihi aras 14. Hanya bersebelahan dua pintu
dari bahagian lif yang aku tunggu sebentar tadi. Aku menekan sekali lagi butang
lif yang boleh ke aras yang lebih tinggi. Selepas seketika aku berada di dalam
mesin angkut itu untuk ke aras 21.
Melangkah keluar dari lif, aku berpaling kiri dan kanan
mencari arah pejabat Jabatan Bangunan. Di bahagian kanan letaknya. Aku menolak
daun pintu dan kelihatan dua orang perempuan muda bertudung duduk di meja di
bahagian kiri pintu masuk. “Nak tanya..., saya nak buat lesen premis tapi ada
buat pengubahsuaian bilik pejabat. Perlu kelulusan Jabatan Bangunan ke?” aku
bertanya apabila melihat mereka seperti terganggu dengan kemunculan aku. Aku
duduk di kerusi yang disediakan di hadapan meja mereka tanpa dipelawa. “Err...
kena encik. Office encik tu di tingkat
berapa?” seorang daripada mereka yang duduk berhadapan dengan aku menjawab dan
bertanya. “Tingkat satu tapi kenapa sekarang kena ada kelulusan Jabatan
Bangunan? Dahulu tak ada pun. Kenapalah suka-suka tambah itu ini? Dulu saya
gunakan borang yang dicetak online, katanya tak boleh guna. Kena guna borang
baru. Bila nak bagi borang, borang pula habis. Baru nak buat fotokopi. MPSJ
(Majlis Perbandaran Subang Jaya) pun begitu. Kita dah siapkan dokumen lengkap,
bila hantar, katanya mesti gunakan borang yang baru. Kena isi semula, patah
balik, jumpa owner, minta turun tandatangan sekali lagi di borang baru. Kan
leceh tu? Kena buat kerja yang sama dua kali. MPKj (Majlis Perbandaran Kajang) pula,
perlu ada surat wakil. Sebelumnya tidak perlu. Selang sebulan dua, keluar
arahan baru yang kita kena ikut!” aku seperti meluahkan rungutan yang berbuku di
hati. Walaupun aku faham dan mengerti itu sistem kerja aturannya, memberi nilai
tambah yang baik tapi cuma geram dengan pelaksanaan kuasa orang atas yang
suka-suka menukar aturan.
“Encik buatlah aduan kat orang atas. Kita orang ni orang
bawah je,” mudah sahaja dia menjawab persoalan ini. Mungkin remeh baginya rungutan
orang seperti aku. Agaknya kalau orang yang ada-ada atau orang yang bergelar buat
aduan, barulah ketua jabatan terkulat-kulat hendak menjawab. Mungkin dia juga
beralasan, ‘Saya tiada kuasa dalam hal ini. Kena rujuk dengan pengarah bahagian’.
“Yelah, tapi cik yang selalu berhadapan dengan orang awam
yang berurusan. Takkan cik tak boleh panjangkan bila ada mesyuarat mingguan ke
dengan ketua jabatan. Dia orang mana tahu masalah macam ni jika tiada yang
suarakan. Nak kami emailkan, tak pastilah orang yang berkenaan terima atau
tidak. Kalau dia delete, habislah. Situ sahajalah penghujungnya,” aku sengaja
kelihatan cerewet. Mereka berdua hanya mampu tersengih.
Bila aku lanjutkan bagaimana hendak memohon, barulah dia
keluarkan satu buku panduan permohonan yang perlu diisi. Dia menjelaskan setiap
perkara yang perlu dan bagaimana melengkapkan borang tersebut yang perlu dibeli
dengan harga RM50.00 kemudian diarahkan pula aku membuat bayaran di tingkat 13.
“Mahalnya, lima puluh ringgit! Kenapa tak buat kaunter bayaran saja kat sini sekali?
Lecehlah nak turun naik,” aku sengaja memanjangkan rungut dalam nada bersenda.
Singkat sahaja tempoh buat bayaran. Resit rasmi dikeluarkan.
Aku menekan butang lif untuk ke aras 21 semula untuk menyerahkan bukti bayaran
sebelum boleh membawa pulang buku permohonan. Pintu lif terbuka, aku menekan
butang bertanda angka 21 tapi tiada nyalaan lampu yang sepatutnya menyala
menunjukkan ianya berfungsi. Tetapi tidak. Aku sedar lif ini tidak sampai ke
aras 21. Aku segera melangkah keluar. Aku memerhatikan setiap lif. Mencari lif
manakah yang boleh ke aras 21. Tiada papan tanda seperti di tingkat bawah.
Kebetulan ada kakitangan yang lalu. Aku pantas bertanya.
Tidak teringat pula di aras mana. Pintu lif terbuka. Ada
sebuah keluarga hendak masuk melangkah. Aku cuba hendak menekan butang yang menahan
pintu lif dibuka lama sedikit daripada yang direncanakan. Terkial-kiallah pula
aku mencari panel untuk ditekan. Disebabkan warna catnya sudah luntur, tidak
dapat dipastikan dengan segera yang mana panel untuk bukaan dan tutup. Nyaris
sahaja anak kecilnya dalam lingkungan umur 6 tahun terkepit di pintu lif. Mujur
anak kecil itu pantas melompat masuk menyedari pintu hampir tertutup kerana
kegagalan aku mencari panel bukaan pintu lif. Mungkin ayahnya menyedari riak
wajahku yang serba-salah, dia bersuara, “Dah hilang catnya, mana nak nampak”.
Aku hanya tersenyum seraya memandang wajah anak kecil itu. Sebelum aku
melangkah keluar dari lif sempatlah aku mengucapkan selamat hari raya pada
mereka.
Sebaik sahaja aku menuju ke pintu masuk Jabatan Bangunan,
aku lihat papan tanda kecil tergantung di pintu masuk, tertera ‘TUTUP’. “Ish..
baru pukul 12:30, dah lunch ke?” pantas hatiku berbisik. Namun aku menolak daun
pintu. Mereka masih lagi di situ. Aku menyerahkan resit bayaran tadi seraya
bertanya, “Awal nak keluar lunch?”. Mereka hanya tersenyun simpul sambil
menghulurkan buku panduan tadi. Aku bergegas keluar kembali dan mendapatkan lif
sekali lagi untuk ke aras bawah.
Tiba di aras bawah, aku meluru ke tandas yang terletak di
lorong antara blok-blok lif yang berbeza aras naiknya. Aku menolak daun pintu
bilik tandas yang pertama. “Uish.. apalah punya jenis orang macam ni,” aku
menggerutu bengang apabila melihat mangkuk tandas dipenuhi najis manusia, tidak
dipam. Aku menolak daun pintu bilik tandas bersebelahan. Sama juga! Aku
mencari-cari tombol atau penarik pam untuk aku mengepam air untuk menghanyutkan
najis itu lenyap dari pandangan. Tiada! Aku perasan ada satu sensor, yang akan
menyalakan cahaya berwarna merah, di dinding yang mana sepatutnya berfunsi secara
otomatik untuk mengepam air bila pengguna keluar dari bilik tandas. Namun tidak
berfungsi! Tanpa menghiraukan keadaan yang sebegitu, aku bersahaja membuang air kecil. Di bilik tandas ini, mudah untuk beristinjak
tidak seperti di mangkuk kencing yang
terlekat di dinding, perlu berdiri untuk membuang air kecil. Sukar untuk
berinstinjak.
Di basin, aku mencuci tangan. Aku menekan panel bekas isian
sabun sepatutnya. Tiada setitik pun cairan sabun yang keluar. Mataku melihat di
kotak tisu yang terlekat di dinding. Juga tiada tisu disediakan. Hanya
kelengkapan, tiada kemudahan. Bagus lagi tandas di stesen petrol. Siap sabun
dan tisunya, jika tiada, boleh minta di kaunter. Siap terpampang papan tanda
jika berhajat. Tahu kenapa?
Sebab premis-premis begini, restoran terutamanya malahan
premis pejabat atau bengkel apatah lagi klinik perubatan. Disyaratkan oleh
Jabatan Kesihatan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan agar setiap tandas WAJIB
menyediakan sabun dan tisu, jika ingkar, saman dikenakan. Sedihnya, tandas di
dalam bangunan yang mensyaratkan peraturan sebegini, gagal melaksanakannya.
Aku menuruni tangga untuk ke tempat letak kereta. Setelah
keluar dari petak letak kereta, aku termanggu sekejap. Mencari tanda arah
laluan keluar. Aku perhatikan setiap tiang yang berdekatan yang dicat merah
separuh tiang dari bawah, tiada tanda anak panah yang lazimnya digunakan
sebagai pandu arah. Berpandukan arah anak panah di lantai laluan, membawa aku
berpusing-pusing ke sebahagian kawasan tempat letak kereta. Di dinding hanya
tanda anak panah berwarna hitam dan berlatarbelakang berwarna kuning, kebiasaan sebagai tanda arah laluan kereta. Untuk tanda arah keluar, lazimnya berwarna kontras
dengan warna dinding atau tiang, di mana kebiasaannya berwarna hijau terang. Mudah terlihat. Ditulis
perkataan KELUAR dan tanda anak panah memandu arah.
Kelihatan satu kenderaan lain juga mencari jalan keluar. Aku
mengekori. Di selekoh terakhir membelok menaiki laluan ke aras atas, baru aku
perasan satu tanda arah keluar di tiang di mana anak panahnya sama warna dengan
warna merah yang dicat pada tiang cuma garis luar (border) halus berwarna putih manakala perkataan
KELUARnya berwarna putih dengan huruf yang condensed (kurus) yang sepatut BOLD
(tebal).
Jika ada kuasa pada aku, aku kategorikan bangunan Majlis
Bandaraya Shah Alam sebagai yang tidak mesra pengguna atau tidak mesra pelawat!
No comments:
Post a Comment